15 Ogos 2013

KEGANASAN RUMAH TANGGA : SIAPA DIPERSALAHKAN

DUA perkara yang berlaku sekitar minggu lepas telah pun membuktikan bahawa kerajaan Malaysia telah pun meletakkan keutamaan mereka pada tempat yang tidak sepatutnya dalam isu berkaitan keganasan rumah tangga.

Pertama, seorang isteri meninggal dunia akibat cedera parah terbakar yang disyaki hasil penderaan yang dilakukan oleh suaminya.

Kedua, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan bahawa usaha mengemas kini sedang dibuat bagi memastikan undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga yang sedia ada turut dapat memberikan hak perlindungan kepada kaum lelaki.

Undang-undang sedia ada telah dilihat sebagai medium yang lebih bersifat melindungi kaum wanita berbanding lelaki dan perangkaan semula perlu dibuat pada memperbaiki situasi ini.

Keadaan ini mendesak kami untuk mengingatkan pihak kementerian tersebut bahawa Akta Keganasan Rumah Tangga sedia ada sudah pun menawarkan hak perlindungan kepada kaum lelaki sebagaimana yang ditawarkan kepada kaum wanita, dan mana-mana pihak yang telah didapati pernah menjadi mangsa turut boleh dilindungi oleh pihak berkuasa melalui akta ini.

Pada hakikatnya, akta ini bersifat gender neutral dan bukan sekadar melindungi pasangan yang masih bersama, tetapi juga pasangan yang telah berpisah, anak-anak mereka, mana-mana individu dewasa yang tidak berkemampuan, dan juga sesiapa sahaja ahli keluarga yang berkaitan.

Tuduhan yang mengatakan akta ini hanya dibuat untuk melindungi kaum wanita hanyalah suatu mitos yang perlu dihapuskan sama sekali.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kaum lelaki turut terdedah kepada keganasan rumah tangga.
Bagaimanapun, realitinya, rekod masih lagi menunjukkan yang kebanyakan dari mangsa keganasan rumah tangga masih lagi terdiri daripada kaum wanita.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis, kebanyakan kes keganasan rumah tangga yang berlaku sepanjang tahun 2011 sehingga tahun 2012, sebanyak 75 peratus daripada mangsa adalah wanita.
Berdasarkan rekod ini, keganasan rumah tangga masih lagi boleh, secara kasarnya, dianggap sebagai satu bentuk jenayah yang lebih mengancam kaum wanita berbanding kaum lelaki.

Usaha sepatutnya tidak ditekankan dalam pembentukan rangka undang-undang baru. Ia sepatutnya ditambah dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Keganasan Rumah Tangga sedia ada, agar mangsa, tidak kira gender yang diwakili mereka, dapat diberikan hak perlindungan seperti mana yang diperlukan.

Pada 2013, pihak media telah pun melaporkan mengenai kematian tiga mangsa keganasan rumah tangga.
Laporan polis menunjukkan bahawa dua daripada tiga mangsa tersebut pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa sebelum akhirnya meninggal dunia dalam cengkaman pasangan mereka.

Kelonggaran pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang sedia ada ini mungkin telah pun menyumbang kepada punca utama perkara ini berlaku.

Perasaan takut yang diterapkan secara halus oleh pesalah ke atas mangsa secara berulang kali, dan juga ancaman dan desakan yang dibuat secara berterusan, sering kali menjadi elemen penting dalam kejadian keganasan rumah tangga.

Dalam setiap kejadian keganasan rumah tangga, ketakutan telah dikesan sebagai perasaan utama yang membelenggu mangsa.

Oleh itu, adalah amat penting untuk pihak berkuasa mendapatkan maklumat yang mencukupi agar mereka dapat membuktikan bahawa terdapat trend ataupun corak kehidupan yang menunjukkan bahawa terdapat segelintir kaum lelaki yang terperangkap dalam situasi penderaan selain dari penderaan fizikal, dikurung di rumah, dihadkan dari segi kehidupan sosial, dikawal sepenuhnya oleh isteri mereka, ataupun secara ringkasnya, mereka hidup dalam ketakutan.

Selain itu, masyarakat perlu sedar bahawa setiap kejadian kes keganasan rumah tangga sebenarnya merupakan gambaran kepada pelbagai perkara lain secara tersirat.
Setiap kes kejadian keganasan rumah tangga yang berlaku sebenarnya menzahirkan ketakutan yang ditanggung mangsa dan juga trauma yang sering kali dialami mereka setelah sekian lama melalui tempoh penderaan.

Keganasan rumah tangga juga sering kali dilihat meninggalkan kesan yang lebih mendalam ke atas kaum wanita berbanding kaum lelaki.

Kepercayaan bahawa kaum lelaki mempunyai hak istimewa ke atas kaum wanita yang diwarisi daripada budaya masyarakat patriarki yang masih lagi dipegang oleh segelintir kaum lelaki turut dipercayai meninggalkan kesan ke atas jumlah kes kejadian keganasan rumah tangga.

Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) telah pun menyerahkan memorandum dengan mencadangkan untuk memuatkan 'Keganasan Rumah Tangga' sebagai satu bentuk kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kepada pihak kerajaan, dengan mencadangkan tahap hukuman yang berbeza-beza ke atas kesalahan keganasan rumah tangga dalam bentuk fizikal, psikologi, emosi dan juga seksual.

Pembacaan Akta Keganasan Rumah Tangga bersama dengan Kanun Keseksaan terkini telah pun menunjukkan bahawa punca-punca keganasan rumah tangga terus berlaku dan tahap desakan yang ada dalam kes penyiasatan dan penuduhan ke atas pesalah telah pun gagal dibincangkan.

Walaupun keganasan rumah tangga telah pun diiktiraf sebagai satu bentuk jenayah, tuduhan yang dikenakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan berkaitan di bawah Kanun Keseksaan masih lagi belum mencukupi dan mahkamah seringkali meletakkan mereka yang terbabit sebagai pesalah jenayah biasa.
Ini menyebabkan ramai pihak masih lagi gagal melihat keganasan rumah tangga sebagai satu isu jenayah serius dan bersifat berbahaya.

Situasi ini perlu diubah secepat mungkin bagi memastikan pandangan masyarakat dapat diubah dan diperbetulkan.

Pada tahun 1994, Malaysia telah menjadi negara pertama di rantau Asia Pasifik yang meluluskan undang-undang khas berkaitan dengan keganasan rumah tangga secara rasmi.

Walaupun ini merupakan satu pencapaian yang layak dipuji, kerajaan perlu mengakui bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan akta sedia ada perlu ditingkatkan dan diperbaiki secara drastik. Usaha seharusnya disalurkan bagi menangani masalah ini.

Kegagalan dalam meningkatkan penguatkuasaan akta sedia ada boleh menyebabkan kesan buruk, termasuk kematian, seperti mana yang telah berlaku baru-baru ini, terus berlaku.

Lebih dahsyat lagi, jumlah kes yang direkodkan mungkin hanyalah sekadar satu bayangan kepada satu angka sebenar yang lebih mengerikan, yang mana turut melibatkan kes-kes yang gagal dilaporkan.

Tindakan segera sememangnya perlu diambil, dan penguatkuasaan akta seharusnya dijadikan fokus dan prioriti kerajaan yang sebenar. Keganasan rumah tangga merupakan satu isu serius, dan nasib dan nyawa ramai pihak sama sekali tidak boleh diperjudikan.(sumber: UM, 15/08/13)

03 Ogos 2013

HASMAHEERA SYAFIQA

Hati ayah tatkala sepi bertahun-tahun
akhirnya puteri ayu ini mewarnakan alam
setiap saat adalah gelak wajah cerianya
menjangkau ke dunia tanpa sengketa
antara kasih sayang, semadi dan abadi
hasrat yang kita impikan bersama
esak tangis yang telah kita padamkan
erang duka pada malam hari lalu
ratib yang telah mengirimkan khabar
anakku menjengok dengan senyum soleha

Syukur pun terucap pada-Nya
ya Rabbi yang mengurniakan rahmat-Mu
akan kami bina mahligai ilmu
fikir filusuf dibina dalam tamadun zaman
indah pesona takwa duniawi ukhrawi
quran hadis pedoman jalan hidup kami
anakku hasmaheera syafiqa, pesan ayah umi.


Bukit Mahkota,Bangi.
2013.