30 November 2011

SELAMAT TINGGAL NOSTALGIA

Biarkan berkas sejarah di persada hayat,
tatkala mahu berangkat ke lain pangkalan,
kerana pelabuhan sepi dengan peluit rindu
kini tiada erti mahu ditafsir kembali.

Buat apa ditangisi setiap mesra kata,
andai lemah jiwa penghalang hasrat,
yang mahu dibangunkan pentas hidup,
dalam biru yang biru.

Buat apa ditangisi setiap sengketa,
qada dan qadar pengukur keimanan sejati,
kita terima dengan reda batini,
dan berjuang terus dengan kental lahiri.

Selamat tinggal masa lalu,
pamitan nostalgia yang mahu dipadamkan,
bahawa ada minda peta yang subur,
mahu kulukis bianglala di kanvas ukhrawi.

Rajiee hadi,
Bandar Seri Putra
29November 20

28 November 2011

BAHASA MELAYU YANG BETUL

Bahasa Melayu memang satu bahasa yang cantik, dengan ayat-ayatnya yang ringkas dan padat dengan bunga-bunga dan simpulan bahasanya yang indah-indah, lengkap dengan pantun-mantunnya sekali. Ini dapat kita lihat daripada karya-karya pengarangnya yang agung, seperti Keris Mas, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ahmad, A. Samad Ismail, A. Samad Said dan ramai lagi. Jangan lupa pengarang agung Indonesia, Pramudia Ananta Tur. Membaca karya-karya mereka akan menyingkap keindahan bahasa Melayu kepada kita.

Ini tidak bermakna saya mendewa-dewakan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris juga begitu. Saya fikir bahasa-bahasa lain juga begitu – satu daripada tanda kekayaan Ilahi!

Namun demikian, saya ingin menarik perhatian pengguna-pengguna bahasa Melayu kepada beberapa perkara.
Pertama, saya hendak menyebut tentang kesilapan-kesilapan yang kerap dibuat. Bahasa Melayu tidak mempunya kopula, ‘ialah’, ‘adalah’ atau ‘merupakan’. Umpamanya, kita kata “Ibrahim seorang guru.”, tidak “Ibrahin ialah/adalah /merupakan seorang guru” Dalam bahasa Inggeris, kita kata “Ibrahim is a teacher.” Perkataan ‘is’ di sini satu kopula. Jadi, penggunaan kopula ini pengaruh nahu Inggeris. Harus dijauhi. 

Kedua, kesalahan kerana pengaruh nahu Arab. Perhatikan ayat ini: “Mereka itu adalah di atas petunjuk Tuhan mereka.” Ada dua kesalahan di sini: penggunaan kopula ‘adalah’, dan penggunaan kata depan ‘di atas’. Kata depan ‘di atas’ yang tidak perlu di sini menunjukkan pengarauh nahu Arab. Sepatutnya ayat ini ditulis: “Mereka mendapat petunjuk Tuhan mereka.” 

Kerapkali juga kita dengar frasa ‘kunjungan hormat ke atas Yang Dipertuan Agung”, nyata terjemahan harfiah frasa Inggeris, “to pay a visit on”. Mengapa tidak kata “mengadap “ atau “mengunjungi” saja?

Ketiga, salah-guna perkataan jamak ‘mereka’. Kerap sekalai kita dengar perkataan “mereka-meraka”. Sungguh dahsyat bunyinya! Perkataan ‘mereka’ itu jamak; tidak perlu dijamakkan lagi! Berhungan dengan kesalahan ini, kita juga tidak harus kata “ramai orang-orang perempuan datang melihat temasya itu.” Perkataan ‘ramai’ sudah bersifat jamak. Tidak perlu, kata nama itu dijamakkan lagi. Demikian dengan semua perkataan jamak, seperi ‘banyak’, ‘kebanyakan’, ‘semua’, ‘sesetengah’, dan sebagainya.

Keempat, salah-guna kata depan ‘dari’ dan ‘daripada’, ‘ke’ dan ‘kepada’. Tidak perlulah saya huraikan kesalahan ini 
 
Kelima, perhatikan ayat, “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka ...” (Ayat ini diambil dari sebuah tafsir.) Kesalahan ini tidak begitu ketara; walaupun bagaimana pun, kesalahan juga. Ada dua kesalahan di sini. Ayat ini sepatutnya ditulis, “Iaitu jalan orang yang telah Engkau kurniakan nikmat.” Kesalahan pertama: “Engkau telah kurniakan.” Yang betulnya: “telah Engkau kurniakan,” atau “jalan orang yang Engkau telah mengurniakan nikmat.” Kesalahan kedua: frasa ‘kepada mereka’ tidak perlu, kerana kertakerja ‘kurniakan’ sudah mengambil katanama ‘orang’ sebelum ini sebagai objeknya.

Sehubung dengan ini juga, lihat ayat: “Jalan orang-orang yang Engkau merahmati, bukan orang-orang yang ke atas mereka dimurkai ...” Ini terjemahan harfiah dari bahasa Arab. Bahasa Melayu menulis: “Jalan orang yang Engkau rahmati, bukan orang yang ditimpa kemurkaan-Mu.” 

Inilah lima jenis kesalahan yang kerap dibuat oleh penulis-penulis bahasa Melayu. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetulkan. Bahasa Melayu jadi tidak idiomatik dan hodoh kerana kesalahan-kesalahan ini. 

Memang semua bahasa berkembang. Perkataan seperti ‘ketidak-samaan’, ‘keterbukaan’ dan beratus-ratus lagi perkataan baru seperti itu menunjukkan perkembangan bahasa kita. Pinjaman perkataan dari bahasa-bahasa lain fenomena biasa. Demikianlah bahasa diperkayakan. Tetapi tiap bahasa mempunyai nahu dan idiomnya sendiri. Nahu dan idiom ini perlu dikekalkan. Jika tidak, rosaklah keaslian bahasa itu. Namun demikian, bahasa Melayu harus berkembang mengikut nahu dan idiomnya, dan tidak boleh bersalahan dengan nahu dan idiomnya.

Bahasa kebangasaan itu penting dalam pembangunan peradaban kita. Kita tidak boleh membangunkan peradaban kecuali dalam bahasa kita sendiri. Bila saya berkata demikian, maksud saya bukan untuk memperkecilkan nilai bahasa Inggeris. Rakyat kita perlu mengetahui bahasa Inggeris, kerana ia lingua franca dunia. Tetapi bahasa Inggeris tidak boleh menggantikan bahasa kebagsaan kita untuk membangunkan peradaban kita. Rakyat kita perlu juga mempelajari bahasa-bahasa lain (umpamanya, Arab, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia dan lain-lain) mengikut keperluan kerjaya masing-masing.
Sebagai sebuah masyarakat nasional yang bersifat majmuk, rakyat kita juga perlu belajar bahasa-bahaya yang terdapat dalam negara kita, seperti Mandarin dan Tamil, untuk mempermudah dan membaiki hubungan antara kaum. 

Saya tidak harus lupa untuk menyatakan bahawa dalam pemakaian bahasa kebagsaan yang elok, pemimpin-peminpin kita harus menunjukkan contoh yang baik. Bila mereka bercakap dalam bahasa Melayu, hendaklah mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik, sepertimana mereka juga harus bercakapa Inggeris yang baik, bila berucap dalam bahasa Inggeris.(sumber:kassimahmad.blogspot.com)

23 November 2011

PERTUKARAN PENJAWAT AWAM : SULITKAH PROSEDURNYA?

HUBUNGAN  baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan oleh akhbar. Tetapi sejauh mana ucapan ini dihayati oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Saya amat berharap agar KPM dapat menyelesaikan isu pertukaran guru antara negeri. Adik saya adalah salah seorang mangsa ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam proses pertukaran guru. Ada guru yang baharu berkhidmat di Sarawak telah berjaya dalam permohonan pertukaran ke Semenanjung.

Adik saya, seorang guru yang sedang berkhidmat di Kuching, Sarawak telah empat kali memohon untuk bertukar ke sekolah di kawasan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Pahang tetapi masih gagal.

Walaupun rayuan demi rayuan dibuat termasuk berjumpa dengan pegawai Bahagian Sekolah KPM, permohonan ditolak. Adik saya telah memohon pertukaran ke Pekan, Pahang untuk dipertimbangkan pada 01/01/2012. No.Permohonan: Y20121344. Sekali lagi permohonan beliau ditolak. Saya berasa amat sedih, kecewa dan terkilan. Mungkin pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan KPM terlepas pandang atau tidak tengok langsung borang permohonan pertukaran.
Berikut saya senaraikan sebab permohonan pertukaran beliau:

* Mengikut suami, seorang anggota tentera yang kini berkhidmat di Kem Sri Kuantan, Pekan, Pahang.
* Telah berkhidmat sebagai guru di Kuching, Sarawak melebihi lima tahun (81 bulan). Syarat minimum hanya tiga tahun sahaja.
* Menghidap penyakit corneal ulcer dan masih memerlukan rawatan susulan. Beliau pernah dimasukkan ke Hospital Umum Kuching beberapa minggu. Beliau menghadapi kesukaran memandu untuk jarak jauh dan memandu waktu malam (sebelah matanya telah rosak kerana penyakit tersebut).
* Beliau kini hanya ditemani oleh dua anak yang masih kecil. (Anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan).
* Kesihatan ibu saya yang menghidap penyakit kanser usus semakin merosot kerana tertekan akibat terlalu risaukan keadaan adik saya yang bersendirian di Kuching.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas telah memenuhi kriteria untuk permohonan pertukaran guru. Sememangnya KPM mempunyai dasar mengutamakan kepentingan perkhidmatan. Namun, usah ketepikan budi bicara dan perikemanusiaan sesama insan. Guru juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.
'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Usah biarkan slogan ini hanya tinggal slogan sahaja. Kepada pihak yang berkenaan, bertindaklah dengan wajar. (sumber:UM, 23/11/11)

PANTAU ROMBONGAN PELAJAR SEKOLAH

TRAGEDI bas rombongan pelajar-guru dari Kulim, Kedah dalam perjalanan ke Genting Highlands yang ditimpa kemalangan ngeri di lebuh raya PLUS berhampiran Behrang-Slim River, Perak, 11 November 2011 kira-kira jam 4.20 pagi yang menyebabkan lima terbunuh dan beberapa lagi cedera parah, adalah suatu tragedi ngeri yang amat menyayat hati.

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PPPM/ Pendidik) mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga terlibat.
Adalah sesuatu yang malang andainya rombongan pelajar-guru tersebut tidak mematuhi prosedur seperti yang ada dalam garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Sehubungan ini, Pengetua/Guru Besar/ Pentadbir Sekolah wajib memantau dan mengambil tahu secara terperinci apa jua bentuk pemeriksaan rapi ke atas rombongan pelajar, khususnya yang mahu melakukan lawatan di luar negeri.
Kondisi bas dan keupayaan serta pengalaman pemandu bas juga wajar diambil kira, terutama berhubung aspek keselamatan dan piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan.

Di samping aspek teknikal dan prosedur lawatan, insurans dan surat keizinan ibu bapa, serta Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan KPM perlu ada. Pihak pentadbir sekolah seharusnya mengambil tahu jadual perjalanan dan pengisian lawatan. Biarlah lawatan sambil belajar itu diolah untuk tujuan semata-mata memperoleh pengalaman dan bersifat menimba pengetahuan dan ilmu di luar bilik darjah.
Justeru, perancangan rapi dan perbincangan antara guru muda dan guru senior haruslah ada dari semasa ke semasa di samping idea-idea daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Pengetua. Sikap lepas tangan haruslah dihindari. (sumber: UM, 23/11/11)

13 November 2011

ADUN SEROM, JOHOR

TB bukan mahu bercakap pasal politik atau berniat bermain politik. Tidak sama sekali. Tapi TB sekadar meluahkan suara hati sebagai warga Malaysia yang dilahirkan di bumi bertuah Kampung Serom 2 Hilir, Sungai Mati, Muar, Johor; pada suatu ketika; pada suatu zaman yang lampau.Dan TB berbangga ADUN Serom, Dato'Haji Abdul Ghani 0thman ialah Menteri Besar Johor  terkini yang telah beberapa penggal menerajui Negeri Johor Darul Takzim. Beliau antara Menteri Besar daripada BN yang 'agak lama' juga di Johor selepas era Dato Othman Saat (Allahyarham).

TB sering juga terdengar desas-desus daripada masyarakat setempat berhubung keluhan dan aduan negatif berhubung dengan kawasan di bawah tadbiran DUN Serom ini; antaranya wajah  pekan utama iaitu Pekan Serom dan Pekan Sungai Mati. Pekan-pekan ini tidak jauh berbeza dari segi infrastruktur atau prasarananya 10 atau 20,30 tahun yang lalu. Dalam erti kata lain masih di takuk 'pekan koboi' dan tertinggal jauh dari arus perdana pembangunan moden. Kata mereka, walhal pekan-pekan ini termasuk dalam kawasan Menteri Besar. Alahai,TB tidak mahu komen. Tentu ada pro dan kontra.MB ada alasan-alasannya. Biarkanlah...

Apa yang TB mahu agar MB; termasuk BN atau khususnya Umno bahagian Ledang melakukan penyelidikan serius mengenai jumlah pengundi Melayu masa kini, jumlah aset dan tanah orang-orang Melayu yang berbaki dan telah terjual atau terlepas ke tangan bukan Melayu dan perkara-perkara 'dalaman' yang berkaitan dengan survival dan nasib masa depan orang-orang Melayu dalam DUN Ledang ini yang mana sejak dahulu merupakan salah satu kubu kuat Umno di Johor. Kawasan-kawasan perumahan mini yang tumbuh bagai cendawan juga harus diselidiki agar peratusan penduduk yang tidak seimbang  bukan menjadikan ancaman secara 'halus dan diam-diam'.


TB tidak mahu terjadi suatu perkara 'lucu tetapi memilukan' apabila TB dimaklumkan bahawa MB telah 'merasmikan' sebuah tokong yang baru dibina di Kampung Serom 2 Hilir jalan Sungai Keladi yang tentu dengan kebijaksanaan AJK tokong kemungkinan mendapat sedikit  peruntukan bukanlah mustahil dan belum ada menerima peruntukan pun bukanlah mustahil ataupun pada masa akan datang boleh memohon peruntuka bukanlah mustahil. Perkara ini adatlah. lngat, kena faham betul-betul ayat TB di atas. Dapat atau tidak itu bukan persoalanlah.Tapi mungkin MB mahu menunjukkan keprihatinannya.

Namun apa yang ironis dan sedihnya kemungkinan MB tahu atau tidak, bahawa tanah tokong yang didirikan itu adalah satu contoh tergadainya sebuah tanah milik orang Melayu/lslam di kawasannya. Bahkan MB menyedari atau tidak bahawa tanah tokong itu adalah tanah warisan asal daripada saudara-mara atau kaum keluarganya sendiri. Jikalau tidak silap TB, tanah itu adalah tapak rumah Allahyarham Salleh bapa kepada Cikgu Mansor Salleh (pesara) yang mana isteri Salleh ialah Allahyarhumah Zaharah Abdul Hadi. Mereka adalah saudara rapat kepada Allahyarham Cikgu Hj Othman Kechik (bapa Menteri Besar Johor sekarang).

lronisnya, adakah Dato Hj Abdul Ghani 0thman menyedari bahawa tokong yang dirasmikan adalah asal-usul tanah milik kaum keluarganya? lnilah 'tragedi' metafora yang perlu kita tafsirkan secara halus dan bermakna dengan akal budi dan saksama. Usahlah hanya memikirkan survival politik bagi menentang Pakatan Rakyat khususnya Pas andainya warisan milik kita hilang sedikit demi sedikit dari hari ke hari, dari semasa ke semasa. Wallahualam.(TB). (sumber:tiubbocor.blogspot.com)

02 November 2011

STRES PELAJAR : SALAHKAH SISTEM PENDIDIKAN ?


SISTEM  pendidikan negara tidak harus dipersalahkan berhubung peningkatan stres di kalangan pelajar ketika ini.

Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya(UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, stres boleh dielak jika pihak sekolah mampu mengurus jadual pembelajaran dengan bijak.
“Masa belajar dan susunan jadual yang kondusif perlu diberi perhatian khususnya menjelang musim peperiksaan bagi mengelak pelajar berasa tertekan.

“Pihak sekolah juga harus memberi tugasan kepada pelajar mengikut keupayaan mereka dan tidak mengharapkan setiap pelajarnya akan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah yang menunjukkan tahap stres di kalangan pelajar tinggi.(UM, 07/10/11)