TERUS terang, saya tak sangka perkara ini berlaku di kalangan insan beragama digelar ustaz dan ustazah serta mereka yang terbabit dalam urusan dakwah.
Saya ingatkan mereka yang pakar dalam agama, termasuk ramai di kalangan mereka adalah hafiz serta hafizah, mampu menepis dugaan duniawi.
Lainlah macam ini, orang biasa yang rendah ilmu pengetahuan agama, tidaklah sedalam mereka yang hebat itu. Namun, tahu jugalah yang mana betul dan tidak betul. Yang mana boleh dibuat dan tidak boleh dibuat.
Saya bukan hendak komen mengenai cara penyampaian mereka atau pengisian syarahan yang disampaikan kerana semua ahli agama ini hebat belaka. Ada yang berkelulusan agama dari luar negara, termasuk Mesir, Jordan dan Syria.
Cuma saya terperanjat mendengar sikap penceramah zaman sekarang yang mana kalau dijemput memberi ceramah, mereka bertanya berapa jam perlu berceramah dan berapa bayaran diletakkan dalam sampul. Maksudnya, mereka tak akan ‘bekerja lebih masa’.
Paling buat saya tersedak sampai terkeluar air mata, ada di kalangan mereka yang sebaik saja mendapat sampul, terus tarik duit keluar depan penganjur dan merungut, ‘ha, banyak ini aje’. Biru sekejap muka penganjur.
Patutlah saya tengok, walaupun semakin galak rancangan agama dihasilkan dan penceramah aktif menyampaikan ceramah sana sini, masalah sosial semakin berleluasa. Jadi saya rasa, penceramah kena betulkan balik niat mereka.
Saya tak kata penceramah dan juga ustaz ini tak perlukan duit untuk hidup tetapi sebagai insan istimewa yang diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama-Nya, mereka mestilah berhemah.
Betulkan niat berdakwah kerana Allah SWT dan saya yakin mereka yang bekerja untuk Allah SWT dengan tulus ikhlas, Allah SWT akan berikan ganjaran luar biasa.
Justeru, tak perlu merendahkan martabat diri dengan berkelakuan macam ‘orang tak tahu agama’ pula. Tidak cukup setakat itu saja, ada juga di kalangan mereka yang dengki dan cemburu dengan kejayaan kawan.
Kalau Ustaz AB dapat peluang berceramah di TV, Ustaz EF ‘naik hantu’. Dia cari jalan juga hendak masuk TV kerana bila dah terkenal, banyak undangan di luar. Poket pun kembung. Ada juga yang secara terbuka membodek penerbit rancangan agama seperti belanja makan dan sebagainya.
Dek kerana kerakusan penceramah ini, ada juga mereka yang kurang ilmu, nak berceramah juga. Sudahnya, asyik ulang cerita sama. Agaknya mereka ingat, bila dia berceramah di kawasan utara, mereka yang menetap di selatan tidak mendengar ceramahnya.
Namun, dia tak tahu mereka yang tinggal di selatan mungkin asalnya dari utara dan akan balik kampung melawat keluarga serta saudara-mara di sana. Jadi bila ada ceramah, mereka akan pergi mendengarnya.
Namun begitu, bukan semua penceramah atau ustaz bersikap begitu, sebaliknya segelintir saja. Saya juga bukan hendak memburukkan sesiapa tetapi sekadar peringatan untuk kita semua. Wallahualam!(sumber: MyM: 7/8/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan