18 April 2012

PENSYARAH POLITEKNIK KPT DALAM DILEMA?

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan baru-baru ini oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia , nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.


Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (sumber:drrajieehadi.blogspot.com)

10 April 2012

BAHASA MELAYU KINI

ISU memperkatakan Bahasa Melayu yang dikenali juga Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan satu Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Negara bukanlah isu baru atau isu lapuk. Namun sejauh mana rakyat Malaysia sudah mempelajari sejarah Bahasa Melayu dan susur galur serta jurusan linguistik atau tatabahasa Bahasa Melayu itu, itu boleh dipersoalkan sama ada setiap masa ataupun dari semasa ke semasa.

TB tidak bercadang memberi kuliah bahasa Melayu yang banyak cabang subkursusnya dalam ruangan ini. Memadailah TB ingin menghebahkan perkara-perkara yang dianggap betul oleh masyarakat pengguna bahasa tetapi sebenarnya suatu kesalahan besar yang mana TB khuatir lama kelamaan menjadi 'hypercorrection' iaitu yang salah atau silap dianggap betul atau benar.Tumpuan TB hanyalah kepada Bahasa Melayu moden bukanlah Bahasa Melayu klasik.

Sebelum itu, TB sukalah mahu mengingatkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai dua bentuk aksara atau tulisan iaitu tulisan Jawi dan Rumi (termaktub dalam Perlembagaan). Namun kini tulisan rumi dipakai meluas. Usaha mempopularkan semula tulisan jawi agar tidak pupus hayatnya tetap dilakukan dari masa ke masa sebagaimana usaha  program J-QAF anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi subjek Pendidikan lslam.

Penggunaan Bahasa Melayu disampaikan melalui dua situasi iaitu Bahasa Melayu persuratan (rasmi) dan Bahasa Melayu komunikasi (lisan). Ada juga bahasa Melayu disampaikan dalam bentuk bahasa isyarat.TB mahu menyentuh mengenai nasib Bahasa Melayu komunikasi secara verbal yang luas diguna pakai kini. Sehubungan ini komunikasi lisan/verbal yang TB mahu sentuh ialah yang digunakan secara formal sama ada dalam bilik darjah, bilik kuliah, mesyuarat, seminar, pembentangan kertas kerja, pengacaraan majlis di radio,televisyen dan seumapamanya. TB dapati kedapatan rangkai kata atau frasa ayat yang digunakan agak silap keterlaluan. Contoh berikut:

Salah/Silap                                 Betul/Benar

semenjak dua menjak                 semenjak itu
kita orang                                   kami
dia orang                                    mereka
kita (GN diri pertama jamak)      kami
kita (GN diri jamak)                    kita
kita                                             kamu,awak,kau
mereka-mereka                           mereka

Contoh-contoh di atas ditunjukkan kerana kekerapan yang terjadi kini. Kepada guru, pemimpin, para pengacara di radio dan TV, ibu bapa dan  anda semua memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu bahasa. Dalam apa jua situasi gunakan bahasa Melayu yang betul,indah, dan gramatis.Namun demikian dialek atau loghat seperti dialek bahasa Melayu Kedah, bahasa Melayu Sarawak, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Kelantan dan lain-lain lagi bolehlah diteruskan dan dihidupkan dalam penggunaan situasi yang tidak formal seperti dalam kelompok keluarga dan teman-teman. Justeru, jika tidak tahu, belajarlah dan bergurulah..(sumber:tiubbocor.blogspot.com)

* TB adalah singkatan bagi Tiub Bocor

03 April 2012

KEMURUNGAN vs MAKANAN SEGERA

PENGGEMAR  makanan segera perlu lebih berwaspada selepas ini apabila satu kajian terbaru mendedahkan, tabiat suka makan makanan itu boleh meningkatkan tahap kemurungan lebih 50 peratus.
Kajian oleh saintis dari Sepanyol itu menunjukkan mereka yang gemar makan makanan ringan seperti burger, hotdog dan piza lebih terdedah untuk mengalami masalah kemurungan sehingga 51 peratus berbanding mereka yang hanya makan sedikit atau pun tidak makan langsung.

''Lebih banyak kita makan makanan segera, lebih besar peluang kita berdepan masalah kegemukan,'' kata Almudena Sanchez-Villegas yang mengetuai kajian itu.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Las Palmas de Gran Canaria and Granada, Sepanyol itu kemudiannya diterbitkan dalam Jurnal Pemakanan Kesihatan Awam.(sumber:UM,03/04/12)

REMAJA: MENGAPA LARI?

PELBAGAI versi cerita remaja lari dari rumah, laporan keluarga mengatakan anak mereka hilang dan bimbang diculik, penyiasatan polis pula mendapati remaja lari dan merancang penculikan mereka.
Kita sebagai ahli masyarakat pada mulanya bimbang dengan kejadian culik yang boleh mengakibatkan anak remaja kita diperdagangkan oleh sindiket pelacuran atau jadi keldai dadah dan kebimbangan tersebut bertukar pula kepada kebimbangan gejala lari dari rumah dan anak-anak gadis mahu lari dari kemelut atau krisis dalam rumah yang sama ada wujud atau tidak dalam rumah mereka.

Apa yang paling membimbangkan ialah anak-anak remaja dalam lingkungan umur 14-18 tahun yang 'hijau dan masih mentah' ini boleh bertindak di luar daripada kewarasan fikiran kita orang dewasa dengan merancang, merangka dan mencipta 'kehilangan diri sendiri' dan versi yang dicipta melalui imaginasi dan kreativiti berlandasan fikiran yang tidak ada sensitiviti langsung terhadap keselamatan dan maruah diri serta keluarga yang dinaungi.