30 Disember 2011

KIAMAT : 12.12.12?

BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.

Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.

Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.
Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.

Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.

"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.

Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.

Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187). (sumber:UM,30/12/11)

PENCERAIAN : PASANGAN PERLU BERUBAH


Pihak berkuasa agama seakan-akan sudah buntu untuk menyelesaikan masalah perceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini.


Mereka mengakui tiada lagi jalan keluar bagi mengatasi isu itu sekiranya pasangan berkenaan sendiri gagal mengubah sikap dan keburukan diri masing-masing.

Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman berkata, pendekatan jabatan agama ketika ini sudah mencapai tahap maksimum kerana ia merangkumi segala aspek daripada praperkahwinan hingga proses perceraian.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) giat melaksanakan kursus serta program berkaitan praperkahwinan dan pasca perkahwinan.

"Tidak cukup dengan itu, pihak jabatan agama juga menawarkan khidmat nasihat dan runding cara keluarga yang seiring dengan keadaan semasa buat pasangan yang berdepan konflik.

"Di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) misalnya, terdapat pelbagai kursus seperti programSakinah, Rumahku Syurgaku dan Klinik Guaman Syarie diadakan pada setiap bulan sebagai panduan kepada pasangan dalam melayari alam rumahtangga," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Terbaru, jelas Aluwi, pihak jabatan agama berusaha memantapkan setiap pendekatan yang digunakan dan salah satunya merupakan penambahbaikan terhadap Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.
"Kursus praperkahwinan ketika ini sedang melalui beberapa penambahbaikan dari segi pengisian modul bagi disesuaikan dengan keadaan semasa dan ia dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

"Berdasarkan segala pendekatan itu, boleh dikatakan pihak jabatan agama sudah berusaha sehabis baik dalam mengatasi masalah perceraian dan terserah kepada pasangan bagaimana mereka mahu melaksanakan setiap ilmu yang diajarkan itu," katanya.

Tambah beliau, jika perceraian merupakan jalan terbaik buat pasangan maka tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan pihak jabatan agama dalam membendung gejala itu.

Bagaimanapun, Aluwi berharap agar pasangan Islam akan lebih mengutamakan aspek kesabaran dalam melayari kehidupan berumahtangga selain berusaha mengubah watak buruk masing-masing untuk kebaikan bersama. (sumber:UM,30/12/11)

29 Disember 2011

WANITA DAN KECANTIKAN


WANITA dan kecantikan bagaikan aur dengan tebing, memang tidak boleh dipisahkan, jika dipisahkan, pincanglah lagu, pincanglah irama.Begitulah perumpamaan yang mengaitkan wanita dengan kecantikan. Laporan yang mengatakan wanita menghabiskan sebahagian besar gaji untuk membeli kosmetik dan memberi fokus yang istimewa terhadap diri untuk kelihatan cantik bukanlah sesuatu yang mengejutkan.


Sebagai wanita, kita akan lebih terkejut jika ada wanita yang tidak memberikan perhatian terhadap kecantikan mereka dan sangat terkejut jika ada wanita yang langsung tidak tahu bagaimana hendak mencantikkan diri.
Kecantikan adalah salah satu antara kuasa wanita selain kelembutan dan sifat keibuan wanita. Lelaki mana yang tidak tertarik dengan wanita cantik, tanyalah mana-mana lelaki, sudah pasti jawapannya jelas dan spesifik, mereka sukakan wanita yang memiliki 4C iaitu CANTIK, CERIA, CERGAS DAN CERDIK, kerana itulah sebenarnya yang dikatakan cantik luar dan cantik dalam yang merangkumi aspek mental, fizikal, sosial dan spiritual.

Mengapa wanita obses dan sukakan kecantikan sampai sanggup berhabis duit untuk cantik.
Ada yang hendak cantik dengan sanggup melakukan pelbagai cara 7S: Susuk yang dimasukkan ke dalam badan; Suntik pada bahagian-bahagian yang boleh mempertingkatkan keyakinan diri wanita iaitu kawasan 5P, pinggang, punggung, perut, pipi dan payu dara; Senam habis-habisan; Sekat makan hingga kurang makan; Sapu krim putih muka dan kawal jeragat, jerawat; Sental badan untuk buang daki badan dan cerah kulit dan Surgeri kosmetik pada muka dan seluruh badan.

Semua usaha 7S sanggup dilakukan bagi wanita yang obses untuk cantik dan ada akses untuk jayakannya, tapi soal fulusnya perlulah difikirkan dengan tulus!

Kerana nak cantik, kosnya juga bukan sedikit, duit yang membukit, lama-lama jadi sikit, badan sihat cari duit, lama-lama jadi sakit kerana kuat cari duit, tapi semuanya wanita sanggup lakukan hanya kerana hendak Cantik dan Menarik, untuk menjadi perhatian dan anganan serta igauan kaum lelaki khususnya dan kecemburuan wanita lain yang menjadikan wanita cantik idola kerana kecantikan tubuh badan macam biola!

Mengapa wanita obses dan sanggup melakukan apa saja untuk cantik? Jawapannya terletak kepada perkataan Cantik itu sendiri. Cuba kita fahami satu persatu:

C - Cemerlangnya wanita itu sering dikaitkan dengan cantik dan intelek yang memiliki semua sifat wanita cemerlang iaitu Cantik, Ceria, Cergas dan Cerdik.

A - Aspirasi kepada kaum lelaki apabila berdampingan dan memiliki wanita cantik yang akan mempertingkatkan lagi semangat dan jati diri lelaki.

N - Nilai-nilai positif wanita yang disenangi seperti sikap kemanjaan, kemesraan dan keibuan banyak dikaitkan dengan wanita cantik.

T - Takluk dunia dengan kecantikan dan sejarah telah membuktikannya dengan kecantikan Cleopatra telah melemahkan pahlawan ternama Mark Anthony, bagaimana Majnun menjadi gila kerana kecantikan Laila!

I - Inspirasi wanita cantik juga menjadi dambaan lelaki dan tidak dinafikan bahawa cantik itu sebagai penyalur idea dan ilham yang memberi inspirasi kepada lelaki. Wanita-wanita Malaysia yang cantik antaranya Siti Norhaliza, Norfazura menjadi sumber inspirasi kepada wanita-wanita lain untuk kekal cantik dan menarik.

K - Kejayaan juga dikaitkan dengan kecantikan kerana wanita-wanita yang ternama dan berjaya ramai terdiri daripada wanita-wanita cantik, menarik dan bergaya.

Dengan tagline beauty is the sign of success menjadikan wanita sanggup beratur inline danonline untuk membeli kosmetik untuk cantik! Hingga wang merekapun offline! (sumber:UM, 29/12/11)

06 Disember 2011

USAH PANDANG REMEH ISU KELESUAN EMOSI DAN MENTAL KAKITANGAN AWAM

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendedahkanada penjawat awam cuba membunuh diri kerana tidak dapat menerimahakikat ditinggalkan kekasih atau tunang sehingga turut menjejaskan produktiviti dan perkhidmatan kepada pelanggan.

Dalam satu kes, seorang penjawat awam lelaki cuba membunuh diri dengan meminum racun tikus akibat putus tunang beberapa hari sebelum tarikh perkahwinannya, tetapi terselamat apabila cepat dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan awal.

Kes seumpama itu adalah antara masalah psikologi dihadapi kakitangan kerajaan yang dirujuk kepada Bahagian Psikologi JPA, sebelum diserahkan kepada Majlis Rakan Pembimbing Kebangsaan (AKRAB) untuk diberi bimbingan dan kaunseling sewajarnya.
“Masalah berkaitan hubungan kekeluargaan yang dihadapi segelintir penjawat awam tidak sepatutnya dipandang remeh kerana jika tidak ditangani secara proaktif, ia memberi kesan negatif kepada mereka. Masalah berkaitan hubungan keluarga lazimnya membabitkan suami dan isteri, ibu bapa dan anak remaja atau kesempitan hidup yang perlu ditangani secara bijak supaya tidak dilihat sebagai mencampuri urusan peribadi.

“Selain itu, ada kakitangan awam mengalami tekanan termasuk isu sensitif seperti hubungan dengan rakan sepejabat,” katanya pada majlis perasmian Konvensyen AKRAB Kebangsaan yang di hadiri lebih 1,200 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan termasuk JPA, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ab Latif berkata, kajian Huffman pada 2003 mendapati 70 peratus daripada pekerja di seluruh dunia tidak berpuas hati dengan keseimbangan kerja dan keluarga, manakala separuh daripadanya pernah menghadapi masalah peribadi dan kerja.

“Memang mudah untuk kita katakan usah campur urusan keluarga dan kerjaya, tetapi sebenarnya ia sukar dilakukan. Justeru, kemahiran kaunseling dan ilmu psikologi di kalangan rakan pembimbing AKRAB dapat membantu penjawat awam mengimbangi antara kerjaya dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata, sokongan moral rakan sekerja juga penting kerana dapat meningkatkan prestasi serta mengurangkan konflik yang dihadapi individu terbabit. (sumber: BH, 06/12/11)

03 Disember 2011

BANDAR KAJANG BANJIR


HUJAN  lebat beberapa jam sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Kajang di sini dilanda banjir kilat.

Paling terjejas teruk pekan Kajang yang dinaiki air sekaligus merosakkan barangan di dalam beberapa buah kedai.

Selain itu beberapa kenderaan juga turut terkandas ekoran air yang naik secara mendadak.

Kejadian banjir teruk di Kajang pernah berlaku pada tahun 2008.

Berikut antara gambar-gambar yang dirakam orang ramai. (sumber:HDaily, 03/12/11)

ULANGTAHUNKU 03 DISEMBER .....


Alhamaduillah aku dipanjangkan usia hingga tarkh ini.  Terima kasih mak , terima kasih abah membesar dan mendidikku dengan penuh kasih sayang.  Walau kalian telah tiada, namun terpahat dihatiku jua.  Untuk suami tercinta terima kasih menyayangi dan mencintaiku. Harapan dan impianku untukmu.