22 April 2011

SAJAK: KEKASIH

KEKASIH

 Kemaraukah padang hatimu
tanpa suara menyebut hadirku
ingin kurenjis dingin embun
kembang kelopak di halaman mawarmu

dan andai hati
ada tersimpan monumen sejati
kembalikan nostalgia
dalam sendu peribadi

apakah masih di kalbumu
kerana mimpi musim lalu
detik tempat pertemuan
telah menghiris sukma
dalam diari dan cenderaloka

ahh, ketika kita
mengutip bunga bunga sepi
antara selokan waktu demi waktu
dalam ceritera seindah bianglala
merakam kisah insaniah
dalam nafas rahsia
engkau pun membasahi diri
dalam alunan lagu pasti

ahh, saat-saat begini
tiba-tiba aku kembali
menjadi anak di gendungan ibu
menghirup impian dan realiti
yang kumengerti semuanya ini
hanya misteri syahdu
dari hari ke hari.


Dr. Rajiee Hadi
Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan,
1991-1992.
(Perempuan, Oktober 1992)

KESIHATAN MENTAL MASYARAKAT PERLU DIBERIKAN PERHATIAN SERIUS

 


SATU perkara yang merunsingkan kita semua apabila dianggarkan ramai penduduk di negara ini akan mengalami pelbagai bentuk gangguan berkaitan kesihatan mental menjelang tahun 2020.
Ini adalah anggaran yang telah dinyatakan oleh sebuah laporan akhbar pada 17 Ogos tahun 2005 di mana pada tahun 2020 itu nanti, penyakit mental dianggarkan akan menjadi penyakit nombor satu negara.

Negara kita telah melalui tempoh masa hampir 30 tahun sejak Kementerian Kesihatan memulakan satu kajian buat julung kali dikenali sebagai Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan iaitu bermula pada tahun 1986. Berdasarkan kepada hasil kajian berkaitan yang terkini iaitu yang ketiga pada tahun 2006, didapati trend gangguan kesihatan mental yang mengundang kepada pelbagai gejala penyakit mental di kalangan rakyat menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ia menjadi amat serius apabila diberitakan oleh satu laporan akhbar bertarikh 20 Mac 2011 di mana setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia akan menjadi gila. Jika benar dan andai gila itu dirujuk kepada skizofrenia, maka seorang dari lima individu negara ini akan menghidapi skizofrenia. Begitu juga jika gila itu ditakrifkan sebagai post partum depression (gila meroyan), maka akan ada seorang dari setiap lima orang wanita yang lepas bersalin itu akan gila meroyan.

Dan jumlah ini belum termasuk lagi bagi kategori gila judi, epilepsi (sawan atau juga gila babi) dan sebagainya. Memandangkan negara kita mempunyai 27 juta penduduk, ini bermakna di negara kita sekarang ini sudah sedia ada seramai 5 juta orang gila, sama ada gila skizofrenia, gila bipolar, gila kemurungan, gila meroyan, gila babi atau gila judi.

Walau apa jua jenis gila, terutamanya gila yang dikatakan berpunca akibat daripada stres atau tekanan, permasalahan hidup dan sebagainya, ia tetap mampu menjejaskan kesihatan mental dan akan semakin bertambah pada setiap masa. Sudah pasti apabila kestabilan kesihatan mental itu terjejas, maka risiko untuk menghidapi penyakit mental (full blown mental illness) juga akan turut meningkat.

Dari segi patologi penyakit mental, pada peringkat awalnya, ia lebih menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai gangguan kesihatan mental. Gangguan ini biasanya adalah kecil dan ringan sahaja, tidak mendatangkan kesakitan atau kepayahan yang ketara dalam kehidupan harian individu itu. Akibatnya ia seringkali diabaikan dan kurang diberi perhatian.

Namun ia sebenarnya mampu meningkatkan lagi risiko seseorang itu untuk menghidapi penyakit mental yang lebih serius jika rawatan awal tidak diberi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes seperti ini, keputusan bagi mendapatkan rawatan penyakit mental biasanya adalah keputusan terakhir dan sudah terlewat serta apabila penyakit itu telah mencapai tahap serius. Akibatnya, usaha pemulihan menjadi lebih sukar.

Jika ditinjau lagi anggaran jumlah pesakit mental di negara ini berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut yang mengatakan kini terdapat seramai 5 juta pesakit mental di negara ini, tetapi jumlah kes penyakit mental yang dirujuk untuk rawatan di hospital-hospital kelolaan Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kepada kita bahawa tidak sampai suku juta pun.

Bagi mereka yang prihatin dalam isu kesihatan mental masyarakat, situasi ini sememangnya pasti akan mencetuskan kehairanan dan suatu tindakan yang bersungguh-sungguh serta agresif mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Kajian dan pemerhatian perlu segera dijalankan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pendekatan tunggu dan lihat serta berdiam diri hanya akan memburukkan lagi keadaan dan akan menghalang sebarang usaha bagi mewujudkan penjagaan kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat.

Dalam beberapa kajian oleh negara-negara maju berhubung kurangnya masyarakat yang menggunakan perkhidmatan kesihatan mental mendapati ia berpunca dari stigma negatif terhadap penyakit dan pesakit mental. Malah, stigma negatif ini diwarisi dan tersebar ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.
Persepsi negatif masyarakat ini merupakan punca utama betapa tegarnya masyarakat dalam menafikan hak mereka sendiri untuk memperbaiki keadaan kesihatan mental mereka.

Walaupun beberapa usaha untuk mengurangkan stigma dilakukan, seperti mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental ke dalam sistem penjagaan kesihatan utama negara telah dimulakan, namun keadaan yang serupa tidak berlaku di dalam sistem komuniti setempat.

Perlu ada usaha untuk mengintegrasikan sistem perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti yang diterajui oleh pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa dan Kerajaan Tempatan, Pusat Kesihatan Kecil atau Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Persatuan-persatuan Penduduk, NGO, dan sebagainya.
Mekanisme pelaksanaan usaha ini perlu difikirkan bersama di peringkat nasional agar integrasi sistem ini di dalam komuniti berjaya, bukan sahaja menjamin kesihatan mental yang baik masyarakat, tetapi juga mengurangkan stigma berkaitan. (sumber: UM, 22/4/11)

ANTARA TUDUNG DAN CAWAT BESI

 

PRAGUE, Republik Czech kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas.Walaupun usia bandar ini sudah 10 abad, namun bangunan bersejarahnya masih dipelihara.

Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini.

Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga. Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini.

Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang. Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.

Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekular, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah. Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.

Dalam Islam, agama mengatasi mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”. Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.

Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk menggergaji dari celah kelengkang orang yang dihukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi saw pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu.

Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi saw: “Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”. Antara yang yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas.

Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut. Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang Eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus. Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah.

 Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan ‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat. Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka.

Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga. Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain? Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala.

Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaan. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung. Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.

Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini. Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.(sumber:  Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin)