07 Julai 2013

BIODATA DR RAJIEE HADI




DR. RAJIEE HADI (2013)

DR.RAJIEE BIN ABDUL HADI @ DR. RAJIEE HADI, anak jati Muar, Johor (lahir di Kampung Serom 2 Hilir) yang menggunakan nama pena antaranya Rajiee Hadi dan ROHA. Nama-nama samaran lain yang pernah digunakan ialah Guru Bahasa, Pak Ngah,R.H.Roy, Adzie Roha dan Idah Eeijar . Beliau menulis pelbagai genre sastera termasuk puisi, cerpen skrip drama dan novel kanak-kanak.  Beliau juga menulis kertas kerja, resensi,jurnal, esei, Rencana dan buku-buku kajian  sosiobudaya, pendidikan,p sikologi, kesusasteraan dan kebahasaan.

Beliau menulis di Berita Harian/Berita Minggu sejak penghujung tahun 1970-an.Kemudian dilantik sebagai stringer Berita Harian/Berita Minggu secara rasmi bermula tahun 1983 di Muar, Johor, setelah mendapat bimbingan bengkel daripada Tokoh Wartawan Negara  A.Samad lsmail (Allahyarham) dan Ahmad Sebi Bakar. Kemudian tahun 1981 menjadi penulis tamu akhbar Warta Tebrau atas undangan  SN A.Samad Said.
2010

Karya-karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.  Antaranya Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dian, Jurnal Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Mastika, Al-Islam,Harakah,  Jurnal Pemikir, Jurnal Penulis, Berita Minggu, Mingguan Malaysia,  Bahana (Brunei) , Nino Bagus, Fikiran Rakyat (Indonesia) portal berita Harakahdaily, Malaysiakini dan banyak lagi.Antara buku-bukunya ialah Antologi Cerpen Perseorangan Tirai Malam (1981, Tra-Tra Publication), dan kumpulan puisi perseorangan Cinta Arafah (2003, Diwangsa Publications & Distributors).

Beliau yang aktif dalam beberapa pementasan teater bersama Badan Teater Rakyat Muar (BATERA 1978-1982)  bersama penggiat teater tempatan ketika itu seperti Saparman Bakri, Dzulkarim Daud dan Mahfar Tahir.Di Universiti Pertanian Malaysia,Serdang (UPM) beliau pernah berlakon dalam teater 'Atap Genting,Atap Rumbia' (1985) arahan Aripin Said /Roselina Khir Johari..Di Maktab Perguruan Bahasa,Kuala Lumpur (MPB) beliau terbabit dalam pementasan teater 'Hari Jadi Nona' (1976) dan 'Bayang-Bayang' (1977) di bawah arahan Elias ldris & Khairuddin Wahab.

Beliau pernah memenangi hadiah utama, antaranya Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen MPB (1977-kini IPGM Kampus Bahasa Melayu) , Sayembara Penulisan Kreatif UPM, Serdang (1984), Sayembara Penulisan Puisi Sejarah Nasional (1992) dan Sayembara Puisi Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1994) dan Sayembara Puisi Bosnia,1994 (menggunakan nama wanita) dan memenangi tempat pertama hadiah RM3000/-. Beliau juga ialah salah seorang pemenang penama kereta nasional, Proton Saga (1985) yang mendapat hadiah sagu hati bernilai RM3,000/.

Sebagai aktivis bahasa dan sastera serta kemasyarakatan beliau pernah menganggotai Persatuan Penulis Nasional (PENA), Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).  Bergerak cergas sebagai Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia (KKGBMS), Exco Kongres Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KONGRES),  Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan /Pelajaran Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Guru Kebangsaan (1998-2005). Kini beliau Presiden Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/PENDIDIK 1999--).

Beliau pernah bertugas sebagai guru penolong terlatih (1978-1995) Kementerian Pelajaran/Pendidikan Malaysia di beberapa buah sekolah harian dan Sekolah Berasrama Penuh di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Di samping itu beliau berkhidmat sebagai pensyarah   sambilan   di Kolej   Anjung   Selatan, UNITEN dan UPM  Serdang   (1998-99). Beliau  juga  pernah   berkhidmat  sebagai  Pengerusi  PIBG  di salah  sebuah  sekolah menengah agama di Selangor Darul Ehsan.

Dalam kerjaya pendidikan Dr Rajiee Abdul Hadi juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan menjawat jawatan Ketua Unit Pembangunan Profesionalisme Keguruan,di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Profesionalisme, Maktab Perguruan Islam (kini Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Pendidikan Islam) Bangi, Selangor Darul Ehsan (1995-2005).Beliau juga dilantik oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Ahli Panel Penggubal Soalan M-Test iaitu peperiksaan untuk mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah di IPBA, Kuala Lumpur (2003).

Kemudian beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Kolej Perguruan Ugama  Seri Begawan Negara Brunei Darussalam.Semasa di Brunei beliau dilantik menjadi ahli panel penemuduga kemasukan para pelajar baru untuk mengikuti kursus diploma perguruan dan sarjana muda perguruan.Beliau juga dilantik menjadi ketua hakim bagi Pertandingan Forum Hijrah IPTA Negara Brunei Darussalam 1429H/2008. Beliau kini juga adalah  kolumnis majalah PENDIDIK, penyair, penulis bebas,blogger dan Ketua Pengarah kepada DRH Consultants & Services.


(DIKEMASKINIKAN 7 JULAI 2013)