28 Julai 2011

KEMURUNGAN: SEMAKIN SERIUS


DUA  bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.
Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.
Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.
Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.
SIMPTOM KEMURUNGAN
Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.
Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.
Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.
Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.
“Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial,” jelasnya.
Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.
“Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi,” kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI
Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu – tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.
Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.
Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.
Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.
Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.
WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.
Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.
WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN
Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.
Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.
Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.
Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN
Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.
“Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
“Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu,” katanya..
Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.
Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan,” ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT
Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?
Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.
Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.
Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.
Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.
“Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya,” jelas Gangadara.
Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.
“Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami,” ujarnya. –(sumber: mynewshub.my, 28/7/11)

TUKAR JANTINA: PERLU FIKIRKAN DARI SEMUA ASPEK


KISAH Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dalam MyKad dan Sijil Kelahiran kepada nama wanita Aleesha Abdul Aziz, selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu menghiasi dada akhbar minggu lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak permohonan itu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz dilaporkan telah membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan bagi menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai wanita dengan status lelakinya.

Kisah itu menimbulkan kemarahan masyarakat tidak kurang juga ada yang bersimpati. Persoalannya adakah simpati mampu mengubah hukum Allah?

Ulama sepakat perbuatan menyerupai wanita melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku berdosa besar apatah lagi mengubah anggota menjadi anggota wanita.

Perbuatan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya adalah dilaknat, haram, berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk.” (Surah at-Tiin, ayat 4)

Allah juga memberi peringatan mengenai tipu daya dan hasutan syaitan untuk mengubahsuai ciptaan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan Kuperdayakan mereka dengan angan-angannya serta Kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali (panduan), selain Allah sesungguhnya dia rugi dengan kerugian nyata.” (Surah An-Nisa’, ayat 119)

Ibnu Abbas meriwayatkan, “Rasulullah melaknat lelaki menyerupai atau berlagak seperti wanita dan wanita menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memberikan fatwa penukaran jantina lelaki kepada perempuan melalui pembedahan bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubah kejadian-Nya.

Syarak hanya memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan, dengan syarat disokong keterangan pakar dalam bidang itu. Khunsa musykil mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat itu.

Jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh. Jantina mereka dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau paling akhir berhenti.

Ia juga boleh ditentukan selepas baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri kewanitaan (datang haid) atau kelelakian (tumbuh janggut dan misai).

Kelonggaran diberikan ini adalah ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim secara sempurna.

Jika penukaran jantina dibenarkan, pelbagai masalah akan timbul serta merosakkan ibadat bukan saja kepada diri sendiri malah orang lain. Status pernikahan individu asalnya lelaki dengan lelaki lain pasti menimbulkan implikasi besar.

Bagi yang tidak berkahwin, dosa kian bertambah apabila mereka menjadikan pasangan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks songsang berlaku.

Dalam ibadat, akibat penukaran jantina, bagaimana mereka hendak melakukan sembahyang mengikut cara wanita sedangkan mereka adalah lelaki. Begitu juga jika mereka ingin sembahyang berjemaah, di manakah saf sepatutnya, bersama jemaah lelaki atau wanita?

Bagaimana pula jika mereka berada dalam jemaah wanita dan berlaku sentuhan dengan wanita lain, sedangkan jemaah tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki? Tambah buruk lagi apabila wanita lain mendedahkan aurat kerana menyangka mereka wanita, walhal auratnya masih dalam hukum asal aurat wanita terhadap lelaki. Begitu juga masalah mengerjakan haji atau umrah.

Apabila meninggal dunia, jenazah mereka masih perlu disemadikan sebagai lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita. Ditambah pula pelbagai penyakit timbul selepas melakukan pembedahan menukar jantina.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan yang dilaknat itu. Kehidupan yang aman dan bahagia boleh dicapai dengan menerima qada dan qadar Allah dengan hati tenang.

Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian. Menyesali rupa bentuk atau keadaan tubuh badan sedia ada adalah perkara yang boleh meruntuhkan keimanan terhadap Allah, dan ia adalah tipu daya syaitan. (sumber: Tuan Musa Awangbharian, 27/7/11)

TEORI KEMURUNGAN KOGNITIF BECK




Teori Kemurungan Kognitif Beck telah diperkenalkan oleh Beck tahun 1967. menurut Beck kebanyakan tanda-tanda murung adalah berpunca daripada sikap dan pemikiran individu yang negatif iaitu gejala dan tanda-tanda menunjukkan kemurungan adalah akibat daripada pemikiran yang tidak tenteram. Pemilihan Teori Kemurungan Beck merujuk kepada kesesuaian teori ini dengan kajian yang dijalankan. Teori ini juga mengatakan perubahan dalam pemikiran seseorang adalah berpunca kepada kemurungan.

Beck (1987) dalam Wan Zainab (1990) menyatakan individu yang mengalami kemurungan biasanya mempunyai pemikiran yang tidak tenteram. Model Beck telah menghuraikan tiga konsep asas psikologikal yang mengakibatkan kemurungan iaitu konsep kognitif tiga penjuru, skema dan alat. Untuk menerangkan tingkah laku kemurungan, konsep tiga penjuru kognitif akan digunakan. Mengikut teori ini kemurungan yang berlaku pada seorang individu adalah akibat daripada tiga cara pemikiran (The Cognitive Triad). Mereka yang murung lebih cenderung mempersepsikan diri sendiri, pengalaman masa depan mereka sebagai satu pemahaman yang negatif dan tidak realistik.






  • Skema pula merupakan satu tanggapan yang tidak fleksibel akibat daripada kepercayaan atau andaian pengalaman masa lalu. Beck (1987) menyatakan skema digunakan untuk menggambarkan struktur kognitif. Skema merupakan penglibatan struktur kognitif di antara input rangsangan dan tindak balas personaliti. Skema mengandungi gabungan organisasi daripada nilai kepercayaan dan andaian yang berhubung dengan objek, kejadian atau persekitarannya. Skema juga akan berfungsi sebagai rangsangan scanners, menapis maklumat, interpretasi dan mengekodkan maklumat (Becker, 1974).

    Alat merupakan konsep ketiga dalam Teori Kognitif Beck. Mereka yang murung akan sering mempunyai kesilapan struktural dan pemikiran. Ia mempunyai hubungan dengan salah tafsir tentang sesuatu kejadian. Mereka yang murung juga akan membesar-besarkan tanggungjawab dan celaan terhadap diri sendiri. Mereka bukan sahaja membuat generalisasi yang melampau berdasarkan sesuatu peristiwa tetapi juga akan melakukan atau membuat kesimpulan secara tidak logik (Clarizio, 1985).

    Untuk melihat dan menerangkan masalah kemurungan, Beck (1967) dalam Raikhan (2006) telah mengaplikasikan Model Kognitif Pembelajaran Sosial. Menurut beliau ketidakfungsian kognitif merupakan pusat kepada fenomena kemurungan. Konsep Beck’s Negative Cognitive Triad, menerangkan tentang tiga pemikiran negatif manusia iaitu tentang dirinya, dunia dan masa depan yang difikirkannya (Allen, 2007). Pemikiran negatif terhadap diri adalah bagaimana individu akan melihat dirinya dalam kerangka yang negatif iaitu menganggap dirinya sebagai serba kekurangan dan tidak bernilai. Keadaan ini akan menyebabkan individu mengatribusikan perasaan tersebut dengan keadaan fizikal, mental dan moral dan seterusnya menolak dirinya sendiri daripada sebarang aktiviti. Manakala, pemikiran negatif yang diwujudkan terhadap persekitaran atau dunia menerangkan bahawa individu yang murung biasanya membuat interpretasi bahawa interaksinya dengan persekitaran adalah gagal dan tidak berjaya. Ia merasakan kehidupannya sentiasa terhalang dan tidak berdaya untuk mengatasinya. Pemikiran individu yang menanggap masa depannya sebagai negatif pula adalah dengan melihat masa depannya sebagai negatif. Individu cenderung untuk beranggapan keadaan yang dialaminya akan berterusan. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan indvidu merasakan masa depannya tidak berguna dan tiada harapan.

    Menurut Beck (1967) dalam Raikhan (2006), kemurungan dalam kalangan pelajar dapat dilihat pada tiga tahap iaitu dengan merujuk kepada darjah simptom kemurungan yang dialami oleh mereka iaitu kemurungan yang rendah (Mild Depression), kemurungan yang sederhana (Moderate Depression) dan kemurungan yang tinggi (Severe Depression). Kemurungan pada tahap ini merupakan kemurungan pada tahap awal dan biasanya dialami oleh kebanyakkan pelajar. Pelajar-pelajar hanya menyatakan diri mereka buntu dan sedih (disphoria). Mereka yang mengalami kemurungan pada tahap ini masih boleh bergembira dan kelihatan riang. Kemurungan pada tahap ini tidak terlalu menjejaskan prestasi mereka dalam pencapaian akademik dan aktiviti-aktiviti luaran.

    Kemurungan sederhana adalah menunjukkan tanda seperti perasaan ‘disphoria’ cenderung untuk menjadi berpanjangan dan lebih kekal. Para pelajar akan merasakan tidak berminat untuk menglibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di dalam dan di luar sekolah. Pada peringkat ini didapati agak sukar untuk mempengaruhi mereka bagi mengalihkan kepada tingkah laku gembira dan riang. Tingkah laku dan perasaan riang dan gembira mereka, jika ada cuma bersifat sementara sahaja. Pada peringkat ini keadaan disphoria biasanya bermula sejak awal pagi dan berterusan seharian. Menurut Beck (1967), biasanya tahap kemurungan inilah yang banyak berlaku ke atas pelajar-pelajar sekolah terutamanya di peringkat awal remaja.

    Kemurungan tahap tinggi merupakan tahap kemurungan paling yang teruk. Mereka yang mengalami kemurungan pada tahap ini akan memperlihatkan perasaan dan tingkah laku terlalu sedih dan putus asa. Mereka juga sentiasa berada dalam keadaan terlalu risau atau bimbang. Menurut Beck (1967), 70% pelajar-pelajar yang mengalami kemurungan pada tahap ini akan merasa sedih sepanjang masa, dan sukar untuk lari daripada keadaan tersebut. Kesedihan dan putus asa serta pengherotan dalam keadaan-keadaan yang lain dilihat sebagai bersifat berterusan.(sumber:Al-Kauthar.blogspot.com)
  • KEMURUNGAN: PUNCA DARIPADA IBU BAPA...


    Apakah itu kemurungan?

    Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan (mood) seseorang individu
    menjadi semakin menurun.

    Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan,
    tingkah laku dan kesejahteraannya.

    Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ianya boleh mendorong kepada tindakan
    membunuh diri.

    Mengapa seseorang mengalami kemurungan?

    Sebab-sebab terjadinya kemurungan termasuklah:
    • Kemurungan boleh berlaku di dalam keluarga
    • Peristiwa atau kejadian yang menyebabkan seseorang tertekan

    o Contoh: Kematian ahli keluarga, gagal dalam peperiksaan, perceraian ibu bapa
    • Penyakit kronik
    o Contoh: Epilepsi (Sawan), asma dan kanser
    • Ciri-ciri peribadi
    • Penyalahgunaan dadah
    • Penggunaan ubat-ubatan tertentu
    o Contoh: Steroid, ubat cegah kanser
    Bagaimana mengenal pasti seseorang mengalami
    kemurungan?

    Ciri-ciri kemurungan termasuklah:

    • Sentiasa sedih dan menangis
    • Mudah tersinggung
    • Tidak bermaya
    • Tidak berupaya untuk menikmati aktiviti-aktiviti kegemaran • Rasa bersalah yang tidak menentu
    • Sakit - sakit badan
    • Kehilangan fungsi tubuh yang tidak boleh diperjelaskan

    o Contoh: Sentiasa mengalami sakit kepala, letih atau sakit perut
    • Mengasingkan diri daripada sahabat dan keluarga
    • Cubaan untuk mencederakan diri sendiri dan membunuh diri

    Bagaimana membantu seseorang yang mengalami masalah
    kemurungan?

    Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuklah:
    • Menggalakkan individu tersebut untuk berbual dengan orang yang beliau percaya,
    seperti
    o Ibu bapa
    o Ahli keluarga yang dipercayai
    o Kaunselor sekolah
    o Guru agama
    • Jadilah sahabat yang sentiasa memberi sokongan
    o Mendengar
    o Menghibur hati
    o Menasihati
    ATAU

    Memberi cadangan untuk mendapatkan bantuan daripada individu yang lebih berkelayakan:
    • Doktor
    • Ahli Psikologi
    • Pakar Psikiatri

    "Minta pertolongan adalah langkah pertama untuk mengatasi masalah kemurungan" Apakah yang akan berlaku sekiranya tiada bantuan diberikan?

    Terdapat banyak keburukan apabila kemurungan tidak ditangani. Ini termasuklah:
    • Kesan ke atas fizikal. Contoh:
    o Masalah kurang berat badan atau masalah kegemukan
    o Gangguan kitaran haid
    o Anemia

    • Kesan ke atas Psikologi. Contoh:
    o Perasaan rendah diri
    o Risiko untuk bunuh diri

    • Kesan ke atas sosial. Contoh :
    o Pencapaian sekolah yang lemah
    o Ponteng
    o Penyalahgunaan dadah atau minuman keras

    Di manakah seseorang boleh mendapatkan bantuan?
    Pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
    "Minta pertolongan adalah langkah pertama untuk mengatasi masalah kemurungan".(sumber:infonasihat.gov.my)