06 Februari 2011

MOHD. SALLEH LEBAR: BAKTI DITABUR DI PENGHUJUNG USIA EMAS


Walaupun telah bersara wajib lebih lima tahun yang lalu namun darah seorang pendidik seperti  Mohd.Salleh Lebar terus mengalir dan membara kental di sanubarinya. Semangatnya yang tidak pernah mengenal jerih lelah dan sanggup berkelana jauh semata-mata menabur  khidmat bakti di rantau orang demi mencurahkan  pengalamannya yang bertahun-tahun dalam bidang pendidikan wajar diteladani oleh para pendidik generasi kini. Wakil Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (pppm/pendidik), DARMA KEMBARA telah mewawancara  Mohd. Salleh Lebar yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan  Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan/ KUPU SB (dahulu dikenali Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan),Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam mengenai komitmen, wawasan dan cetus rasa beliau  berhubung pengalamannya sebagai guru dan pensyarah ilmu pendidikan lebih 35 tahun.

PPPM/PENDIDIK:           Boleh ceritakan tugas dan tanggungjawab cikgu sekarang?

MOHD. SALLEH:  Saya berkhidmat sebagai pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan KUPU SB yang dipertanggungjawabkan mengajar dan memberi  kuliah  kursus Psikologi Pendidikan, Sosiologi Pendidikan, Pentadbiran Pendidikan dan Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam.Di samping itu saya juga ditugaskan membuat penyelidikan dari semasa ke semasa untuk Jurnal Perguruan yang mana saya bertindak selaku editornya.  Tugas lain ialah selaku penyelia kepada para guru pelatih yang menjalani praktikum atau latihan mengajar di sekolah-sekolah dalam Negara Brunei Darussalam.

Apakah wawasan cikgu  di Negara Brunei  Darussalam sekarang?.

Secara ringkasnya wawasan saya ialah mahu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang berhubung kait dengan pengajaran dan pembelajaran antara pensyarah dengan para pelajar  KUPU SB. Saya berhasrat  memberi  sedaya upaya  ilmu  dan pengalaman dalam bidang pendidikan kepada mereka. seberapa Justeru, antara usaha yang mahu saya lakukan  ialah mahu  menghasilkan seberapa banyak bahan  penerbitan  berkala dan buku-buku ilmiah  melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan  KUPU SB. Mudah-mudahan impian saya dan juga cita-cita sebahagian besar pensyarah di sini agar KUPU SB suatu masa kelak  terkenal sebagai pusat menghasilkan produk guru yang berkualiti; bukan sahaja di peringkat dalam negara bahkan serantau menjadi suatu kenyataan dan akan tercapai jua.

Apakah perbezaan cara belajar antara pelajar atau mahasiswa di Brunei  sekarang  dengan pelajar di Malaysia yang mana pernah cikgu bertugas dahulu?

Didapati pelajar Malaysia mula menunjukkan sikap kurang minat berusaha. Mereka mudah berpuas hati dengan daya usaha yang sekadar tahap minimum. lni berbeza dengan pelajar di Brunei  yang rata-ratanya menunjukkan ketekunan dan usaha yang lebih ; terutama dalam membuat tugasan. Tepat waktu masuk kelas. Tidak banyak berdua-duan di dalam kawasan kampus.


Bagaimanakah cikgu merancang untuk mencapai pengajaran berkesan kepada pelajar?

 Bagi saya sesuatu pengajaran yang berkesan itu  ialah  seseorang pensyarah mestilah bersedia membuat banyak rujukan sebelum memberi kuliah. Selain itu bersedia mengikuti perkembangan  dan mengaplikasi teknologi maklumat terkini dalam pengajaran. Pensyarah juga sewajarnya bijak menyesuaikan  stail pengajaran mengikut situasi . Hubungan komunikasi dua hala antara pensyarah-pelajar wajar dipupuk  dari semasa ke semasa.

Bagaimanakah pula dengan program peningkatan akademik pelajar?

Saya dan para tenaga pengajar yang lain kerapkali mendedahkan bahan-bahan rujukan sedia ada dan terbaru  kepada para pelajar. Kami juga sedaya upaya menyedarkan para pelajar akan gejala tidak sihat copy and paste. Pelajar juga digalakkan berbincang berhubung dengan kandungan kursus dan melaksanakan pengisian waktu kuliah yang mencukupi.

Oleh kerana cikgu berkhidmat di sebuah institut  yang melatih bakal-bakal guru, boleh cikgu ceritakan sambutan hari guru  peringkat kebangsaan di Negara Brunei Darussalam?

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Negara Brunei  Darussalam amat meriah. DYMM Sultan Brunei dan ahli kerabat baginda turut serta mencemar duli bersama  warga para pendidik dan rakyat jelata. Bagi memeriahkan acara tersebut diadakan pameran inovasi pendidikan,forum dan ceramah  yang disertai oleh semua peringkat dan institusi sama ada dari sekolah, maktab, institut mahupun universiti daripada agensi kerajaan  iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta agensi swasta .Ada juga penganugerahan tokoh guru  kebangsaan dan  guru cemerlang sebagaimana di Malaysia.

Ceritakan serba sedikit pengalaman manis sepanjang cikgu berkhidmat di Brunei? Dan bagaimana pula yang pahit?


Buat masa ini tidaklah banyak pengalaman manis yang tempuhi. Namun yang paling tidak dilupakan semasa awal kedatangan saya di Brunei, saya tinggal di hotel. Sebelum mempunyai kenderaan sendiri, pihak hotel telah menghantar pergi kerja setiap hari, selama satu bulan. Yang pahit nampaknya belum saya alami.


Akhir sekali, apakah nasihat kepada bakal guru yang cikgu didik?

Nasihat saya  belajarlah  bersungguh-sungguh walaupun usia kian meningkat. lngatlah bahawa menuntut ilmu tiada had waktu.Bahkan pendidikan itu sepanjang hayat. Saya mengharapkan mereka jika sudah memperoleh ijazah sarjana muda perguruan tetapi mempunyai iltizam kuat untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan hingga ke peringkat doktor falsafah.


PROFIL

MOHD. SALLEH BIN LEBAR
Tarikh Lahir: 14 Januari 1949
Tempat Lahir: Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.
Isteri: Halimah binti Mohamad



PENDIDIKAN

·         Sekolah Rendah Gong Kapas dan Sekolah Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu.
(1957-1962)
·         Sekolah Menengah Tengku Bariah dan Sekolah Menengah Padang Midin, Kuala Terenggau ( 1963-1967)
·         Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan (1 tahun) dan Maktab Perguruan Sultan Idris
 (1 tahun). Lulus Sijil Perguruan (1971-1972)
·         Sarjana Muda Sastera (Bidang Sejarah) di Universiti Sains Malaysia (1976-1979)
·         Sarjana Pendidikan/M.Ed. di Ohio University,USA (1984-1986)


PERKHIDMATAN

·         Guru  mengajar di Sabah( 1973-1976)
·         Guru  Maktab Adabi Kuala  Terengganu dan di Sekolah Menengah Ugama Atas Sultan Zainal Abidin,Kuala Terengganu (1979-1981)
·         Pengajar  Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) (kini  UniSZA): (l981-1997)
·         Pensyarah  Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia(KUSTEM),Kuala Terengganu (kini Universiti Malaysia Terengganu/UMT )(l997-2005)
·         Pensyarah Kanan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam (2008-)


ANUGERAH

·        Anugerah  Perkhidmatan  Cemerlang  KUSTEM (1999)
·        Profesor Madya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (2001-2005)

PENERBITAN

·        Asas Psikologi Perkembangan (Utusan Publication & Distributors, 1994)
·        Pengurusan Sekolah di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei , 2009)









2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. assalam. boleh saya dapat no telefon cik? saya ingin bertanya mengenai mohd salleh bin lebar

    BalasPadam