06 Oktober 2011

KEMURUNGAN: PELAJAR


Kajian Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental mendapati ramai pelajar sekolah menengah di negara ini mengalami masalah tekanan, keresahan dan kemurungan yang tinggi, disebabkan pelbagai faktor termasuk peperiksaan dan masalah keluarga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian di enam sekolah seluruh negara itu dilakukan dari April hingga September lalu membabitkan 6,540 pelajar dengan 4.8 peratus daripadanya didapati mengalami tekanan teruk, 17.1 peratus keresahan teruk dan 5.2 peratus kemurungan teruk. Namun katanya, kajian Projek Rintis Program Minda Sihat Menangani Stress Di kalangan Murid Sekolah itu tidak pula mengkaji faktor penyumbang kepada keadaan berkenaan, cuma mungkin disebabkan masalah keluarga, peperiksaan dan persekitaran sekolah. “Pada dasarnya, kami akui peratusan pelajar yang menghadapi masalah ini agak tinggi, tetapi kita gembira kerana dapat mengesan masalah ini lebih awal, sekali gus membolehkan kita mengambil pencegahan awal sebelum keadaan semakin teruk. “Seramai 2,345 atau 36 peratus pelajar sudah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental manakala 279 guru dilatih mengenal pasti dan mengendali masalah emosi, tingkah laku dan masalah mental pelajar,” katanya.(sumber : Harian Metro , 06/10/11)
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ramaipelajarmurung/Article/index_html