07 Ogos 2011

USTAZ: JANGANLAH JADI USTAZ SAMPUL!


TERUS terang, saya tak sangka perkara ini berlaku di kalangan insan beragama digelar ustaz dan ustazah serta mereka yang terbabit dalam urusan dakwah.
Saya ingatkan mereka yang pakar dalam agama, termasuk ramai di kalangan mereka adalah hafiz serta hafizah, mampu menepis dugaan duniawi.

Lainlah macam ini, orang biasa yang rendah ilmu pengetahuan agama, tidaklah sedalam mereka yang hebat itu. Namun, tahu jugalah yang mana betul dan tidak betul. Yang mana boleh dibuat dan tidak boleh dibuat.

Saya bukan hendak komen mengenai cara penyampaian mereka atau pengisian syarahan yang disampaikan kerana semua ahli agama ini hebat belaka. Ada yang berkelulusan agama dari luar negara, termasuk Mesir, Jordan dan Syria.

Cuma saya terperanjat mendengar sikap penceramah zaman sekarang yang mana kalau dijemput memberi ceramah, mereka bertanya berapa jam perlu berceramah dan berapa bayaran diletakkan dalam sampul. Maksudnya, mereka tak akan ‘bekerja lebih masa’.


Paling buat saya tersedak sampai terkeluar air mata, ada di kalangan mereka yang sebaik saja mendapat sampul, terus tarik duit keluar depan penganjur dan merungut, ‘ha, banyak ini aje’. Biru sekejap muka penganjur.

Patutlah saya tengok, walaupun semakin galak rancangan agama dihasilkan dan penceramah aktif menyampaikan ceramah sana sini, masalah sosial semakin berleluasa. Jadi saya rasa, penceramah kena betulkan balik niat mereka.

Saya tak kata penceramah dan juga ustaz ini tak perlukan duit untuk hidup tetapi sebagai insan istimewa yang diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama-Nya, mereka mestilah berhemah.

Betulkan niat berdakwah kerana Allah SWT dan saya yakin mereka yang bekerja untuk Allah SWT dengan tulus ikhlas, Allah SWT akan berikan ganjaran luar biasa.

Justeru, tak perlu merendahkan martabat diri dengan berkelakuan macam ‘orang tak tahu agama’ pula. Tidak cukup setakat itu saja, ada juga di kalangan mereka yang dengki dan cemburu dengan kejayaan kawan.


Kalau Ustaz AB dapat peluang berceramah di TV, Ustaz EF ‘naik hantu’. Dia cari jalan juga hendak masuk TV kerana bila dah terkenal, banyak undangan di luar. Poket pun kembung. Ada juga yang secara terbuka membodek penerbit rancangan agama seperti belanja makan dan sebagainya.


Dek kerana kerakusan penceramah ini, ada juga mereka yang kurang ilmu, nak berceramah juga. Sudahnya, asyik ulang cerita sama. Agaknya mereka ingat, bila dia berceramah di kawasan utara, mereka yang menetap di selatan tidak mendengar ceramahnya.


Namun, dia tak tahu mereka yang tinggal di selatan mungkin asalnya dari utara dan akan balik kampung melawat keluarga serta saudara-mara di sana. Jadi bila ada ceramah, mereka akan pergi mendengarnya.


Namun begitu, bukan semua penceramah atau ustaz bersikap begitu, sebaliknya segelintir saja. Saya juga bukan hendak memburukkan sesiapa tetapi sekadar peringatan untuk kita semua. Wallahualam!(sumber: MyM: 7/8/11)


KASIH SAYANG: SEBUAH PENGERTIAN


SUDAH hampir seminggu anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang.
Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya. 
Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika ibu dan ayah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, ibu ayah pula tiada berdaya, semuanya dalam kenangan hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan. Terima kasih buat ibu ayah. 

'Ya Allah, sayangilah ibu ayah kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil'.


Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak.

Mendidik dengan cinta dan sayang berbeza dengan mendidik dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak. 

Bayangkan jika ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak, mereka akan melihat anak itu seperti mereka melihat kayu dan batu. 

Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan. 

Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas sukar dan meletihkan. Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini. 

Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya. 

Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung. 

Itulah ajaibnya kasih sayang yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak. 

Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak. Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya. 

Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. 

Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. 

Allah s.w.t menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya. Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian di luar jangkaan. 

Jadi kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. 

Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran. 

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu? Contohnya ibu, ayah, suami dan isteri. 

Jika tidak pernah cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, itulah wajah yang paling jujur. 

Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya". 

Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. 

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala".(sumber: MyM: 7/8/11)

NABI: CARA MENJAGA KESIHATAN


BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. 
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. 

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpe
nyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh 

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. 

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran. 


Aktif menjaga kebersihan 

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. 

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim) 


Tidak pernah makan berlebihan 

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih) 

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. 

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat. 


Gemar berjalan kaki 

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. 

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang
hendak kita pergi. 


Tidak pemarah 

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. 

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. 

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang
kan gundah 
di hati. 


Optimis dan tidak putus asa 

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t. 

Tidak pernah iri hati 

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.” 


Pemaaf 

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. 

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. 

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba
nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.(sumber:MyMetro, 7/8/11)

MUALAF DAN PERMASALAHANNYA: JABATAN AGAMA TERUS TIDURKAH?


“SAYA bermimpi menghadap Kaabah. Selepas terjaga, saya rasa cukup tenang. Tidak lama selepas itu, saya berjumpa seorang ustazah dan bertanyakan hal ini.

Selepas diterangkan, saya dan suami tertarik dengan Islam lalu menukar agama,” itu detik awal Norjalilah Abdullah Wong, 46, mendapat hidayah memeluk Islam.


Sebagai saudara baru dia memerlukan bimbingan daripada rakan Islam, terutama ilmu agama, namun pada peringkat awal sokongan sungguh sukar diperoleh.

Jiwanya meronta kerana harapannya mendalami Islam seolah-olah dipandang sebelah mata banyak pihak, terutama di kampung halamannya. Bukan sokongan diperoleh, sebaliknya sindiran dan ejekan.


“Pemahaman saya mengenai Islam cukup tipis, apatah lagi untuk mengenali huruf al-Quran. Saya cuba belajar dengan menghadiri solat berjemaah dan kuliah agama yang diadakan di surau kampung saya.

“Namun ketika menjejakkan kaki ke rumah Allah itu, saya dihalau. Malah, jemaah surau berkata orang Cina tidak boleh memasuki surau berkenaan.

“Bagaimanapun, demi mengenali Islam dan mendalami ilmu agama ini, saya dan suami sanggup berulang alik dari Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari,” kata Norjalilah yang lebih mesra disapa Nor.

Apa diceritakan Nor antara pengalaman pahit dan dugaan yang dilalui golongan mualaf di negara ini. Jika dihitung, ia hanya sedikit jika mahu dibandingkan dengan pelbagai herdikan, kejian dan penerimaan negatif keluarga masing-masing dan masyarakat.

Walaupun pada dasarnya negara kita berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi, pendedahan mengenai golongan berkenaan cukup sedikit. Selain itu, penerimaan masyarakat sering menjadikan golongan ini patah semangat untuk lebih mengenali agama Allah.

Jika mahu dihitung, kebanyakan saudara baru Islam mengalami pelbagai dugaan hanya untuk mengenali agama ini. Sedikit sebanyak, ramai juga yang tewas di tengah jalan kerana tidak diterima.

Menurut Nor, dia dan suaminya sama-sama ikhlas untuk mengenali Allah dan agamanya. Disebabkan itu, mereka memeluk Islam dan merantau seluruh negara untuk mengenali-Nya.

“Di kampung, kami sering dipandang sinis termasuk oleh orang Islam. Jangan kata mahu membimbing kami, mereka lebih rela menuduh dan menghina kami memeluk Islam kerana harta.

“Jika mahu diikutkan, kami tidak dapat apa-apa dengan memeluk agama ini. Jadi, bagaimana kami boleh dituduh begitu? Malah, ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Bentong, kami tidak diberikan apa-apa. Jangan kata wang ringgit, membimbing kami pun tidak.

“Saya cuma terkilan apabila ada masyarakat mengaku Islam tetapi tidak menerima kami seadanya. Sepatutnya, mereka mengajar kami solat, mengaji dan mengenali Allah dengan lebih dekat. Ini tidak. Ketika mula-mula memeluk Islam, kami terpaksa duduk di rumah dan belajar solat hanya berpandukan VCD.

“Sampai satu masa, saya dan suami menangis kerana dilayan seperti itu dan tidak memahami sepenuhnya apa yang diajar menerusi VCD berkenaan. Mujur Tuhan membantu dan menguatkan semangat kami. Akhirnya, kami berpindah ke Raub dan memulakan hidup baru di sana,” katanya.

Nor berkata, kini dia dan suami sering merantau seluruh negara demi mengenali Allah SWT dan agamanya. Pada masa sama, setiap kali tiba Ramadan, mereka berulang alik dari Raub ke Perkim, Kuala Lumpur untuk sama-sama mengerjakan ibadat dengan saudara baru lain.

“Saya sudah serik untuk pergi ke masjid dan surau kerana pandangan negatif masyarakat. Sebab itu, bila tiba bulan puasa, saya dan suami sanggup berulang alik ke Perkim untuk mengerjakan solat tarawih bersama-sama.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah rasa penat setiap kali datang ke Kuala Lumpur walaupun jaraknya jauh. Mungkin ini ganjaran buat kami berdua,” katanya.

Berbeza pula dengan Saiful Sim, 50. Sejak memeluk Islam, dia diketepikan oleh isteri dan dua anaknya. Kerana tidak mampu menerima perubahan agama, Saiful akhirnya disingkirkan keluarga.

“Saya meminati Islam sejak di bangku sekolah. Waktu itu saya gemar membaca, termasuk buku agama. Lama-kelamaan apabila dewasa, saya merantau dari kampung di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mendalami agama ini.

“Namun, apabila benar-benar ingin memeluk Islam, saya disingkir isteri. Malah lebih teruk, dia memburukkan saya dan menghasut anak supaya membenci saya.

“Terus terang, saya tidak faham kenapa dia buat begitu. Puas saya jelaskan, tetapi dia tidak boleh menerimanya. Namun sejak itu, saya mula reda dan menganggapnya sebagai dugaan Tuhan. Kini, saya lebih tenang apabila mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Menurut Saiful, selain keluarga, dia tidak terlepas daripada pandangan sinis masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Namun, apabila berpindah ke Kuala Lumpur, pandangan itu lama-kelamaan hilang.

“Mungkin, perbezaan fikiran antara masyarakat di kampung dan bandar jauh berbeza. Rasanya, di bandar pendedahan mengenai mualaf lebih banyak berbanding di kampung.

“Syukur, kini saya tidak lagi terasa asing. Malah, kebanyakan orang Islam seperti saudara saya. Alhamdulillah, Tuhan membawa saya bertemu jalan tepat dan kini saya gembira. Rasanya, ia mungkin dugaan buat kami (mualaf),” katanya.(sumber: Metro,6/8/11)