10 April 2012

BAHASA MELAYU KINI

ISU memperkatakan Bahasa Melayu yang dikenali juga Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan satu Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Negara bukanlah isu baru atau isu lapuk. Namun sejauh mana rakyat Malaysia sudah mempelajari sejarah Bahasa Melayu dan susur galur serta jurusan linguistik atau tatabahasa Bahasa Melayu itu, itu boleh dipersoalkan sama ada setiap masa ataupun dari semasa ke semasa.

TB tidak bercadang memberi kuliah bahasa Melayu yang banyak cabang subkursusnya dalam ruangan ini. Memadailah TB ingin menghebahkan perkara-perkara yang dianggap betul oleh masyarakat pengguna bahasa tetapi sebenarnya suatu kesalahan besar yang mana TB khuatir lama kelamaan menjadi 'hypercorrection' iaitu yang salah atau silap dianggap betul atau benar.Tumpuan TB hanyalah kepada Bahasa Melayu moden bukanlah Bahasa Melayu klasik.

Sebelum itu, TB sukalah mahu mengingatkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai dua bentuk aksara atau tulisan iaitu tulisan Jawi dan Rumi (termaktub dalam Perlembagaan). Namun kini tulisan rumi dipakai meluas. Usaha mempopularkan semula tulisan jawi agar tidak pupus hayatnya tetap dilakukan dari masa ke masa sebagaimana usaha  program J-QAF anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi subjek Pendidikan lslam.

Penggunaan Bahasa Melayu disampaikan melalui dua situasi iaitu Bahasa Melayu persuratan (rasmi) dan Bahasa Melayu komunikasi (lisan). Ada juga bahasa Melayu disampaikan dalam bentuk bahasa isyarat.TB mahu menyentuh mengenai nasib Bahasa Melayu komunikasi secara verbal yang luas diguna pakai kini. Sehubungan ini komunikasi lisan/verbal yang TB mahu sentuh ialah yang digunakan secara formal sama ada dalam bilik darjah, bilik kuliah, mesyuarat, seminar, pembentangan kertas kerja, pengacaraan majlis di radio,televisyen dan seumapamanya. TB dapati kedapatan rangkai kata atau frasa ayat yang digunakan agak silap keterlaluan. Contoh berikut:

Salah/Silap                                 Betul/Benar

semenjak dua menjak                 semenjak itu
kita orang                                   kami
dia orang                                    mereka
kita (GN diri pertama jamak)      kami
kita (GN diri jamak)                    kita
kita                                             kamu,awak,kau
mereka-mereka                           mereka

Contoh-contoh di atas ditunjukkan kerana kekerapan yang terjadi kini. Kepada guru, pemimpin, para pengacara di radio dan TV, ibu bapa dan  anda semua memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu bahasa. Dalam apa jua situasi gunakan bahasa Melayu yang betul,indah, dan gramatis.Namun demikian dialek atau loghat seperti dialek bahasa Melayu Kedah, bahasa Melayu Sarawak, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Kelantan dan lain-lain lagi bolehlah diteruskan dan dihidupkan dalam penggunaan situasi yang tidak formal seperti dalam kelompok keluarga dan teman-teman. Justeru, jika tidak tahu, belajarlah dan bergurulah..(sumber:tiubbocor.blogspot.com)

* TB adalah singkatan bagi Tiub Bocor