26 Oktober 2011

BELIA CELARU IDENTITI: SELAMATKAN MEREKA.


PENDEDAHAN  hasil dapatan tinjauan melalui media alternatif oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang merumuskan lebih enam juta belia di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat cukup membimbangkan dan merisaukan khalayak.

Tambahan pula, mengikut Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman, masalah tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.
Memandangkan 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini adalah golongan belia dan golongan ini yang dilabel sebagai bakal pewaris negara, kita perlu bertindak dengan segera untuk mengekang budaya tidak sihat ini dari terus menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita.

Hal ini penting kerana kecelaruan identiti di kalangan belia ini menunjukkan belia kita masih belum jelas dengan masa depan dan hala tuju mereka sendiri, apatah lagi mengambil berat tentang masa depan dan hala tuju negara kita secara menyeluruh.

Pengaruh Barat dilihat semakin menular dalam kalangan belia kita yang mudah hilang pertimbangan. Mereka hanya bertindak mengikut naluri masing-masing tanpa mempedulikan norma kehidupan yang kita warisi sekian lama.
Antara punca krisis ini ialah pengaruh media elektronik dan media alternatif yang dilihat menjadi tok guru golongan belia kita.
Mereka begitu mudah meniru dan mencontohi apa yang ditonton atau dibaca dalam media elektronik dan media alternatif.
Rancangan-rancangan televisyen yang berpaksikan Barat serta kesukaran pihak kerajaan untuk mengawal dan mengawasi maklumat dalam media alternatif menyebabkan anak-anak kita mudah terdedah kepada perkara-perkara yang negatif dan sensitif.
Akibatnya, mereka mengambil jalan mudah atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baharu yang akhirnya merugikan diri, agama, bangsa dan negara.
Dalam hal ini di samping kita berharap agar pihak kerajaan akan menyusun strategi yang menyeluruh untuk menangani gejala ini dari terus membelenggu belia kita, ibu bapa, keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan yang aktif.
Tanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini harus dipikul secara bersama oleh pihak kerajaan dan juga ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Kerjasama erat pihak-pihak ini diyakini mampu memperbetulkan masalah ini dengan segera.
Pemantauan secara rapi oleh ibu bapa, keluarga serta penglibatan masyarakat setempat mampu membantu golongan belia kita kembali ke pangkal jalan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara.
Kita perlu ingat bahawa kejayaan semua program dan inisiatif kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sangat bergantung kepada sumbangan dan peranan aktif para belia kita.

Bidang tersebut seperti mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar di samping Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta transformasi dalam bidang politik.
Oleh itu, kita perlulah terus membantu para belia kita dalam mencari dan membentuk identiti yang diperlukan mengikut acuan kita sendiri.

Kita tidak boleh sama sekali membiarkan golongan ini hanyut bersendirian dalam dunia mereka sendiri yang tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak termasuk belia itu sendiri.
Semoga pendedahan laporan ini akan membuka mata semua pihak yang terlibat agar segera bertindak dan menyelesaikan masalah serius ini.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan belia kita. (sumber: Noor Mohamad Shakil Hameed)