27 Januari 2011

Permata Negara campur urusan kementerian lain






Dr Rajiee Hadi   
DALAM bajet 2011 yang diumumkan Oktober lalu, PM Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini memberi peruntukan sebanyak RM111 juta daripada Perbendaharaan  kepada projek Permata Negara (PN)  2011 yang dipromosikan oleh isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Bayangkan seandainya RM111 juta itu diberikan bantuan kepada pelajar-pelajar bumiputera  dan pelajar-pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), alangkah bagusnya mententeramkan jiwa generasi muda agar boleh menumpukan pengajian sepenuhnya tanpa memikirkan masalah kewangan yang boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.
Projek PN disasarkan untuk  melatih kanak-kanak yang dikatakan pintar di peringkat prasekolah. Projek ini seolah-olah mempertikaikan atau memperlekehkan program prasekolah yang kini telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Bahkan program prasekolah juga telah sedia diwujudkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga & Masyarakat (KPWKM) di bawah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas.
Program PN seolah-olah kelangsungan kelas lompat kanak-kanak pintar yang terpaksa dibatalkan pelaksanaannya setelah projek printisnya menemui kegagalan semasa Najib Razak selaku Menteri Pendidikan ketika itu. Apakah ini adalah manifestasi kelangsungannya semula?
Projek PN juga memberi impak pada jangka masa panjang. Apa tidaknya, ini melebarkan kelas sosial dalam struktur masyarakat. Walhal Falsafah Pendidikan Negara itu mahu merapatkan segala jurang perbezaan yang mana menuju ke arah perpaduan. Kita tidak mahu projek ini memisahkan dunia kanak-kanak dengan dunia realti sebenarnya.
Bahkan harus diingat; pendidikan itu proses sepanjang hayat. Pintar di tahap permulaan bukanlah bermakna penentu di penghujungnya. Jangan kerana nafsu besar golongan dewasa, anak-anak kecil diajar dengan taraf kelas sosial antara yang kaya dengan miskin, yang di bandar dengan luar bandar, anak-anak menteri dengan anak pembantu am rendah,yang pintar dengan yang lembam dan sebagainya.
Projek PN juga bagaikan mencampuri urusan pendidikan yang sepatutnya di bawah seliaan KPM. Kita tidak mahu kerana campur tangan banyak pihak, anak-anak kecil akan menjadi mangsa perlumbaan, pergelutan dan pergeseran dek politiking pihak atau individu yang berkepentingan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
(Sumber : Harakahdaily, 27 Januari 2011)



KOMUNIKASI TUNJANG UTAMA KSSR


Oleh: DR. RAJIEE HADI


 TRANSFORMASI  kurikulum persekolahan merupakan usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi cabaran abad ke -21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat penandaarasan  dengan kurikulum negara  maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan setanding dengan pendidikan global.

Melalui transformasi kurikulum ini Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR) diperkukuh serta ditambah baik dan dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR) yang mula dilaksanakan secara berperingkat mulai 2011 ini.


 Justeru  berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan mengekalkan prinsip KBSR maka penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk, organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk membangunkan KSSR yang antara lain tunjangnya ialah aspek pengukuhan kemahiran komunikasi.


Bagi mengukuhkan kemahiran komunikasi, sandaran adalah berdasarkan teori psikologi pengajaran bahasa yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) lisan mestilah diutamakan sebelum mengajar aspek kemahiran bacaan dan penulisan. Kemahiran dalam lisan memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa para pelajar. Apatah lagi dari sudut psikolinguistik wujudnya perhubungan antara bahasa dengan pemikiran. Pemikiran melibatkan simbol tertentu. Kebiasannya simbol ini ialah lambang-lambang pertuturan tertentu yang merupakan perkataan. Maksudnya jika murid tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang luas maka mereka tidak dapat berfikir dengan jelas.

Oleh itu bersandarkan lisan adalah kemahiran asas bagi bahasa pertama yang dikuasai oleh murid normal.  Sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis khususnya murid Tahun Satu di semua sekolah rendah seluruh negara wajar diberikan penekanan utama dalam kemahiran komunikasi lisan KSSR. Sementelahan pula kurikulum ini berpaksikan kepada prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk
semua murid dan berkonsepkan pendidikan seumur hidup.

Dalam komunikasi, penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi menjadi keutamaan guru ketika proses P&P berlangsung dalam bilik darjah. Sehubungan dengan ini guru sewajarnya berupaya menyampaikan isi pelajaran, pengetahuan, idea, maklumat, nasihat dan tunjuk ajar kepada murid dengan tepat tanpa menimbulkan salah faham, kekeliruan dan kekaburan.Yang nyata, sudah semestinya guru itu menggunakan bahasa yang betul, sesuai dan sempurna tatabahasanya.

Ketika kemahiran lisan difokuskan oleh guru dalam P&P, aspek kemahiran mendengar dan bertutur hendaklah diberikan penekanan utama. Dalam kemahiran mendengar guru hendaklah  sentiasa memastikan apa yang murid faham dan ingat dengan melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Manakala kemahiran bertutur ialah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dihasilkan daripada artikulator manusia dan merupakan kemahiran interaksi dalam suasana berbahasa.

Dalam hal ini aspek asas seperti sebutan, tekanan, mora (panjang-pendek),jeda (persendian), intonasi, nada, tatabahasa, kelancaran, kefasihan dan laras bahasa wajar diberikan penekanan oleh guru khususnya guru bahasa. Dalam erti kata lain, aktiviti lisan seperti perbualan, bercerita, lakonan, berpuisi, melaporkan berita, menyanyi, bacaan bersuara/lantang, bercakap berdasarkan gambar, perbincangan adalah aktiviti yang membolehkan murid mengamalkan bahasa dalam bidang komunikasi yang  mana paling hampir dengan kehidupan seharian mereka.

Kesimpulannya aspek komunikasi yang menjadi salah satu tunjang utama KSSR adalah wadah penting dalam transformasi pendidikan ini. Apatah lagi komunikasi ialah proses penyampian maklumat daripada satu pihak kepada satu pihak lain. Keberkesanannya bergantung kepada maklum balas dan seterusnya tindak balas antara guru-murid. Apa yang diharapkan komunikasi yang berkesan juga akan dapat mengubah cara berfikir individu terutamanya dalam perlakuan dan tindak-tanduk seseorang. Dengan ini natijahnya  akan memberikan impak positif dan menggalakkan penglibatan murid-murid secara aktif dan dinamik.
(Sumber : Majalah Pendidik , Januari 2011)