18 Julai 2011

POLIGAMI : MENURUT KACA MATA WANITA


BAGI lelaki poligami sesuatu yang indah, tetapi bagi kebanyakan wanita hidup bagaikan tidak bermakna apabila mengetahui suami ingin berkahwin lagi. Malah, dalam kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan wanita dimadukan mengakui mengalami tekanan emosi yang hebat.

Malah, katanya, ada wanita yang mengalami kemurungan kronik sehingga tidak mengendahkan urusan rumah tangga khususnya anak selain terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menenangkan perasaan.
“Saya mendapati wanita yang dimadukan sama ada terpaksa, dipaksa atau memaksakan diri mereka menerima suami yang berpoligami, menghadapi masalah membabitkan perasaan yang serius kerana begitu kecewa dengan sikap suami yang dianggap tidak mengenang budi dan pengorbanan mereka selama ini.
“Jika ketika hidup susah semuanya dilalui bersama, tetapi apabila sudah merasa sedikit kemewahan, suami sanggup menduakan mereka. Dalam keadaan itu, yang menjadi mangsa ialah anak, tetapi kebanyakan lelaki berpoligami tidak melihat isu itu sebagai masalah kepada mereka,” katanya.
Kajian bertajuk ‘Poligami Dari Perspektif Pandangan Wanita’ itu dijalankan pada Julai 2005 hingga Mei 2006 membabitkan 270 orang wanita daripada pelbagai peringkat kerjaya.
Dr Rusinah berkata, poligami bukan lagi satu isu yang kontroversi dan sensasi untuk disalahertikan oleh pengamalnya atau isteri yang terkena tempias poligami, tetapi sesuatu yang perlu dipandang dari sudut lebih rasional dan bukan emosional oleh pihak suami dan isteri.
Daripada 270 responden itu, seramai 12 peratus mengakui dan mengetahui suami mereka mengamalkan poligami, manakala 35 peratus lagi mengesyaki suami mereka ada menjalin hubungan dengan wanita lain tetapi tidak berpoligami.
Bagi responden yang secara terang menyatakan bahawa suami mereka mengamalkan poligami mengakui mereka berasa rendah diri dan kekurangan sehingga suami beralih kasih kepada wanita lain. Malah, ada yang mengalami perubahan hidup termasuk rakan dan saudara menjauhkan diri kerana berprasangka suami berkahwin lain kerana perlakuan isteri yang tidak menyenangkan.
Bagaimanapun, kata Dr Rusinah, ada wanita yang bersikap positif dengan menganggap tindakan suami bukan penamat kepada kehidupan.
“Ada responden yang mengaku tidak ambil pusing dengan tindakan suami kerana sudah lama dibiarkan sendirian dan menanggung sendiri kehidupan bersama anak. Malah ada responden menyatakan ‘suami tidak balik lagi ke rumah lagi baik kerana tidak ada apa yang hendak diharapkan daripada suami’.
“Malah, ada juga yang dapat menerima tindakan suami dengan tabah dan menganggap ia takdir, lebih-lebih lagi suami masih menunjukkan kasih sayang dan tanggung jawab seperti biasa serta tindakan suami itu sudah mencukupi untuk mereka kekal dalam kehidupan rumah tangga,” katanya.
Begitu pun, beliau berkata, semua responden yang hidup bermadu itu mengakui tetap akan kekal dalam perkahwinan dengan mengamalkan strategi bertahan demi anak yang memerlukan kasih sayang bapa mereka, meskipun pada masa sama ada perubahan dalam kedudukan kewangan yang semakin sempit apabila suami terpaksa mengagihkan pendapatan dengan keluarga baru.
Begitupun, beliau menasihatkan wanita yang tidak dapat menerima hidup dimadukan supaya membuat keputusan dengan penuh rasional dan bukan emosional bagi membina kehidupan yang anda sendiri akan tentukan untuk kebahagiaan diri pada masa depan dan keluarga.
Benar seperti yang dikatakan, poligami adalah hak lelaki, tetapi kebanyakan lelaki yang mengambil keputusan itu sering kali tidak mengambil kira perasaan isteri dan anak yang sering menjadi mangsa. Bayangkan jika sebelum berkahwin lagi, seluruh tumpuan dan pendapatan yang diperoleh digunakan untuk keluarga sepenuhnya, tetapi apabila sudah menambah cawangan perhatian tidak lagi seperti sebelumnya.
Jangan hanya fikir keperluan diri sendiri, tetapi fikirkan akan apa yang anda lakukan kepada isteri dan anak. Gejala sosial yang semakin berleluasa ketika ini perlulah dilihat dari perspektif yang luas dan menyeluruh kerana mungkin kesibukan bapa dengan isteri baru dan keadaan ibu yang mengalami tekanan perasaan menyebabkan anak tersisih.
Fokus utama sesebuah perkahwinan ialah pembentukan rumah tangga bahagia yang mana suami menjadi pemimpin dan isteri menjadi pendorong kepada kepimpinan itu. Poligami hanya indah untuk suami, tidak kepada isteri dan anak.
FAKTA: Punca suami berpoligami

  • Tidak ada anak selepas lama berkahwin
  • Tidak tahu sebab dan punca mengapa suami berkahwin lain
  • Suami gemar berpoya-poya dengan wanita kerana ajakan kawan sekerja
  • Suami bosan di rumah dan gemar keluar rumah
  • Suami idak bertanggungjawab dan tidak bersyukur dengan pengorbanan isteri semasa hidup susah di awal perkahwinan
  • Suami sukakan wanita muda dan lebih menarik
  • Suami jatuh cinta dengan wanita lain
  • Suami ‘berubah tiba-tiba’ dan ada gangguan makhluk halus
  • Suami ingin bertanggungjawab terhadap percintaan itu
  • Suami kalah dengan godaan wanita
  • Suami sengaja mencari kesusahan diri
  • Suami tidak mahu terus mencari dosa
  • Suami yang tidak keharuan kerana godaan dan perasaan kecintaan terhadap wanita berkenaan
  • Suami tidak ada alasan yang munasabah
  • Suami tidak mahu bertindak ganas terhadap isteri dan anak-anak jika permintaan hendak berpoligami dihalang oleh isteri
    Kesan terhadap diri hasil tindakan suami yang berpoligami
  • Tidak lalu makan dan minum
  • Gangguan tidur malam yang berterusan semasa kemelut rumah tangga
  • Mengambil cuti sakit yang berterusan
  • Mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk menenangkan perasaan
  • Rasa rendah diri dan merasakan kekurangan diri sehingga suami beralih kasih pada wanita lain
  • Rasa kekecewaan yang mendalam dengan tindakan suami
  • Tidak menghiraukan urusan rumah tangga dan anak ketika kemelut rumah tangga
  • Tidak peka dengan keadaan sekeliling kerana terlalu runsing dengan keadaan suami
  • Berendam air mata sehingga menjejaskan kesihatan diri
  • Suami berubah tingkah laku dan sangat menyedihkan isteri kerana tiada lagi kasih sayang dan gurau senda suami
  • Kepercayaan kepada suami berkecai dan hati yang retak sukar untuk pulih kembali
  • Personaliti berubah kerana tekanan perasaan seperti sifat periang bertukar kepada sikap pendiam dan pemarah
  • Perasaan kasih kepada suami telah berubah kepada kemarahan dan kekecewaan
  • Kemurungan dan sakit kepala yang teruk
  • Mencari kesalahan diri dan kesalahan suami
  • Ketidaktentuan terhadap kehidupan anak-anak
  • Tidak berminat dalam hubungan seksual
  • Gangguan makhluk halus
  • (sumber: BH, Citra, 23/8/2007, ms B8]

    CURAHAN KASIH SUAMI UNTUK ISTERI (1)

    MENYINGKAP TABIR RAHSIA


    SESUNGGUHNYA pernikahan atau perkahwinan menyingkap 1001 tabir rahsia. Isteri yang dinikahi tidaklah semulia Khadijad, setakwa Aisyah ataupun setabah Fatimah.  Isteri sekarang hanyalah wanita akhir zaman di mana suami  mempunayi cita-cita terhadapnya supaya menjadi isteri yang solehah.


    Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajipan bersama iaitu:
    1.   Isteri menjadi tanah dan sumilah langit yang akan menaunginya.
    2.   Isteri adalah ladang tanaman dan suamilah pemagarnya.
    3.   Isteri kiasan ternakan dan suami gembalanya.
    4.   Isteri adalah murid an suami adalah mursyidnya.


    Pernikahan atau perkahwinan menginsafkan kita betapa perlunya iman dan takwa untuk belajar meniti sifat sabar dan reda kepada Allah SWT kerana memiliki isteru yang tidak sehebat mana dan menyedarkan kita semua daripada alpa.


    JADILAH ISTERI SOLEHAH


    Panduan berikut dapat membantu menjadikan isteri wanita solehah

    1. Jangan menyakiti hati suami sama ada dengan kata-kata, tingkah laku atau mimik muka.  Hati suami akan terguris dan memendam rasa akan mengurangkan penglibatannya terhadap isterinya.
    2. Suka merungut merupakan sikap yang perlu dijauhi. terlalu banyak merungut boleh menyebabkan suami bosan dan akhirnya mencetuskan konflik dalam rumahtangga
    3. Suami kurang senang sekiranya isteri pasif dalam semua perkara.  Sikap pasif menyebabkan isteri tidak pandai membuat keputusan, kurang komunikasi dan kurang bijak bersosial.
    4. Suami sudah tentu tidak suka isteri yang suka berbohong.  Apabila pembohongan terbongkar , sumai akan merasa tertipu sehingga menjejaskan rasa kepercayaan terhadap isteri.
    5. Isteri yang terlalu banyak meminta-minta mengakibatkan suami merasa tertekan dan terganggu.  Berpada-padalah dalam banyak perkara kerana kesederhanaan membawa kepada ketenangan.
    6. Isteri yang selalu membantah kata-kata suami ibarat menabur duri dalam rumah tangga, malah mendekatkan dirinya kepada nusyuz.  Perbuatan ini pastinya dimurkai oleh Allah SWT.
    7. Isteri yang membelakangkan pendapat dan pandangan suami dalam membuat suatu keputusan, akan menyebabkan suami merasa kurang dihargai.
    8. Isteri yang menjaga lidah suami dengan menu yang hebat tetapi tidak menjaga minda dan perasaan suami dengan ilmu dan akhlak, belum mampu menggembirakan suami.
    9. Jangan keterlaluan dalam mengkritik suami terutamanya mengenai prestasi serta kebolehannya, kerana suami akan tercabar serta akan menimbulkan kesan emosi yang negetif terhadap isterinya.
    10. Isteri yang terlalu cerewet dalam semua perkara pasti tidak disukai suami.  Terlalu cerewet menyebabkan perkara senang menjadi sukar dan yang ringan menjadi berat.
    11. Suami tidak suka isteri yang kasar dan garang sama ada terhadap suami dan anak-anak.  Isteri yang terlalu garang akan menyebabkan suami dan anak-anak menjauhkan diri daripadanya.
    12. Isteri yang tidak menjaga penampilan diri, comot dan tidak kemas tidak akan mampu menarik perhatian suami.  Isteri yang sentiasa kemas dan memakai haruman lebih disayang suami.
    13. Suami akan merasa terabai jika isteri mementingkan kerjaya higga mengnepikan rumah tangga dan keluarga.  Berilah perhatian pada keluarga, pasti kamu sentiasa bertahta di hati mereka.
    14. Isteri yang tidak menjaga pergaulannya dengan lelaki lain akan menimbulkan rasa tidak senang dan cemburu pada suami malah boleh menggugat keamanan rumah tangga.
    15. Isteri yang kuat berleter akan timbulkan suasana yang tidak tenang kepada suami, terutamanya pada waktu pagi.  Carilah masa yang sesuai untuk berbincang dan suami akan merasa dia dihargai.
    16. Curiga yang keterlaluan terhadap suami perlu dikawal kerana tuduhan melulu boleh mengeruhkan keharmonian rumah tangga serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada suami.
    17. Memaksa suami mengalah ketika berselilih hanya memberi keuntungan untuk jangka masa pendek bagi isteri kerana suami akan memendam perasaan marah yang berterusan.(sumber: Buku 'Isteriku sayang, curahan Hati Suami', Mohd. Subhan MA)

    KEMURUNGAN: PUNCA DARIPADA IBU BAPA...


    TIDAK salah ibu bapa meletakkan harapan tinggi terhadap anak mereka tetapi ada kalanya pengharapan yang tiada batasan itu menyebabkan hidup anak tertekan hingga membantutkan semua perkembangan dirinya. 

    Berdepan dengan anak yang menghadapi masalah tekanan disebabkan sikap ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak mencapai kecemerlangan sedangkan kemampuan anak tidak sampai ke arah itu, membuatkan saya rasa terpanggil untuk membicarakan isu ini.
    Banyak kes yang dibawa untuk mendapatkan rawatan kerana sikap anak yang tiba-tiba berubah dan tidak mahu mendengar kata, rupa-rupanya membongkarkan kepincangan hubungan ibu bapa dengan anak.
    Malangnya, dalam kebanyakan kes, ibu bapa tidak tahu mereka punca sebenar perubahan berlaku dalam diri anak. Justeru, apabila anak mula bertindak di luar jangkaan, pelbagai alasan dicari, malah anak turut dipersalahkan.

    Ada ibu bapa yang datang untuk mendapatkan rawatan memberitahu anak mereka menghadapi gangguan tetapi apabila dirawat, anak itu sebenarnya bebas daripada sebarang gangguan. Sebaliknya, selepas diselidik, anak itu mengalami kemurungan kerana gagal memuaskan hati ibu bapanya.

    Anak itu berasa tertekan kerana gagal menggembirakan ibu bapa apabila keputusan peperiksaan tidak cemerlang seperti diharapkan. Tanpa menyedari kekurangan anak itu, ibu bapa terus memberi tekanan dengan harapan menggunung tinggi.

    Kemurungan adalah gangguan kepada perasaan seseorang disebabkan tekanan yang tidak dapat dikawal hingga menyebabkan trauma yang akhirnya menjadi bebanan kepada jiwa. Disebabkan itu, seseorang mula menjadi pendiam atau pemarah.
    Dalam dunia moden hari ini, semua kita inginkan yang cepat dan yang bagus saja. Begitu juga ibu bapa, inginkan anak melakukan yang terbaik tetapi lupa memikirkan kebolehan atau kehendak anak itu sendiri.

    Justeru, berlaku pertembungan antara dua kehendak yang berlainan dan yang memikul semuanya adalah anak. Hingga ada kes, seorang anak terus mengalami tekanan walaupun usia sudah menjangkau 30-an.

    Kini, anak itu trauma apabila mendengar ibunya bercakap kerana ada saja yang tidak kena atau si ibu akan terus memaksa anaknya melakukan perkara tidak disukainya. Disebabkan tidak tahan dengan sikap ibunya, anak berasa tertekan dan tidak mahu bekerja.

    Selalunya, apabila kes kemurungan dibawa kepada saya, ibu bapa berpeluang mendengar sendiri luahan hati anak mereka. Ada yang boleh menerima dan tidak kurang yang masih berdepan sindrom penafian, sukar mengakui hakikat mereka punca anak berubah sikap.

    Ada masanya ibu bapa perlu mendengar apa yang ingin diperkatakan anak dan cuba memahami anak mereka. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia itu berbeza warna kulit, paras rupa, sikap dan kelebihan dirinya.

    Semua itu ada sebab musababnya dan ini sepatutnya diberi perhatian ibu bapa. Bukan hanya menetapkan apa yang boleh dan tidak untuk si anak tanpa memberi peluang mereka menggilap kelebihan diri berdasarkan keupayaan dimiliki.

    Jika anak berminat dengan kerja mekanikal, jangan dipaksa anak itu mengambil jurusan pengurusan atau perniagaan. Ia di luar minat dan kemampuan mereka. Apabila dipaksa juga, itu yang akhirnya menimbulkan masalah.

    Ada anak yang sedaya upaya memenuhi hasrat ibu bapa kerana tidak mahu menghampakan mereka tetapi semua itu dilakukan secara terpaksa. Kebenarannya, diri mereka tidak bahagia dan merasakan hidup hanya untuk memenuhi kehendak orang lain.

    Anak juga mempunyai perasaan tetapi kebanyakan ibu bapa jarang memikirkan perasaan anak sebaliknya sentiasa menekankan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Kepada ibu bapa, ada masa renungkan hubungan dengan anak, adakah mereka benar-benar memahami anak mereka.

    Itu belum cerita mengenai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya dan aktiviti masing-masing hingga melupakan terus tanggungjawab terhadap anak. Kekurangan kasih sayang dan perhatian juga boleh menyebabkan anak berdepan gangguan perasaan.

    Anak adalah amanah Allah dan menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan amanah itu terpelihara. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah Al-Anfal, ayat 28)

    Apabila Kahlifah Muawiyah bertanyakan mengenai anak kepada Al-Afnaf bin Qias, maka dijawabnya: “Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tempatnya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar dibalasnya dengan cinta pula dan dihargai kepayahan kita.”(sumber:Ashraf Muslim,Bharian, 18/7/11)