31 Julai 2011

SUAMI BERIMAN SUAMI YANG PENYABAR


ALLAH  SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai golongan lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Dalam ayat ini dijelaskan matlamat pernikahan bagi mencapai ketenangan jiwa, cinta dan kasih sayang. Semua ini berkaitan dengan rohani bukan jasmani. Jika matlamat itu diabaikan, rumah tangga tidak bernilai dan pernikahan antara dua insan hanyalah pertemuan dua tubuh, sedangkan roh (jiwa) keduanya berjauhan.

Syariat Islam mewajibkan suami memenuhi tuntutan jasmani bagi isterinya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain. Tuntutan isteri mestilah sesuai dengan keadaan suami. Kemudian syariat Islam tidak mengabaikan hak isteri dari sudut kerohaniannya kerana manusia tidak dinamakan manusia kecuali dengan adanya roh.
Tetapi ramai kalangan suami yang salah anggap, di mana mereka menyangka kewajipan mereka terhadap isteri hanyalah memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Tidak ada lagi kewajipan mereka selain daripada itu kerana mereka lupa bahawa wanita berhajat, bahkan lebih berhajat kepada kata-kata yang baik, senyuman manis, sentuhan kasih sa-yang, ciuman yang menyenangkan, perilaku yang lemah lembut dan gurauan yang menyenangkan hati, menghilangkan dukacita serta membahagiakan hidup. Semua ini sangat diperlukan wanita sebagai mana mereka berhajat kepada pakaian, nafkah, tempat tinggal dan keperluan material yang lain.

Imam al-Ghazali menyebut sebahagian hak suami isteri dan adab bergaul dalam rumah tangga dan dia menyatakan jika hak dan adab bergaul itu tidak diwujudkan dalam rumah tangga, maka rumah tangga akan hancur. Antara adab dinyatakan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW ialah:


·  Berakhlak mulia di hadapan isteri dan bersabar dengan sikap buruknya.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka dengan makruf (baik).
Imam al-Ghazali berkata: Ketahuilah bukanlah seseorang itu disebut berakhlak mulia kalau dia hanya menahan diri daripada menyakiti wanita, tetapi yang dimaksudkan dengan berakhlak mulia ialah orang yang menanggung keburukannya, dan lemah lembut kepada wanita ketika wanita berkeras dan marah.”


·  Hendaklah bergurau dengan isteri sebagai mana yang disebut Imam al-Ghazali: “Suami hendaklah bergurau dan bermain-main kerana ia akan menyenangkan hati wanita. Contohnya, meskipun Umar keras dan tegas peribadinya, namun beliau berkata: Sewajarnya suami seperti anak kecil, tetapi jika anggota keluarganya menghendaki sesuatu daripadanya, mereka mendapati dirinya seorang lelaki.” (sumber:Bharian,31/7/11)

30 Julai 2011

ILMU: JANGAN KEDEKUT MENYEBARKANNYA

APABILA menyebut mengenai ilmu, saya ingin berkongsi kata-kata hikmah Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk. Beliau mengatakan, manusia ada empat kategori. Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu.
Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya. Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya.


Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan. Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam kategori manusia terakhir. 

Tetapi apabila direnungi, sejauh mana semangat kita menerokai dan berkongsi ilmu dalam persekitaran? Mungkin kita terfikir sejenak dan terbayang kesibukan setiap hari menguruskan rumah tangga, keluarga, kerja dan masyarakat. 

Ini antara alasan sering disebut-sebut. Sedangkan apabila kita membaca kisah sahabat dan tabiin yang sanggup mengembara jauh dari Madinah ke Damsyik, semata-mata mencari ilmu, kita patut rasa malu pada diri sendiri dan kagum dengan mereka. 

Mereka bermusafir hanya untuk mempelajari satu hadis daripada sahabat yang mendengar sendiri daripada Baginda Rasulullah SAW. Mereka memiliki semangat dan kecintaan tinggi terhadap ilmu. 
Antara kisah masyhur ialah Said al-Musayyab, Abu Darda’ dikenali sebagai hakim al-ummah (kebijaksanaan umat) dan Abdullah Abbas, dikenali dengan hibr al-ummah (yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan bahr al-ulum (lautan ilmu pengetahuan). 

Hebatnya semangat mereka menjunjung ilmu walaupun terpaksa menempuh kepayahan sehingga melahirkan tamadun Islam yang gemilang. Semangat mereka itu patut kita jadikan iktibar selepas Allah dan Rasul-Nya membentangkan segala kelebihan ilmu kepada kita. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Dia akan memberikan kepadanya pemahaman mendalam dalam urusan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Ini membuktikan kebaikan tidak akan terhasil tanpa pemahaman ilmu membawa kepada kebaikan iaitu ilmu agama itu sendiri. Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. 

Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. 

Kepentingan ilmu termaktub dalam wahyu Allah, surah al-Alaq. Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan ayat itu menunjukkan rahmat dan nikmat pertama Allah kepada hamba-Nya iaitu memerintahkan mereka mempelajari ilmu pengetahuan serta mengajarkan apa yang tidak diketahui. 

Hal ini terlebih dulu dilakukan dengan mengurniakan serta memuliakan kita dengan akal. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan, umat Islam mendapat kedudukan mulia dan tinggi dalam dunia apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan. 

Oleh itu, antara usaha Rasulullah SAW ialah meminta tawanan musyrikin dalam Perang Badar mengajar umat Islam membaca sebagai syarat tebusan. 

Selaras tumpuan pembangunan masyarakat berteraskan pengetahuan yang diistilahkan sebagai K-Society, dalam alam pekerjaan ia perlu terus diberikan penekanan tinggi. Penguasaan ilmu secara langsung melalui kelayakan akademik semata-mata belum mencukupi menjamin kecemerlangan. 

Sebaliknya, mereka yang kurang baik pencapaian akademik juga boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya jika terus meningkatkan pengetahuan melalui pembelajaran berterusan sebagai usaha pembangunan kendiri. 

Begitu juga bagi yang berada pada tahap tinggi dalam perjawatan, perkongsian bijak perlu digalakkan dalam organisasi supaya pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pencapaian matlamat organisasi. 

Ilmu pengetahuan itu bermanfaat apabila diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). 

Pembudayaan ilmu adalah warisan Rasulullah SAW yang tidak ternilai. Justeru, pelihara warisan ini serta marilah kita menyemarakkan budaya penerokaan ilmu dalam persekitaran kerja untuk manfaat diri dan organisasi. 

(sumber: Sharifah Hayaati, Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya)



28 Julai 2011

KEMURUNGAN: SEMAKIN SERIUS


DUA  bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.
Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.
Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.
Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.
SIMPTOM KEMURUNGAN
Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.
Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.
Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.
Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.
“Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial,” jelasnya.
Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.
“Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi,” kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI
Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu – tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.
Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.
Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.
Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.
Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.
WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.
Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.
WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN
Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.
Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.
Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.
Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN
Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.
“Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
“Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu,” katanya..
Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.
Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan,” ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT
Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?
Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.
Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.
Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.
Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.
“Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya,” jelas Gangadara.
Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.
“Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami,” ujarnya. –(sumber: mynewshub.my, 28/7/11)

TUKAR JANTINA: PERLU FIKIRKAN DARI SEMUA ASPEK


KISAH Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dalam MyKad dan Sijil Kelahiran kepada nama wanita Aleesha Abdul Aziz, selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu menghiasi dada akhbar minggu lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak permohonan itu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz dilaporkan telah membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan bagi menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai wanita dengan status lelakinya.

Kisah itu menimbulkan kemarahan masyarakat tidak kurang juga ada yang bersimpati. Persoalannya adakah simpati mampu mengubah hukum Allah?

Ulama sepakat perbuatan menyerupai wanita melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku berdosa besar apatah lagi mengubah anggota menjadi anggota wanita.

Perbuatan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya adalah dilaknat, haram, berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk.” (Surah at-Tiin, ayat 4)

Allah juga memberi peringatan mengenai tipu daya dan hasutan syaitan untuk mengubahsuai ciptaan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan Kuperdayakan mereka dengan angan-angannya serta Kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali (panduan), selain Allah sesungguhnya dia rugi dengan kerugian nyata.” (Surah An-Nisa’, ayat 119)

Ibnu Abbas meriwayatkan, “Rasulullah melaknat lelaki menyerupai atau berlagak seperti wanita dan wanita menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memberikan fatwa penukaran jantina lelaki kepada perempuan melalui pembedahan bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubah kejadian-Nya.

Syarak hanya memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan, dengan syarat disokong keterangan pakar dalam bidang itu. Khunsa musykil mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat itu.

Jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh. Jantina mereka dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau paling akhir berhenti.

Ia juga boleh ditentukan selepas baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri kewanitaan (datang haid) atau kelelakian (tumbuh janggut dan misai).

Kelonggaran diberikan ini adalah ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim secara sempurna.

Jika penukaran jantina dibenarkan, pelbagai masalah akan timbul serta merosakkan ibadat bukan saja kepada diri sendiri malah orang lain. Status pernikahan individu asalnya lelaki dengan lelaki lain pasti menimbulkan implikasi besar.

Bagi yang tidak berkahwin, dosa kian bertambah apabila mereka menjadikan pasangan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks songsang berlaku.

Dalam ibadat, akibat penukaran jantina, bagaimana mereka hendak melakukan sembahyang mengikut cara wanita sedangkan mereka adalah lelaki. Begitu juga jika mereka ingin sembahyang berjemaah, di manakah saf sepatutnya, bersama jemaah lelaki atau wanita?

Bagaimana pula jika mereka berada dalam jemaah wanita dan berlaku sentuhan dengan wanita lain, sedangkan jemaah tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki? Tambah buruk lagi apabila wanita lain mendedahkan aurat kerana menyangka mereka wanita, walhal auratnya masih dalam hukum asal aurat wanita terhadap lelaki. Begitu juga masalah mengerjakan haji atau umrah.

Apabila meninggal dunia, jenazah mereka masih perlu disemadikan sebagai lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita. Ditambah pula pelbagai penyakit timbul selepas melakukan pembedahan menukar jantina.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan yang dilaknat itu. Kehidupan yang aman dan bahagia boleh dicapai dengan menerima qada dan qadar Allah dengan hati tenang.

Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian. Menyesali rupa bentuk atau keadaan tubuh badan sedia ada adalah perkara yang boleh meruntuhkan keimanan terhadap Allah, dan ia adalah tipu daya syaitan. (sumber: Tuan Musa Awangbharian, 27/7/11)

TEORI KEMURUNGAN KOGNITIF BECK




Teori Kemurungan Kognitif Beck telah diperkenalkan oleh Beck tahun 1967. menurut Beck kebanyakan tanda-tanda murung adalah berpunca daripada sikap dan pemikiran individu yang negatif iaitu gejala dan tanda-tanda menunjukkan kemurungan adalah akibat daripada pemikiran yang tidak tenteram. Pemilihan Teori Kemurungan Beck merujuk kepada kesesuaian teori ini dengan kajian yang dijalankan. Teori ini juga mengatakan perubahan dalam pemikiran seseorang adalah berpunca kepada kemurungan.

Beck (1987) dalam Wan Zainab (1990) menyatakan individu yang mengalami kemurungan biasanya mempunyai pemikiran yang tidak tenteram. Model Beck telah menghuraikan tiga konsep asas psikologikal yang mengakibatkan kemurungan iaitu konsep kognitif tiga penjuru, skema dan alat. Untuk menerangkan tingkah laku kemurungan, konsep tiga penjuru kognitif akan digunakan. Mengikut teori ini kemurungan yang berlaku pada seorang individu adalah akibat daripada tiga cara pemikiran (The Cognitive Triad). Mereka yang murung lebih cenderung mempersepsikan diri sendiri, pengalaman masa depan mereka sebagai satu pemahaman yang negatif dan tidak realistik.






  • Skema pula merupakan satu tanggapan yang tidak fleksibel akibat daripada kepercayaan atau andaian pengalaman masa lalu. Beck (1987) menyatakan skema digunakan untuk menggambarkan struktur kognitif. Skema merupakan penglibatan struktur kognitif di antara input rangsangan dan tindak balas personaliti. Skema mengandungi gabungan organisasi daripada nilai kepercayaan dan andaian yang berhubung dengan objek, kejadian atau persekitarannya. Skema juga akan berfungsi sebagai rangsangan scanners, menapis maklumat, interpretasi dan mengekodkan maklumat (Becker, 1974).

    Alat merupakan konsep ketiga dalam Teori Kognitif Beck. Mereka yang murung akan sering mempunyai kesilapan struktural dan pemikiran. Ia mempunyai hubungan dengan salah tafsir tentang sesuatu kejadian. Mereka yang murung juga akan membesar-besarkan tanggungjawab dan celaan terhadap diri sendiri. Mereka bukan sahaja membuat generalisasi yang melampau berdasarkan sesuatu peristiwa tetapi juga akan melakukan atau membuat kesimpulan secara tidak logik (Clarizio, 1985).

    Untuk melihat dan menerangkan masalah kemurungan, Beck (1967) dalam Raikhan (2006) telah mengaplikasikan Model Kognitif Pembelajaran Sosial. Menurut beliau ketidakfungsian kognitif merupakan pusat kepada fenomena kemurungan. Konsep Beck’s Negative Cognitive Triad, menerangkan tentang tiga pemikiran negatif manusia iaitu tentang dirinya, dunia dan masa depan yang difikirkannya (Allen, 2007). Pemikiran negatif terhadap diri adalah bagaimana individu akan melihat dirinya dalam kerangka yang negatif iaitu menganggap dirinya sebagai serba kekurangan dan tidak bernilai. Keadaan ini akan menyebabkan individu mengatribusikan perasaan tersebut dengan keadaan fizikal, mental dan moral dan seterusnya menolak dirinya sendiri daripada sebarang aktiviti. Manakala, pemikiran negatif yang diwujudkan terhadap persekitaran atau dunia menerangkan bahawa individu yang murung biasanya membuat interpretasi bahawa interaksinya dengan persekitaran adalah gagal dan tidak berjaya. Ia merasakan kehidupannya sentiasa terhalang dan tidak berdaya untuk mengatasinya. Pemikiran individu yang menanggap masa depannya sebagai negatif pula adalah dengan melihat masa depannya sebagai negatif. Individu cenderung untuk beranggapan keadaan yang dialaminya akan berterusan. Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan indvidu merasakan masa depannya tidak berguna dan tiada harapan.

    Menurut Beck (1967) dalam Raikhan (2006), kemurungan dalam kalangan pelajar dapat dilihat pada tiga tahap iaitu dengan merujuk kepada darjah simptom kemurungan yang dialami oleh mereka iaitu kemurungan yang rendah (Mild Depression), kemurungan yang sederhana (Moderate Depression) dan kemurungan yang tinggi (Severe Depression). Kemurungan pada tahap ini merupakan kemurungan pada tahap awal dan biasanya dialami oleh kebanyakkan pelajar. Pelajar-pelajar hanya menyatakan diri mereka buntu dan sedih (disphoria). Mereka yang mengalami kemurungan pada tahap ini masih boleh bergembira dan kelihatan riang. Kemurungan pada tahap ini tidak terlalu menjejaskan prestasi mereka dalam pencapaian akademik dan aktiviti-aktiviti luaran.

    Kemurungan sederhana adalah menunjukkan tanda seperti perasaan ‘disphoria’ cenderung untuk menjadi berpanjangan dan lebih kekal. Para pelajar akan merasakan tidak berminat untuk menglibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di dalam dan di luar sekolah. Pada peringkat ini didapati agak sukar untuk mempengaruhi mereka bagi mengalihkan kepada tingkah laku gembira dan riang. Tingkah laku dan perasaan riang dan gembira mereka, jika ada cuma bersifat sementara sahaja. Pada peringkat ini keadaan disphoria biasanya bermula sejak awal pagi dan berterusan seharian. Menurut Beck (1967), biasanya tahap kemurungan inilah yang banyak berlaku ke atas pelajar-pelajar sekolah terutamanya di peringkat awal remaja.

    Kemurungan tahap tinggi merupakan tahap kemurungan paling yang teruk. Mereka yang mengalami kemurungan pada tahap ini akan memperlihatkan perasaan dan tingkah laku terlalu sedih dan putus asa. Mereka juga sentiasa berada dalam keadaan terlalu risau atau bimbang. Menurut Beck (1967), 70% pelajar-pelajar yang mengalami kemurungan pada tahap ini akan merasa sedih sepanjang masa, dan sukar untuk lari daripada keadaan tersebut. Kesedihan dan putus asa serta pengherotan dalam keadaan-keadaan yang lain dilihat sebagai bersifat berterusan.(sumber:Al-Kauthar.blogspot.com)
  • KEMURUNGAN: PUNCA DARIPADA IBU BAPA...


    Apakah itu kemurungan?

    Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan perasaan (mood) seseorang individu
    menjadi semakin menurun.

    Ini akan menjejaskan kehidupan harian individu tersebut, termasuklah pemikiran, perasaan,
    tingkah laku dan kesejahteraannya.

    Sekiranya tidak ditangani secara efektif, ianya boleh mendorong kepada tindakan
    membunuh diri.

    Mengapa seseorang mengalami kemurungan?

    Sebab-sebab terjadinya kemurungan termasuklah:
    • Kemurungan boleh berlaku di dalam keluarga
    • Peristiwa atau kejadian yang menyebabkan seseorang tertekan

    o Contoh: Kematian ahli keluarga, gagal dalam peperiksaan, perceraian ibu bapa
    • Penyakit kronik
    o Contoh: Epilepsi (Sawan), asma dan kanser
    • Ciri-ciri peribadi
    • Penyalahgunaan dadah
    • Penggunaan ubat-ubatan tertentu
    o Contoh: Steroid, ubat cegah kanser
    Bagaimana mengenal pasti seseorang mengalami
    kemurungan?

    Ciri-ciri kemurungan termasuklah:

    • Sentiasa sedih dan menangis
    • Mudah tersinggung
    • Tidak bermaya
    • Tidak berupaya untuk menikmati aktiviti-aktiviti kegemaran • Rasa bersalah yang tidak menentu
    • Sakit - sakit badan
    • Kehilangan fungsi tubuh yang tidak boleh diperjelaskan

    o Contoh: Sentiasa mengalami sakit kepala, letih atau sakit perut
    • Mengasingkan diri daripada sahabat dan keluarga
    • Cubaan untuk mencederakan diri sendiri dan membunuh diri

    Bagaimana membantu seseorang yang mengalami masalah
    kemurungan?

    Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuklah:
    • Menggalakkan individu tersebut untuk berbual dengan orang yang beliau percaya,
    seperti
    o Ibu bapa
    o Ahli keluarga yang dipercayai
    o Kaunselor sekolah
    o Guru agama
    • Jadilah sahabat yang sentiasa memberi sokongan
    o Mendengar
    o Menghibur hati
    o Menasihati
    ATAU

    Memberi cadangan untuk mendapatkan bantuan daripada individu yang lebih berkelayakan:
    • Doktor
    • Ahli Psikologi
    • Pakar Psikiatri

    "Minta pertolongan adalah langkah pertama untuk mengatasi masalah kemurungan" Apakah yang akan berlaku sekiranya tiada bantuan diberikan?

    Terdapat banyak keburukan apabila kemurungan tidak ditangani. Ini termasuklah:
    • Kesan ke atas fizikal. Contoh:
    o Masalah kurang berat badan atau masalah kegemukan
    o Gangguan kitaran haid
    o Anemia

    • Kesan ke atas Psikologi. Contoh:
    o Perasaan rendah diri
    o Risiko untuk bunuh diri

    • Kesan ke atas sosial. Contoh :
    o Pencapaian sekolah yang lemah
    o Ponteng
    o Penyalahgunaan dadah atau minuman keras

    Di manakah seseorang boleh mendapatkan bantuan?
    Pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
    "Minta pertolongan adalah langkah pertama untuk mengatasi masalah kemurungan".(sumber:infonasihat.gov.my)

    27 Julai 2011

    KAHWIN: SEMPURNALAH IMANMU!

    KATA-KATA Umar Al-Khatab, menunda perkahwinan bermakna menangguhkan banyak manfaat dinikmati manusia. Oleh itu, jangan takut bernikah kerana dengan izin Allah, ia tidak sulit seperti dibayangkan.

    Nabi Muhammad pernah melarang keinginan sahabat yang tidak mahu mendirikan rumah tangga walaupun mereka memberi alasan mahu memberi lebih tumpuan beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah.
    Inilah bukti betapa Nabi Muhammad tidak menyukai mereka yang memilih untuk tidak berkahwin walaupun mampu melakukannya dan Baginda tidak mengakui mereka sebagai umatnya. Malah, mereka berdepan dugaan berat mengawal nafsu.
    Buku Apabila Hati Rindu Menikah membincangkan isu pernikahan dari pelbagai sudut yang pastinya dimulakan dengan indahnya perkahwinan iaitu penghargaan tinggi daripada Allah sebagai cara menyempurnakan iman.

    Ini kerana melalui ikatan perkahwinan manusia mengecap nikmat yang membawa kedamaian, menjauhkan maksiat, menghilangkan keresahan hati serta dapat meningkatkan nilai ibadat di sisi Allah.

    Begitu juga dengan mereka yang takut serta ragu untuk menikah, turut diketengahkan akibatnya antaranya mereka akan hilang kemuliaan, dibenci Allah dan Rasul-Nya, menjadi miskin serta mati dalam keadaan hina.

    Turut disediakan, cara mengatasinya iaitu meluruskan niat, menambah ilmu berumahtangga, tingkatkan usaha mencari jodoh, rajin berdoa, solat istikharah serta bersabar.
    Sesiapa yang berniat mahu mendirikan rumah tangga perlu meluruskan niat terlebih dulu supaya dipermudahkan dan mendapat pertolongan Allah.

    Bagaimana pula menjawab soalan, saya sudah lama berusaha dengan bersungguh-sungguh tetapi mengapa masih belum dapat jodoh? Walaupun kita berjalan atas suratan takdir yang ditentukan Allah, ini tidak bermakna manusia tidak boleh berikhtiar menghadapi ketentuan itu. (sumber: bharian,27/7/11)

    26 Julai 2011

    STRES? INI PENAWARNYA... SELAMAT MENCUBA

    Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkantekanan hidup. Antaranya ialah :

    1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk

    Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduksebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang danmudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakandiri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibacaakan mudah diingati.

    2) Perbanyakkan membaca Al-Qur'an

    Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang waktu.

    3) Banyakkan Solat Sunat

    Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

    4) Selalu berdoa kepada Allah

    Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat,tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yangbenar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoahanya kepada Allah yang Esa.

    5) Bersangka baik dengan Allah

    Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu,kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nyajika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

    6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

    Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan jugaakan bertambah erat dan kukuh.

    7) Amal diet dengan disiplin yang kuat

    Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

    8) Menangis dengan sepuas hati

    Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai contoh,bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

    9) Hargai kebolehan diri sendiri

    Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja.Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mestimenghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

    10) Cintai diri sendiri

    "Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kitaperlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

    Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayannya. (sumber:nimosy.blogspot.com)

    WANITA YANG PATUT DIJAUHI LELAKI

    Ada satu pandangan daripada pakar cinta di luar negara berkenaan ciri-ciri wanita yang wajib dijauhi.

    1. Wanita kategori liar.

    Inilah jenis wanita yang sering dinasihati oleh mana-mana ibu untuk dijauhi. Pada awalnya, perhubungan dengan wanita sebegini sememangnya menyeronokan.

    Dia selalu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Perasaan selalu mencuba sesuatu yang bagus, tetapi sikap cuba-cubanya tidak wujud sempadan. Kita teruja dengan kegilaannya tetapi tak kita sedar, tersadung dalam masalah yang diciptanya.

    2. Wanita si Bom jangka.

    Wanita bersifat bom jangka seumpama emosi yang akan meletus tanpa apa-apa amaran ketika anda menjangka semuanya erkawal.

    Dia kelihatan normal luarannya sehinggalah kita menjadi sasarannya.

    Individu seperti ini bukan sahaja menjadi bom jangka dalam emosi kemarahan malah emosinya akan mengubah keputusan-keputusan penting.

    3. Wanita si Gula-gula

    Gadis muda seumpama gula-gula yang melihat kita sebagai pembimbingnya dan menyukai kewujudan kita.

    Dalam keadaan ini kita seolah-olah bertindak seperti seorang yang mengajarnya untuk menjadi wanita idaman dan cuba mencipta kehidupan yang penuh kematangan untuknya.

    Hakikatnya kita sudah tertipu, gadis muda seumpama ini sebenarnya sedang menguji kuasa tarikan yang ada pada dirinya.

    4. Wanita si Bintang

    Wanita bersifat bintang menjadikan pasangannya sebagai jalan untuk mempopularkan atau menguntungkan dirinya semata-mata, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai keinginan besar terhadap sesuatu yang jelas bukannya diri kita.

    5. Wanita si Penggapai.

    Penggapai mempunyai kedudukan kewangan lebih dari apa kita miliki dan dia menyukai keadaan demikian, ia memberi jaminan kepada dirinya.

    Mengapa dia suka? Dia memilih pasangan yang bukan dalam kelompoknya agar ia memberinya ruang bergerak.

    Kita menjadi sasaran jika matlamat kewangannya gagal, dan kita dilihat sebagi punca terbazir masanya sekadar untuk aktiviti bersama.

    Dia cenderung mengatakan setiap usahanya adalah untuk kebahagian bersama.

    6. Wanita yang Tercedera.

    Hubungan yang terjejas menjadikan wanita dalam kategori ini tercedera emosinya sepanjang masa.

    Kewujudan kita adalah kapal persinggahannya sementara baginya untuk memikirkan kesilapannya, apa yang terjadi, siapakah dia dan apa yang perlu dilakukannya.

    Sepanjang kita menjadi pasangannya, kita mendengar segala kisah buruknya. Kita akan menjadi pendengar setia kisah sedihnya semalam, hari ini dan esok.

    Dalam jangkaan kita kewujudannya untuk menyintai kita, tetapi dia lebih memikirkan keadaan dirinya. (sumber:ipislam.edu.my)

    REMAJA DAN KERAPUHAN JIWA

     SEHELAI demi sehelai majalah itu Amin belek. Bila tiba ke hujung kulit, Amin pergi menonton televisyen, tiada cerita menarik. Bosan! Tiada apa yang hendak dilakukan semasa cuti sekolah ini. Ayah ibunya terlalu sibuk dengan kerja. Kakak dan abangnya masing-masing berada di kolej dan bekerja. Sebagai anak bongsu, dia sangat bosan hanya tinggal dengan pembantu rumah. Lalu dia teringat kawannya, Johan semalam mengajaknya menonton wayang, lantas menghubunginya untuk keluar.

    Hari demi hari, begitulah aktiviti Amin. Keluar pun sudah pandai hingga lewat malam. Tiada siapa pun hendak marah dan pantau. Ayah ibu pun pulang lewat malam. Kadang-kadang kedua-duanya terpaksa ke luar daerah, meninggalkan Amin yang disangka mereka sudah besar dan pandai menjaga diri.
    Sehinggalah Amin sudah berani mengunjungi tempat-tempat yang tidak sepatutnya dia kunjungi dan terjebak dengan perkara-perkara yang kurang baik. Apa yang nak ditakutkan, tiada siapa yang sedar akan perbuatannya, dan dia merasakan dia bebas melakukan apa sahaja.
     
    SEBAHAGIAN remaja kini amat mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir yang kurang baik dan cenderung untuk mengikut contoh-contoh yang membawa kepada kerosakan diri dan akhlak.
    Kisah seperti Amin di atas yang kekurangan perhatian kedua-dua ibu bapanya menjadikan Amin seorang yang sangat mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebayanya dan pengaruh sekeliling.

    Rakan sebaya dijadikan tempat untuk meluahkan perasaan, meluangkan masa bersama-sama serta secara tidak langsung, menjadi sumber teladan yang paling hampir dengan mereka. Selalunya remaja cenderung untuk melawan tradisi dan persekitaran yang mengongkong mereka. Perkara yang kurang baik dan negatif mudah diikuti, manakala perkara yang baik senang sahaja ditolak mentah-mentah dan dicemuh.

    Zaman kanak-kanak dan remaja adalah tempoh yang sangat kritikal dan penting dalam pembentukan tingkah laku dan perangai. Naluri suka meniru, berkawan, ingin tahu yang ada pada mereka menyebabkan anak mudah terikut-ikut dengan apa yang ada di sekitarnya. Jika yang mempengaruhi itu adalah hal baik maka ia akan berguna kepada diri remaja tersebut. Jika anak dibiarkan dalam keadaan kelompangan hati dan kekosongan teladan, pengaruh buruk mudah menjadi ikutan. Jika keadaan ini berterusan, kerapuhan jiwa dan minda mudah terjadi.

    Terdapat kini sebahagian anak-anak, terutamanya remaja gagal mengenal dan membezakan sesuatu yang berguna atau sebaliknya kerana bimbingan tidak diberi pada tahap awal kehidupannya. Jiwa dan minda mereka menjadi rapuh kerana banyak faktor.

    Ketidakprihatinan ibu bapa terhadap pembesaran rohani dan emosi anak-anak mereka antara lain menyebabkan kepada permasalahan ini. Kebanyakan ibu bapa kini bertungkus lumus untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi serta keperluan asas untuk keluarga, tetapi lupa untuk meluangkan masa untuk anak-anak mereka.

    Anak-anak muda yang tidak tahu untuk mengurus kesunyian dan kelompongan jiwa akan mudah mencari teman yang lebih memahami jiwa dan perasaan mereka. Peringkat awal pembesaran bayi, mereka diberi suntikan imunisasi sebagai langkah pencegahan daripada penyakit untuk menjamin kesihatan jasmani yang mudah terdedah kepada penyakit cacar, Hepetitis B, dan sebagainya. Apabila kekebalan jasmani sudah ada, maka penyakit dapat dicegah. Begitu juga dengan pendidikan emosi anak-anak terutamanya remaja.

    Ibu bapa perlu bukan sahaja menitikberatkan aspek jasmani, tetapi juga perlu mengisi jiwa anak-anak dengan amalan rohaniah dan bimbingan agama. Ini akan menjadi bekalan kepada diri remaja supaya lebih teguh menghadapi cabaran dan anasir-anasir yang kurang baik.

    Selain itu, konsep berkeluarga dan kehidupan yang bakal mereka lalui apabila dewasa kadang kala tidak diperjelaskan dengan baik oleh ibu bapa. Kebanyakan ibu bapa pula tidak memberikan pedoman yang betul kepada anak remaja mereka tentang apa yang bakal mereka tempuhi apabila dewasa dan kepentingan untuk mempunyai cita-cita dan visi hidup. Ada ibu bapa yang menasihatkan anak-anak untuk berjaya, tetapi tidak pernah mengambil berat tentang prestasi akademik dan kemajuan diri anak mereka di sekolah.
    Membina Kekebalan Remaja

    Islam menganjurkan pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Pada hari ini, pendekatan mengatasi masalah generasi muda lebih banyak kepada pendekatan natijah terakhir (end result). Bila kerosakan sudah banyak berlaku, tidak banyak yang boleh dilakukan. Bila ketagihan dadah, rokok atau minuman keras mula bertapak ia menjadi agak payah untuk diubati.

    Pencegahan bermakna memberi asas kekebalan pada hati dan pemikiran menerusi asuhan dan teladan. Kekebalan jiwa dan pemikiran anak perlu dilakukan menerusi semaian kasih sayang, membina keyakinan dengan asas maklumat dan pengetahuan mudah difahami, ajaran mengenai nilai, adab dan kesantunan supaya anak dengan kelaziman dan kebiasaan baik dapat membezakan sesuatu yang berfaedah atau sebaliknya.
    Pengaruh media cetak dan elektronik memberi kesan kepada generasi muda. Apa ditonton dan dibaca membentuk jalan berfikir dan bertindak, kecuali kesedaran awal membezakan sesuatu itu baik atau buruk diberi.

    Lazimnya pengaruh persekitaran berlaku sepanjang masa. Anak yang aktif fizikal dan pemikirannya mudah terpengaruh dengan sesuatu diminati dan disukainya tanpa banyak berfikir akibatnya. Keseronokan sering menjadi faktor yang mendorong perlakuan dan tabiat.

    Untuk mengubahnya bukanlah satu hal yang mudah. Jika pendekatan pencegahan dibuat pada peringkat awal ia boleh menjadi benteng dalam menghadapi perlakuan negatif.

    Selalunya pendekatan pencegahan dilakukan dengan memberi nasihat keagamaan dan menggalakkan mereka mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Pendekatan ini hanya berkesan dan dapat dijadikan amalan sekiranya ia dilakukan menerusi teladan. Rasional harus diberitahu kepada mereka mengapa amalan baik itu patut berlaku kepada mereka. Interaksi seumpama ini penting dan dilakukan secara fitrah iaitu menerusi kasih sayang, belaian, didikan, tunjuk-ajar dan teladan.

    Justeru, kekebalan hati dan pemikiran perlu dipupuk dengan asas teladan, contoh dan maklumat yang sesuai dengan umur dan pengalaman hidup anak. Proses ini harus berlaku berterusan supaya keremajaan dan kedewasaannya nanti memiliki kekebalan yang tinggi serta mampu untuk menghadapi cabaran yang mendatang.


    Kesimpulan

    Anak-anak, terutamanya remaja perlu dibimbing dengan didikan agama dan pelajaran hidup yang baik. Teladan dan contoh ikutan menjadi asas yang sangat penting kepada remaja supaya dapat meneladani perbuatan dan tingkah laku yang baik dan berakhlak.

    Kedatangan maklumat dan pendedahan kepada persekitaran perlu diwaspadai bagi mengelakkan anasir-anasir yang rapuh menjengah ke dalam diri remaja. Namun, pada masa sama, remaja juga harus bertindak bijak serta tidak mengikut perasaan dalam bertindak sebaliknya harus mampu untuk berfikir serta merujuk kepada orang yang lebih tua apabila mengalami kebuntuan atau permasalahan. (ssumber: ipislam.edu.my)

    25 Julai 2011

    PSIKOLOGI : TIDAK BOLEH DIJADIKAN FAKTOR PENENTU JANTINA



    MASYARAKAT khususnya umat Islam perlu melihat isu pertukaran jantina melalui pembedahan dengan merujuk kepada hukum yang sudah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu haram dari segi hukum syarak. 

    Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata fatwa mengenai pertukaran jantina sudah dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 1982.
    Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali Ke-4 yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 memutuskan pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram.


    Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukar jantinanya melalui pembedahan dan seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan. 

    Bagaimanapun, seseorang yang dilahirkan ‘khunsa musykil’ iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai. 

    “Hukum ini sudah jelas dan tidak perlu untuk kita mempertikaikannya lagi,” katanya sambil menambah perkara membabitkan hukum syarak tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi jika didorong oleh rasa simpati kerana umat Islam perlu meletakkan perkara agama mengatasi segala-galanya dan patuh kepada hak agama. 

    Isu pertukaran jantina kembali diperkatakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu baru-baru ini menolak permohonan seorang lelaki menukar nama dalam MyKad dan sijil kelahiran kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu. 
    Permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman. 

    Sheikh Ghazali berkata, mereka yang prihatin dengan isu berkenaan sepatutnya menilai keadaan melanda golongan menukar jantina dari kaca mata agama dan budaya hidup diamalkan di negara ini dengan pandangan terbuka. 

    Beliau berkata, kesilapan yang dilakukan pihak berkenaan sepatutnya dijadikan pengajaran bukan sebab untuk mereka dicemuh dan bagi yang bersimpati, sepatutnya mengambil inisiatif untuk membawa kembali golongan berkenaan kepada keadaan asal. 

    “Silap masyarakat kita suka mencemuh. Sepatutnya kita tarik mereka kepada asal kejadian. Itu kesilapan yang mereka lakukan tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh menjalani kehidupan mengikut jantina asal,” katanya. 

    Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, berkata implikasi daripada isu penukaran jantina pada kad identiti akan memberi kesan besar bukan saja kepada individu tetapi juga masyarakat. 

    Katanya, tujuan undang-undang ialah untuk memastikan kehidupan yang lebih teratur serta memelihara kesejahteraan kehidupan semua lapisan termasuk dalam hubungan antara individu, keluarga dan masyarakat. 

    “Perlu kita faham, penukaran nama pada kad identiti hanya isu sampingan kerana masalah utama yang perlu diberi perhatian ialah implikasi dari aspek perundangan yang jauh lebih besar. Sebab itu isu ini tidak boleh selesai atas dasar memohon simpati atau restu ibu bapa saja,” katanya. 

    Beliau berkata, melihat kepada kesan makro, Mahkamah Sivil di Malaysia dan di Barat pun masih berpegang kepada empat kriteria untuk penentuan jantina seseorang dan ada kes menambah satu lagi faktor iaitu faktor hormon. 

    Berdasarkan analisis kes dari 1819 hingga sekarang, kesemua kes berkaitan yang didengar di Mahkamah Sivil menunjukkan bahawa empat kriteria utama penentuan jantina iaitu faktor kromosom, gonadal (kewujudan atau ketiadaan testis atau ovari), genital (termasuk organ seks dalaman) dan psikologikal. 

    Kriteria itu sudah berkembang dalam dunia perubatan sejak kurun ke-19 sebagai panduan doktor perubatan untuk menyelaras pengetahuan dalam bidang berkenaan dan diguna pakai sebagai pendekatan sistematik kepada masalah kelainan seksual secara fizikal atau psikologikal. 

    Prof Zaleha berkata, aspek psikologi turut dibincangkan pakar perubatan untuk membantu mahkamah seperti pandangan Dr Randell dalam kes Corbett v Corbett menunjukkan faktor psikologi tidak mengambil keutamaan jika kromosom, gonadal dan alat jantina dalam kategori yang sama. 

    Contoh, seorang individu itu walaupun secara psikologi adalah seorang wanita, tetapi kromosomnya lelaki, organ seks dan gonadnya (anggota seks dalaman) lelaki, maka dianggap sebagai lelaki. 

    Dalam banyak kes, mereka mengambil pil hormon wanita (estrogen) yang mudah didapati di pasaran untuk menonjolkan ciri kewanitaan, menghaluskan kulit, menyebabkan pembesaran buah dada dan pengurangan bulu. 

    “Aspek psikologi tidak boleh dijadikan satu-satunya faktor penentuan jantina. Secara luaran dia boleh berlagak seperti wanita dan mahu menjadi wanita tetapi jika masyarakat menerimanya sebagai wanita, ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana akan timbul banyak isu perundangan,” katanya. (sumber:bharian,25/7/11)