26 Oktober 2011

BELIA CELARU IDENTITI: SELAMATKAN MEREKA.


PENDEDAHAN  hasil dapatan tinjauan melalui media alternatif oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang merumuskan lebih enam juta belia di negara ini menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat cukup membimbangkan dan merisaukan khalayak.

Tambahan pula, mengikut Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman, masalah tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.
Memandangkan 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini adalah golongan belia dan golongan ini yang dilabel sebagai bakal pewaris negara, kita perlu bertindak dengan segera untuk mengekang budaya tidak sihat ini dari terus menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita.

Hal ini penting kerana kecelaruan identiti di kalangan belia ini menunjukkan belia kita masih belum jelas dengan masa depan dan hala tuju mereka sendiri, apatah lagi mengambil berat tentang masa depan dan hala tuju negara kita secara menyeluruh.

Pengaruh Barat dilihat semakin menular dalam kalangan belia kita yang mudah hilang pertimbangan. Mereka hanya bertindak mengikut naluri masing-masing tanpa mempedulikan norma kehidupan yang kita warisi sekian lama.
Antara punca krisis ini ialah pengaruh media elektronik dan media alternatif yang dilihat menjadi tok guru golongan belia kita.
Mereka begitu mudah meniru dan mencontohi apa yang ditonton atau dibaca dalam media elektronik dan media alternatif.
Rancangan-rancangan televisyen yang berpaksikan Barat serta kesukaran pihak kerajaan untuk mengawal dan mengawasi maklumat dalam media alternatif menyebabkan anak-anak kita mudah terdedah kepada perkara-perkara yang negatif dan sensitif.
Akibatnya, mereka mengambil jalan mudah atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baharu yang akhirnya merugikan diri, agama, bangsa dan negara.
Dalam hal ini di samping kita berharap agar pihak kerajaan akan menyusun strategi yang menyeluruh untuk menangani gejala ini dari terus membelenggu belia kita, ibu bapa, keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan yang aktif.
Tanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini harus dipikul secara bersama oleh pihak kerajaan dan juga ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Kerjasama erat pihak-pihak ini diyakini mampu memperbetulkan masalah ini dengan segera.
Pemantauan secara rapi oleh ibu bapa, keluarga serta penglibatan masyarakat setempat mampu membantu golongan belia kita kembali ke pangkal jalan seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara.
Kita perlu ingat bahawa kejayaan semua program dan inisiatif kerajaan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sangat bergantung kepada sumbangan dan peranan aktif para belia kita.

Bidang tersebut seperti mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam bidang pendidikan, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam di bandar di samping Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta transformasi dalam bidang politik.
Oleh itu, kita perlulah terus membantu para belia kita dalam mencari dan membentuk identiti yang diperlukan mengikut acuan kita sendiri.

Kita tidak boleh sama sekali membiarkan golongan ini hanyut bersendirian dalam dunia mereka sendiri yang tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak termasuk belia itu sendiri.
Semoga pendedahan laporan ini akan membuka mata semua pihak yang terlibat agar segera bertindak dan menyelesaikan masalah serius ini.
Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan belia kita. (sumber: Noor Mohamad Shakil Hameed)

06 Oktober 2011

KEMURUNGAN: PELAJAR


Kajian Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental mendapati ramai pelajar sekolah menengah di negara ini mengalami masalah tekanan, keresahan dan kemurungan yang tinggi, disebabkan pelbagai faktor termasuk peperiksaan dan masalah keluarga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian di enam sekolah seluruh negara itu dilakukan dari April hingga September lalu membabitkan 6,540 pelajar dengan 4.8 peratus daripadanya didapati mengalami tekanan teruk, 17.1 peratus keresahan teruk dan 5.2 peratus kemurungan teruk. Namun katanya, kajian Projek Rintis Program Minda Sihat Menangani Stress Di kalangan Murid Sekolah itu tidak pula mengkaji faktor penyumbang kepada keadaan berkenaan, cuma mungkin disebabkan masalah keluarga, peperiksaan dan persekitaran sekolah. “Pada dasarnya, kami akui peratusan pelajar yang menghadapi masalah ini agak tinggi, tetapi kita gembira kerana dapat mengesan masalah ini lebih awal, sekali gus membolehkan kita mengambil pencegahan awal sebelum keadaan semakin teruk. “Seramai 2,345 atau 36 peratus pelajar sudah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental manakala 279 guru dilatih mengenal pasti dan mengendali masalah emosi, tingkah laku dan masalah mental pelajar,” katanya.(sumber : Harian Metro , 06/10/11)
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ramaipelajarmurung/Article/index_html

05 Oktober 2011

FACEBOOK DAN KEMURUNGAN

NEW YORK – Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Stony Brook di sini mendapati golongan remaja berasa lebih bimbang jika tidak menghabiskan masa di laman rangkaian sosial, Facebook berbanding melakukan kerja sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut para penyelidik dalam isu terbaru jurnal Pediatrics, keadaan itu digelar kemurungan Facebook.
Ia berpunca selepas remaja menghabiskan banyak masa di laman maya walaupun diberi kerja rumah oleh guru di sekolah.
http://www.vaboomer.com/facebook-friends.jpg
Penyelidikan itu mendapati, Facebook tidak memaparkan realiti sebenar kerana orang ramai pada kebiasaan akan menghantar status atau gambar tentang diri dengan menunjukkan kehebatan diri masing-masing. Seorang remaja berusia 16 tahun, Abby Abolt bersetuju dengan keputusan hasil kajian tersebut.
“Jika kamu tidak memiliki ramai kawan dan kurang melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian sebaliknya melihat status pengguna lain dikemas kini, saya dapat memahami kenapa mereka (pengguna Facebook) berasa sedih.
“Facebook umpama pertandingan popular tentang siapa yang mendapat permintaan kawan paling ramai,” jelasnya kepada agensi berita Associated Press.
Kajian itu yang diketuai oleh Dr. Joanne Davila dari Universiti Stony Brook mendapati, penghantaran mesej, e-mel dan waktu yang banyak dihabiskan di Facebook boleh menyebabkan emosi remaja terganggu. (sumber:hazmanfadzil.com)