11 September 2013

MODUL AB202 BAB 4

4.1 ISU MORAL MASA KINI
Secara umumnya isu moral merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara. Dan kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah moral yang melibatkan remaja. Dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih di alam persekolahan. Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.
Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalangan remaja di negara ini adalah semakin serius. Tindak tanduk mereka yang agak liar dan ganas memberi gambaran seolah-olah wujud satu penentangan untuk meminggirkan nilai dan norma generasi tua. Banyak kejadian dan kes yang melibatkan remaja berlaku dan mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak, namun pelbagai usaha yang dilakukan masih belum mendatangkan hasil.

4.1.1 KONFLIK REMAJA MASA KINI

Faktor-Faktor Keruntuhan Moral Remaja
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena keruntuhan moral di kalangan remaja. Antaranya ialah :


1. Kurangnya asuhan dan didikan agama/kepercayaan oleh keluarga
Ibubapa adalah model kepada anak-anak dalam apa jua aspek kehidupan tetapi dalam soal keagamaan ianya seolah-olah diabaikan. Justeru itu, akan lahirlah generasi baru yang bertindak liar dan bersikap individualistik.
2. Pengaruh suasana dan persekitaran yang mendesak

Kebanyakan remaja yang tinggal di bandar mengamalkan kehidupan individualistik dan materialistik. Oleh itu, dalam mengejar kemewahan mereka sanggup berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan baik buruknya sesuatu perkara itu. Akibatnya, terjadilah kejadian mencuri, melacur, samun dan peras ugut untuk mendapatkan wang yang tidak mereka perolehi daripada ibubapa mereka.
3. Tekanan perasaan yang dialami remaja

Sesetengah remaja mengalami tekanan perasaan ketika di rumah akibat perceraian atau pergaduhan ibubapa yang menyebabkan anak-anak merasa tidak selesa berada di rumah dan membuatkan mereka lebih suka berada di luar dengan melepak dan bergaul dengan kawan-kawan tanpa menimbang baik buruknya.
4. Gagal dalam pelajaran

Remaja yang terkandas dalam pelajaran mempunyai masa lapang yang banyak. Oleh itu, mereka bergaul dengan rakan-rakan yang juga tidak bersekolah, dan bermula dari situlah mereka berkenalan dengan rokok, dadah, pil ecstasy, pusat-pusat hiburan dan aktiviti lumba haram serta berjudi. Kegiatan tersebut memerlukan wang yang akan mendorong mereka melakukan kegiatan haram seperti mencuri, samun, merompak dan menculik.
5. Pengaruh Media Massa

Remaja merupakan golongan yang mudah dipengaruhi. Tayangan televisyen ataupun filem-filem di pawagam mempunyai pengaruh yang amat besar kepada mereka. Filem atau drama yang dihasilkan mengikut cara hidup Barat menggambarkan seolah-olah kehidupan rakyat negara ini dengan masyarakat Barat mempunyai persamaan. Ini menyebabkan remaja mudah terpengaruh kerana beranggapan bahawa gaya hidup remaja Barat yang lebih menjerumus kepada individualistik dan tidak menghormati orang tua adalah tidak salah dari segi agama dan budaya Malaysia.
6. Perkembangan teknologi moden

Perkembangan teknologi moden seperti penggunaan komputer, ipad, ipod, smartphone dengan internet memudahkan remaja mendapat hiburan yang tidak sesuai dengan jiwa mereka. Malahan mereka boleh memperolehi maklumat berhubung bahan-bahan lucah melalui cakera padat dan video yang tidak ditapis di pasaran gelap atau melalui rakan-rakan.
Cadangan Untuk Mengatasi Gejala Keruntuhan Moral Remaja
Di dalam menangani permasalahan remaja ini, adalah tidak wajar untuk kita menyalahkan mana-mana pihak secara total. Oleh yang demikian, seluruh masyarakat tidak kira siapa sahaja harus memainkan peranan dalam memastikan remaja masa kini memiliki nilai moral yang terpuji, bertanggungjawab dan berdedikasi.
Pihak-pihak yang patut memainkan peranan adalah :
1. Ibubapa
Golongan remaja dianggap sebagai kumpulan individu yang sedang berada di dalam zaman yang penuh dengan keributan dan tekanan perasaan. Kedudukannya adalah pada tahap memikirkan tujuan kehidupan. Maka, ibubapa seharusnya memahami keadaan ini dan menyesuaikan diri dengan pengaruh emosi anak-anak mereka. Mereka haruslah membina hubungan yang mesra dengan anak-anak untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia yang akan membentuk masyarakat penyayang seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. Di samping itu, ibubapa juga perlu menjadi model kepada anak-anak mereka. Didikan agama dan duniawi yang seimbang boleh menjadi pedoman dalam hidup mereka agar mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang akan mereka lakukan.

2. Guru
Guru ialah pihak kedua yang paling hampir dengan remaja. Mereka hendaklah menekankan nilai-nilai murni dalam pengajaran supaya pelajar-pelajar dapat diasuh dan dibimbing ke arah keperibadian tinggi dan mempunyai sifat-sifat mulia.
3. Masyarakat
Setiap ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membanteras masalah sosial yang berlaku. Masyarakat yang bertindak sebagai pemerhati harus peka dalam memberikan nasihat yang sepatutnya kepada remaja kita yang bertindak liar. Sikap individualistik yang ada pada diri kita perlulah dikikis, dan sikap penyayang perlu ditanamkan dalam diri setiap anggota masyarakat.
4. Media Massa
Pihak media perlu memainkan peranannya baik media cetak ataupun elektronik. Akhbar dan majalah hendaklah memperbanyakkan bahan-bahan yang lebih bercorak ilmiah. Begitu juga dengan televisyen hendaklah lebih banyak menayangkan filem-filem yang boleh merangsang pembinaan insan yang baik.
5. Remaja sendiri
Remaja perlu mengubah pandangan dan sikap mereka supaya lebih prihatin dan dapat menyesuaikan diri dengan nilai dan norma yang ditetapkan oleh agama dan masyarakat. Kebebasan tetap ada tetapi harus pandai menyesuaikannya dengan nilai-nilai dan norma-norma yang baik.

4.1.2 GEJALA LEPAK

Gejala lepak ialah amalan berkumpul tanpa arah tujuan, berbuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah oleh golongan remaja. Kita dapat memperhatikan ramai remaja suka berlepak di kawasan-kawasan seperti pusat membeli-belah, pusat permainan atau lebih popular dengan nama Kafe Siber. Kegiatan ini bukan sahaja dilakukan oleh remaja lelaki tetapi juga remaja perempuan.

4.1.3 MASALAH PERGAULAN BEBAS
Pergaulan bebas merujuk kepada gaya pergaulan tanpa batas di antara lelaki dan perempuan yang menimbulkan banyak masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Ia juga merupakan segala bentuk perlakuan manusia yang bertentangan dengan nilai-nilai moral masyarakat dan agama serta akal murni kemanusiaan. Pergaulan yang melampaui batas-batas yang telah ditetapkan akan mengundang perkara-perkara yang tidak baik atau maksiat. Ia merupakan penyebab utama kepada pelbagai bentuk keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang terjadi dalam masyarakat seperti fenomena kehamilan dan kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, pelacuran, bohsia, bohjan, lesbian, gay dan sebagainya.
a. Bersekedudukan

Bersekedudukan bermakna lelaki dan perempuan yang tinggal bersama seperti suami isteri tetapi tanpa ikatan perkahwinan secara sah.
Kajian menunjukkan bahawa kes bersekedudukan banyak berlaku di kalangan generasi muda di kawasan bandar berbanding dengan di luar bandar. Konsep ‘tinggal bersama tanpa nikah’ diterima oleh ramai pasangan muda dan menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana memberi peluang kepada mereka mencuba keserasian kedua-dua pihak untuk tinggal bersama sebelum menjadi suami isteri yang sah. Jika wujud ketidakserasian antara mereka yang mungkin menjejaskan keharmonian untuk hidup bersama, mereka dapat berpisah tanpa sebarang ikatan.
Namun demikian, bersekedudukan dianggap tindakan yang tidak bermoral dan perlu dijauhi kerana ia tidak mematuhi prinsip moral yang bersifat mutlak dan sejagat. Kebanyakan agama melarang pengikutnya bersekedudukan, sebaliknya menggalakkan perkahwinan dan berkeluarga. Malahan, perbuatan ini tidak sepatutnya berlaku di negara kita yang berpegang pada agama sebagai tunjangnya.
Secara keseluruhan, bersekedudukan akan menyebabkan berlakunya :
1. Keruntuhan akhlak
2. Wujudnya anak luar nikah


3. Pembuangan bayi akibat perzinaan
4. Merebaknya pelbagai penyakit merbahaya
5. Banyaknya andartu serta lelaki yang terus membujang
6. Berlakunya keruntuhan rumahtangga kerana perkara-perkara yang remeh

b. Sumbang Mahram
Sumbang Mahram atau inses merujuk kepada perbuatan zina yang dilakukan antara ahli-ahli keluarga yang ada pertalian darah / nasab (keturunan) dengan mangsa. Sumbang mahram boleh berlaku antara saudara yang sama jantina mahupun berlainan jantina. Ia juga boleh berlaku antara saudara kandung, ibu bapa dengan anak-anaknya, serta antara saudara-saudara dewasa. Sebagai contoh ayah merogol anak, datuk merogol cucu, abang merogol adik dan seumpamanya.
Dalam kebanyakan dunia Barat, sumbang mahram secara amnya merujuk kepada hubungan seks yang dilarang dalam keluarga. Bagaimanapun, takrif tentang keluarga berbeza-beza. Di dalam Amerika Syarikat, perkahwinan antara sepupu diharamkan di sesetengah negeri, tetapi adalah sah di sisi undang-undang di negeri-negeri yang lain. Manakala bagi sesetengah masyarakat timur, seperti kaum Cina yang sangat mementingkan adat dan adab, sumbang mahram dikira terjadi meskipun perbuatan zina dilakukan bersama ahli keluarga angkat.
Golongan Yang Menjadi Sasaran
Dengan peningkatan kadar penceraian, lebih ramai kanak-kanak terdedah kepada risiko yang lebih tinggi bagi mengalami sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan yang tinggal serumah akan terdedah kepada risiko yang lebih tinggi untuk penganiayaan seksual oleh bapa tiri berbanding bapanya sendiri.
Faktor-Faktor Sumbang Mahram
1. Tahap iman / pegangan agama yang lemah
2. Batas pergaulan dan hubungan dalam keluarga
3. Hilang kawalan diri dengan mengikut hawa nafsu (seperti ketagihan dadah atau alkohol)
4. Pakaian yang mengghairahkan / seksi semasa berada di rumah

Kesan Sumbang Mahram Terhadap Mangsa
Ramai mangsa sumbang mahram tidak melaporkan perbuatan ini kerana khuatir ayah/saudara mereka mendapat kesusahan, contohnya dipenjarakan. Kadangkala terdapat juga ibu-ibu yang tidak menyokong anak mereka jika pesalah adalah orang yang menyara keluarga.
Sebilangan besar mangsa mengalami kesan-kesan negatif yang serius sehingga memerlukan terapi apabila mereka meningkat dewasa. Sumbang mahram boleh mengakibatkan kerosakan psikologi yang serius kepada saudara kandung yang lebih muda. Sumbang mahram boleh juga merosakkan atau memusnahkan sama sekali ikatan saudara kandung.
Antara kesan-kesan negatif :
1. Hilang kepercayaan pada orang lain
2. Takutkan hubungan intim
3. Murung
4. Rasa ingin bunuh diri
5. Tingkah laku yang merosakkan diri sendiri
6. Keyakinan diri yang rendah
7. Rasa bersalah dan marah
8. Rasa terasing dari keluarga / masyarakat
9. Penyalahgunaan dadah
10. Masalah pemakanan
11. Masalah personaliti

Kesan negatif yang serius biasanya terjadi jika mangsa:
 tidak meminta bantuan
 tidak mendapatkan sokongan dan kaunseling
 dianiaya dalam jangka masa yang lama

c. Hubungan Sejenis

Maksud hubungan sejenis iaitu amalan seks sejenis antara lelaki ataupun perempuan (gay atau lesbian), di mana hubungan tersebut menjadi sangat rapat batin walaupun tidak sepenuhnya.
Sebelum ini kita hanya sering mendengar berita atau laporan mengenai pasangan sejenis di negara barat. Kita juga sering kali mengeji, mengecam dan mengutuk perbuatan menjijikkan itu, kerana kita tidak dapat menerimanya dengan logik akal. Namun, apa yang kita dengar selama ini sudah sampai ke negara kita, Malaysia.

Hubungan sejenis bukan sahaja menyalahi undang-undang negara kita, malah dalam agama Islam dan agama-agama lain. Perbuatan ini dipandang sebagai gejala yang sangat dikeji dan dosa besar kerana menentang fitrah. Justeru, peranan institusi keluarga khususnya ibubapa perlu diperkukuh supaya gejala seperti ini tidak merebak dan memastikan anak-anak tidak terjerumus dalam aktiviti songsang seperti ini.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi sebab terjadinya gejala ini, di antaranya:
1. Semakin kurangnya didikan agama yang diberikan oleh ibubapa, sehingga remaja tidak mampu membezakan kebaikan dan keburukan suatu perkara.

2. Hubungan yang terlalu rapat dan akrab di antara dua perempuan / lelaki, sehingga menimbulkan rasa kasih sayang di antara keduanya dan menyalahgunakan tali persahabatan, lantas mencapai tahap lesbian ataupun gay.

3. Kurang pengawasan dan curahan rasa kasih sayang dari keluarga, sehingga remaja mencari kasih sayang di luar melalui saluran-saluran yang salah.

4. Perempuan yang bersikap tomboy ataupun lelaki yang agak lembut, sekiranya kurang pegangan iman yang kuat akan menaruh perasaan terhadap teman sejenis, sehingga akan menimbulkan gejala penyakit songsang tersebut.

5. Sikap ibubapa yang terlalu menginginkan anak lelaki, tetapi mendapat anak perempuan (atau sebaliknya). Lantas diberikan layanan dan perhatian selayaknya anak yang diinginkan, secara tidak sedar boleh mempengaruhi mental dan naluri anak tersebut apabila nanti menjadi dewasa.

6. Remaja yang kecewa di dalam percintaan, sehingga hilang keyakinan terhadap lawan jenisnya. Dalam hal ini wujud teman sejenis untuk menenangkan dan sebagai tempat mencurahkan perasaan, sehingga timbul rasa kasih sayang antara satu sama lainnya.
Hubungan sejenis adalah penyakit sosial yang sukar diatasi dan dihapuskan apabila sudah terjebak dan terperangkap di dalamnya. Penyakit ini bukan saja menyerang dan melanda golongan remaja saja, malah mampu menembusi golongan dewasa yang profesional dan berpendidikan tinggi. Tanpa campur tangan pemerintah dan pihak-pihak tertentu dalam memberikan bantuan dan kesedaran kepada golongan ini, gejala penyakit ini akan sukar dibanteras dan ditangani.

4.1.4 PENGGUGURAN HARAM DAN PEMBUANGAN BAYI

Kes pengguguran haram dan pembuangan bayi sama dengan penyakit sosial lain, akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat penyayang. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut jika nilai kemanusiaan diketepikan.
Pengguguran haram bermaksud penamatan proses kehamilan manusia sebelum cukup 9 bulan yang mengakibatkan kemusnahan janin. Manakala pembuangan bayi adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke tempat yang tersembunyi tanpa rasa belas kasihan. Undang-undang negara kita seperti kebanyakan negara lain turut mengharamkan pengguguran dan pembuangan bayi kerana ia adalah satu jenayah. Malah, mereka yang terbabit dalam kes berkenaan boleh didakwa.
Pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja oleh media elektronik, di samping berleluasanya penyebaran video pornografi dan gambar lucah dalam masyarakat menjadi punca utama mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada gejala pengguguran haram atau pembuangan bayi.
Lazimnya, mereka yang sanggup membuang bayinya membabitkan kes kehamilan di luar nikah. Ada yang mengambil jalan mudah dengan menggugurkan kandungan sebelum perut membesar bagi mengelakkan maruah tercalar.
Pengguguran haram boleh memberi implikasi besar kepada kesihatan individu berkenaan kerana biasanya dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah atau tanpa prosedur perubatan yang wajar. Mereka terbabit berisiko tinggi menghadapi kematian berikutan pendarahan dan jangkitan pada rahim atau bahagian peranakan. Mereka juga terdedah kepada kesakitan pada saluran pembiakan sekaligus boleh mengakibatkan kemandulan. Itu kesan pada diri sendiri, tetapi ia boleh juga memberi kesan pada mental dan emosi selepas mendirikan rumah tangga. Individu berkenaan juga boleh mengalami masalah psikologi khususnya kemurungan terutama apabila sudah berumur kerana sering terfikir mengenai kandungan yang pernah dibuang itu.
Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan taman rekreasi dan sebagainya menjadi tempat di mana bayi-bayi malang ini ditemui. Kanak-kanak kecil ini dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.
Islam dan agama utama lain di Malaysia mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk membasmi gejala berkenaan, seperti menganjurkan kempen, pertunjukan, mengenakan hukuman seperti yang lebih berat kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin berleluasa.

Hakikatnya, diri remaja itu sendiri sahaja yang mampu mengubah segalanya, sama ada mereka ingin memilih jalan yang betul atau tidak. Sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan generasi muda untuk mengubah sikap mereka.
4.1.5 GENGSTERISME DAN VANDALISME

Gengsterisme
Gengsterisme atau gejala samseng adalah sejenis salah laku di kalangan generasi muda yang tidak pernah selesai semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Ini adalah kerana golongan remaja mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Majoriti daripada gengster merupakan lelaki dan ahlinya mempunyai latar belakang etnik yang sama. Kini isu gengsterisme menjadi bertambah serius apabila semakin ramai pelajar perempuan dikesan terlibat dengan gejala ini.
Gengster merujuk kepada mereka yang bergerak dalam suatu kumpulan, kelompok yang biasanya terbabit dalam aktiviti haram yang membawa kepada penyelewangan tingkah laku dan kerosakan akhlak seperti peras ugut, memukul orang dan jenayah bersenjata. Hubungan yang pada mulanya tidak sehaluan akan menukar menjadi ikatan yang lebih erat ditambah dengan semangat setia kawan serta mengamalkan tradisi kumpulan.
Punca-punca
1. Kawasan persekitaran dan tempat kediaman yang tidak kondusif

Kawasan kediaman yang sesak, tidak teratur dan tidak selesa untuk pembesaran dan perkembangan diri remaja mudah menimbulkan perasaan tidak selamat. Hal ini menyebabkan segelintir remaja lebih suka menghabiskan sebahagian besar masanya di luar rumah. Tempat kediaman seperti rumah pangsa, perkampungan dan penempatan terancang seperti FELDA, didapati terdapat pembabitan remaja dalam akiviti gengsterisme yang timbul dari pergaulan sesama sendiri.

2. Ibubapa gagal memberikan bimbingan dan perhatian

Kesibukan ibubapa mencari rezeki untuk menampung kehidupan yang semakin mendesak mengakibatkan sesetengah remaja hidup dalam keadaan terbiar. Terdapat ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah. Sesetengah ibubapa langsung tidak mengambil tahu tentang kegiatan dan rakan anak. Keadaan ini secara tidak langsung mendorong anak-anak mereka bergaul dengan kumpulan rakan sebaya yang tertentu sahaja, seperti kumpulan gengster untuk mendapatkan sokongan moral atau berkongsi masalah.
3. Pencapaian akademik yang rendah

Didapati bahawa pelajar yang lemah dalam bidang akademik mempunyai risiko yang tinggi untuk menyertai kumpulan gengster. Sesetengah pelajar tersebut cuba untuk mendapatkan perhatian, pengiktirafan, status dan mempunyai “kuasa”. Mereka menggabung diri dengan kumpulan gengster untuk membolehkan diri mereka berasa mempunyai identiti yang tersendiri.
4. Pengaruh media massa

Maklumat dan informasi sama ada positif atau negatif dari media massa berbentuk bercetak ataupun elektronik yang kini semakin sukar untuk dikawal pengedarannya. Pengaruh negatif yang dibawa oleh media massa dalam kalangan pelajar memang sukar dikawal. Remaja terpengaruh dengan filem yang tidak bermoral dan ganas yang diimport dari negara-negara lain.
5. Pengaruh rakan sebaya

Pengaruh rakan sebaya yang kuat ketika zaman remaja menjadikan sebilangan kecil menjurus kepada pembentukan kumpulan geng. Pembentukan kumpulan ini secara umumnya telah membawa kepada pembentukan budaya sendiri dalam kalangan remaja, di mana mereka ingin memelihara budaya khususnya ciri-ciri kumpulan masing-masing. Perkara ini menjadi faktor yang membawa kepada wujudnya gengsterisme dan kumpulan samseng.

Kesan – Kesan Gengsterisme
1. Membawa kesan negatif kepada sekolah

Kewujudan kumpulan-kumpulan gengster dalam kalangan remaja memberi impak dan pengaruh negatif kepada sekolah. Ahli-ahli kumpulan gengster sering melakukan kegiatan-kegiatan ganas di sekolah sehingga ia boleh mengganggu dan melemahkan seluruh perjalanan sekolah. Ada sekolah dijadikan pusat aktiviti gengster untuk pengambilan ahli-ahli baru. Mereka juga memberikan perlindungan kepada ahlinya dan menakut-nakutkan pelajar lain serta melibatkan diri dalam perlakuan-perlakuan jenayah. Ini seterusnya menjadikan iklim di sekolah tidak selamat dan pihak pengurusan, guru-guru dan pelajar-pelajar sering berada dalam keadaan ketakutan kerana ada yang tidak bersalah menjadi mangsa ganas gengster.
2. Mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran

Salahlaku pelajar memberi impak secara langsung ke atas kualiti pendidikan yang diberikan di sekolah. Aktiviti gengsterisme yang wujud di sekolah-sekolah, jika tidak dikawal akan menimbulkan gangguan terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam sekolah. Unsur-unsur gengsterisme itu juga memesongkan kumpulan pelajar dari terlibat secara aktif dan bersungguh-sungguh dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kegagalan menangani masalah ini secara segera dan berkesan boleh menggagalkan usaha mencapai matlamat pendidikan negara.
VANDALISME
Vandalisme adalah membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan, mengotorkan harta benda awam atau harta peribadi orang lain. Lazimnya perbuatan ini dilakukan oleh golongan remaja kerana mereka mudah terpengaruh dengan kegiatan vandalisme.
Kegiatan vandalisme telah dilakukan oleh beberapa kategori remaja iaitu:
1. Remaja yang hanya ingin mengecapi keseronokan berbuat demikian. Mereka mungkin berbuat demikian sekadar untuk menghabiskan masa lapang
2. Remaja yang mengalami konflik jiwa yang hebat. Remaja yang hidup tidak puas hati dengan keadaan diri dan masyarakat merasakan dunia ini tidak

bermakna. Kekosongan jiwa dan kesunyian menyebabkan mereka melakukan vandalisme untuk menarik perhatian orang ramai
3. Golongan remaja yang dilamun cinta. Vandalisme yang dilakukan oleh golongan ini bertumpu di taman-taman, tepi pantai dan tempat rekreasi. Golongan ini dikuasai dorongan emosi diri

Faktor-Faktor Berlakunya Vandalisme Dalam Kalangan Remaja
i. Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea, termasuklah melakukan vandalisme.
ii. Ibubapa dan Keluarga

Ibubapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Contohnya, ketika memandu ibubapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau dari kereta.
iii. Pengaruh Media Massa

Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut apa yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.

iv. Sikap Apati (tidak peduli), Individualistik dan Materialistik Masyarakat

Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Kesan Vandalisme
1. Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai dan akan menjejaskan nama baik negara kita
2. Kos yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat yang telah diconteng / dirosakkan. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang bukannya sedikit
3. Vandalisme juga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Sekiranya didapati kedai orang Cina diconteng oleh remaja Melayu atau India, berkemungkinan ia akan menimbulkan konflik dan pergaduhan antara kaum. Ini akan menyukarkan lagi usaha mewujudkan perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, sekaligus mengancam keselamatan dan kestabilan negara

Langkah – Langkah Mengatasi
1. Kuasa Pihak Sekolah

Pihak sekolah perlu diberikan peruntukan kuasa yang lebih besar untuk mengambil tindakan yang setimpal terhadap kesalahan gengsterisme atau vandalisme yang dilakukan oleh pelajar. Gejala berkenaan sangat mencabar kesabaran dan kecekalan pihak pengurusan sekolah. Malahan cabaran juga dihadapi dari segi kebolehan guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, kebolehan kaunseling dan pengawalan oleh guru-guru disipilin di sekolah.
2. Pemantauan ibubapa

Peningkatan kes tersebut memerlukan ibubapa melakukan pengawalan, pengawasan dan pemantauan terhadap gerak-geri anak-anaknya. Ibubapa perlu mengambil berat tentang segala aktiviti yang dilakukan di sekolah dan di luar sekolah. Ibubapa hendaklah mengambil inisiatif untuk mengetahui tingkah laku anak-anak di sekolah melalui perjumpaan dengan guru-guru dan pengetua sekolah.
3. Kerjasama semua pihak

Kerjasama semua pihak termasuk ibubapa dan para pelajar sekolah serta tidak terkecuali media massa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan untuk sama-sama mewujudkan satu persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang bebas daripada unsur-unsur keganasan dan gengsterisme. Walaupun masalah gengsterisme belum lagi menjadi satu sindrom yang membudaya di sekolah, namun, fenomena yang berlaku ini tetap membimbangkan dan memerlukan pencegahan serta penyelesaian oleh semua pihak.
4. Mengetatkan undang-undang
Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tidak ada peruntukan undang-undang untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.
Akta Mahkamah Juvana 1947 perlu dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat ke atas pesalah juvana. Hukuman seperti penjara dan rotan perlu diberikan pertimbangan olah pihak yang berkuasa. Walaupun hukuman penjara tidak boleh menyelesaikan sepenuhnya kes yang berkaitan dengan gejala tersebut, tetapi sekurang-kurangnya hukuman ini boleh dijadikan sebagai salah satu alat kawalan untuk mengurangkan pembabitan pelajar.
Pendidikan Moral
AB202
90
5. Iklim persekolahan yang tenang dan kondusif
Sekolah hendaklah mewujudkan iklim persekolahan yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Pentingkan pengukuhan disiplin dalam kalangan pelajar di semua peringkat persekolahan. Cara-cara untuk melahirkan keadaan yang kondusif termasuklah konsep sekolah penyayang, amalan “zero-defect”, penerapan nilai-nilai murni dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga dikawal secara tertutup pada waktu sekolah dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah. Pihak sekolah perlu menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa.
4.1.6 PENYALAHGUNAAN DADAH

Maksud Penyalahgunaan Dadah
Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan bahan yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya, yang merangkumi alkohol, tembakau, kokain, marijuana (ganja), dadah-dadah perangsang, LSD dan inhalan (bahan yang disedut). Penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah yang berlebihan. Pada kebiasaannya ia akan mendatangkan perasaan gembira melampau atau ketagih bertujuan lari daripada kenyataan yang akhirnya boleh mengganggu kehidupan seharian.
Sebarang dadah boleh digunakan secara sah dari segi perubatan sekiranya ia dipreskripsikan atau diberikan oleh doktor. Contohnya pesakit kanser yang dirawat dengan morfin untuk menghilangkan penderitaan sakit kansernya hingga beberapa tahun, tetapi ia tidak mendatangkan kesan ketagihan padanya. Penyalahgunaan dadah ditakrifkan sebagai satu perlakuan yang tidak berfaedah dan tidak diterima oleh masyarakat umum. Penggunaan bahan yang tidak sah (sama ada dadah atau alkohol) untuk mengubahsuai atau mengawal emosi atau keadaan minda secara membahayakan diri sendiri dan orang lain dianggap sebagai salahguna.
Faktor - Faktor Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan masalah yang berlaku dalam setiap lapisan masyarakat. Ia juga melibatkan golongan berpendidikan tinggi, ahli-ahli
Pendidikan Moral
AB202
91
profesional di samping mereka yang tidak berpendidikan dan penganggur. Di antara dadah-dadah yang sering disalahgunakan termasuklah kanabis (ganja), morfin, candu, kokain, amfetamin, ekstasi, heroin, nikotin dan daun ketum.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh meningkatkan risiko penyalahgunaan dadah:
1. Faktor biologi

Salah satu tanggapan yang salah mengenai konsep kehidupan moden ialah, jika anda sakit, terdapat pelbagai pil atau ubat-ubatan yang mampu 'memulihkan' anda. Malangnya pil tidak boleh menyelesaikan semua masalah anda. Selalunya, perubahan dalam pengambilan diet, gaya hidup, pergaulan dengan rakan gaulan ataupun etika kerja boleh membawa kepada perubahan yang positif dan kelainan yang berpanjangan berbanding dengan ubat-ubatan.
2. Faktor psikososial

Kehidupan moden sangat sibuk dan merumitkan. Kadangkala arus kehidupan yang terlalu pantas menyebabkan ramai yang kurang mampu untuk menanganinya. Bagi kanak-kanak dan golongan remaja, tekanan untuk membesar dengan cara yang mereka rasakan betul adalah amat mencabar. Tiada siapa yang memiliki imuniti terhadap tekanan atau stres dan kerungsingan. Tekanan yang biasa dihadapi termasuklah tekanan dari sekolah, tekanan untuk berjaya di dalam permainan dan sukan, tekanan untuk memuaskan hati orang lain dan juga tekanan untuk sentiasa diterima ramai.
3. Faktor sosial

Masyarakat zaman ini disogokkan dengan imej yang ditonjolkan oleh media seperti televisyen, radio, video dan internet. Adalah amat mustahak untuk menyedari bahawa apa yang ditonjolkan di dalam media ini hanyalah imej rekaan semata-mata dan tidak melambangkan kehidupan yang sebenar. Gaya hidup mereka yang mewah dan terkenal seperti yang ditonjolkan dalam dunia hiburan mampu menggoda kita semua untuk mengecapi populariti sedemikian rupa.
Pendidikan Moral
AB202
92
Tekanan untuk menjalani kehidupan yang dikatakan 'berarus deras' ini sangat menggoda kepada kebanyakan masyarakat zaman ini. Walaupun pengiklanan mahukan kita minum minuman yang tertentu serta memakai seluar berjenama seperti yang diiklankan, pilihannya masih lagi terletak di tangan kita sebagai pengguna. Begitulah juga keadaannya dalam memilih untuk menjadi perokok ataupun peminum arak.
Tanda- Tanda Dan Gejala
Berikut merupakan ciri-ciri penyalahgunaan dadah dikesan:
a. Gejala fizikal :
 Berpeluh berlebihan
 Meremang bulu roma
 Mata merah
 Pening kepala
 Loya dan muntah
 Kerap menggosok hidung
 Mengantuk
 Menggigil (tremor)
 Mengetap gigi dan rahang
 Penurunan berat badan

b. Gejala psikologi :
 Keresahan
 Kerisauan
 Kemurungan
 Insomnia - tidak dapat tidur
 Hilang selera makan
 Gangguan emosi dan perasaan

c. Gejala perlakuan :
 Sentiasa ponteng sekolah / kerja
 Penurunan prestasi pelajaran / kerja


 Mabuk semasa memandu
 Ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam
 Aktiviti jenayah
 Tidak dapat mengimbang diri
 Peningkatan tenaga

Punca Pengambilan Dadah :
 Ingin mencuba
 Terikut-ikut
 Suasana semasa
 Tekanan / cabaran dalam kumpulan
 Bagi tujuan merawat
 Meningkatkan kawalan diri dan prestasi

Kesan penyalahgunaan dadah yang berterusan akan merosakkan :
 Kebersihan dan kesihatan diri
 Kesihatan mental
 Prestasi pelajaran / kerja
 Hubungan sosial
 Status kewangan

Rawatan
Ketagihan adalah bersifat psikologi. Mereka yang telah kronik dalam penyalahgunaan dadah sukar disembuhkan. Oleh demikian, pertolongan dari mereka yang profesional amat diperlukan. Rawatan untuk ketagihan boleh didapati di hospital, klinik atau Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Rawatan termasuk :
1. Detoksifikasi

• Menghilangkan kesan dadah di dalam badan
2. Terapi kelakuan

• Menggalakkan sikap yang baik dan menghilangkan rasa pergantungan
3. Kaunseling

• Memberi motivasi dalam menangani masalah dadah dan kembali menagih

KEADAAN yang boleh mempengaruhi permulaan atau penyudah tabiat penyalahgunaan dadah
a. Status sosioekonomi
b. Pengaruh rakan sebaya
c. Pengaruh ibu bapa
d. Motivasi untuk berjaya / takut pada kegagalan
e. Pengasingan sosial
f. Percaya diri sendiri
g. Kemahiran menyesuaikan diri
h. Kemampuan bangkit dari kegagalan
i. Keupayaan mengasah kekuatan diri
j. Kematangan fikiran
k. Sokongan keluarga

4.2 MEMAHAMI ISU-ISU KEMANUSIAAN SEJAGAT
4.2.1 Isu-Isu Kemanusiaan Sejagat

Globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan telah mengundang pelbagai masalah yang menggugat kestabilan umat manusia. Apabila pengetahuan dan teknologi disalahguna, maka kehancuran yang bakal menanti. Dunia pada hari ini berhadapan dengan berbagai-bagai isu yang boleh menggugat dan mengancam populasinya. Isu-isu seperti penderaan, peperangan dan perlumbaan senjata di kalangan negara-negara berteknologi tinggi terutamanya boleh mengancam alam benua ini. Di sesetengah negara, terutamanya negara-negara dunia ketiga, isu kemiskinan dan kebuluran, pemerdagangan manusia, pendatang asing menjadi antara permasalahan utama.
a. Penderaan

Penderaan berkait rapat dengan keganasan rumah tangga. Ia melibatkan serangan, hentaman, ancaman, gangguan, ketidakadilan, kezaliman fizikal atau mental, penderaan seksual atau apa-apa perbuatan curang. Penderaan juga dikatakan berlaku apabila seseorang individu telah menyalahgunakan atau menggunakan kuasa secara sewenang-wenangnya. Kebiasaannya kekejaman ini berlaku satu hala dan dituruti oleh tindak balas yang lain.

Selain daripada itu, terdapat juga penderaan dalam bentuk lisan dan meninggalkan kesan yang mendalam seperti mencaci, mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tidak sedap didengar, mengejek dan mencerca.
Penderaan Terhadap Kanak-Kanak
Penderaan kanak-kanak merupakan satu masalah sosial yang berlaku di seluruh dunia. Ia bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak. Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun.
Penderaan fizikal dan seksual kanak-kanak
Penderaan kanak-kanak secara fizikal merupakan sesuatu yang kejam yang dilakukan oleh orang dewasa dengan tujuan menyakiti agar kanak-kanak tersebut patuh, atau pendera tersebut mengalami masalah mental, ataupun disebabkan bagi memuaskan diri mereka secara psikologi.
Kebiasaannya, penderaan seksual kanak-kanak yang berlaku merujuk kepada aktiviti seksual yang tidak dikehendaki dan dipersetujui. Penderaan seksual berlaku sama ada melalui sentuhan sehinggalah melibatkan hubungan seksual. Disamping itu penderaan seksual juga berlaku secara lisan, visual, audio atau sebarang cara yang memaksa mangsa untuk terlibat dengan kontak seksual. Ini termasuklah rogol dan cubaan merogol, pencabulan (molestation), penyakit intai, exhibitionism dan sumbang mahram.
Punca Penderaan Kanak-Kanak
Penderaan sering berlaku apabila ibubapa kurang mendapat sokongan sosial terutamanya dalam suasana kekeluargaan yang pincang, seperti mempunyai pendapatan dan pendidikan rendah serta suasana persekitaran yang tidak stabil. Begitu juga apabila ibubapa merupakan penjaga tunggal yang tidak mempunyai kemudahan untuk menjaga anak.

Kesan penderaan kanak-kanak
Kesan daripada penderaan fizikal biasanya mengakibatkan mangsa sukar untuk mempercayai orang dewasa, menjalin persahabatan yang tidak mendalam dan sering meninggalkan kawan baru jika ia merasakan bahawa ia tidak diterima. Di sekolah pula, mereka merupakan pelajar lemah, kesepian dan tidak mempunyai kawan. Penderaan emosi kerap terjadi dengan tidak ketara tetapi kesannya terhadap perkembangan fizikal dan mental di kalangan kanak-kanak sangat jelas sehingga memerlukan rawatan perubatan.
Penderaan Terhadap Wanita
Keganasan terhadap wanita bukan sahaja tertakluk kepada penderaan fizikal, tetapi meliputi juga:
i. Penderaan psikologi dan emosi

Ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita boleh meninggalkan kesan buruk sama seperti penderaan fizikal kerana ianya boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita dan keupayaan beliau mengawal kehidupan sendiri.
ii. Penderaan fizikal

Memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang dan menggunakan senjata adalah contoh jelas penderaan seumpama ini. Menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan juga merupakan salah satu bentuk penderaan fizikal.
iii. Penderaan seksual

Memaksa melakukan atau melihat sesuatu bentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut atau menyakiti wanita ketika melakukan hubungan seks.
iv. Penderaan sosial

Penderaan ini sering berlaku di dalam rumah di mana wanita sering didorong untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan daripada mendapat sokongan luar .

v. Penderaan kewangan

Seseorang wanita yang dihalang daripada mencari pekerjaan atau yang tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri sebenarnya menghadapi penderaan dari aspek kewangan.
Faktor Yang Menyebabkan Berlakunya Penderaan
1. Dadah dan alkohol

Kajian yang dibuat mendapati terdapat hubungan antara pengambilan alkohol dengan penderaan dalam rumahtangga. Individu yang mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak mempunyai kecenderungan menjadi agresif dan secara tidak langsung mendera pasangannya. Kebanyakan wanita menyebut alkohol dan dadah sebagai faktor penyebab keganasan dalam keluarga. Faktor alkohol boleh menyebabkan individu melakukan sesuatu yang bukan merupakan tingkah lakunya yang sebenar.
2. Latar belakang keluarga

Latar belakang keluarga dan pengalaman semasa kecil turut mempengaruhi sikap seseorang individu. Keadaan yang sama juga berlaku ke atas suami yang sering menganiaya dan bertindak ganas ke atas isteri mereka. Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa fenomena penganiayaan isteri dikaitkan dengan pendedahan awal terhadap kekejaman dalam keluarga.
3. Masalah sosial

Hasil daripada penyelidikan ke atas 100 orang suami (pendera), suami yang sering menganiaya isteri tidak suka bergaul dengan orang lain. Mereka berasa kurang senang dan tidak selesa apabila berada dalam kalangan sahabat handai yang lain. Mereka juga berhati-hati untuk memilih kawan rapat. Di samping itu, mereka juga mempunyai sifat tidak mempercayai orang lain dan selalu dianggap berseorangan. Suami dalam kategori ini juga tidak suka dikawal oleh orang lain, terutamanya isteri. Mereka tidak suka orang lain membuat keputusan bagi pihak diri mereka dan orang lain tidak boleh menguasai diri mereka.
4. Panas baran

Kajian yang dilakukan, seperti yang dilaporkan melalui Woman Aids Organisation mendapati salah satu sebab berlakunya penderaan adalah sikap suami yang tidak dapat mengawal rasa marah. Pendera tidak dapat mengawal emosi marahnya

walaupun atas sebab-sebab yang kecil. Faktor kecewa dan tekanan perasaan boleh menyebabkan berlaku penderaan isteri apabila suami hilang kawalan emosi.
5. Cemburu

Faktor cemburu dianggap sebagai penyebab berlakunya penderaan dalam keluarga. Kadangkala suami cemburukan isteri terutamanya apabila isteri bekerja. Lelaki yang bersifat cemburu sentiasa mengawal kehidupan pasangannya, tidak boleh melihat isteri yang berpakaian cantik terutama di hadapan orang lain. Mereka juga tidak suka isteri bercakap dengan lelaki lain yang memuji atau menggoda isteri mereka. Mereka akan marah dan akan bertindak di luar dugaan. Lelaki seperti ini selalu menyimpan prasangka dan tidak mempercayai isteri mereka sendiri. Ini menyebabkan timbul suasana tegang, krisis dan tekanan perasaan yang seterusnya menjadikan individu tersebut pemarah, bengis, kasar dan mungkin bertindak kejam terhadap pasangannya.
Penderaan Terhadap Lelaki
Penderaan bukan sahaja berlaku ke atas kanak-kanak ataupun wanita, lelaki juga boleh menjadi mangsa penderaan oleh isteri mereka. Kelemahan identiti maskulin lelaki akibat tercabar hebat oleh isteri juga boleh menimbulkan potensi suami ditindas isteri secara psikologi mahupun fizikal. Apabila peranan suami sebagai ketua keluarga terus-terusan dicabar, akibat pelbagai faktor antaranya kuasa dan kewangan seperti isteri memegang jawatan lebih tinggi serta menyumbang lebih pendapatannya kepada keluarga. Jurang status ekonomi dan sosial antara suami isteri itu boleh menjejaskan fungsi institusi keluarga terbabit jika gagal ditangani dengan bijak.
Kesan
Penderaan domestik merupakan antara jenayah yang paling sukar ditangani kerana lazimnya mangsa enggan membuka pekung dan mendedahkan keburukan suami atau isteri. Sedangkan ramai di antara mereka terpaksa menanggung kesan teruk akibat perlakuan ganas ke atas mereka, seperti trauma dan gangguan mental sehingga tidak dapat memberi perhatian di tempat kerja.

Di samping itu, mangsa penderaan selalunya berasa gelisah, takut, bimbang keluar rumah dan berjumpa rakan-rakan atau saudara atau Post Traumatic Stress Disorder (gangguan tekanan selepas trauma). Ini membuatkan mangsa sentiasa teringat dan terbayang kejadian penderaan terhadap mereka berulang-ulang kali sehingga mengakibatkan mangsa mengambil pil tidur, dadah dan alkohol untuk melupakannya.
b. Kemiskinan Dan Kebuluran

Agensi Makanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi. Peperangan, bencana alam dan pengurusan yang lembap telah menyebabkan kekurangan makanan dan zat yang berterusan di negara-negara tersebut, termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan.
Negara-negara yang berhadapan dengan krisis yang berterusan ini memerlukan bantuan bagi menghadapi masalah ini. Fokusnya tidak hanya pada bantuan kecemasan tetapi juga pada bantuan jangka masa panjang, seperti menyediakan makanan untuk sesi persekolahan atau melaksanakan program makanan untuk pekerjaan.
Negara lain yang turut mengalami krisis makanan adalah : Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara, Republik Demokratik Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea, Pantai Gading, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe.
Kebuluran adalah natijah kemiskinan, tetapi adalah benar juga bahawa kebuluran menyebabkan kemiskinan (Dr. Jacques Diouf, Ketua FAO). Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menyamakan bahawa kebuluran ialah manifestasi kemiskinan paling kritikal. Adalah dianggarkan kira-kira 1.5 bilion individu hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$1 dolar (RM3.70) sehari.
Makanan ialah keperluan asasi manusia yang paling utama. Setiap yang bernyawa sama ada manusia atau binatang memerlukan makanan. Bagi manusia, ia memerlukan hak asasi ini untuk mengekalkan tenaga, bekerja, belajar dan terus hidup. Tetapi malangnya, setiap tiga saat, pasti ada seorang yang mati kerana faktor kebuluran (Utusan, 2006). FAO mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia telah menurun daripada 1 bilion kepada 925 juta orang.
Punca
Soal kemiskinan seringkali berkait rapat dengan luar bandar dan pertanian. Di negara membangun, sekurang-kurangnya 60 peratus penduduknya bergantung kepada tanah untuk mendapatkan makanan mereka. 70 peratus mereka yang miskin dan kebuluran ini tinggal di luar bandar. Apabila begitu banyak isu bersabit dengan hak-hak tanah dan kualiti tanah bumi timbul, maka bermakna berjuta-juta orang akan kebuluran.
Kesan
Kebuluran merupakan satu-satunya ancaman yang paling asas terhadap kewujudan manusia dan juga merupakan isu moral untuk masyarakat. Kebuluran mengancam kehidupan, kesihatan, dan fungsi-fungsi kognitif. Kebuluran juga merupakan ancaman utama kepada keselamatan dan keamanan untuk kita semua, masa kini dan juga masa hadapan. Kebuluran menyumbang lebih dari separuh daripada semua kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang berjangkit di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun.
Kebuluran bukan sahaja meragut nyawa, lebih buruk daripada itu ia ‘mengambil bersama’ semangat serta keupayaan untuk bekerja dan belajar. Menurut FAO lagi, masalah kebuluran boleh merencatkan keamanan dan kemakmuran sesebuah negara selain memerangkap individu itu dalam kitaran kemiskinan yang sukar diatasi. Akibat kebuluran juga akan membawa kepada tahap kesihatan memburuk. Paling tidak diingini, kebuluran dan kelaparan diwarisi dari satu generasi ke generasi lain.

Cara membasmi kemiskinan dan kebuluran
Laporan ekonomi yang terkandung dalam kajian terbaru FAO bahawa satu-satunya cara efektif untuk membasmi kemiskinan ialah dengan menghapuskan kebuluran.
FAO menegaskan bahawa pelaburan kerajaan dan swasta kini diperlukan di kawasan luar bandar jika dunia benar-benar mahu mencapai sasaran untuk mengurangkan kebuluran menjelang tahun 2015.
Setiap tahun pada 16 Oktober, dunia meraikan hari makanan. Perlu diingatkan bahawa 17 Oktober pula disambut sebagai Hari Membasmi Kemiskinan Sedunia dalam kalendar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dalam pada itu, Hari Makanan Sedunia bukan sahaja disambut kerana pentingnya makanan buat kita semua. Ia juga sebenarnya menjadi landasan dan matlamat bagi meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai masalah kebuluran yang kini membelenggu dunia.
Kira-kira 30 buah negara menyertai projek pendidikan global bagi memberi kesedaran kepada kanak-kanak mengenai masalah kebuluran dan kelaparan. Sebagai contoh program yang dinamakan Feeding Minds, Helping Hunger, melibatkan gabungan bersama beberapa rakan antarabangsa termasuk UNESCO, Bank Dunia dan majalah Newsweek.
Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Program Makanan Sedunia (WFP) telah mewujudkan “Inisiatif untuk menghentikan kebuluran dan malnutrisi kanak-kanak” pada tahun 2006. Dalam hal ini, kita perlu membina dan meluaskan lagi perkongsian dengan pelbagai agensi yang boleh menyokong tindakan yang praktikal di peringkat kebangsaan, daerah dan masyarakat. Badan-badan organisasi sivil, NGO, institusi-institusi teknikal, sektor swasta serta pihak media harus melibatkan diri dengan pihak kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium 1 dan 2, yang bertujuan untuk menurunkan kadar populasi yang terpaksa menghadapi kebuluran dan malnutrisi menjelang tahun 2015.

Ia mestilah menjadi tanggungjawab dan objektif utama kita untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak, wanita dan lelaki, tidak kira di mana mereka menetap di dunia ini, mempunyai hak terhadap makanan. Hak terhadap makanan tidak patut hanya dapat memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja. Ia perlulah menjadi hak dan memberi manfaat kepada kepada semua orang.
c. Pemerdagangan manusia

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, pemerdagangan orang bermaksud segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan, dan termasuklah perbuatan merekrut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi.
Eksploitasi adalah segala bentuk eksploitasi seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian, apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia. (Seksyen 2, Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007). Eksploitasi yang dimaksudkan di sini termasuk penggunaan ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko dan memberi atau menerima pembayaran.
Aktiviti pemerdagangan manusia merupakan kegiatan jenayah terancang merentas sempadan. Kegiatan ini berlaku hampir di seluruh dunia dan banyak melibatkan negara maju. Kajian pada tahun 2006 yang dibiayai Kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan, kira-kira 800,000 orang dibawa melepasi sempadan negara setiap tahun. Jutaan orang yang diperdagangkan dalam negara sendiri tidak direkodkan. Kira-kira 80 peratus mangsa kajian ini terdiri daripada wanita dan gadis muda, dan 50 peratus adalah di bawah umur. Majoriti mangsa adalah wanita yang diperdagangkan bagi tujuan eksploitasi seks komersil. Jumlah ini tidak termasuk jutaan mangsa lelaki dan wanita di seluruh dunia yang diperdagangkan dalam lingkungan sempadan negara sendiri dan kebanyakannya bagi tujuan buruh paksa atau buruh tebus hutang.

Kegiatan pemerdagangan orang dianggap sebagai suatu industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi. Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti yang diaplikasikan sebagai perbuatan ‘perhambaan alaf baru’. Keunikan negara ini yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikan penyeludup memilih negara ini sebagai negara transit bagi lelaki, wanita dan kanak-kanak dari Afghanistan, Pakistan, Myanmar dan lain-lain negara berhijrah ke beberapa buah negara Eropah.
Kesedaran masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia masih lagi rendah malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan pemerdagangan orang. Istilah pemerdagangan manusia dan penyeludupan orang membawa dua maksud yang berbeza walaupun kedua-duanya kelihatan sama.
Penyeludupan orang membawa maksud mengatur, memudahkan atau merancang secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warga negara atau pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu tidak sah. Ini juga membawa maksud mengangkut, memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perkara di atas. Namun begitu tidak dinafikan aktiviti penyeludupan orang menjadi punca kepada akiviti pemerdagangan manusia kerana kebiasaannya penyeludupan orang berpotensi menjadi sebahagian aktiviti pemerdagangan manusia.
Masalah Pemerdangan Manusia Di Malaysia
Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Selain itu, kedudukan Malaysia di tengah-tengah negara Asean, menjadikannya antara lokasi strategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kedatangan pelancong dan pekerja asing di Malaysia menambahkan lagi sindiket yang membawa masuk wanita atau gadis muda bagi tujuan pelacuran dan buruh domestik.
Bukan hanya wanita, lelaki dewasa turut diperdagangkan terutama untuk pengeksploitasian buruh atau dijadikan buruh paksa. Kebanyakan mereka yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam menjadi mangsa selepas dijanjikan pekerjaan dengan bayaran lumayan sedangkan semuanya palsu.
Kanak-kanak dan bayi juga mendapat permintaan yang tinggi untuk diperdagangkan terutama bagi aktiviti meminta sedekah atau dijadikan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat sendiri.
Tindakan Malaysia Dalam Isu Pemerdagangan Manusia
Menurut statistik Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), sejak 28 Feb 2008 hingga 21 Dis 2010, sebanyak 304 kes dilaporkan membabitkan pelbagai jenis eksploitasi dan 434 orang ditahan kerana terbabit dalam jenayah berkenaan. Daripada jumlah itu, 1,930 mangsa mendapat perintah perlindungan sementara (IPO) manakala 708 lagi perintah perlindungan yang mana kebanyakan mangsa terbabit terlibat dalam eksploitasi seks (189 mangsa), perkhidmatan paksa (58), penyeludupan manusia (24) dan penjualan bayi (11).
Hal ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Menyedari masalah itu, Malaysia telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000. Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP. Langkah serius kerajaan menangani isu pemerdagangan manusia telah menaikkan taraf Malaysia ke Tahap (Tier) 2 daripada Tahap 3 dalam Laporan Senarai Pemerhatian Pemerdagangan Malaysia (TIP) 2010.

Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang dikuatkuasakan pada 15 Nov 2010. Pindaan itu bagi menangani sindiket antarabangsa yang menjadikan negara ini sebagai negara transit pemerdagangan dan penyeludupan manusia untuk membawa mangsa ke negara ketiga terutama Australia. Kebanyakan mangsa adalah dari Afganistan, Pakistan dan Myanmar yag dibawa masuk ke Malaysia terlebih dahulu sebelum ke Indonesia dan seterusnya ke Australia.
Lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Selain itu, kerajaan juga turut mengambil tindakan yang lebih teratur melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang. Pelan yang dirangka bagi tempoh lima tahun (2010-2015) adalah antara usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras masalah pemerdagangan orang.
d. Pendatang asing

Pendatang asing ialah orang mendatang iaitu orang asing yang datang atau memasuki sesebuah negara lain secara sah atau tidak sah (pendatang haram).
Di Malaysia kebanjiran pendatang asing terutamanya di sektor pembinaan dan perindustrian bermula sekitar tahun 1970-an. Selain implikasi demografi yang jelas, penghijrahan ini mempunyai kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan hubungan antarabangsa.
Pada dasarnya penghijrahan ini dilihat sebagai satu proses yang membawa faedah ekonomi bersama atau sebagai suatu masalah ekonomi dan perubahan

sosial kepada kedua-dua negara. Sejauh mana keadaan ini tercapai adalah bergantung kepada cara dan jenis penghijrahan, status buruh asing dari segi undang-undang dan juga tempoh tinggal di negara terbabit.
Buruh asing yang terdapat di negara kita sekarang boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :
1. Golongan bukan warganegara Malaysia yang telah menetap di sini serta mempunyai kad pengenalan warna merah. Mereka ini terdiri daripada berbagai-bagai keturunan dari berbagai-bagi negara seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, China dan lain-lain.

Di bawah Akta Sekatan Kerja 1968, mereka tidak dibenarkan bekerja makan gaji, melainkan mempunyai permit kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Buruh. Undang-undang yang membenarkan mereka ini mendapat pas kerja adalah tertakluk kepada alasan tertentu.
2. Golongan bukan warganegara yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport yang sah. Golongan ini dibenarkan bekerja dalam jangka masa tertentu (dua tahun) dalam bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang tidak ada pada pekerja tempatan. Apabila habis tempoh, pas atau permit mereka tidak akan disambung kecuali atas sebab-sebab yang munasabah.

3. Buruh asing yang masuk secara haram dan kebanyakan mereka bekerja di sektor perladangan, perindustrian dan pembinaan.

Faktor-Faktor Yang Mendorong Pendatang Asing Datang Bekerja Di Malaysia
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pendatang asing terutamanya dari negara jiran berminat untuk datang bekerja di Malaysia iaitu :
1. Pendapatan yang tinggi
2. Peluang pekerjaan yang banyak - rakyat Malaysia terlalu memilih pekerjaan
3. Sistem politik yang stabil dan ekonomi yang berkembang

4. Budaya dan kehidupan sosial yang lebih dekat kepada negara asal mereka
5. Persisiran pantai yang panjang dan luas – mudah untuk menyusup masuk
6. Undang-undang yang tidak ketat – hanya dihantar balik ke negara asal.

Di samping itu, terdapat pula faktor pendorong dari negara asal mereka seperti :
1. Keadaan politik yang tidak stabil
2. Ekonomi yang tidak berkembang dan kadar pengangguran yang tinggi
3. Peluang pekerjaan yang terdapat di negara mereka adalah rendah
4. Kemudahan untuk datang secara haram ke Malaysia melalui orang tengah.

Kesan Kedatangan Pendatang Asing
Kedatangan pendatang asing ke negara ini memberikan kesan-kesan yang positif dan negatif kepada kita antaranya :
Kesan-kesan Positif Pendatang Asing
1. Membantu pembangunan negara
2. Menjayakan projek-projek mega (KLIA, Bakun)
3. Menyelesaikan masalah kekurangan pekerja

Kesan-kesan Negatif Pendatang Asing
Dari Segi Sosial:
1. Masalah pengangguran rakyat
2. Mewujudkan pelbagai kegiatan tidak sihat
3. Merebaknya pelbagai jenis penyakit seperti Aids, batuk kering dan hepatitis B.

Dari Segi Ekonomi :
1. Pengaliran wang keluar negara
2. Kejatuhan upah buruh negara - persaingan akan menyebabkan kadar upah pekerja tempatan menjadi rendah
3. Beban ekonomi kepada negara - kerajaan terpaksa menyediakan tempat perlindungan dan lain-lain


Kesan Dari Segi Politik :
1. Boleh mengakibatkan krisis antara kedua-dua negara terbabit
2. Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan yang khusus untuk pembiayaan pendatang asing

Langkah-Langkah Mengatasi Isu Pendatang Asing
1. Menyekat kemasukan pendatang asing dari persisiran pantai
2. Menetapkan cukai yang sewajarnya supaya pendatang asing tidak menggunakan kemudahan awam tanpa bayaran dan mengambil hak asasi rakyat Malaysia
3. Mengetatkan undang-undang kemasukan pendatang
4. Mengenakan hukuman yang berat ke atas pendatang yang melakukan jenayah

e. Peperangan

Peperangan adalah berpunca daripada pertikaian di antara manusia. Satu tanggapan biasa peperangan ialah suatu siri kempen tentera antara sekurang-kurangnya dua belah pihak yang melibatkan satu pertikaian mengenai kedaulatan, kawasan, sumber, agama atau banyak lagi isu-isu lain. Suatu peperangan untuk mendapat kemerdekaan dari penjajahan kadang kala dipanggil sebagai satu "peperangan pembebasan", sementara suatu peperangan dalaman bagi negeri yang sama dipanggil "perang saudara". Dengan demikian matlamat perang adalah untuk menawan secara kekerasan sekelompok manusia. Nyawa terpaksa dipertaruhkan kerana setiap pihak tidak mahu mengalah.
Biasanya yang terkorban dalam perang ialah mereka yang terbabit secara langsung dalam peperangan iaitu anggota tentera. Ia juga boleh memusnahkan sejumlah besar harta benda sama ada milik tentera atau orang awam. Bagi tentera, antara harta yang boleh musnah dalam peperangan ialah senjata, kapal pejuang dan kereta perisai, sementara orang ramai akan kehilangan tempat tinggal dan harta.

Peralatan peperangan kini semakin canggih dari hari ke hari selaras dengan kemajuan sains dan teknologi. Berbagai-bagai bentuk senjata dicipta yang menggunakan tenaga nuklear, biologi dan kimia yang boleh mendatangkan kemusnahan yang besar kepada nyawa manusia dan alam ini. Sebagai contoh, pengguguran bom atom di Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua telah mengorbankan banyak jiwa dan mendatangkan kesan yang amat teruk kepada persekitaran hinggalah ke hari ini.

Terdapat beberapa bentuk peperangan di dunia ini iaitu :

Bil
Bentuk Peperangan
Keterangan

1

Perang Kimia & Biologi

Peperangan yang menggunakan bahan kimia dan biologi untuk dijadikan senjata atau menghasilkan senjata.

2
Perang Saraf

Bentuk peperangan tanpa berlaku pertempuran, hanya di peringkat gertak-menggertak antara satu sama lain dalam usaha untuk melemahkan moral pihak musuh.

3
Perang Ekonomi

Permusuhan atau persengketaan yang melibatkan pengambilan langkah dan tindakan ekonomi seperti penyekatan eksport dan import barangan dengan tujuan hendak menghancurkan pihak musuh.

4
Perlumbaan Senjata

Merujuk kepada sikap menghasilkan senjata canggih dan dibuktikan kecanggihannya melalui ujian-ujian tertentu bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya kepada pihak lain.


Faktor-Faktor Berlaku Peperangan
1. Keinginan untuk menjadi sebuah negara yang kuat, digeruni dan mahu dunia tunduk di bawah telunjuknya
2. Permusuhan antara agama, kaum dan bangsa
3. Memenuhi keperluan dalam negara seperti memperolehi bahan-bahan mentah
4. Ingin menjadi jaguh dan polis antarabangsa
5. Cemburu dan iri hati dengan persenjataan canggih negara-negara lain
AB202
Pendidikan Moral
110
Kesan-Kesan Peperangan
Kesan Peperangan Terhadap Manusia
1. Manusia yang tidak terlibat akan kehilangan nyawa
2. Mengundang pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser, kecacatan keturunan akibat radiasi
3. Kebuluran, kemiskinan, kematian dan kecederaan global menyerang umat manusia
4. Pelarian perang akan tersebar di merata-rata dunia
5. Kehidupan manusia menjadu huru-hara dan tiada lagi keamanan
Kesan Peperangan Terhadap Alam
1. Memusnahkan tumbuhan, haiwan dan sistem alam
2. Berlaku perubahan iklim, ekosistem dan kerosakan sistem cakerawala alam ke arah kemusnahan
3. Lapisan ozon dan atmosfera akan menjadi nipis yang menyebabkan suhu dunia bertambah panas
4. Kebakaran hutan secara besar-besaran
5. Ruang udara tercemar dengan partikel-pertikel yang beracun
Jelaslah bahawa peperangan membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia dan alam sekitarnya. Peperangan bukanlah penyelesai masalah. Oleh itu peperangan perlu dielakkan. Setiap pihak haruslah bertolak ansur untuk menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran sah antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah ditubuhkan untuk menjamin keamanan dunia. Oleh yang demikian pihak atau negara yang bertikai haruslah menggunakan pertubuhan tersebut untuk menyelesaikan masalah masing-masing.
Cadangan Langkah-langkah pencegahan dan pengawasan peperangan :
1. Undang-undang persenjataan Global hendaklah digubal dan mengetepikan kepentingan mana-mana pihak
2. PBB sebagai badan bertanggungjawab dalam urusan global perlu menubuhkan badan pengawasan tertinggi untuk mengawas danmenghakimi jenayah perang dan senjata tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak.
3. Memupuk dan menyemai budaya cintakan keamanan dan bencikan peperangan diperingkat kanak-kanak dan orang ramai melalui program-program tertentu
4. Media massa perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha menyedarkan rakyat tentang kesan-kesan buruk peperangan

f. Pemeliharaan Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan tautan antara tanah, angin, api dan air. Ia merupakan hubungan kitar dalam proses kesemulajadian yang berterusan. Penggondolan bukit akan menyebabkan hilangnya tunggak bumi dan penghadang banjir. Banjir lumpur pula akan mengalirkan air lumpur dan apabila pohonan kayu di tepi pantai dibuang, maka tanah pantai akan terhakis.
Malaysia sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai bidang. Namun dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari bahawa kegiatan pembangunan juga akan membawa kesan sampingan terhadap alam sekitar. Kegiatan-kegiatan perusahaan atau perkilangan telah menyebabkan pencemaran udara dan pembuangan toksik yang menjadi punca pencemaran air. Selain itu, kegiatan pembangunan dan penerokaan hutan telah mengganggu sistem ekologi bumi dan mengakibatkan hakisan tanah. Terdapat punca-punca lain yang menyebabkan pencemaran alam, seperti kegiatan pengangkutan yang mencemarkan udara dan air, kegiatan perladangan dan sebagainya.
ebenarnya, punca utama kemusnahan alam sekitar adalah sikap manusia yang tidak mempunyai nilai peka terhadap isu-isu sosial dalam masyarakat, rasa sayang pada alam sekitar, patuh kepada undang-undang, bertanggungjawab, boleh membuat pertimbangan.
AB202

Asas pemeliharaan alam sekitar perlu ditinjau dari sudut berikut:
1. Memahami persekitaran dan keperluannya.
2. Penglibatan segenap peringkat masyarakat dalam peranan pemeliharaan alam sekitar
3. Membina kempen kesedaran dengan pengenalan subjek nyata berkaitan alam sekitar di peringkat rendah, menengah, universiti dan juga masyarakat dewasa.
4. 4.Mengetat dan menguatkuasa undang-undang berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam.
Kempen Amalan Kitar Semula
Kitar semula bukanlah satu perkara baru, malah banyak negara telahpun lama melaksanakannya. Namun demikian, dalam pemikiran ramai rakyat Malaysia, kitar semula mungkin hanya terhad kepada tong-tong kitar semula semata-mata. Sebenarnya kitar semula adalah jauh daripada itu, ia adalah satu cara hidup yang berkait rapat dengan nilai-nilai murni seperti tidak boros, sederhana dan menghargai nilai sesuatu benda. Sesungguhnya pemikiran kitar semula harus menjadi sebahagian daripada kebiasaan kita, baik di peringkat pembelian, penggunaan ataupun pembuangan.
Terdapat banyak faedah yang dapat diperolehi jika rakyat Malaysia dapat menerapkan amalan kitar semula dalam rutin harian mereka. Dari segi ekonomi misalnya, negara kita terpaksa membelanjakan lebih daripada 400 juta ringgit setahun untuk menguruskan sampah yang dihasilkan oleh penduduk negara. Sekiranya negara berjaya mencapai sasarannya, iaitu untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 22 peratus daripada jumlah janaan sampah negara, adalah dijangka kita boleh menjimatkan sekurang-kurangnya 88 juta ringgit setiap tahun. Jumlah ini boleh disalurkan kepada projek-projek pembangunan lain yang lebih diperlukan oleh rakyat.

Program kitar semula memainkan peranan yang penting untuk menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semulajadi yang mapan. Secara spesifik, ia bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan sisa daripada aktiviti perbandaran dan perindustrian, di samping memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat.

Sebahagian besar daripada usaha kita untuk meningkatkan amalan kitar semula bergantung kepada penerapan nilai-nilai, sikap dan amalan pro-alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia supaya kekal dengan pemikiran dan budaya negara maju, sebagaimana yang kita idamkan dalam wawasan 2020.

Di samping itu, untuk menyokong dan mempermudahkan penjiwaan amalan kitar semula dalam diri setiap rakyat Malaysia, pihak-pihak berkuasa hendaklah bekerjasama dengan rakyat dan memastikan bahawa perkhidmatan yang diberi dan kemudahan infrastruktur yang disediakan adalah mencukupi, efisyen, konvenien, dan konsisten. Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan perlu mengkaji aspek-aspek polisi dan perundangan yang boleh membantu mempertingkat amalan kitar semula dalam negara. Hal ini, termasuklah langkah-langkah untuk memberi galakan yang bersesuaian, terutama bagi penggunaan teknologi dalam aktiviti kitar semula.

Kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa tempatan haruslah bekerjasama antara satu sama lain supaya dapat memberi perkhidmatan yang berkualiti dan responsif kepada pelanggan, termasuk dari segi pengurusan sisa buangan. Selain itu, kita boleh mengambil langkah-langkah berjimat cermat dalam penggunaan sumber-sumber di pejabat atau rumah kita. Dalam hal ini semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan digalakkan penggunaan pencetakan komputer dwi-muka dan penggunakan bahagian belakang muka surat yang telah digunakan untuk menulis atau mencetak draf-draf dokumen bukan rasmi.

Perlaksanaan program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya bermusim. Usaha untuk memastikan program ini berjayaperlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak.
(Sumber: http://guruselamanya.wordpress.com/)
Langkah-langkah Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar
i. Penghutanan semula
Penghutanan semula ialah kegiatan menanam semula hutan yang telah ditebang dengan spesies pokok yang cepat tumbuh dan bermutu. Tujuan utama penghutanan semula adalah untuk memastikan bekalan kayu yang bermutu dapat dibekalkan berterusan. Kaedah ini dijalankan secara terancang dan sistematik. Contoh penghutanan semula yang telah dilaksanakan adalah seperti di Hutan Simpan Kemasul, Pahang dan Hutan Simpan Paya Laut, Perak.
ii. Mewartakan hutan simpan dan taman negara
Hutan simpan dan taman negara dapat memberi perlindungan kepada flora dan fauna yang hampir pupus. Kegiatan pembalakan, penerokaan hutan, dan pemburuan binatang tidak dibenarkan dilakukan di kawasan tersebut. Contoh hutan simpan dan taman negara yang telah diwartakan adalah seperti :
۞ Hutan Simpan Hulu Gombak, Selangor
۞ Hutan Simpan Sepilok, Sabah
۞ Hutan Simpan Bukit Lama, Sarawak
۞ Taman Negara Kinabalu, Sabah
۞ Taman Negara, Pahang
iii. Penanaman berteres
Kaedah penanaman berteres telah dijalankan di kawasan cerun bukit untuk menanam pelbagai jenis tanaman seperti getah, kelapa sawit, dan teh. Tujuan utama langkah ini adalah untuk mencegah kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh di kawasan cerun bukit.
iv. Tanaman tutup bumi
Tanaman tutup bumi seperti tanaman kekacang dan rumput ditanam di lereng bukit antara barisan-barisan getah dan kelapa sawit. Kaedah ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kejadian hakisan tanah dan mengekalkan kesuburan tanah.
v. Penggunaan baja organik
Petani-petani digalakkan supaya menggunakan baja organik atau baja asli daripada najis haiwan dan sisa tanaman untuk menggantikan penggunaan baja kimia. Selain menambahkan kesuburan tanah, baja organik adalah lebih murah, tidak perlu diproses, dan tidak mencemarkan alam sekitar. Contohnya, peladang lada hitam di Sarawak menggunakan guano, iaitu campuran najis burung dan kelawar sebagai baja.
vi. Kaedah biologi
Peladang kelapa sawit di negara kita menggunakan kaedah biologi untuk mengawal makhluk perosak. Kaedah biologi ini dapat mengurangkan penggunaan racun serangga dan racun rumpai yang akan mencemarkan alam sekitar. Contohnya, di ladang kelapa sawit, ular, burung hantu, dan burung helang digunakan untuk menangkap tikus, burung, dan tupai yang merosakkan buah kelapa sawit.
vii. Pertanian tetap
Kerajaan menggalakkan petani-petani tradisional yang mengamalkan pertanian pindah supaya mengubah cara penanaman mereka kepada pertanian tetap. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan kemusnahan kawasan hutan yang berharga dan mengurangkan hakisan tanih.
viii. Melandaikan cerun dan membuat tarahan
Pembinaan jalan raya dan lebuh raya di kawasan cerun curam kini dilakukan dengan lebih terancang untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Kawasan cerun bukit yang curam akan dilandaikan untuk mengurangkan hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh. Kawasan tebing curam kaki bukit pula akan ditarah untuk mengurangkan kecerunan jalan raya yang dibina melalui kawasan tanah tinggi.
ix. Pembinaan tembok konkrit dan longkang konkrit
Tembok konkrit dibina di kawasan cerun bukit yang telah ditarah untuk mengurangkan hakisan tanah. Aliran air di kawasan cerun yang telah ditarah pula diperbaiki melalui pembinaan longkang konkrit untuk mengelakkan air bertakung dan seterusnya gelongsoran tanah dapat dielakkan di kawasan tersebut.
(Sumber: http://annursubject.blogspot.com)
Pemeliharaan alam sekitar bukanlah isu bersifat sementara tetapi bersifat sejagat. Ia berlaku kini dan akan terus berlaku. Jadi kita perlu sedar dan bertanggungjawab untuk pelbagai peristiwa ini. Hubungan langsung anggota masyarakat dengan alam sekitar terbukti jelas kerana di mana-mana pun, kita tidak boleh lepas dari pengaruh alam sekitar, bahkan kitalah perencana baik buruknya. Jadi masyarakat manusia keseluruhannya perlu mengambil peranan sebagai pembela alam sekitar yang murni.
Cara Untuk Memelihara Alam Sekitar
· Bawa beg sendiri untuk membeli belah
· Berbasikal atau berjalan kaki untuk perjalanan yang dekat
· Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan
· Amalkan 3R (mengurangkan, menggguna semula dan mengitar semula)
· Praktiskan dan sokong pekebunan secara organik
· Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen
· Jalankan projek-projek atau aktiviti bertemakan alam sekitar di rumah, tempat kerja dan juga kawasan kediaman
· Dinginkan rumah anda secara bijak dengan menanam pokok di sekitar rumah
· Beli barangan tempatan. Selain kita dapat menjimatkan wang, ia turut menyokong ekonomi tempatan serta mengurangkan pembebasan karbon disebabkan pengangkutan barangan jarak jauh
AB202· Kurangkan atau hentikan menggunakan barangan pakai buang. Ia hanya menghasilkan sisa pepejal
· Gunakan air secara bijak kerana ia juga merupakan sumber yang semakin berkurangan
· Belilah barangan mesra alam yang di iktiraf. Produk-produk ini dapat mengurangkan kesan kepada alam sekitar
(Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/) diambil  dari modul Pendidikan moral AB202 Politeknik KPTM (KPM sekarang)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan