11 Oktober 2010

PENDEKATAN KASIH SAYANG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

SECARA professional,kerjaya guru  berkait rapat dengan  konsep pendekatan pengajaran - pembelajaran (p-p) bagi  mencapai matlamat p - p dengan berkesan. Kamus Dewan (2010) menjelaskan bahawa pendekatan bermaksud perihal , mendekati atau mendekatkan bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Dalam pengertian yang lebih luas, pendekatan juga boleh diertikan sebagai to come near to in any sense atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu  dengan arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran.

Memandangkan pendekatan penting bagi mencapai semaksimum mungkin objektif p-p maka guru yang sentiasa kreatif kerapkali berusaha mengaplikasikan berbagai-bagai pendekatan bagi menambat minat dan hati pelajar terhadap pelajaran.

Justeru, dengan pendekatan humanistik yang  menekankan kasih sayang dan mengutamakan aktualisasi kendiri maka guru sentiasa merujuk kepada motivasi manusia untuk menggunakan potensi pelajar sepenuhnya.Apatah lagi pendekatan yang berpaksikan kasih sayang mengutamakan kepercayaan dan potensi semula jadi dan memperakui pengalaman unik setiap individu.   

Kendatipun ada segelintir masyarakat beranggapan guru kini mula terhakis nilai-nilai kasih sayangnya   lantaran tempias materialisme  namun  masih belum terlambat lagi andainya golongan pendidik/guru berusaha mengubah persepsi tersebut dengan jujur,telus dan ikhlas. 

Walau bagaimanapun  sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan disebabkan  sikap guru yang hanya bertindak sebagai pengajar bukan pendidik yang hanya menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang  dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja.

            0leh yang demikian  pendekatan bertunjangkan kasih sayang guru terhadap pelajar  dalam konteks p-p  bilik darjah  dan aktiviti kokurikulum meliputi:

1.   Guru  sentiasa kreatif dan inovatif  mewujudkan suasana ceria yang sesuai dengan bahasa badan, komunikasi lisan , komunikasi  bertulis, komunikasi isyarat yang pelbagai seperti: menggunakan kata-kata  sapaan yang lebih bersopan jika memberi teguran;  contoh perkataan:   jahat kepada nakal, menggunakan isyarat ibu jari  tangan  bukan jari telunjuk bagi menunjukkan arah atau sesuatu, tidak mencebikkan bibir atau membeliakkan mata dan tidak menghamburkan kata-kata jelek  yang mana boleh menggambarkan emosi guru tidak stabil dan kurang bijaksana.

  1. Guru sentiasa memberi semangat kepada pelajar sama ada yang lemah mahupun yang berpotensi kerana setiap pelajar mempunyai potensi diri tersendiri, kemahiran dan kelebihan masing-masing.

  1. Guru memberikan  ganjaran seperti kata-kata pujian kepada pelajar secara berterusan  demi meningkatkan keyakinan minda dan kebolehpercayaan  diri terhadap guru dan mata pelajaran yang dipelajari. Contoh perkataan:
    kamu bijak”, ”kamu cerdik”, ”tahniah kamu berjaya”, ”jawapan kamu betul cuma belum lengkap” dan sebagainya.

  1. Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan terhadap pelajarnya dengan menyediakan  bahan bantu mengajar supaya menarik minat pelajar meningkatkan motivasi  dan  memudahkan proses p-p. Dengan ini pelajar merasakan  dirinya disayangi, dihargai dan diberi perhatian tanpa adanya perbezaan kasih sayang. Dengan ini dapat mengelakkkan  pelajar  mengambil kesempatan  bertemu  kaunselor sekolah  pada masa guru atau mata pelajaran yang kurang diminati.

  1. Guru bersikap terbuka dan  profesional kerana sedia menerima teguran atau cadangan positif sama ada daripada rakan sejawat mahupun pelajar demi kecemerlangan
proses p-p.

  1. Guru  sentiasa memberi peluang para pelajar  menunjukkan bakat dan kepemimpinan dalam aktiviti kokurikulum tanpa prasangka.  Dengan ini setiap pelajar akan berasa  diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya guru  perlu melengkapkan pujian dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman,  bermuka manis dan sentuhan tangan yang tidak melanggar batas-batas agama,etika dan budaya. Suara lembut tapi tegas dan berhemah  menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang guru.  Dengan kasih sayang guru dalam p-p ini diharapkan mencapai matlamat untuk mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran  dan tingkah laku ke arah kecemerlangan emosi,jasmani, rohani dan intelek.

            Sesungguhnya matlamat wawasan pendidikan itu sendiri adalah usaha budaya penyayang yang merealisasikan matlamat masyarakat prihatin dan  penyayang .  0leh itu usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung  dan mencapai lunas-lunas tersebut adalah usaha yang murni dan disanjungi.  
Oleh : DR. RAJIEE HADI
(Sumber daripada Majalah PENDIDIK , Oktober 2010)