09 Jun 2011

AKU TIDAK RELA DIMADU...

SETIAP wanita yang dinikahi sebenarnya telah rela dan bersedia untuk bermadu atau dimadukan.  Hanya kita sebagai insan tidak pernah tahu apakah rahsia yang Allah swt tentukan.  Segalanya tercatat di dalam Luh Mahfuz.  siapalah kita untuk melawan ketetapan Allah?

Isteri-isteri Nabi dahulu masya-Allah , cemburunya sangat kuat.  Begitulah fitrah kita rasa cemburu apabila orang lain yang suami kita sayang.  Tetapi ingat, sekalipun cemburu isteri-isteri Nabi, iman mereka tetap kuat dan hebat.  Ini kerana Allah ingin menunjukkan isteri-isteri Nabi pun wanita biasa yang punya sifat cemburu  tetapi tidaklah sampai 'cemburu' dan 'jauh hati'  itu membunuh semua keikhlasan hati sehingga rasa hambar, tidak ada kasih sayang dan mahu bercerai.  Itu cara yang salah (melainkan jika suami semangnya salah dalam menjaga amanat Allah, maka wajarkah penceraian sebagai jalan keluar).

Pada saat isteri dimadukan, iblis sentiasa membisikan dan mengharapkan penceraian. Setiap hari iblis akan meniupkan rasa kebencian dan mengikiskan rasa cinta, kasih dan kebaikan  kepada suami.  Selepas penceraian berlaku iblis akan menang. Ketika itu isteri telah diperdayakan oleh iblis.

Di manakah sifat kebaikan isteri terhadap suami dan keluarga, hilang ke manakah keikhlasan mencintai suami , di manakah isteri penyayang dan sanggup membantu suami dengan penuh setia dahulu?  Kita 'sakit ' saat itu. sakit emosi, sakit hati, semua kesakitan didorong oleh iblis sebenarnya.

Ketahuilah, bukan semua suami yang berkahwin atau mengamalkan poligami tidak menyayangi isteri-isteri dan keluarganya tetapi ketahuilah Allah ciptakan lelaki boleh menyayangi ramai wanita dalam satu masa.  fitrah wanita hanya menyangi seorang lelaki sahaja dalam satu masa.

Sujud dan sedarlah wahai isteri-isteri sesungguhnya suami bukan milik kekal kita.  Suami hanyalah 'pinjaman'. sementara Allah meminjamkan suami kepada kita , buatlah yang terbaik untuknya.  Layan suami sebaik mungkin, lemparkan senyuman kepadanya tanda cinta, curahlah bakti dan setia kepadanya.  Nikmatilah sisa-sisa kehidupan bersama suami  yang tinggal dengan penuh bahagia.  Bukan suami  yang kita kejarkan tetapi syurga dan abadi.

Pilihlah jalan yang ditedahi Allah.  Perbanyakkan solat sunat disamping tidak meninggal yang wajib.  Allah bersama-sama kita.  Kita bukan dizalimi jika dimadukan tetapi Allah memilih kita kerana kita orang pilihanNya. Amin.

KELAB ISTERI TAAT?

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengecam kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed yang menyarankan golongan isteri mesti patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama'. Timbalan presidennya, Musa Awang menyifatkan kenyataan Dr Rohana itu sebagai satu kenyataan yang "biadap dan celupar" kerana meletakkan diri seorang isteri serendah seorang pelacur.

"Isteri bukanlah seorang pekerja seks bagi suami. Tugas isteri melayan suami adalah suatu ibadah yang diberi ganjaran pahala dari Allah.

"Walaupun suami diwajibkan memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan.

"Ia adalah suatu amanah dan tanggungjawab kerohanian yang telah ditetapkan oleh agama, yang juga diberi ganjaran pahala oleh Allah," katanya.
Pelacur kelas pertama

Minggu lalu, Dr Rohana dilapor mengingatkan seseorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama' bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Katanya, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami antara punca utama kegagalan rumah tangga dan punca suami beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Musa berkata kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang wanita yang berpendidikan kerana ia "menjatuhkan imej wanita walaupun mungkin niatnya baik supaya isteri mentaati suami".

"Bukan menjadi kelaziman masyarakat Melayu Islam untuk melanggan pelacur, cuma hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian.

"Tidak semua lelaki tahu bagaimana servis seorang pelacur kelas atas. Jadi kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah semula lelaki Melayu Islam melanggan pelacur," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru kepada semua wanita supaya tidak menyertai kelab tersebut kerana dari awal lagi telah menampakkan kecelaruan halatuju dan matlamatnya, serta merendah-rendahkan martabat wanita.

Menurutnya, penubuhan kelab itu tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah perceraian yang dikatakan berlaku setiap 15 minit atau anak luar nikah yang lahir setiap 17 minit.

Sebaliknya, kelab seperti ini sepatutnya melebihkan usaha yang padu ke arah melahirkan suami, bapa, anak lelaki dan muslimin mithali sebagaimana yang dipandu oleh Islam.(sumber:MK,8/6/11)