16 September 2011

AWAS: PEMINTA SEDEKAH WARGA ASING



  LELAKI disyaki  warga Pakistan  menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakamkan selepas dikesan meminta derma anak yatim di Yan.
LELAKI disyaki warga Pakistan menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakamkan selepas dikesan meminta derma anak yatim di Yan.
Rakyat Pakistan raih RM400 sehari perdaya orang ramai bantuan anak yatim

YAN: Kegiatan meminta derma di kalangan warga Pakistan dengan menggunakan sijil kebenaran palsu yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah, kini bergerak aktif di beberapa daerah di negeri ini sejak sebulan lalu.Difahamkan, dengan sijil palsu berkenaan, peminta derma terbabit mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari hasil kutipan daripada penduduk setempat, kononnya untuk membantu anak yatim di negara asalnya.
Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu. - Mohamed Hassan, Pesara tentera.
Bagi meraih simpati orang ramai, warga Pakistan itu menunjukkan beberapa keping gambar yang didakwa anak yatim dari negaranya yang memerlukan bantuan segera.

Tinjauan Berita Harian baru-baru ini di daerah ini turut menemui seorang warga Pakistan berusia 30-an sedang menjalankan kegiatan mengutip derma dengan mengunjungi rumah penduduk setempat.

Lelaki yang mendakwa tidak berapa fasih berbahasa Inggeris itu turut menunjukkan sekeping gambar bangunan lama yang didakwanya asrama anak yatim yang perlu dibaik pulih, selain menunjukkan sekeping salinan surat dari JAIK kononnya memberi kebenaran mengutip derma di negeri ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, dia melarikan diri ketakutan selepas menyedari kegiatannya terbongkar, selain menutup muka bagi mengelak gambarnya diambil. 
Seorang pesara tentera, Mohamed Hassan, 51, mendakwa sejak kebelakangan ini ramai warga asing terutama warga Pakistan datang meminta derma di sekitar daerah ini, kononnya membantu anak yatim.

“Saya percaya ini adalah jalan untuk mereka mendapatkan wang secara mudah, yang mana dalam sehari mereka boleh mendapat antara RM300 ke RM400 dengan penipuan itu,” katanya.

Mohamed berkata, dia berasa ragu-ragu apabila didatangi peminta derma lelaki warga Pakistan, namun terpaksa menghulurkan derma bagi mengelak daripada terus diganggu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohidin, 44, mendakwa peminta derma rakyat asing itu juga sering mengganggu urusan orang ramai.

“Kita tengah sibuk bekerja, dia datang berceloteh panjang sambil meminta derma untuk anak yatim di negaranya. Bagi saya lebih baik saya memberi sumbangan anak yatim di negara ini daripada anak yatim yang tidak pasti kewujudannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIK, Datuk Khairudin Zin, ketika dihubungi mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak terpedaya dengan peminta derma warga asing berkenaan.

Katanya, JAIK tidak lagi membenarkan warga asing mengutip sebarang derma di negeri ini, kecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang dibenarkan oleh antara dua kerajaan.

“Saya percaya surat salinan JAIK yang dibawa peminta derma warga asing itu adalah palsu kerana kami sudah tiga tahun tidak mengeluarkan surat seumpama itu kepada warga asing,” katanya. (sumber:tiubbocor@blogspot.com)

12 September 2011

SIFAT-SIFAT WANITA SOLEHAH

DI ANTARA sifat-sifat wanita yang baik atau wanita solehah yang menjadi sumber kebahagiaan di dunia ialah seperti berikut:
1.   sentiasa taat kepada Allah dan Rasul.
2.   Sentiasa mengutamankan amalan-amalan yang boleh membantu menegakkan agama Allah.
3.   Sentiasa membantu perjuangan lelaki dalam menegakkan agama Allah, membela kebenaran dan takwa.
4.   Berbuat baik kepada ibu bapa.
5.   Sentiasa berderma dan berinfak ke jalan Allah dan jalan kebajikan.
6.   Sentiasa berbaik-baik dan menyenangkan hati jiran.
7.   Tidak pernah berdua-duaan (berkhalwat) bersama lelaki ajnabi.
8.   Tidak berhias menyerupai wanita jahiliah seeprti mewarnakan dan mengerintingkan rambut dan lain-lain.
9.   Menutup aurat.
10  Tidak keluar rumah bersedirian tanpa ditemani oleh sumai atau maharam atau wanita yang baik.
11. Menjaga akhlak di rumah dan luar rumah.
12. Sifat dan tiangkah laku menyenangkan hari suami.
13. Sentiasa melayani suami dengan kemesraan atau menyambut suami dengan layanan yang menyenangkan hati suami.
14. Tidak keluar ruah tanpa izin sumai. Jika kelaur rumah hanya dengan izin suami dan kerana ada keperluan yang dibenarkan syarak serta dalam keadaan menutup aurat dan dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah.
15. Taat dan sentiasa berbakti kepada suami.
16. Tidak mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyakiti hati suami.
17.Sentiasa diredai oleh suami kerana akhlaknya yang baik atau setelah melakukan kesalahan segera memohon maaf dan memohon keredaan suami.
18. Melakukan empat perkara secara istiwamah dan dengan penuh keimanan ; iaitu sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan dan juga menjaga diri dan taat suami.
19. Bersifat penyayang keapda anak-anak .
20. Berhati-hati menggunakan harta suami dan menggnakanan dengan penuh amanah.
21. Takut untuk melanggar perintah Allah dan perintah suami.
22. Tidak bercakap dengan nada manja dan menawan orang lain selain suami.
23. Tidak pernah menolak hajat suami (untuk berjimak)  tanpa mengira masa dan tempat, walau pun ketika berada di atas belakang unta.
24. Sanggup melakukan apa sahaja untuk memuliakan suami.
25. Sabar

KELEBIHAN MELAYAN SUAMI

DALAM rumah tangga , para wanita (isteri ) tidak dibebani dengan tugas mencari nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya . Semuanya adalah tugas suami selaku ketua dalam rumah tangga.  Bahkah di dalam rumah tangga dan persekitarannya sahaja para wanita diberi peluang oleh Allah untuk menjadi mulia dan mendapat darjat yang tinggi di akhirat.

Terdapat hadis bahawa Rasulullah SAW perang suatu ketika pernah melarang wanita yang hendak turut serta mengiringi jenazah, kerana inginkan pahala lebih.  Kepada para wanita itu Nabi Muhammad SAW nasihakan , maksudnya:" Lebih baik kamu tidak ziarahi dan iringi mayat kerana ia tidak mendatangkan apa-apa pahala."  Lebih baik kamu tinggal di dalam rumah dan berkhidmat kepada suami kamu, nescaya kamu akan mendapat pahala sama seperti pahala ibadah kaum lelaki."

Pernah suatu ketika , sekelompok para wanita berpakat sesama mereka untuk menuntut kelebihan pahala sama sepertimana yang diperolehi oleh kaum lelaki.  Mereka merasakan lelaki diberi peluang berjihad dan melakukan kerja-kerja lain di luar rumah tentu,  mereka  tidak mendapat peluang sedemikian, tentu sedikit mendapat ganjaran pahala.  lalu mereka mencalonkan beberapa orang sakil untuk menemui Rasulullah SAW untuk menuntut hak kelebihan ganjaran pahala.  Kepada wakil mereka Rasulullah SAW menjelaskan , sabda Baginda, maksudnya; "Sampaikan berita ini kepada semua wanita bahawa jika mereka taat kepada suami masing-masing dengan kesedaran iman pahalanya seimbang dengan jihad fi sabilillah kaum lelaki di luar rumah.  Akan tetapi sedikit sekali di antara kamu yang melaksanakannya."

Terdapat suatu kisah seorang wanita Bani Israil di zaman nabi Musa A.S diberi karomah oleh Allah kerana ia memuliakan suaminya.  Kisah yang diriwayatkan oleh Sabit Al-Bannnaniy patut menjadi ikhtibar kepada kaun wanita sekalian. Kata Sabit; "Seorang wanita Bani Israil yang buta sebelah matanya sangat ikhlas berkhidmat kepada suaminya.   Ketika ia menghidang dan melayani sumainya makan, ia sendiri yang memegang pelita untuk menerangi suaminya makan. Pada suatu malam, pelitanya kehabisan sumbu dan tidak ada benda untuk digantikan.  Lalu ia mengambil rambutnya sendiri dan dijadikan sebagai sumbu pelita tersebut, demi untuk melayani suaminya yang sedang makan.  Melihatkan keikhlasan hatinya memulikan suami sehingga sanggup mengorbankan rambutnya sendiri, maka Allah dengan kasih sayang Nya telah menyembuhkan matanya yang buta itu , mejadi normal. (sumber:Buku:  Ciri-Ciri Wanita Yang Membawa ke Syurga)

10 September 2011

DATUK HASSAN AHMAD : SEBUAH PUISI AKHIR


Dr Rajiee Hadi   
(Al-Fatiha, kembali pada 31 0gos 2011)

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Di penghujung hayat   dalam degup kebangkitan rakyat
Nafas bara cintamu sebuah tamadun bahasa berdaulat
Tinta perjuangan tamadun bangsa mengangkat darjat
Di gedung dewan bahasa di persada dunia kata-katamu keramat

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Anak jati Muar putera Johor Parit Sakai
Mewarisi jejak Abdullah Munsyi ,Zaaba Pendeta
Syed Nasir panglima bahasa pasal satu lima dua
Obor dinyalakan buat solidariti muda di saf hari muka

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Gerakan mansuhkan sebuah minda yang dijajah
Dengan pena dan sinis lembut  suara bernas hujahnya
Segala logika semantik kata makna sebuah pembinaan bangsa
Erat bahasa lestari jiwa  resah Melayu yang kian rebah

Meninggalkan sebuah nama besar, Datuk Hassan Ahmad
Teknorat rakyat yang rela turun bersuara di jalan raya
Birokrat marhaen yang sejati kasih akan bahasa ibundanya
Kerdil tubuh degup usia dikemudikan bahtera nusa
Sebuah perjuangan anak bangsa buat selama-lamanya!

Muar, Johor.
31 0gos  2011.
(sumber: Harakahdaily, 10/9/11

FITNAH: BAHAYA BESAR


Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi mukmin yang sejati dan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal Alamin.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hambanya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.
Namun dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, samada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, samada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri. Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.
Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan samada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, samada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11 tafsirnya:
"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan".
Diriwayatkan daripada Huzaifah Radiallahu Anha, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)".
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, samada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya. Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari samada benar atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain".
Ahli jumaat yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu perisriwa di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab 'Sirah' Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam sebagai 'Hadisul Ifkhi', bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasalam iaitu Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha.
Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah difitnah oleh orang-orang 'munafik' yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu. Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah Radiallahu Anha di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al-Nuur ayat 19, tafsirnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian".
Muslimin yang berbahagia,
Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab diakhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada hari kiamat.
Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Yarabal Alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 tafsirnya:
"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan".
(Teks khutbah Jumaat di atas dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam yang dibacakan di seluruh masjid negara itu pada 10 Jun lalu. Rujuk: http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=464)

08 September 2011

TIPS: MENGANJURKAN RUMAH TERBUKA

AMALAN  menganjutkan rumah terbuka atau menjemput tetamu  (saudara mara, rakan taulan, jiran tetangga ) dianjurkan dalam Islam asalkan tidak melanggar syariat yang dibenarkan. 

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Dibawah ini, Ummi Nessa sediakan beberapa tips rumah terbuka mengikut Islam
1.   Tidak menjemput golonan kaya sahaja, yang miskin atau kurang   berkemampuan juga wajib diraikan bersama
            
2.   Tidak menjemput tetamu hanya melalui pesanan ringkas atau laman sosial sedia ada kerana   akan menimbulkan kekeliruan kepada tetamu kebenaran jemputan tersebut.

3.   Tetamu yang  berpuasa hendaklah berbuka kerana menghormati tuan rumah dan kerana mereka masih mendapat pahala berpuasa tersebut.

4.   Tuan rumah hendaklah menyediakan makanan dan minuman yang halal.

5.   Tidak mengadakan aktiviti maksiat dan elakkan pergaulan  lelaki dan wanita yang bukan muhrim tanpa batasan.

6.   Tuan rumah  hendaklah menyedikan tempat yang mencukupi dan sesuai bagi tetamu.

7.   Jangan menghidangkan hiburan yang melalaikan  sehingga meninggalkan solat.

 Ummi Nessa harap tips berguna ini dapat menjadi panduan kepada kita.

SOLAT: MENDIDIK BUDAYA HIDUP BERDISPLIN DAN HARGAI MASA

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu ialah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Semua amal ibadat manusia disukai dan diterima oleh Allah. Ibadat adalah jambatan menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Hasil pelaksanaan ibadat dapat meningkatkan darjat ketakwaan ke hadrat Allah di samping menggilap kualiti jiwa kemanusiaannya.

Semakin baik dan ikhlas ibadat seseorang Muslim, maka semakin dekat hatinya kepada Allah dan semakin baik hubungannya sesama manusia.

Petikan al-Quran: Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. - Surah al-Ankabut, Ayat 45
Untuk berhubung secara terus dengan Allah tidak memerlukan sebarang alat komunikasi canggih, memadailah seorang Muslim bermunajat pada bila-bila masa dan di mana juga melalui ibadat solat. Solat itu tiang agama dan kemuncak nilai atau etika kehidupan Muslim.

Rasulullah menganjurkan umatnya melaksanakan ibadat solat tepat pada waktunya. Baginda SAW pernah ditanya oleh Ibnu Mas’ud: “Apakah amalan yang paling afdal? Jawab Baginda: Menunaikan solat tepat ada waktunya. Kemudian Ibnu Mas’ud bertanya lagi: Selepas itu, apa pula? Jawab Baginda: Berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Akhirnya Rasulullah ditanya lagi: Kemudian, apa lagi? Ujar Baginda: Berjihad pada jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Antara hikmah solat ialah mendidik umat hidup dengan budaya ‘tepat pada waktunya’ sekali gus menggambarkan pentingnya masa dalam kehidupan seorang Muslim. Di samping itu, ibadat solat juga melatih umat hidup secara tertib dan berperaturan.

Fungsi solat juga sebagai penawar ketenangan hati di samping membersihkan jiwa dan raga daripada sebarang kekotoran.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat adalah penyejuk mata hati Baginda.

Kesan yang paling besar terhasil daripada pelaksanaan ibadat solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas, ia berupaya menghalang seseorang Muslim daripada keinginan melakukan kemungkaran, baik tindakan mahupun perkataan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat (dengan tekun), sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Firman ini secara jelas menegaskan solat penawar atau jalan penyelesaian ampuh untuk mencegah amalan tidak bermoral dan jenayah yang membarah dalam kehidupan manusia sejagat. Dalam erti kata lain, ibadat solat tonggak mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup umat Islam.

Sesaat seorang hamba Allah berdiri tegak menunaikan ibadat solat, dia tidak boleh menoleh ke kanan mahupun kiri melainkan meluruskan pandangan wajahnya ke arah tempat sujud.

Mereka juga terikat dengan ikrar dibaca dalam solat, inilah solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Mu ya Allah Tuhan sekalian alam.

Ibadat solat jika dilaksanakan dengan sempurna dan ikhlas akan memantulkan ketenangan hati, keimanan mapan dan ketrampilan akhlak yang terpuji.(sumber:Bharian,8/9/11)

07 September 2011

NOVEL CINTA: FANTASI ATAU REALITI

NOVEL cinta, walaupun kerap dianggap sebagai penuh angan-angan, tidak logik atau mempunyai ‘nikmat’ yang sementara, namun dari sudut pemasaran ia jauh lebih besar pasarannya dan mengungguli kebanyakan carta jualan laris di pasaran hampir di seluruh dunia.
Misalnya di Amerika, statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Penulis Novel Romantik Amerika merekodkan, penjualan novel cinta menguasai pasaran pengguna jauh lebih tinggi berbanding novel dalam genre lain. Untuk 2009 saja, fiksyen cinta mencatat imbuhan sehingga USD1.36 bilion ( RM4.04 bilion) dengan 9,089 tajuk baru terbit pada tahun sama. Tahun lalu, pendapatan itu menyusut sedikit kepada USD 1.358 bilion (RM4.03 bilion) dengan jumlah pembaca melebihi 74.8 juta orang.
Rekod jualan itu diikuti oleh buku agama atau inspirasi yang mencatat jualan USD770 juta (RM2288juta), misteri USD674 juta (RM2002juta) dan sains fiksyen USD554juta (RM1646juta). Jualan yang laris ini memperlihatkan kebanyakan novel cinta mengungguli carta laris di pasaran di New York Times, USA Today dan Publishers Weekly. Menjadikannya lebih laris apabila sesetengah novel itu juga difilemkan.

Tidak dinafikan, novel cinta laris kerana kebanyakan pembaca adalah perempuan. Namun, ia bukan bermaksud pembaca perempuan itu adalah golongan remaja saja, sebaliknya kajian di Amerika mendapati, 44 peratus daripada mereka adalah wanita berusia antara 31 hingga 49 tahun.

Di Malaysia, keadaan itu tidak jauh berbeza. Meskipun pembaca perempuan (kebanyakannya remaja) dikaitkan dengan larisnya novel cinta, namun tiada kajian khusus tentang pecahan pembaca dilakukan.

Apa yang boleh dilihat adalah saban minggu, novel cinta yang menduduki carta jualan di pasaran di rangkaian kedai buku seperti MPH dan Popular.
Nama seperti Aisya Sofea, Siti Rosmizah, Noor Suraya, Sharifah Abu Salem, Salina Ibrahim, Noorhayati Berahim adalah antara penulis yang kerap mengungguli carta jualan laris di pasaran setiap kali naskhah terbaru mereka memasuki pasaran.

Bagaimanapun, kebelakangan ini beberapa penulis baru yang mencuba-cuba bakat dalam penulisan novel cinta turut berada dalam senarai jualan laris di pasaran seperti Areila Sahimi dan Suri Ryana.

Tidak dinafikan, novel cinta lebih laku apabila didramakan, difilemkan atau diterbitkan serentak dengan penyiaran drama seperti yang berlaku pada novel Kasih Yang Suci karyan Meen Zulaikha (disirikan menerusi drama Nora Elena), Ombak Rindu (Fauziah Ashari) dan Stanza Cinta (Nurull Halawati).

Menghasilkan novel cinta atau istilahnya novel popular itu tidak salah.
Bagaimanapun, bagi novelis Amiza Khusyri cinta dalam naskhah novel itu biar berpadanan dengan cerita dan sebaiknya bukanlah fokus utama dalam penulisan.
“Cinta itu fitrah dan penting dalam hidup. Bila ada cinta, maksudnya agama ini adalah agama berjemaah dan mementingkan ukhuwah. Begitu juga dalam penulisan.
Cinta tetap penting dalam penulisan, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana penulisan menjadi agen pengubah masyarakat, bagaimana penulisan boleh menjadikan ummah ini diamnya fikir dan kata-katanyanya zikir,” katanya.

Selain itu, naskhah popular juga tidak sewajarnya bercerita soal cinta semata-mata kerana ada banyak isu lain yang boleh diangkat dan lebih tidak wajar sesetengah penulis turut menyelitkan babak panas kononnya sebagai taktik melariskan jualan, tidak kiralah ia membabitkan watak suami isteri atau bukan.

“Melambakkan adegan panas dalam penulisan melambangkan apa yang penulis itu baca dan secara tidak langsung menyumbang kepada ‘fahishah’ atau kemungkaran yang menular dalam masyarakat. Sebenarnya, membentuk masyarakat bertamadun dan berperadaban melalui ilmu pengetahuan menjadi tanggungjawab dan amanah. Malah atas setiap apa yang kita tulis bakal menjadi persoalan di hadapan Allah kelak.
Setiap tulisan itu adalah warisan, apakah kita mahu mewariskan maksiat untuk anak cucu kita baca?,” soalnya.

Menurut Amiza Khusyri dalam Islam pun Nabi Muhammad SAW seorang yang pemalu. Justeru, cerita dalam bilik biarlah suami isteri yang tahu.

Bagi penulis yang dikenali dengan novel cinta, Noor Suraya Adnan Sallehudin atau Noor Suraya, aspek cinta perlu disuntik di dalam penulisan.

“Untuk saya, kalau tiada cinta diselit-selitkan dalam novel ada kala ia sangat hambar namun tidak molek juga novel itu didirikan dengan tema cinta seratus peratus. Sebaliknya jadikan cinta itu sebagai alat untuk menyampaikan mesej.
Cinta yang diselitkan juga mestilah cinta yang membina,” katanya.

Untuk Noor Suraya, teknik penulisan itu pelbagai, manakala penyampaian cerita juga berlapis-lapis.

“Dalam sebuah novel, ada cinta, ada cerita berlapis-lapis. Kalau seseorang itu mahu membaca kisah cinta saja, itulah yang dia dapat. Lapisan kedua dan ketiga dia tidak akan nampak. Macam novel, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck oleh Hamka, kalau pembaca mahu melihat cinta hanya itulah yang dia dapat. Tapi novel itu didirikan juga dengan kritikan pada sistem budaya Minangkabau. Begitu juga Sitti Nurbaya oleh Marah Roesli yang mengangkat persoalan emansipasi wanita,” katanya.

Noor Suraya sendiri cukup dikenali dengan novel cinta, namun jujurnya dia lebih gemar kalau setiap novelnya diklasifikasikan sebagai novel kasih sayang.

“Saya pun tidak akan baca novel yang mengangkat kisah cinta seratus peratus. Saya lebih tertarik pada karya yang ada menyelit kisah cinta, tetapi dibalik-balik cinta itu sebenarnya ada persoalan lebih besar yang diangkat,”
Mengenai novel cinta yang menyelitkan juga babak kemesraan watak suami isteri sebagai strategi melariskan novel, baginya kalau mahu menulisnya, tuliskan dengan sopan dan hadkan.

“Jangan tulis terlalu terperinci. Kita perlu sedari, walaupun mungkin novel itu ditulis untuk pembaca dewasa, tetapi kita tidak tahu di luar sana mungkin ada remaja yang membacanya. Jangan fikir semua pembaca kita orang dewasa. Adegan panas sebaiknya janganlah ditulis atau hadkan. Kita yang menulis, kita tahu apa yang baik atau tidak. Editor juga boleh buang bahagian yang tidak sepatutnya,” tegasnya. (sumber:Bharian:7/9/11)