17 Januari 2012

HARTA SEPENCARIAN


HARTA SEPENCARIAN : KONSEP DAN AMALAN

Posted by syafiqe on March 4, 2008
                                                   


Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.
Adat Melayu
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian.
Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih
cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kesRobert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
Hukum Syarak
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Sumbangan tidak langsung
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.
Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.
Tuntutan
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.
Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.(sumber:syafiqe. wordpress.com)
Penyelesaian
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah.
Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.

HAK HADANAH


APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENENTUAN HAK HADHANAH


Aspek utama dalam penentuan hak hadhanah (memelihara) yang melibatkan kanak-kanak yang belum mumayiz oleh hakim adalah dengan melihat kepada aspek yang paling utama iaitu kebajikan anak itu sendiri. Pada dasarnya sebaik sahaja berlaku perceraian, sememangnya Islam meletakkan ibu sebagai golongan yang paling utama yang berhak mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang belum mumayiz.
Ibu adalah layak kerana mereka ini mempunyai wilayah hadhanah dan penyusuan dan dilihat lebih penyayang, pengasih, penyabar, simpati, lemah lembut dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam mendekati kanak-kanak. [Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Juz 8, hal.339; al-Syaibini, Mughni Muhtaj, hal. 452]. Malah jika diperhatikan peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia juga memberi hak tersebut kepada ibu [Lihat Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam WP 1984].
Namun, apa yang menjadi keutamaan sebenarnya bagi mahkamah memutuskan mereka yang berhak mendapat hak hadhanah adalah dengan melihat aspek kepentingan atau kebajikan anak itu yang lebih utama. Ini kerana sekiranya ibu itu yang mendapat hak tersebut tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan baik hingga boleh mengabaikan kebajikan anak tersebut, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadhanah itu ditarik balik. Maka dalam menentukan aspek kebajikan anak ini, mahkamah akan mengaplikasikan konsep maslahah dalam membuat keputusan.
KONSEP UMUM MASLAHAH
Secara literal, dalam bahasa Arab Maslahah beerti sesuatu yang tidak mengandungi keburukan. Maslahah juga ditakrifkan sebagai manfaah, iaitu kebaikan dan faedah. Maka, jika diteliti sebenarnya kebajikan bolehlah ditakrifkan juga sebagai kepentingan. Maka kebajikan anak bolehlah dianggap juga sebagai kepentingan anak.
Maslahah menurut lafaz hakiki bermaksud sesuatu dalam keadaan sempurna untuk tujuan apa benda itu digunakan. Contohnya pen faedahnya adalah untuk menulis. Menurut lafaz majazi iaitu perbuatan yang mendatangkan kebaikan. Contohnya belajar akan mendapat ilmu dan ilmu memberi faedah kepada penuntutnya.
Secara konseptual, Imam Ghazali dalam Kitab al-Mustasfa mendefinisikan maslahahsebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. [Jil. 1, hal. 216]
Kata Al-Khawarizmi dalam kitab al-Maqasid al-Ammah li al-Syariah al-Islamiyyah pula menyatakan maslahah sebagai: (Pemeliharaan terhadap objektif syarak dengan menghindar keburukan daripada makhluk). Maka, kebajikan boleh dicapai menerusi dua cara iaitu menghasilkan kebaikan dan mengelakkan keburukan atau salah satu daripadanya.
APLIKASI MASLAHAH MENERUSI MAQASID SYARIAH
Secara dasarnya, bagi mencapai tahap maslahah yang dikehendaki agar kebajikan kanak-kanak itu tidak terabai, mahkamah akan merujuk kepada maqasid syariah (objektif syariah) merangkumi tiga iaitu :
a) Keperluan asas (maslahah daruriyyah)
Kepentingan yang terhenti ke atasnya kehidupan manusia sama ada dalam persoalan keduniaan atau keagamaan. Sekiranya gugur, maka kelangsungan maslahah dunia akan terganggu malah membawa kerosakan dalam kehidupan, hilangnya kejayaan dan akan membawa kerugian yang besar. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]. Dalam kes penentuan hak hadhanah, bagi keperluan asas (maslahah daruriyyah) ianya dapat dilihat dalam lima aspek utama iaitu melibatkan soal agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.
i. Kebajikan Menjaga Agama ( Daruriyyah al-Din)
Menurut Seksyen 82(a) Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melatakkan syarat Islam bagi seorang penjaga demi menjaga kebajikan agama kanak-kanak. Maka jika berlaku pasangan itu murtad, hakim akan memberi hak hadhanah kepada yang beragama Islam kerana bimbang akan terpengaruh dan merosakkan pegangannya jika diserahkan kepada yang telah keluar Islam.
Malah soal agama ini juga bukan melibatkan soal penjaga yang akan mendapat hak mestilah seorang Islam tetapi juga perlu diberi perhatian sekiranya penjaga itu beragama Islam, ia haruslah mampu untuk mendidik anak tersebut tentang Islam. Ini dapat dilihat misalnya dalam kes Tunku Mahmood Shah lwn Noor Faridah Sutherland Abdullah [(1997) JH XI (II) 165]. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati ibunya tidak mampu menyediakan pendidikan agama kerana beliau sendiri ialah saudara baru yang belum tahu selok-belok agama dan dalam ahli keluarganya hanya beliau sahaja yang memeluk Islam. Jika diberikan kepada ibu, kebajikan agama kanak-kanak akan terancam. Mahkamah memutuskan hak jagaan dua orang anak dikekalkan dalam jagaan plaintif.
ii. Kebajikan Menjaga Nyawa ( Daruriyyah al-Nafs)
Umumnya kanak-kanak tidak mampu berdikari, jika dibiarkan nyawanya akan terancam. Maka, syarak meletakkan syarat berkemampuan ke atas penjaga. Seperti mampu memberi nafkah yang cukup kepada anak.
Kebajikan nyawa termasuklah penyediaan tempat tinggal dan kediaman yang selamat.Kegagalan menyediakannya akan menyebabkan mafsadah atau kebajikan anak terancam kerana rumah berfungsi sebagai pelindung kapada segala bahaya.
Begitu juga dari aspek kesihatan kanak-kanak. Syarak memberikan hak kepada ibu menjaga kanak-kanak semasa sakit walaupun dalam jagaan bapa dan ibu diberi kelonggaran menjaga kanak-kanak di rumah bapa dengan syarat tidak berlaku perbuatan berdua-duakan antara bekas pasangan dan syarak juga membenarkan kanak-kanak ditempatkan di rumah ibu semasa sakit walaupun sebenarnya dalam jagaan bapa. Di sini, jelas menunjukkan kebajikan nyawa kanak-kanak diutamakan berbanding hak ibu bapa.

iii. Kebajikan Menjaga Akal ( Daruriyyah al-Aql)
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din mendefinisikan akal dari sudut kerohanian sebagai satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal dan berupaya menimbang segala baik dan buruk yang diperintahkan oleh hati. Penjagaan akal dilihat dari dua aspek iaitu negatif dan positif. Secara negatifnya seperti larangan mengambil minuman memabukkan dan makanan yang boleh merosakkan kesihatan akal. Secara positifnya seperti mendapatkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan. Penjagaan akal dikonotasikan dengan pendidikan. Apabila dikolerasikan dengan hadhanah, pendidikan menjadi mekanisme terbaik bagi proses perkembangan minda kanak-kanak.
Penjagaan emosi kanak-kanak juga dalam kategori maslahah daruriyyah khusus bagi hadhanah sahaja. Menurut Seksyen 82 (c), hak jagaan anak akan diberikan kepada mereka yang mampu memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak bagi memastikan emosinya terjaga.
iv. Kebajikan menjaga Keturunan (Daruriyyah al-Nasl)
Dalam hadhanah, tidak wujud hubung kait penjagaan keturunan dengan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak itulah yang dimaksudkan dengan keturunan. Dalam Islam, penjagaan keturunan diertikan sebagai menjauhi zina yang memberi implikasi dengan melahirkan anak tak sah taraf ( nasab ).
Ibn al-Subki menambah dalam kepentingan asas dengan memasukkan kebajikan menjaga maruah (al-‘Ird). Penjagaan maruah ini dilihat sebagai kesinambungan bagi penjagaan keturunan. Contohnya kanak-kanak yang diberi kepada seorang penjaga kemudian telah mencabul kehormatan seperti sumbang mahram dan rogol lantas mengancam maruahnya.

v. Kebajikan penjagaan Harta ( Daruriyyah al-Mal)
Penjagaan kebajikan harta kanak-kanak lebih melihat kepada konsep wilayah al-mal iaitu penguasaan menurut syarak yang diberikan kepada pihak yang mempunyai kuasa mentadbir ke atas harta pihak yang mempunyai kekurangan demi memelihara maslahahnya. Kuasa wali ini diberikan kepada bapa dan tidak kepada ibu meskipun ibu diberikan hak hadhanah. Dalam hadhanah tidak melibatkan pengurusan harta kanak-kanak tapi jika berlaku pencerobohan terhadap harta anak itu, maka perlu dielakkan demi menjaga kebajikannya.

b) Keperluan biasa (maslahah hajiyyah)
Iaitu suatu keperluan bagi menjamin kelegaan dan menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaanya boleh menyebabkan manusia terdedah kepada kesusahan dan kesempitan tanpanya. Ia juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersangkut-paut dengan kepentingan umum dan tidaklah sampai ke tahap darurah dan tidaklah pula sampai ke tahap mendatangkan kerosakan pada adatnya.
Dalam bab hadhanah, keperluan biasa bertujuan menjamin kelegaan kanak-kanak dan menghilangkan kesempitan seperti menyediakan makanan yang berzat bagi menjamin kelegaan kanak-kanak. Jika tidak dipenuhi, kelegaan ini akan hilang. Maka atas dasar itu, mahkamah berhak untuk mempertimbangkan semua perkara tersebut.
c) Keperluan mewah (maslahah tahsiniyyah)
Keperluan mewah adalah sebahagian daripada keperluan biasa kerana menjadi pelengkap bagi kedua-dua keperluan biasa dan asas. Keperluan mewah adalah seperti mengelokkan keadaan mereka dan menjadikannya serasi dengan kehendak maruah dan akhlak yang mulia seperti menjaga kebersihan, menutup aurat dan sebagainya. Jika tidak dijaga akan menyebabkan dipandang keji oleh manusia yang rasional tetapi tidak sampai ke tahap membantutkan kehidupan seseorang.
Dalam kes Safura binti Badaruddin lwn Azhar Arifin [(1999) JH XIII (2) 237], Mahkamah telah membandingkan kediaman plaintif dan defendan. Meskipun rumah defendan sekadar rumah sewa tetapi lebih selesa dan keselamatan terjamin. Berbeza dengan plaintif yang menyewa bilik bersama dengan orang lain yang berkeluarga. Kelihatan kedua-dua pihak dapat memenuhi keperluan asas kanak-kanak, tetapi defendan mempunyai keperluan mewah sebagai tambahan kepada keperluan asas. Keperluan mewah yang tidak dimiliki plaintif akan mencacatkan keperluan asas kanak-kanak.
PENENTUAN PRIORITI
Apa yang jelas, sekiranya berlaku pertembungan antara satu dengan yang lain, didahulukan keperluan asas atas keperluan biasa dan keperluan mewah, dan keperluan biasa atas keperluan mewah. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]
Secara prinsipnya, ketiga-tiga objektif syarak adalah tidak berasingan malah saling menyempurnakan. Keperluan asas adalah asal bagi objektif syarak kerana adalah punca bagi keperluan biasa dan keperluan mewah. Maka sesiapa yang mencacatkan yang utama maka dia telah mencacatkan yang cabangnya. Manakala mencacatkan keperluan biasa dan keperluan mewah dianggap hampir mencacatkan keperluan asas. Keperluan asas dikatakan sebagai fardhu ain dan keperluan biasa dan mewah yang tahap pentingnya seperti kedudukan perkara-perkara sunat. [Hassan Hj Ahmad 2001].
Maka atas dasar inilah, apabila berlaku pertembungan antara kelima-lima keperluan asas, maka didahului penjagaan agama atas nyawa, nyawa atas akal, akal atas keturunan, keturunan atas harta. Dalam penentuan keutamaan antara ketiga-tiga teori kebajikan ini, al-Syatibi telah menyusun lima pendekatan:
I. Kepentingan asas sebagai asas keperluan biasa dan mewah.
II. Kerosakan keperluan asas akan merosakkan keperluan-keperluan lain
III. Kerosakan keperluan lain tidak semestinya merosakkan keperluan asas.
IV. Kerosakan keperluan biasa atau mewah kadangkala boleh merosakkan kepentingan asas.
V. Wajib menjaga keperluan biasa dan mewah bagi tujuan menjaga keperluan asas.
Secara kesimpulannya, meskipun ibu adalah golongan yang paling berautoriti ke atas hak hadhanah anak, namun ianya boleh berpindah kepada pihak lain sekiranya mahkamah berpandangan ianya demi memelihara kebajikan anak itu sendiri. Maka pertimbangan yang dirujuk oleh mahkamah adalah berdasarkan kepada aplikasi maslahah melibatkan aspek-aspek dalam maqasid syariah meliputi soal daruriyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Aspek daruriyyah yang perlu diambilkira meliputi soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka adalah jelas bahawa semua konsep serta aspek ini telah diaplikasikan secara berkesan oleh mahkamah bagi menentukan hak hadhanah kepada pihak yang berhak.(sumber:syafiqe.wordpress.com)

11 Januari 2012

INSTITUSI KEKELUARGAAN DAN KEJIRANAN MASIH BELUM UTUH

KETIKA 2011 melabuhkan tirainya, kita dikejutkan dengan kejadian malang menimpa dua beradik yang kaki mereka diikat dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga selain dikurung dalam tandas kotor selama lebih lima jam dalam kelaparan.

Dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Mawar, Taman Dahlia, Butterworth 28 Disember lalu, kanak-kanak berusia dua dan enam tahun itu didakwa ditinggalkan bapa mereka ketika hendak bekerja kira-kira jam 3 petang.
Dua kanak-kanak itu bernasib baik kerana jeritan mereka untuk meminta pertolongan didengar jirannya yang terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.
Jika cara didikan salah, maka hasrat untuk lahir modal insan berkualiti tidak kesampaian
Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan amat menyedihkan.
Kerana tindakannya itu, bapa kepada kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan merantai kaki dua anaknya dan mengurung mereka.

Bapa terbabit didakwa atas dua pertuduhan mendedahkan anaknya yang berusia dua dan enam tahun kepada kecederaan fizikal dan emosi dengan merantai serta mengurung mereka dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketika 2012 menjengah pula, kita dikejutkan lagi dengan kejadian bapa mengurung anak dan kali ini ia berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, Jelutong, Georgetown, 2 Januari lalu.
Kali ini ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang disyaki mangsa dera berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan.

Dia dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula jam jam 3 petang sehinggalah diselamatkan pada jam 1 pagi.

Sebaik diselamatkan oleh anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), budak itu yang ketakutan, tetapi tidak mengalami kecederaan fizikal, dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Siasatan awal mendapati mangsa menangis kerana dipukul oleh bapanya yang berusia 49 tahun selepas budak itu dikatakan bermain dompet bapanya. Ibu mangsa yang berusia 40 tahun tiada di rumah kerana bekerja kilang.

Dua kejadian itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat yang melihat tindakan pelakunya sebagai amat keterlaluan kerana anak sepatutnya dijaga dengan baik serta diberikan layanan sempurna.

Anak yang dikurniakan Tuhan tidak harus menjadi tempat melepaskan geram bagi ibu bapa walaupun senakal mana mereka atau dibiarkan tanpa sebarang jagaan yang rapi.

Penulis juga bersetuju dengan saranan itu kerana sedar bahawa kanak-kanak adalah generasi penyambung kepada kemajuan negara kerana merekalah yang akan mewarisinya pada masa depan.

Jika cara didikan baik serta betul, maka bakal pemimpin yang dilahirkan bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran negara serta rakyat biasa menyokongnya juga sudah tentu baik.

Tetapi jika cara didikan salah, maka hasrat untuk melahirkan modal insan berkualiti tidak kesampaian.

Dalam kes pertama membabitkan dua beradik, ia sebenarnya mendedahkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan di negara ini masih mempunyai kelemahan walaupun secara umumnya ia cukup mantap.

Timbul persoalan kenapa bapa terbabit tidak menghantar anaknya untuk dijaga ahli keluarga terdekat atau jirannya sepanjang dia keluar bekerja? Sepatutnya itulah langkah terbaik sekiranya dia tidak mempunyai berkemampuan menghantar anaknya ke pusat jagaan berbayar.

Ia menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan atau kejiranan masih belum mantap sehingga menyebabkan masalah untuk menjaga anak yang dihadapi bapa terbabit tidak dapat diatasi dan kanak-kanak kecil pula menjadi mangsa.

Pergaulan mesra, saling menjaga kebajikan satu sama lain dan tolong-menolong mungkin sudah pudar di kalangan masyarakat kini terutama yang tinggal di bandar besar, berbeza dengan pada masa dulu serta di luar bandar.

Semangat serta sikap seperti ini harus dikembalikan semula untuk memantapkan semula institusi kekeluargaan dan kejiranan sekali gus menyelesaikan masalah dihadapi sesebuah keluarga.

Jika ini dapat dilakukan, bukan saja masalah kanak-kanak dikurung serta ‘terseksa’ dapat diatasi, tetapi lebih penting adalah ia dapat melahirkan modal insan berkualiti bagi memastikan pembangunan terus berjalan lancar.

Apa yang diharapkan adalah tiada lagi kejadian kanak-kanak tidak berdosa dikurung walau dengan apa jua alasan kerana mereka mempunyai hak untuk hidup selesa serta membesar dalam keadaan selesa.(sumber: BH, 11/1/12)

04 Januari 2012

AYAH: DERITAMU AKU TIDAK MAHU TAHU

TANGISAN batin seorang ayah tiada seorang pun yang tahu. Malah anak-anak tidak mahu ambil tahu kerana rasa tidak puas hati keputusan ayah berkahwin lain.   Ayah didera perasaan hiba dan derita menanggung rindu.  Berdosakah ayah? Bersalahkah ayah andai itu takdirnya? Anak-anak diam membisu bila diajak berbicara tentang takdir.  Anak-anak hanya mampu mempersoalkan dimana tanggungjawab ayah terhadapnya.  "Ayah  , kenapa tidak bank in kan duit ? Ayah bagi tidak cukup. Makanan, pakaian dan lain-lain.  Saat sang ayah terlantar di hospital menahan sakit, tergamak seorang anak menghantar sms pada ayahnya"Ayah tolong bank in duit sekarang.  Manakah adap dan etika anak yang menuntut pertanggungjawab sang ayah.  Amat terhina ayah merasakan tika itu.  Tergamak si anak membelakangi si ayah yang kini menuntut di IPTA.  Mengaibkan dan menghibakan sekali.  Sang anak menggugut "Nanti saya kawin, saya tidak mahu ayah mewalikan saya".  Sejauh itu si anak tahu takdirnya akan bersuami. Menghairankan  sekali.  Anak kedua sentiasa menyalahkan ayahnya kerana tidak memberi perhatian kepadanya. Tapi terfikirkah si anak, hasil perhatian dan ketegasan si ayah, si anak terhidar dari melakukan maksiat .  Kini anak ke-2 telah berkahwin. Alhamdulillah. Tapi sayang, takdir yang baik  juga si anak menyalahkan si ayah.  Anak ke-4 sibuk mengira jumlah nafkah dan perbelanjaan yang si ayah perlu berikan padanya dan  adik-adiknya sedangkan dia telah dewasa dan layak mencari nafkah. Persoalannya dimanakah tanggungjawab si anak? Hiba lagi hati si ayah sehingga kini tidak pernah merasai wang gaji anaknya walaupun segelas teh tarik kegemarannya.  Kesian si ayah.  Anak ke-5 menyalahkan ayah dalam kebisuan emosi tidak terungkapkan.  Ayah tahu kesilapannya ingin memperbaiki tapi ditolak insan yang dinikahi  22 tahun lamanya.  Di manakah peluang kedua untuk si ayah memperbaiki kekurangan tanggungjawabnya?  Anak ke-6 dalam delima menyalahkah si ayah tentang masa depan persekolahannya.  Semua kehendaknya perlu dituruti. Ancaman , ugutan, kebencian menyelubungi jiwa si anak lagaknya.  Kesian si ayah.  Anak ke-7 terbawa emosi didikan tidak seimbang, masih menyalahkan si ayah. itu tidak cukup, ini tidak cukup. Sedangkan dalam Islam, memberi sekadar kemampuan bukan memberi secukup-cukupnya.  Islam sendiri menegaskan jika umatnya dalam keadaan sederhana akan mengingati Allah.  Mana rasa syukur? Mana tanggungjawab si ibu yang sibuk menuntut di ceraikan.  Mempamerkan, menceritakan penderitaan rumahtangganya sedangkan telah ditakdirkan memiliki 9 anak? Menyebarkan deritanya kepada setiap insan yang ditemuinya. Merintih takdir diri yang dicarinya.  Mengapa tidak teriak untuk diceraikan andaikata tidak bahagia sejak melahirkan  anak pertama atau ke-5 menderita hidup bersama - sama si ayah? Heran bukan.  Mana didikan si ibu membentuk perbadi muslimah dan muslim anak-anaknya.  Ternyata  si ibu gagal mendidik anak-anaknya menyayangi dan menghormati ayahnya. Anak-anak ditanamkan rasa benci terhadap susuk seorang ayah.  Ayah setiap saat risau, bimbang tentang anak-anaknya. Adakah anak-anak bimbing dan risau kesihatan si ayah? Jawapannya TIDAK.  Bagi mereka ayah bertanggungjawab memberi WANG untuk mereka.  Tidak pula bagi si ayah KASIH SAYANG yang penting berbanding WANG RINGGIT yang diminta.  DI MANAKAH TANGGUNGJAWABMU WAHAI SI ANAK? Jangan berbicara tentang tanggungjawab sesorang ayah JIKA kalian TIDAK pandai TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB terhadap ayahnya.