27 Ogos 2010

TOLONG! AKU SANGAT CEMBURU……

Jam 2 pagi telefon bimbit suami atau isteri sesekali bergetar menandakan adanya pesanan masuk.  Bagaimanakah perasaan anda pada ketika itu?.  Pasti anda berasa kurang senang dengan bunyi tersebut dengan selamba anda berkata biarkanlah mungkin dari syarikat telekomunikasi atau orang tersalah nombor atau tertanya-tanya dari siapa dan mengapa ia berbunyi pada jam begini atau  cemburukah kita?. 

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4,2010, cemburu bermaksud iri hati, kurang percaya atau syak wasangka dan berhati-hati atau berjaga-jaga. Adakah ciri-ciri ini ada dalam diri kita?  Tidak dinafikan cemburu itu juga perlu. Contoh cemburu bersaing dalam pelajaran atau kerjaya.  Cemburu melihat kejayaan orang lain menambahkan keghairahan kita untuk bersaing dengan cara yang sihat.  Ini dinamakan cemburu yang dibolehkan dalam Islam.  Berbeza dengan cemburu seorang isteri ketika terlihat suaminya berjalan beriringan wanita yang dikenali atau tidak dikenalinya sehingga sanggup menyerang wanita tersebut.  Di dada-dada akhbar sering  memaparkan kisah  suami atau isteri cemburu yang berakhir dengan pembunuhan.  Isteri yang cemburu terhadap suaminya yang ada teman wanita wanita lain sanggup mencederakan suaminya dan pelbagai tindakan yang merugikan.  Seorang bekas suami sanggup mengakhiri nyawa bekas isterinya gara-gara cemburu buta.  Baru-baru ini , berita tentang teman lelaki yang akhirnya ke tali gantung didapati bersalah membunuh kekasihnya kerana cemburu.  Pelajar lelaki menikam temannya berpunca daripada cemburu.

Jika diamati betapa hebatnya kuasa cemburu yang menafikan akal menapis setiap perlakuan atau tindakan yang berkhir dengan pembunuhan atau penganiayaan kejam.  Di manakah letaknya akal?. Adakah dengan selamba kita menjawab INI SUDAH DITAKDIRKAN. Adakah mahu menyalahkan Tuhan? Sia-sialah Allah S.W.T melebihkan manusia dengan akalnya jika kita tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat akal.   


Iblis ialah mahkhluk Allah S.W.T pertama yang mempunyai hasad dengki atau cemburu.  Cemburu kerana penghormatan yang diberikan kepada Nabi  Adam A.S menyebabkan iblis enggan dan ingkar kepada arahan Allah agar sujud kepada manusia pertama itu.  Iblis merasakan dirinya hebat  berbanding Adam A.S. Lantaran cemburu dan keengganan yang dimilikinya itu menyebabkan iblis keluar dari syurga ke neraka serta kekal di dalamnya selama-lamanya.

Manakala kisah cemburu pertama berlaku di kalangan manusia berlaku dalam kisah anak Nabi Adam A.S iaitu Habil dan Qabil.  Qabil tidak berpuas hati  terhadap Habil kerana dinikahkan kepada Iqlima (saudara kembar Qabil). Iqlima jauh lebih rupawan berbanding Labuda (saudara kembar Habil).  Qabil telah dinikahkan kepada Labuda.  Akibat perasaan cemburu terhadap Habil, terjadilah pertumpahan darah yang  pertama di atas muka bumi.  Habil telah dibunuh oleh Qabil kerana persaaan cemburu dan sakit hati yang melampau.  Begitulah dahsyatnya kesan perasaan cemburu yang tidak bertempat tanpa mempertimbangkan sesuatu perkara dengan menggunakan akal yang bersih.

Daripada dua kisah yang dinyatakan di atas, ternyata cemburu buta dan hasad dengki hadir seiring.  Maka berulangkali kita boleh renungkan tujuh langkah untuk mengelakkan berlakunya cemburu buta.

1.         Sentiasa ingat, cemburu tidak bertempat sering membawa keburukan berbanding 
            kebaikan.
2.                  Sentiasa menambahkan nilai diri melalui ilmu.  Ilmu adalah penyuluh hidup dan cemburu hanya memusnahkan hidup.
3.                  Mengingati segala perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.  ini kerana Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi umat Islam khasnya dan manusia sejagat amnya.
4.                   Menjaga kualiti solat.  Allah telah menegaskan solat itu  adalah pencegah perbuatan keji dan mungkar.
5.                  Meningkatkan nilai kejujuran dan komunikasi dalam hubungan agar terhindar daripada sikap curiga mencurigai.
6.                  Menjaga kesucian hati kerana daripada kekotoran seperti mengelakkan memakan makanan haram agar tidak timbul penyakit dalam hati.
7.                  Memantapkan keimanan, pengetahuan agama dan pelaksanaannya.  Tanpa iman,manusia mudah terlupa hakikat arahan agama.

UMMI NESSA: Manusia ialah makhluk Allah S.W.T yang sempurna kejadiannya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika difikirkan bertapa  hebatnya Allah S.W.T menyimpan banyak rahsia dalam diri manusia untuk difikirkan . Allah S.W.T menciptakan manusia dengan kelebihan  akal.  Maka dengan akallah manusia itu dapat dibezakan  di antara makhluk Allah S.W.T yang lain.  Oleh itu hendahlah manusia memikirkan sesuatu perbuatan itu dari sisi baik dan buruknya menurut hukum  syarak dan hukum alam.  JANGAN TERBURU-BURU  MENGIKUT HAWA NAFSU CEMBURU KERANA KAMU PASTI AKAN LESU.  YANG NYATA, CEMBURU TANDANYA HATI TIDAK SUCI DAN KELAK MEROSAKKAN DIRI SENDIRI JUA.   

23 Ogos 2010

HAK-HAK IBU BAPA: DI MANAKAH KASIH SAYANG KITA?

