17 Ogos 2011

BERSARA PILIHAN & KE GERBANG PERSARAAN WAJIB


oleh DR RAJIEE HADI
Presiden,
Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.
SAYA ingin menyentuh tentang hakikat,kenyataan dan cerita di sebaliknya berhubung frasa topik 'Bersara Pilihan dan Ke Gerbang Persaraan Wajib' sebagai takah-takah yang akan ditempuhi dan dihadapi oleh para pekerja sama ada di sektor awam dan swasta. Bagi pekerja sektor persendirian istilah ';bersara' agak subjektif dan terserahlah kepada individu itu sendiri tanpa batasan dan sempadan.Sehubungan ini sudah tentulah saya hanya memfokuskan kepada para penjawat awam sahaja.

Penjawat awam baik yang berada di tingkat tertinggi kumpulan khas Jusa A mahupun di gred kumpulan sokongan ke bawah, sudah sedia maklum mereka terikat dan tertakluk dengan Perintah Am Kerajaan (General Order) selagi mereka masih berkhidmat. bahkan mereka yang telah layak bersara dan telah bersara juga masih terikat dengan peraturan kerajaan di bawah Akta Pencen yang kini dikawal selia di bawah Bahagian Pascaperkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA).

Kendatipun ada penjawat awam yang berada di puncak gred Jusa atau Turus yang kita sedia maklum telah melalui beberapa penilaian cemerlang dalam perkhidmatan namun tidak sesiapa pun boleh menduga; seperti mana yang dilaporkan di dada-dada akhbar, ada juga di kalangan mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan kuasa seperti salah laku rasuah, masalah moral dan integreti.lnilah apa yang dikatakan cabaran dan pengkhianatan yang tidak diduga sepanjang tempoh perkhidmatan.Mereka yang berkelakuan 'curang' dalam perkhidmatan terimalah padah dan derita nestapa yang berpanjangan; selagi hayat dikandung badan.

Justeru hasil daripada perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja yang di bawah naungan CUEPACS kini persaraan wajib kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun dan kemudian 58 tahun. terpulanglah kepada penjawat selepas usia bersara wajib 55 tahun sama ada mahukan opsyen 56 atau 58.Selepas 58 kakitangan kerajaan masih lagi boleh berkhidmat secara kontrak tahun demi setahun sehingga maksimum 65 tahun bergantung kepada keperluan,kesihatan dan sokongan.

Sehubungan ini, saya mahu meneceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan baru (SSB) dahulu, penjawat awam boleh mohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan ketua jabatan atau majikan.

Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika umur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika umur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara dilluluskan.Namun demikian, saya nasihatkan para pembaca yang berminat membaca topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes ini.

Walau bagaimana pun warga Kementerian Pelajaran Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran /P&P (mungkin ada kementerian lain juga menggariskan klausa dan peraturan tambahan) tidak membenar bersara pilihan tatkala usia 40 tahun atas alasan keperluan kritikal. Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan ke Ketua Pengarah Pelajaran/ Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan.Ingat, bukan semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan kelulusan bahagian-bahagian lain terlebih dahulu.

Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan 5-6 tahun lalu memberitahu bahawa beliau telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan persiapan telah dikemaskinikan. Beliau berasa kecewa kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme dan ketua jabatan yang tidak amanah!

Bayangkan selama hampir 30 tahun beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk memberi markah untuk penilaian prestasi.Walhal jika mengikut prosedur JPA, semua penilai WAJIB bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan.lni jelas melanggar etika dan peraturan.Apatah lagi jika kedapatan ketua jabatan atau ketua pejabat dalam set minda telah tersedia memberi gambaran negatif dan prasangka peribadi kepada penjawat awam di bawahnya.

Menurut penjawat awam tersebut beliau amat hilang kepercayaan dan bertegas memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada majikannya.
2.Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan yang dimahukannya,usianya genap 50 tahun.Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.
3. Tindak pernah dan bebas daripada Tindakan Tatatertib.
4. Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.
5.Tugas yang disandangnya kini bukan kategori perkhidmatan kritikal.
6. Bebas daripada ikatan perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.
7. Bebas daripada Pinjaman Perumahan Kerajaan , Kenderaan Kerajaan dan Cukai Jabatan Hasil Dalam Negeri.
8. Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan-kesalahan yang melanggari syarat.
9.Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan ataupun menerima tawaran perkhidmatan di agensi lain yang menawarkan ganjaran yang lebih baik dan munasabah.
10.Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan 10 perkara di atas maka tepat pada usia tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan' bersara pilihan dengan dibayar kuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya.Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini.

 Di samping menghadapi kesihatan dan maut menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Rancanglah pengisian anda ketika menempuh hari-hari pascaperkhidmatan agar diri anda tidak dilanda kemurungan.

Namun mereka  yang telah mendapat ;'title' itu adalah insan-insan terpilih oleh Allah SWT terutama yang Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri dan Bersara Wajib.Bagi pelepah yang muda di pepohonan, janganlah ketawakan pelepah yang telah jatuh terdampar di permukaan bumi; lambat-laun semua akan merasainya. Selamat berjuang dan usah mengalah dalam kehidupan ini.(sumber:drrajieehadi.blogspot.com)

GERAKAN KRISTIAN: SATU PENDEDAHAN KISAH BENAR


PENDEDAHAN yang mahu dibuat ini diharap tidak akan menyusahkan semua pihak. Bukan semua orang yang sukakan kepada masalah.Dan menjadi kewajipan kita mendedahkannya.

KISAHNYA datang daripada seorang cikgu sekolah rendah, berketurunan lndia ( hindu) (Cikgu S) yang amat prihatin kepada anak-anak muridnya. Satu petang beliau mencari nombor saya dan menghubungi saya di pejabat.Selebihnya biarkan pihak berkuasa yang mengambil tindakan, lagipun itu adalah amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

Cikgu S berkata kepada saya: “Saya terkejut apabila mendapati beberapa anak murid saya berbangsa Melayu dan beragama Islam murid Tahun 1 dan 6 boleh menyanyi dengan semangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.
“‘Mereka menyanyikan lagu Yes, I know Jesus loves me dengan begitu bersemangat lagi. Mereka juga menyanyikan lagi Hari Ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib. Saya terkejut bagaimana murid-murid ini boleh menyanyikan lagu-lagu itu?

“Malah mereka juga boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa dengan lancar sekali serta mengenai kisah Nabi Isa disalib.” Itulah antara pendahuluannya kepada saya. Anak-anak murid cikgu ini adalah anak-anak Melayu miskin yang tinggal di kawasan setinggan di Jalan Klang Lama dalam kawasan Parlimen Seputeh.

Setiap hari Ahad, anak-anak miskin Melayu beragama Islam ini akan ke kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu. Pemuda-pemudi itu dikatakan pendakwah Kristian yang menjalankan kelas-kelas percuma untuk kanak-kanak itu.

Namun, akhirnya secara kebetulan cikgu sekolah bernama Cikgu S itu dapat mengesan bahawa anak-anak muridnya sudah hafal dengan lagu-lagu berunsur Kristian yang memuji kebesaran Jesus Christ (Nabi Isa). Memanglah lagu-lagu itu dilagukan dalam bahasa Inggeris.Asal matlamatnya ialah untuk mengajar bahasa Inggeris. Maka, ibu bapa yang melepaskan anak-akan mereka itu yakin itulah yang diajar oleh pemuda-pemudi itu.

Bagi ibu bapa miskin yang tidak faham dengan bahasa orang putih itu, mereka tidak akan sedar bahawa lagu-lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak kecil mereka itu ialah lagu keagamaan yang berlawanan dengan agama asal mereka.

“Saya juga mengambil inisiatif menghubungi pejabat agama Islam untuk memaklumkan mengenai perkara ini. Bagi saya ia adalah serius.”

Cikgu S yang mengajar anak-anak murid di sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Kuchai Lama itu tersedar ada anak muridnya yang boleh menyanyikan lagi Inggeris tersebut.

“Saya terkejut kerana murid itu boleh menyanyikan lagu Nabi Isa. Saya mengajukan kepada pihak sekolah mengenai penemuan itu dan kepada cikgu-cikgu agama sekolah.

Cikgu S turut merungut kerana pihak pejabat agama Islam tidak respons cepat kepada aduannya itu. Beliau seterusnya menghubungi ke pejabat-pejabat lain, termasuklah kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mungkin Cikgu S tidak dilayan kerana mereka mahu cepat ke Bazar Ramadan!
Saya bertanya kepada Cikgu S mengapa cikgu begitu mengambil berat mengenai hal ini, sedangkan beliau bukan orang Islam dan berbangsa Melayu?

“Saya bangkitkan ini atas kesedaran bahawa apa yang dilakukan kepada anak-anak murid saya itu adalah satu kesalahan moral dan ia adalah tidak patut dan tidak adil berlaku kepada mereka.
“Sebagai seorang guru, anak-anak murid saya yang masih mentah ini tidak patut diterapkan dengan unsur-unsur Kristianiti oleh sesiapa pun. Biar orang sedar murid-murid saya menjadi mangsa ini...”

“Saya sedar mengenai perkara ini pada hari Jumaat dua minggu lalu dan dilihat tiada tindakan yang dibuat, walaupun aduan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Pelajaran Negeri.”
Malah Cikgu S juga turut menelefon sahabat baiknya, Ridhuan Tee Abdullah mengenai perkara ini.

Ridhuan Tee di dalam blognya, http://ridhuantee.blogspot.com menulis: ‘‘Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.

“Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya.”
Namun semasa kolum ini ditulis, saya difahamkan pihak sekolah telah menghantar satu laporan lengkap kepada Jabatan Pelajaran untuk tindakan susulan.

Menurut Cikgu S, hasil siasatannya dengan murid-murid itu, dia diberitahu cara pengajaran yang dilakukan oleh pemuda-pemudi itu cukup menarik malah kanak-kanak itu turut dibawa membeli-belah, berkhemah dan berjalan-jalan. Bagi saya apa yang berlaku di kelas tuisyen di sebuah rumah itu merupakan satu gerakan halus. Ia bukan dilakukan secara suka-suka.

Begitu juga yang berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya minggu lalu. Ia bukan berlaku secara kebetulan, tapi dirancang dengan begitu tersusun. Matlamatnya ialah untuk menembusi akidah orang Melayu beragama Islam yang selama ini sukar ditembusi. Itulah sebabnya apabila orang Melayu Islam berpecah, maka unsur-unsur ini akan masuk sedikit demi sedikit ke dalam sistem umat Islam.

Persoalannya di mana NGO-NGO Islam kita yang kononnya kuat dan Islamik itu? Malangnya mereka ini lebih kuat berpolitik daripada menjalankan kerja-kerja dakwah yang sebenar.Tahukah anda bahawa gerakan Kristian ini bukan sahaja bergerak secara agresif di negara ini, tapi juga melangkaui sempadan. Gerakan mereka ini tidak kelihatan dengan imej-imej pakaian ala berkopiah putih, tabligh atau purdah, tapi cukup halus.

Mereka juga membuka kelas-kelas bahasa Inggeris dan muzik di beberapa negara lain, termasuk di Vietnam, Kemboja, Indonesia. Namun ia bukan kelas bahasa Inggeris atau muzik yang biasa, niatnya ialah untuk menerapkan agama mereka.
Siapa sebenarnya yang salah dalam hal ini? Mana perginya Persatuan Mahasiswa Islam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang garang itu. Tapi mereka hanya garang kepada pemerintah kerajaan, yang bagi mereka itu tidak kena, ini tidak kena. Mengapa tidak dilakukan kerja-kerja sosial seperti yang dilakukan oleh gerakan Kristian itu?
Jika dulu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat aktif, tapi kini ia nampaknya longlai.

Semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima teks SMS daripada Cikgu S. Mesej beliau cukup menyentuh perasaan. Saya berharap dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini ia dapat membuka mata kita semua Melayu Islam: SMSnya berbunyi:

‘‘Terima kasih kerana mengambil serius tentang isu ini. Tahniah saya ucapkan. Saya sebagai Guru dan Anak Malaysia, sangat berharap agar tindakan tegas diambil demi menyelamatkan anak-anak kita yang diibaratkan sebagai ‘KAIN PUTIH’.

“Dengan bukti KUKUH ini, saya berharapan tinggi agar pendedahan ini akan dapat juga membuka mata umat Islam yang berpecah-belah kerana gilakan kuasa politik dengan terlepas pandang anasir di luar sana yang ‘SEDANG’ mengambil kesempatan ini terhadap anak-anak kita yang tidak berdosa.


Benarlah sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan bagai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

"Dengan bukti kukuh ini juga biar dunia tahu tentang kesucian agama ISLAM, agama rasmi negara kita yang kita cintai.  Semoga saudara diberkati.  Salam 1 Malaysia, 
Cikgu S.
Namun dalam hal ini adalah salah ibu bapa yang miskin dan daif itu, atau salah kita semua? ...(sumber diseseuaikan Zaini Hassan: UM, 17/8/11  daripada tiubbocor.blogspot.com))