12 Februari 2013

HAK ANAK TAK SAH TARAF


PERKAHWINAN adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Tentunya setiap yang berkahwin inginkan anak sebagai penyambung warisan. Tanpa anak, ada pasangan sanggup bercerai-berai. Lumrahnya, jika tiada anak, isterilah yang dipersalahkan sebagai mandul. Malah suami biasanya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dan ini jarang sekali dipersetujui isteri.

Pasangan bercerai, sama ada sebelum suami berkahwin lagi atau selepas mendapat tahu. Jarang juga pasangan membuat pemeriksaan doktor untuk menentukan siapa sebenarnya yang mandul. Ada juga pasangan yang mengambil jalan lain bagi menyelamatkan perkahwinan iaitu mengambil anak angkat.
Hari ini ramai pasangan yang tidak mempunyai anak memohon untuk mendapatkan anak angkat.
Ada juga yang berpandangan itu bukanlah cara terbaik menyelesaikan masalah, tetapi mungkin menempah masalah lain pula. Apapun alasan, ini jelas menunjukkan bahawa anak penting dalam perkahwinan.
Pasangan suami isteri yang berkahwin sangat menginginkan anak sebagai tanda cinta mereka bersemi dan bersemarak.

Namun, hari ini berapa ramai daripada mereka yang sudah bergelar ibu bapa tahu apakah sebenarnya tanggungjawab mereka dan hak anak itu sendiri?

Hari ini semua perkara perlu diajarkan kepada pasangan muda. Dahulu, ibu bapa berkahwin pada usia yang muda dan menimang cahaya mata tanpa ke klinik ibu mengandung. Mereka hanya bergantung kepada nasihat orang tua serta mengikut pantang larang turun-temurun.

Apabila selamat bersalin, susu badan terus diberikan kepada bayi, apatah lagi kebanyakan ibu tidak bekerja maka penyusuan berlaku secara semula jadi.

Namun hari ini ibu muda diajar bagaimana hendak menyusukan anak dan amat digalakkan menyusu badan. Ramai juga yang memilih untuk tidak menyusu badan kerana tidak mempunyai susu yang banyak atau bekerja.

Kenapa ibu dahulu tidak perlu diajar tetapi melakukan semua perkara sebagai isteri dan ibu melalui teladan yang diperturunkan oleh orang yang lebih tua?

Bagaimanakah pula ibu hari ini mengetahui hak anak sebelum anak tersebut dilahirkan?
Hak utama
Hak anak yang pertama dan utama ialah hak untuk lahir dengan nasab yang sah. Untuk mempunyai hak yang boleh dituntut, seorang anak hendaklah dilahirkan sebagai anak yang sah taraf.
Sah taraf bermakna, ia dilahirkan hasil perkongsian kedua ibu bapanya melalui perkahwinan yang sah.
Jika anak dikandung sebelum pasangan berkahwin secara sah, maka anak tersebut adalah anak luar nikah atau anak yang tidak sah taraf.

Hari ini kelahiran anak luar nikah sangat membimbangkan angkara terpedaya dengan nafsu syaitan menjebak kepada hubungan seks tanpa nikah. Lebih memburukkan keadaan apabila si gadis mengandung lalu cuba membuat pengguguran.

Ada juga yang sanggup lari dari rumah kerana takut atau mahu memastikan keluarga tidak malu atau ada yang menyembunyikan kandungan dan akhirnya melahirkan anak di tempat yang tidak bersih dan tidak selamat. Kemudiannya bayi yang lahir itu ditinggalkan sehingga meninggal dunia.
Dalam Islam janin mempunyai hak untuk hidup dan pengguguran janin (kandungan) hanya dibenarkan bagi tujuan menyelamatkan nyawa ibu. Selain itu, tidak ada alasan atau sebab yang membenarkan pengguguran.
Islam melarang membunuh anak perempuan sebagaimana perbuatan zaman jahiliah. Hak untuk hidup ini termasuk hak untuk dilahirkan sebagai anak sah taraf, yang membawa maksud tentu nasab anak atau anak dinasabkan kepada ayah kandungnya.

Banyak hak yang boleh dituntut oleh anak jika dilahirkan sah taraf. Antara hak utama ialah anak berhak menuntut ia dilahirkan sah taraf.


Dosa ibu bapa
Dalam hal remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf, perlu disedari bahawa mereka telah melakukan dosa. Dosa ini pula berkait-kait hingga menjadi panjang. Melakukan zina itu berdosa besar. Apabila mengandung, usaha untuk menggugurkan kandungan adalah berdosa kerana sama seperti membunuh yang juga dosa besar.
Jika melahirkan anak tersebut dalam keadaan yang tidak sihat dan selamat yang akhirnya menyebabkan anak itu meninggal dunia, juga berdosa. Meninggalkan atau mengabai bayi yang baru lahir supaya ia mati juga berdosa.

Janganlah satu dosa ditambah dengan membuat lebih banyak dosa. Sampai masanya kita cuba mencari punca dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk ibu, anak dan keluarga demi masa depan umat Islam. Menuding jari mencari kesalahan pihak lain bukanlah penyelesaiannya.
Anak tidak sah taraf tidak berdosa. Yang membuat dosa ialah kedua-dua ibu bapanya. Maka menghukum anak yang lahir itu adalah salah.

Anak tidak sah taraf juga mempunyai hak untuk hidup sama seperti anak-anak yang lain. Tetapi dia tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, maka semua haknya adalah tanggungjawab ibunya.
Oleh yang demikian, sebagai ibu, remaja hari ini mesti tahu bahawa jika mereka mengambil keputusan untuk mengadakan hubungan seksual di luar nikah yang boleh menyebabkannya mengandung dan melahirkan anak, anak tersebut adalah anak yang suci dan bersih dan berhak hidup seperti anak-anak lain.
Kewajipan

Sebagai ibu walau semuda mana sekalipun, mereka mesti tahu adalah menjadi kewajipannya memastikan anak tersebut selamat dilahirkan, disusukan, diberi nama dan dibesarkan seperti anak-anak sah taraf yang lain.

Sebagai manusia yang melakukan dosa besar, maka hendaklah dia bertaubat dan sedar akan kesalahan diri dan bukan dengan cuba menghalang kelahiran anak tersebut atau memastikan anak tersebut mati.
Jika remaja yang menjadi ibu muda ini tidak mampu memelihara anak tersebut kerana dia sendiri belum bekerja dan terlalu muda, maka tanggungjawab itu jatuh kepada keluarganya.
Jika tidak ada yang mampu, maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menanggung anak tersebut.(sumber:UM,12/02/13)


VALENTINE DIHARAMKAN?


KEPUTUSAN  Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan juga haruslah disambut dengan baik memandangkan sambutan Hari Kekasih seakan sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita dan ia sememangnya menjurus kepada perbuatan maksiat. Islam melarang para penganutnya terlibat dalam sebarang perbuatan yang membawa kepada maksiat.

Semua peringkat masyarakat khususnya mahasiswa seharusnya memandang serius gejala sosial seperti kes buang bayi, zina dan sumbang mahram yang kian meluas dalam kalangan anak muda Malaysia khususnya yang beragama Islam. Tidak dapat dinafikan, ia berpunca daripada masalah kurangnya didikan agama dalam kalangan anak muda. Natijahnya, ia membawa kepada kegagalan dalam mengurus cinta dan terjadilah isu-isu sosial seperti yang dinyatakan.

Terdapat tiga kelompok masyarakat yang berperanan dalam usaha membentuk kesedaran beragama dalam kalangan anak muda. Golongan pertama adalah ibu bapa. Mereka adalah kelompok terpenting dalam membentuk acuan generasi masa depan. Sekiranya baik acuannya, maka baiklah generasinya. Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda, "Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, masyarakat juga perlu menggembleng tenaga dalam usaha memberi pendidikan kepada generasi muda. Mereka perlu berani menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Kehidupan dalam suasana berjiran perlu dimanfaatkan kerana ia sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan nasihat kepada anak muda supaya tidak tersesat jalan.

Golongan ketiga pula adalah pihak kerajaan. Pihak kerajaan sewajarnya memberi fokus untuk menambahbaik sistem pendidikan Islam di negara ini memandangkan pendidikan agama secara formal seawal 7 tahun sehingga umur 17 tahun sekurang-kurangnya, hakikatnya masih belum mampu membentuk generasi muda di Malaysia ke arah yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan J-QAF yang diperkenalkan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sewajarnya diberi penghargaan dalam usaha menyuburkan pemahaman agama dalam kalangan generasi muda.

Gunakan ruang media seperti Facebook, Twitter, Youtube dan blog untuk menyebarkan kempen anti Hari Kekasih kepada masyarakat umum.(sumber: Disesuaikan dari UM, 12/02/12)



ANAK REMAJA BUANG MASA TONTON TV


MASA  yang dihabiskan selama berjam-jam oleh golongan remaja menonton TV dan bermain permainan video boleh membawa kepada masalah kemurungan.
Ini berdasarkan satu kajian yang diterbitkan sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat dalam Archives of General Psychiatry Journal. 
Penyelidik mengkaji pendedahan media elektronik terhadap 4,142 remaja yang tidak mempunyai masalah kemurungan. Kajian itu dijalankan pada 1995 iaitu sebelum cakera padat digital (DVD) dan Internet diguna pakai secara meluas. 

Remaja terbabit diberikan pendedahan media sebanyak 5.68 jam sehari termasuk 2.3 jam menonton televisyen (TV), 2.34 jam mendengar radio, 0.62 jam menonton rakaman video dan 0.41 jam bermain permainan video.

Tujuh tahun kemudian, apabila remaja terbabit menjangkau usia dalam lingkungan 21.8 tahun, 308 (7.4%) daripada mereka mengalami gejala berkaitan kemurungan.
Ketua Penyelidiknya, Brian Primack berkata, subjek mempunyai kebarangkalian yang lebih untuk mengalami kemurungan bagi setiap satu jam lebih masa menonton TV. 

“Mereka yang mempunyai jumlah pendedahan media yang tinggi lebih cenderung untuk mengalami kemuru–ngan,” katanya yang mengajar di Sekolah Perubatan, 
Universiti Pittsburgh. 

Kajian itu turut membuat perbandingan kecenderungan gejala antara jantina. 

Berbanding golongan wanita muda, golongan pemuda lelaki didapati lebih cenderung untuk mengalami gejala kemuru–ngan apabila terdedah kepada jumlah media elektronik yang sama. 

Kajian itu turut menjelaskan bahawa kemurungan, penyebab utama kecacatan bukan maut di dunia yang sering bermula pada zaman remaja. 

Ia turut membuktikan, masa yang diluangkan dengan melayani media elektronik kini menggantikan kekerapan melakukan aktiviti sosial dan sukan yang sebenarnya menjadi pelindung terhadap masalah kemurungan. 

Pesanan yang disalurkan melalui media elektronik boleh menggalakkan keganasan, ketakutan dan kerisauan serta membantutkan pembangunan identiti individu. 

Selain itu, pendedahan kepada media pada waktu malam juga boleh menjejaskan masa tidur yang penting untuk perkembangan emosi dan kognitif. 

Sebagai langkah pencegahan, kajian ini menyarankan pesakit untuk menyertai aktiviti yang menggalakkan hubungan sosial dan kemahiran sebagai faktor pelindung kemurungan. 

Hubungan sosial dan kemahiran itu menjelaskan pelbagai aktiviti seharusnya dilakukan agar manusia tidak menghabiskan masa bersendirian dengan melayani media elektronik seperti memancing, bermain boling dan mengikuti kelas menjahit. -(sumber Fomca)