Wahai anak-anakku…, Ketahuilah bahawa betapa pun kesusahan menimpa dirimu disebabkan ayah dan ibumu maka hak kedua-duanya atas dirimu lebih daripada yang telah engkau korbankan. Oleh itu di dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman (surah al-Isra’: ayat 23 dan 24) “ Maka janganlah kamu katakana kepada kedua-duanya perkataan ‘ah; dan janganlah mengherdik kedua-duanya.  Dan katakanlah kepada kedua-duanya ucapan yang mulia, merendah dirilah di hadapan kedua-duanya dengan menunjukkan kasih sayang dan katakanlah, “oh Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku, sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil”.

Wahai anak-anakku, perhatikanlah bagaimana kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anaknya yang kecil.  Lihatlah betapa mereka mengambil berat tentang kesihatannya, makanannya, minumannya, tidurnya pada waktu malam dan siang serta sakitnya.   Tahukah kamu betapa banyak sudah ibu bapamu korbankan demi mendidikmu dari kecil hinggalah kamu dewasa?

Wahai anak-anakku, sesunguhnya kamu pada ketika ini dalam pemeliharaan Allah.  Pada kesempatan ini diberi taufik oleh Allah untuk dapat menunjukkan kita  pula.  Adalah kerana ayah mu bermurah hati telah memberikan perbelanjaan yang cukup untukmu sekuat kemampuannya.  Ayahmu tidak pernah berkira kepadamu, selagi ada hal yang di dalam kemampuannya.  Kalau bukan kerana ibu bapamu, nescaya kamu tidak mungkin dapat melangkah berjaya  menuntut ilmu yang mulia.


Wahai anak-anakku, semua orang ingin memperolehi pangkat yang tinggi, dihormati serta dikasihi oleh Allah dan manusia.  Masing-masing sibuk bersaing siapa lebih tinggi daripada yang lain.  Tetapi seseorang yang bernama ayah ingin supaya anaknya lebih tinggi, lebih berjaya serta lebih mulia daripada dirinya sendiri.  Oleh kerana itulah, maka kamu wajib berbuat baik dan  berlaku hormat kepada ibu bapamu.  Sebab, dialah orang yang mendahulukan kepentingan dirimu daripada dirinya.

Dari itu, wahai anak-anakku , berhati-hatilah agar kamu tidak sampai memarahi ayah atau ibumu.  Sesungguhnya kemarahan Allah bersama dengan kemarahan kedua ibu bapa.  Sedangkan orang yang mendapat kemarahan Allah akan rugi dunia dan akhirat.

Wahai anak-anakku, patuhlah kepada ayah dan ibumu, janganlah kamu menyalahi keduanya dalam apa jua perkara, melainkan apabila keduanya menyuruh kamu melakukan maksiat kepada Allah.  Kerana, dalam hal seperti ini telah dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Tidak boleh patuh kepada makhluk yang menyuruh maksiat terhadap Tuhan (Allah)”(HADIS RIWAYAT AHMAD DAN HAQIM)).

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 14-15 bermaksud:
“ Dan kami wajibkan semua manusia berbuat baik  kepada kedua ibu bapanya: ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukan), dan tempoh menceraikan daripada menyusunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibubapamu ; dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan)”


“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan –Ku sesuatu yang engkau, dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya, maka jangalah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka dunia dengan cara yang baik.  Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).  Kemudian kepad Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.”(surah Luqman)


Wahai anak-anakku, sesungguhnya orang yang paling mencintaimu ialah ayahmu, yang telah berusaha mendidikmu dari kecil lagi.  Lalu dia pula menyuruh kamu masuk ke sekolah sehingga kamu menjadi salah seorang yang mulia (ilmu agama).

Oleh itu, berusahalah untuk menerima nasihatnya kerana ayahmulah yang lebih tahu tetang apa yang sesuai dengan dirimu.  Ayahmulah yang lebih faham apa yang memberi manfaat kepadamu dan yang memberi mudarat ke atasmu; sedangkan Allah yang memberi hidayah serta petunjuk demi kebaikanmu. (adaptasi dari buku Akhlak dan Jiwa Remaja oleh S. Muhammad Syakir) 



Ummi Nessa: Ingatalah anak-anakku, sesungguhnya ayah dan ibumu tempat kamu bermanja dan mencurahkan kasih setia.  Beradab sopanlah terhadap mereka. 

22 Ogos 2010

PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling amat diperlukan oleh setiap pelajar kerana mereka tidak terlepas dari menghadapi pelbagai permasalahan samada berkaitan dengan masalah peribadi mahupun masalah akademik.  Namun demikian, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat juga perlu memandang serius mengenalpasti keberkesanan perkhidmatan tersebut supaya ianya dapat dilaksanakan  dengan lebih berkesan dalam menangani masalah pelajar khusunya bermasalah disiplin.

Pelbagai usaha mengenalpasti berhubung persepsi atau pandangan pelajar terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling khususnya mengadakan penyelidikan atau kajian.  Menurut Mazlan Osman(1986) dalam kajiannya mendapati sebahagian besar pelajar tidak menggunakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dengan sepenuhnya.  Didapati 98.1 peratus daripada pelajar-pelajar tidak pernah mendengar tentang perkhidmatn bimbingan dan kaunseling, 95.2 peratus tidak mengenali guru bimbingan dan kaunseling, 99.3 peratus tidak tahu kedudukan bilik kaunseling dan akbatnya tikda pernah ke bilik bimbingan kaunseling.  Rakan-rakan lebih popular untuk dijadikan tempat mencurahkan masalah berbanding mendapatkan perkhidamatan bimbingan dan kaunseling.

Kajian mengenai sikap pelajar terhadap peranan kaunselor dan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dalam negara ini telah banyang dilakukan.  Di antara kajian yang telah dilakukan ialah kajian  Ng Lay Hoon (1979), Ang Huan Bing (1985), dan Zulkifley Hamid (1986).  Kajian Ang Huan Bing (1985) ke atas 144 pelajar tingkatan 4,5,6 Atas dan 10 guru terhadap fungsi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mendapati 65% klien menganggap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling amat penting, mana kala 25% tidak pasti dan 10% tidak bersetuju dengan kewujudan perkhimatan ini. 

Sementara itu kajian Nordin Mohd. Nor (1986) ke atas tanggapan 140 pelajar terhadap  peranan utama kaunseling dalam menghadapi disiplin sekolah  ke atas tujuh buah sekolah di bandar Seremban mendapati majoriti klien (95.72%) bersikap positif terhadap peranan perkhidmatan kaunseling dalam mendisiplinkan diri mereka.

Kajian Norhayati (1997) juga mendapati pelajar yang telah mengikuti sesi kaunseling atau bimbingan telah memperlihatkan perubahan yang positif ke atas tingkah laku mereka.  Perubahan yang ketara ialah mereka yang pendiam menjadi peramah dan dapat bertindak balas dengan cepat jika ditegur  oleh guru di dalam bilik darjah.  Bahkan mereka lebih seronok dan ingin terlibat lagi dengan sesi kaunseling individu, kelompok, bengkel-bengkel yang dijalankan, sedia menawarkan diri sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). 

Ini menunjukkan bahawa pemahaman dan kepercayaan terhadap unit meningkat  dan pelajar bersedia bila-bila masa mengikuti program yang diadakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling.  Mereka dapat meningkatkan kemahiran sosial dengan bersedia untuk bersefahaman, berbincang, berinteraksi dengan rakan-rakan atau individu lain. 


Manakala kajian Mohd. Noh Murli (2001) pula menunjukkan bahawa  sikap positif  sebahagian besar pelajar terhadap unit ini disebabkan kepercayaan pelajar (komponen kognitif) bahawa perkhidmatan ini  baik dan mendatangkan faedah kepada mereka.  Kepercayaan mereka tentang kebaikan perkhidmatan ini akan menyebabkan mereka mempunyai perasaan (afektif) yang suka pada perkhidmatan ini dan mempunyai kecenderungan untuk bertingkah laku positif (komponen tingkah laku) terhadap program-program yang berkaitan dengan kaunseling.

Dapatan kajian Rosenburg dan Halloran (dalam Mohd. Noh Murli, 2001) yang mengkaji tentang sikap pelajar terhadap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling menunjukkan nilai skor sikap setiap pelajar adalah lebih tinggi dari nilai penengah iaitu 100.  Hanya 11 pelajar iaitu 12.5% sahaja yang mempunyai skor sikap yang kurang dari 100.  Ini bermakna 87.5% pelajar menunjukkan sikap positif terhadap pekhidmatan ini.  Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa kebanyakan pelajar mempunyai sikap yang positif terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.  Hasil kajian ini selaras dengan kajian yang dijalankan oleh Form (1953), Arbuckle (1970), Johnson (1977), Mohd. Seni Hussin (1981), Ismail Mat Nasir (1983), Ang Huat Bin (1985), Mohamed Soder Radmad (1985), Zulkifley Hamid (1986) dan Sallehuddin (1991).

Menurut Sidek  (  2002 ),  terhadap  perkhidmatan kaunseling mendapati bahawa   96.6 % responden pernah mendengar tentang perkhidmatan kaunseling dan 92.7 % responden pula tahu peranan pekhidmatan tersebut.  Namun begitu menurut beliau, hanya 32.4% sahaja benar-benar pernah menggunakan perkhidmatan kaunseling tersebut. 

Hasil kajian Norhana Othman (2004) mendapati bahawa keperluan pelajar adalah tinggi terhadap keempat-empat aspek iaitu penerangan atau maklumat berkaitan pemilihan mata pelajaran, kemahiran belajar penyebaran maklumat pendidikan dan kerjaya, dan kemahiran mengahadapi masalah.  Kesemua keperluan yang dinyatakan itu tidak dapt dirumuskan sebagai bidang perkembangan kerjaya, bidang perkemabangan akademmik dan bidang perkembangan diri dan sosial.

            Kajian tentang sikap pelajar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling (Zulkifli 2000) dan kajian ekspektasi pelajar terhadap kaunseling (Lai Kuen Choo, 1996) .  Dalam kajian oleh Lai Kuen Choo (1996) , didapati bahawa pelajar keseluruhannya, mempunyai jangkaan positif terhadap bimbingan dan kaunseling .  93 % menyatakan pengalaman mengikuti kaunseling memuaskan, walaupun pada umumnya tidak memahami apa sebenarnya kaunseling.  Kajian Zulkifli Husain (2000) pula mendapati bahawa secara keseluruhannya pelaja mempunyai sikap positif terhadap unit bimbingan dan kaunseling di sekolah mereka.  Mereka juga faham dan memberikan komitmen yang amat baik terhadap aktiviti yang dijalankan oleh unit ini.

Kajian tentang penilaian 170 pelajar tingkatan empat aliran sains, teknik dan sastera terhadap aktiviti bimbingan dan kaunseling sekolah menengah telah dijalankan oleh Fatimah (1999).  Kajian bertujuan mengkaji persepsi pelajar terhadap pelaksanaan aktiviti bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah.  Aktiviti-aktiviti yang dikaji ialah pemilihan mata pelajaran, kemahiran belajarm penyebaran maklumat dan kemahiran menyelesaikan masalah.  Penilaian terhadap persepsi pelajar ini dilihat dari sudut sudut keperluan aktiviti, kekerapan aktiviti dijalankan, sejauhmana aktiviti membantu memenuhi keperlan pelajar, tahap kepuasan terhadap aktiviti dan cukup atau tidaknya aktiviti.

            Keberkesanan perkhidmatan ini bukan hanya terletak di bahu guru kaunseling atau kaunselor sahaja, tetapi dari pihak sekolah dan ibu bapa juga perlu untuk memberikan sokongan padu terhadap perkhimatan ini .

Ummi Nessa: Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling jika diamati sebenarnya dapat membantu pelajar dalam menghadapi cabaran atau permasalahan yang dihadapi mereka.  Namun demikian, perlu diingat, salah guna masa mengadakan sesi kaunseling dapat memberi kesan terhadap pembelajaran.  Contohnya, terdapat juga guru yang sengaja mengadakan sesi kaunseling pada masa pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung akhirnya pelajar terpaksa keluar berjumpa dengan guru kaunseling dan meninggalkan kelas. Kesannya pelajar akan ketinggalan pembelajaran tersebut. Nah! Di sini letaknya kesilapan yang perlu difikirkan kita bersama.   Ummi Nessa harap mana-mana pihak tertentu perlulah memantau sejauh mana keberkesanan perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

20 Ogos 2010

TUNGGU TEDUH DULU… Oleh Faisal Tehrani


Ummi Nessa baru sahaja habis membaca novel TUNGGU TEDUH DULU karya Faisal Tehrani.  Menurut Ummi, novel ini sememangnya layak menerima Anugerah Seni Negara
Kisah kegigihan seorang wanita bernama Salsabila yang  melaksanakan  amanat ayahnya untuk mengusahakan sebidang tanah di kaki bukit menjadikan Salsabilah lebih kuat dan gigih.  Kesungguhan Salsabila dibantu oleh temannya Teh Sofia di samping Kamil, Syaifullah dan S… (akhirnya menjadi suaminya ) menjadikan Salsabila tidak bersendirian mengusahakan tanaman betiknya. Pelbagai liku-liku  kehidupan dilalui Salsabilah menguatkan lagi keimanannya terhadap Maha Pencipta. Dalam novel ini juga mengetengahkan  watak Salsabila yang terpaksa mengharungi kehidupan yang mencabar tanpa lupa memohon kepada Allah sebagia tempat mengadu yang paling hakiki.  Salsabila sentiasa kembali kepada Allah dalam apa jua kedaan dapat menyedarkan pembaca betapa Allah adalah tempat yang seharusnya diadukan segala kemelut suka duka seorang insan.  Apa yang menariknya kegigihan muslimah ini menunjukkan kekuatan iman seorang wanita yang tidak lekang daripada cubaan dan dugaan sehingga akhirnya ia berjaya menjadi usahawan di samping sokongan teman-teman seiman dengannya. 

UMMI NESSA:  Segala usaha yang gigih tidak lepas daripada  cubaan dan dugaan untuk dinilai sejauhmana keimanan mereka.

04 Ogos 2010

BENARKAN MURID SEKOLAH BERKAHWIN : PADAH ATAU IBADAH?.

PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah S.A.W. melalui perkahwinan, lahirlah zuriat hasil perhubungan yang suci. Dan zuriat menjadi pewaris kepada generasi seterusnya. Dan ia tidak diwajibkan mengadakan satu majlis secara besar-besaran hingga membebankan pasangan. Seelok-eloknya majlis itu hanyalah untuk mengkhabarkan sekeliling untuk mengelakkan terjadinya fitnah. Hukum perkawinan :

1.Perkahwinan yang wajib.
0rang yang mampu untuk berkahwin dalam erti kata mampu dari segi zahir dan batin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina.

2. Perkahwinan yang sunat
0rang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

3. Perkahwinan yang haram
0rang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan tidak ada rasa tanggungjawab lagi tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudaratan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya.

4. Perkahwinan yang makruh
0rang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan. Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan yang boleh dijadikan panduan dan juga pengajaran yang baik kepada sesiapa yang hendak berkahwin. Apa yang penting ialah memikirkan kehidupan selepas perkahwinan kerana cabarannya lebih hebat selepas itu. Jadi seeloknya lakukan majlis mengikut kemampuan diri.
Kini kerap terjadi selepas berkahwin hutang perkahwinan bertimbun-timbun; hinggakan membabitkan ahli keluarga yang turut menanggung beban. Jika tidak bijak menguruskannya boleh menjadi masalah yang membawa kepada kecelaruan rumah tangga. Satu perkara yang harus diingat mengecapi kebahagiaan alam rumah tangga itu adalah saat indah bagi pasangan yang berkahwin. Jika tumpuan perhatian kepada corak hidup selepas mendirikan rumah tangga adalah lebih baik daripada memikirkan sehebat mana majlis hendak dilakukan.

Tidak salah seandainya mempunyai kemampuan. Tetapi sekiranya melampau-lampau, takut dikatakan riak dan bongkak. Perancangan dan keinginan , harus seiringkan dengan matlamat diadakan sesebuah majlis itu. Seandainya dilakukan kerana ia satu ibadah, maka tidak perlu sesuatu yang hendak dipandang secara ‘gah’. Apa yang penting keberkatan dan kemakmuran rumah tangga itu sendiri.

UMMI NESSA:TIDAK SEHARUSNYA MENGADAKAN MAJLIS GILANG-GEMILANG HINGGA MENYESAKKAN FIKIRAN UNTUK MENCARI SUMBER KEWANGAN DAN APABILA SI LELAKI SUDAH ADA KERJAYA TETAP TAHU BERTANGGUNGJAWAB MAKA LAYAKLAH BERKAHWIN.

03 Ogos 2010

GULA NAIK, APA TINDAKAN KITA?

Gula merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan seharian. Kekerapan kenaikan harga gula ini kalau tidak dibendung akan mendatangkan masalah besar kepada masyarakat dan negara. Bayangkanlah oleh kerana untuk menaikkan harga gula pemborong sanggup menyorok gula untuk menaikkan harga gula. Akibatnya ada peniaga kuih tidak dapat berniaga kerana tidak mendapat bekalan gula.

Kenaikan harga gula yang berterusan ini pula menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan lain di pasaran seperti minyak, beras dan sebagainya. Bayangkanlah sekiranya harga barangan terus naik; sedangkan pendapatan atau gaji rakyat hanya setahun sekali sahaja naik. Apakah akibatnya kepada rakyat dan masyarakat?
Ada orang yang pandang sebelah mata berhubung kenaikan harga gula. Tetapi kesannya amat besar kepada kenaikan semua barangan termasuk barang keperluan, tambang kenderaan awam,sara hidup dan lain-lain lagi. Akibatnya, kalau tidak dibendung akan menyebabkan inflasi. Apakah akibatanya kepada rakyat dan masyarakat? Menderita!

Ummi Nessa: Apa kata kita berkempen kurangkan atau tidak makan atau minum di luar rumah? Jom…kita jimat dan simpan wang!!!!Mudah-mudahan bertambah rezeki untuk kita bersama-sama ke Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.

02 Ogos 2010

PELUKLAH ANAK ANDA DENGAN KASIH SAYANG:

Berikan anak anda pelukan setiap hari. Ada kajian yang menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yang lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk. Apabila kita peluk anak setiap hari terutamanya seorang ibu atau bapa, anak tahu yang kita menyayangi dia. Anak akan tahu kita sentiasa menjadi penyokong paling kuat. Anak akan sedar bahawa kita sentiasa ada jika dia kurang berjaya. Emosinya akan terbela dan terpelihara.




-UMMI NESSA: Alhamdulillah Ummi Nessa dianugerahkan sembilan anak.

01 Ogos 2010

BARAH DENDAM YANG TERPENDAM…

Berdendam itu tidak elok. Kita yakin kebanyakan orang mengetahui perkara ini. Cuma sayangnya tidak semua yang mahu menerapkannya ke dalam jiwa. Sebab itu wujud segelintir anak yang enggan pulang ke kampung berjumpa emak dan ayah. Ada isteri yang memusuhi suami , ada adik yang tidak bertegur -sapa dengan abangnya dan ada jiran yang tidak tahu menjaga hati jirannya. Bahkan ada pula ibu bapa yang berkeras tidak mahu mengaku anak. Semuanya gara-gara dendam kesumat di dada.



Memang tidak susah untuk menyimpan dendam. Namun, semakin lama disuburkan ke dalam jiwa, bertambah lara pula jadinya. Kadang-kadang ia bukan sahaja memakan diri sendiri, tetapi member kesan pula kepada individu lain yang ada di sekitar mereka.. Lebih buruk lagi secara beransur-ansur akan menyebabkan si pendendam semakin hilang rasa tenang dan bahagia.



Apabila kita berfikiran positif, kita sebenarnya sedang membawa diri kita ke lorong bahagia. Tetapi, kalau minda kita sentiasa disogok dengan perkara-perkara negatif, sudah tentu kita tidak nampakperkara-perkara yang baik di hadapan kita.



Benar, manusia tidak dapat lari daripada rasa marah. Tambahan pula sebagai manusia biasa, tiada seorang pun yang terlepas membuat kesalahan. Namun , sampai bila hendak dilayan amarah menggila itu? Apatah lagi jika berlaku dalam keluarga sendiri. Bukankah lebih baik jika masing-masing saling berdamai dan bermaafan? Ya,bermaafan dan jernihkan minda dengan positif adalah jalan terbaik dan terpuji.Justeru hal ini bukan sahaja menenangkan jiwa, tetapi turut membahagiakan keluarga sekali gus mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

 
-UMMI NESSA: Sedangkan Nabi Muhammad S.A.W saling memaafkan apatah lagi kita sebagai hamba Allah yang kerdil ini.



CEMBURU TANDANYA HATI TIDAK SUCI…????

Cemburu? Ada yang mendatangkan kebaikan dan ada cemburu yang mendatangkan keburukan. Jadi kita seharusnya pandai mengawal perasaan cemburu kita. Sekiranya kita cemburu dengan kejayaan orang lain dan kita berusaha untuk sampai kejayaan seperti orang yang kita cemburukan itu dengan menggunakan cara yang betul, cemburu itu bagus kerana ia membawa kira ke arah kebaikan buat diri kita. Menjadikan kita lebih kuat berusaha untuk mencapai kejayaan. Tetapi, sekiranya kita cemburu pada seseorang dengan kelebihan yang mereka ada atau dengan apa yang mereka ada, seterusnya bertindak menzalimi orang tersebut, itu dikira sebagai cemburu yang tidak baik dan mendatangkan keburukan. Yang nyata..jikalau cemburu yang keterlaluan dan bersifat amarah yang melampau,kelak merosakkan diri sendiri. Bahkan tiada apa jua faedah yang dapat kita perolehi……

-Ummi Nessa berdoa agar kita sama-sama mengambil ikhtibar..”yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan..”

30 Julai 2010

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH

Oleh Ummi Nessa


PERANAN perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ialah merancang aktiviti atau program bimbingan, mengadakan sesi kaunseling, menjalankan penafsiran dan penilaian, sebagai koordinator, kerjaya dan temuduga, kaunseling keluarga, khidmat nasihat kepada guru dan pentadbiran serta terlibat dalam penyelidikan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1993) telah menetapkan objektif am perkhidmatan bimbingan dan kaunseling seperti berikut:

1. Memberikan khidmat penyuburan dan pengayaan meliputi
semua aspek perkembangan diri pelajar dengan menyediakan peluang semua kemudahan dan pengalaman yang selaras dengan kemampuan dan fikiran pelajar.

2. Memberikan khidmat pencegahan iaitu menghindarkan pelajar daripada terlibat dalam perbuatan salah
laku seperti tingkah laku tidak berdisiplin, penggunaan dadah, merokok, laku musnah, peras ugut,
menyertai pertubuhan haram dan tingkah laku sosial yang lain.



3. Memberikan khidmat bersifat pemulihan dengan tujuan meorientasikan semua pelajar yang bermasalah peribadi, pelajaran, kerjaya dan sosial supaya pelajar mampu untuk menghadapi dan mengatasi masalah mereka.



     Menurut Suradi Salim (1996) kaunseling ialah satu perhubungan yang dicirikan oleh keyakinan, saling mempercayai dan kemesraan yang membolehkan pelajar memperolehi kestailan intelek dan emosi yang dengannya dia boleh menyelesaikan masalah atau kemusykilan, membuat rancangan dan memperoleh kepuasan kendiri yang lebih tinggi .



     Kesedaran untuk melahirkan para pelajar berdisiplin merupakan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), iaitu penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini. Usaha ini dilakukan salah satunya dengan cara meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.



     Peranan dan tugas kaunselor dari persepsi pengetua,guru besar, guru-guru dan ibu bapa tidak lebih sebagai pembimbing kerjaya, perundingan, kaunseling, pengujian dan penilaian ,melaksanakan program kemahiran dan aktiviti pelajar. Sehubungan ini didapati lebih 70-90 % menyokong penuh dan membantu tugas-tugas kaunselor di sekolah. Dengan itu kaunselor/pegawai psikologi sekolah kini berkhidmat sepenuh masa waktu pejabat; asalkan sesi kaunseling tidak dilakukan pada sesi pengajaran-pembelajaran. Bahkan tugas-tugas tersebut relevan dan bermakna kepada para pelajar dalam perkembangan diri mereka di sekolah.



     Amaluddin dan Norlina (2010) berpendapat kepentingan peranan kaunselor di sekolah sememangnya tidak dapat dinafikan. Antara tumpuan kaunselor sekolah adalah terhadap perkembangan individu dan pencegahan tingkah laku bermasalah. Secara umumnya, terdapat tiga aspek utama yang boleh diberikan oleh kaunselor dalam membantu remaja ialah memberi kemahiran atau kebolehan atau pengetahuan untuk mengurus kehidupan seharian, maklumat tentang kerjaya dan plan realistik setelah tamat persekolahan.



     Peranan kaunselor bertambah mencabar berdasarkan banyak hasil kajian lalu yang menekankan bahawa masalah pelajar di Malaysia bersangkutan dengan masalah penyesuaian diri, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah dan kelas, penyesuaian dengan sekolah, kesihatan, kemajuan, jantina dan sebagainya. (Fatanah, 1988, Asmah Bee, 1979 dan Hassan Langgulung, 1975).



     Seterusnya Sallehudin Abdul Wahab, (1991) mendapati bahawa pelajar akan menemui kaunselor apabila menghadapi masalah belajar, masalah dadah, masalah disiplin dan masalah sosial. Kajian yang dijalankan oleh Karla dan Sue (1991) ke atas 160 orang kaunselor pelajar telah mendapati bahawa 41% daripada kaunselor tersebut sangat kerap diminta untuk menjalankan sesi kaunseling individu kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Sebanyak 54% telah diminta oleh pengetua sekolah dan sebanyak 62% diminta oleh guru-guru. Ini menunjukkan kaunselor sekolah sangat diperlukan bagi membantu mengatasi permasalahan tersebut. Dan kaunseling individu adalah bentuk kaunseling yang sering digunakan untuk membantu menangani tingkah laku bermasalah di kalangan pelajar.



     Dalam kajian Amla (2003), melalui program kerjaya sehari yang dijalani bersama pelajar-pelajar berpencapaian rendah, didapati program tersebut telah berjaya meransang motivasi belajar mereka. Ini selaras dengan Program Career Academy yang melibatkan seluruh negara Amerika didapati berkesan setelah ianya berjalan hampir dua dekad. Antara kesan yang jelas ialah di kalangan mereka yang berisiko tinggi Program Career Academy didapati berjaya meningkatkan kehadiran ke sekolah, tidak berhenti sekolah walau pun ianya tidak mengesani pencapaian akademik (Amla 2003).



     Selain itu terdapat bukti yang menunjukkan pendidikan kerjaya dan teknikal boleh memainkan peranan mengurangkan bilangan mereka yang tercicir dari sekolah, terutama di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Bukti menunjukkan bahawa apabila pendidikan kerjaya dan teknikal diberi penekanan ke atas pembelajaran akademik serta pengetahuan ianya berjaya mengurangkan keciciran di kalangan mereka yang berisiko tinggi (Wonaccot, Michael, 2000 dalam Amla 2003).



     Dalam menjalankan peranan sebagai kaunselor, Zulkhairi (2004), telah menunjukkan bahawa kaunselor yang dipertanggungjawabkan di sekolah-sekolah sudah mampu memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah mereka dan mengendalikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah dan seterusnya secara tidak langsung dapat membantu negara menangani gejala salah laku sosial di kalangan remaja.



     Kesimpulannya, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bertujuan mengenal pasti bidang yang diperlukan pelajar, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan sekolah, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan utama antara pelajar bandar dan luar bandar; dan menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan yang berbeza kaum.Yang nyata perkhidmatan ini membimbing perkembangan kemahiran belajar dan pelajaran,sosial,kerjaya dan pemahaman diri.



BIBILOGRAFI

Amla, Zuria & Salleh. 2003. Kaunseling Sekolah. Siri Penerbitan Fakulti Pendidikan UKM. Bangi.


Amaluddin bin Ab. Rahman & Norlina Omar. 2008. Kaunseling Remaja: Tip dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distributor Sdn. Bhd.

Asmah Bee Mohd. Noor. 1979. Tingkah laku dan masalah seks di kalangan kaum remaja. Widya, 23 Julai.

Chiam Heng Keng. 1977. Problem of urban adolescent : Peninsular Malaysia. Journal of Sosiology and Antropology. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Fatanah Mohamad. 1988. Kajian terhadap masalah peribadi pelajar sekolah menengah berasrama penuh dan tidak berasrama penuh di Pengkalan Chepa, Kelantan. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tidak diterbitkan)

Hassan Langgulung. 1975. Perkhidmatan pelajar sekolah-sekolah di Malaysia. Jurnal Pendidikan. 2 : 1 – 9

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1996. Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah: Bimbingan dan Kaunseling.

Mitchel , T.R. 1978. People In Organization Understanding Their Behavior, United State of America.Mc-Graw-Hill,Inc

Sallahuddin Abd. Wahab. (1991). Sikap pelajar-pelajar sekolah menengah terhadap kaunselor , peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta kesediaan mereka untuk menemui kaunselor. Tesis Sarjana. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suradi Salim. 1996. Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur . Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Zulkhairi Roslan. 2004. Pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di SMK Jalan Reko, Kajang, selangor. Tesis Sarjana. UKM, Bangi

GERIMIS PETANG INI

GERIMIS PETANG INI
Oleh: RAJIEE HADI

Tiba-tiba gerimis memberhentikan langkahku
Lalu-lalang yang suram
Bas yang tidak kunjung datang
Sepi di tanah perkuburan
Menceritakan segala tertib kunjungan
Ke dunia abadi yang menanti



Deretan kereta yang kaku
Antara batasan air dan daratan
Tradisi dan moden
Bersilih ganti di kampung tamoi ini



Muazin melaungkan azan
Antara dua persimpangan
Kehidupan dan kematian
Yang terus berkumandang
Tentang bahasa alam.


Jalan Laksamana Abdul Razak,
Bandar Seri Begawan.
28 Mac 2008.

Lesen perguruan untuk guru

Lesen perguruan untuk guru


KENYATAAN AKHBAR: PERSATUAN PENGAMAL PENDIDIKAN MALAYSIA (PENDIDIK).

(Utusan Malaysia:22 Mei 2010)

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen keguruan oleh sebuah organisasi professional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Sehubungan itu pihak PENDIDIK bersetuju pandangan Timbalan Menteri Pelajaran Dr.Mohd Puad Zakarshi bahawa dengan adanya lesen ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti,imej dan martabat guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun pihak persatuan suka mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran sebelum era l980-an yang mana setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah diwajibkan mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran. Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan seperti lesen guru-guru tersebut secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran. Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga berfungsi bagi membatalkan atau menggantungkan lesen mengajar seseorang penjawat itu. Soalnya, adakah prosedur ini masih diparktikkan? Jika tidak diparktikkan mengapa dimansuhkan?



Walau bagaimanapun persatuan berpandangan bahawa apa yang penting sesorang guru itu wajib memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang keguruan sama ada di peringkat sijil, diploma atau sarjana muda pendidikan. Memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang pendidikan adalah kriteria wajib bagi memperoleh lesen mengajar. Justeru sudah tiba masanya kaedah ini diperluaskan juga di sekolah-sekolah persendirian dan kelas-kelas tiusyen. Dengan ini profesion keguruan tidak sewenang-wenangnya disandang oleh guru sandaran/sementara/gantian. Seperti mana profesion kedoktoran atau guaman yang tidak ada ada label sandaran, sementara atau gantian maka pihak persatuan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran bertegas dalam soal ini demi memartabatkan profesion keguruan agar terus dihormati oleh masyarakat sepanjang masa.

DR. RAJIEE HADI,

Presiden,

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK),

Kuala Lumpur.

29 Julai 2010

Salah laku Pelajar: Salah Siapa

SALAH LAKU PELAJAR: SALAH SIAPA?


OLEH: DR. RAJIEE HADI



PELAJAR dalam alam remaja sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman dan desakan yang mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup. Fenomena ini mengwujudkan masalah dalam jiwa remaja apabila berlakunya kematian orang yang disayangi, mengidap penyakit serius, ibu bapa bertukar pekerjaan, peperiksaan, konflik antara ibu bapa, kurang kasih sayang keluarga dan tiada sokongan keluarga dan sosial.



Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu (1993) dalam laporannya telah menyenaraikan tiga faktor diri pelajar yang menyebabkan wujudnya kes pelanggaran disiplin. Faktor tersebut termasuk sikap negatif terhadap pelajaran seperti tidak berminat dan mudah jemu; tiada dorongan motivasi akibat kurang kemahiran asas belajar dan lebih mementingkan hiburan serta gangguan kesihatan diri.



Sehubungan itu pelajar yang bermasalah ialah pelajar yang tiada kawalan diri, kurang mengerjakan kerja sekolah dan latihan di rumah, kurang patuh kepada arahan guru, kurang berminat untuk belajar, kurang hormat guru, suka mengganggu pelajar lain dan suka membuat bising. Golongan remaja juga boleh menghadapi masalah kesihatan mental dan lazimnya bertingkah laku agresif termasuk kedegilan, keresahan, tingkah laku bermasalah, penyalahgunaan bahan-bahan terlarang, kemurungan, penderaan dan tingkah laku seksual dan kehamilan remaja luar nikah.



Justeru pelajar yang melanggar disiplin sebenarnya tidak memahami peranan dan tugas mereka sebagai pelajar. Mereka tidak menyedari bahawa tindakan sedemikian mendatangkan kemudaratan. Pelajar terbawa-bawa dengan perasaan dan hilang kawalan diri dan mudah terpengaruh dengan anasir luar.Selain itu pelajar terdedah kepada kehidupan yang bersifat hedonistik atau bersifat mementingkan keseronokan, salah memilih rakan sebaya dan pelajar mengalami masalah penyesuaian atau masalah peribadi.



