27 Julai 2011

KAHWIN: SEMPURNALAH IMANMU!

KATA-KATA Umar Al-Khatab, menunda perkahwinan bermakna menangguhkan banyak manfaat dinikmati manusia. Oleh itu, jangan takut bernikah kerana dengan izin Allah, ia tidak sulit seperti dibayangkan.

Nabi Muhammad pernah melarang keinginan sahabat yang tidak mahu mendirikan rumah tangga walaupun mereka memberi alasan mahu memberi lebih tumpuan beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah.
Inilah bukti betapa Nabi Muhammad tidak menyukai mereka yang memilih untuk tidak berkahwin walaupun mampu melakukannya dan Baginda tidak mengakui mereka sebagai umatnya. Malah, mereka berdepan dugaan berat mengawal nafsu.
Buku Apabila Hati Rindu Menikah membincangkan isu pernikahan dari pelbagai sudut yang pastinya dimulakan dengan indahnya perkahwinan iaitu penghargaan tinggi daripada Allah sebagai cara menyempurnakan iman.

Ini kerana melalui ikatan perkahwinan manusia mengecap nikmat yang membawa kedamaian, menjauhkan maksiat, menghilangkan keresahan hati serta dapat meningkatkan nilai ibadat di sisi Allah.

Begitu juga dengan mereka yang takut serta ragu untuk menikah, turut diketengahkan akibatnya antaranya mereka akan hilang kemuliaan, dibenci Allah dan Rasul-Nya, menjadi miskin serta mati dalam keadaan hina.

Turut disediakan, cara mengatasinya iaitu meluruskan niat, menambah ilmu berumahtangga, tingkatkan usaha mencari jodoh, rajin berdoa, solat istikharah serta bersabar.
Sesiapa yang berniat mahu mendirikan rumah tangga perlu meluruskan niat terlebih dulu supaya dipermudahkan dan mendapat pertolongan Allah.

Bagaimana pula menjawab soalan, saya sudah lama berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi mengapa masih belum dapat jodoh? Walaupun kita berjalan atas suratan takdir yang ditentukan Allah, ini tidak bermakna manusia tidak boleh berikhtiar menghadapi ketentuan itu. (sumber: bharian,27/7/11)