Namun demikian apa yang membimbangkan ialah kesalahan disiplin termasuk penyalahgunaan dadah, telah menular dari peringkat sekolah randah lagi. Ini terbukti apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (2009) melaporkan bahawa walaupun peningkatan sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus namun pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.



Pada keseluruhannya menurut beliau lagi isu yang melibatkan disiplin berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul buli, gaduh dan ponteng tegar. Statistik tahun 2009 KPM menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Walau bagimanapun jumlah aduan disiplin murid diterima bagi tempoh januari hingga ogos tahun 2009 ialah 65 kes tetapi menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun 2008 (Utusan Malaysia, 01 Oktober 2009) .



lmpak daripada perangkaan inilah yang perlu ditangani oleh seorang kaunselor atau pegawai psikologi yang terlatih. Pengetua atau Guru Besar selaku pemimpin sekolah sewajarnya memantau dari semasa ke semasa prosedur pelaksanaan sesi kaunseling dan program di sekolah. Apatah lagi kini wujud kaunselor atau pegawai psikologi sepenuh masa di sekolah.Yang penting, sesi kaunseling di sekolah tidak mengganggu waktu pengajaran-pembelajaran formal di bilik darjah.





Kendatipun pelajar lelaki lebih cenderung merokok, menghisap ganja, menghidu gam, menghidu petrol, minum minuman keras, menonton atau menyimpan bahan lucah dan berjudi namun pelajar perempuan pula lebih cenderung terlibat dengan rokok, bahan lucah dan bercinta. Oleh itu peranan guru kaunseling dan guru disiplin mengenal pasti masalah awal salah laku yang sering dilakukan pelajar amat dialu-alukan; mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka berperanan membantu pelajar mengurangkan dan seterusnya meninggalkan salah laku tersebut. Sokongan dan dokongan ibu bapa dan setiap ahli komuniti di luar sekolah banyak membantu mencegah salah laku pelajar agar tidak berterusan menjadi barah dalam masyarakat.



Justeru banyak kajian mendapati punca pelajar terlibat dalam salah laku kerana mereka tidak dapat memahami pengajaran guru bagi sesetengah mata pelajaran yang diajar. Kesulitan yang dialami ini menyebabkan mereka tidak berminat menumpukan perhatian dan berkecenderungan ponteng kelas atau sekolah.



Ekoran daripada itu pelajar salah laku ini, tidak berminat dengan satu-satu mata pelajaran dan tidak menyukai guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Berdasarkan beberapa kajian yang penulis temui mendapati bahawa jikalau pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan maka masalah disiplin tidak akan timbul. Ini disebabkan faktor minat kepada subjek pelajaran dan personaliti si pengajar/guru.



Selain itu ada kajian juga menunjukkan salah satu punca pelajar tidak minat belajar ialah kerana mereka tidak berminat dengan beberapa mata pelajaran yang diajar, tidak membuat tugasan sekolah dan tidak mengulang kaji pelajaran. Dengan itu mereka tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru; sebaliknya mereka sering mengganggu pembelajaran- pengajaran dalam kelas.



Sebagaimana sedia maklum terdapat banyak masalah yang timbul dalam kehidupan seharian pelajar. Di peringkat awal, pelajar mula menghadapi konflik dengan keluarga dan rakan sebaya terutama yang melibatkan aspek halangan komunikasi, kebejatan sosial dan silang budaya. Mereka tidak dapat meluahkan perasaan mereka kerana tidak ada siapa yang boleh dipercayai . Senario ini menyebabkan wujudnya tekanan perasaan dan konflik dalam diri. Situasi demikian disebabkan pelajar tersebut memerlukan orang tengah yang berperanan mendidik; berbeza dari guru kelas atau guru subjek.



Mereka memerlukan rakan ‘dewasa’ yang mempunyai hubungan dan struktur kognitif berbeza daripada seorang guru dan boleh meluahkan perasaan serta rahsia hati tanpa curiga dan berasa gentar. Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah serta maklumat berhubung dengan salah laku pelajar dan sikap atau persepsi pelajar-pelajar terhadap perkhidmatan tersebut.



Kesimpulannya penulis berkeyakinan bahawa untuk melahirkan pelajar yang  bermoral bukanlah mudah. Pembentukan pelajar dipenuhi beberapa faktor yang bertali- temali. Jika gagal salah satu faktor ini maka kecewalah sistem pendidikan kebangsaan. 0leh itu kaedah pengajaran dalam bilik darjah yang membentuk lima faktor yang saling kait mengait iaitu: rakan sebaya, pengaruh kurikulum dalam sistem pendidikan, kaedah pengajaran yang diterima daripada guru, pengaruh keluarga dan pengaruh persekitaran khususnya media massa, sewajarnya dipraktiskan oleh guru dengan berhemah lagi bijaksana.



Pendekatan kasih sayang yang luhur murni tanpa pilih kasih dan tidak prejudis banyak membantu guru menjayakan proses pengajaran-pembelajaran. Tegasnya, bahaya besar akan menimpa masyarakat jika dibiarkan permasalahan salah laku pelajar berterusan. Dan sudah sewajarnya kerajaan menekankan betapa perlunya pendidikan agama dan moral serta aspek kebahasaan dan komunikasi di sekolah-sekolah diberikan keutamaan dan penilaian kembali. lni selaras dengan hasrat kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam dan semangat patriotisme satu Malaysia dalam pentadbiran negara.

Sajak : Di Gelanggang Itu

SAJAK






DI GELANGGANG ITU





Yang dipamerkan

bukan kemenangan



Yang dimahukan

bukan kejaguhan



Yang ditunjukkan

bukan kecekapan



Di sini menghitung

usia hari



Di sini menghidu

nafas kehidupan



Di sini mencantum

leraian ikatan



Di sini kita

saling mengenali



Antara pelangi

masa hadapan



Dengan rentak

dan kemahuan.





RAJIEE HADI



KUPU-SB

Bandar Seri Begawan.

9April 2008