30 Mei 2013

PUISI : CATATAN LUKA AYAH

Ketika berkunjung ke rumah kenangan
di suatu sudut di bawah rendang petang
seorang lelaki dengan usia sisa di penghujung
mengenggam segumpal catatan
katanya,puisi yang tidak siap dipahat
yang mahu diukir dalam kehidupannya

Lantas aku dengan izin membuka
membaca lembut ucap batin catatan
dengan basah atas kertas berbekas
satu demi satu kusebut baitnya begini:

"Di manakah alang anakku
yang telah kucatat namanya di giatmara dahulu,
di manakah anakku yang dimalukan ibunya
di sekolah agama dahulu kerana bahasa arabnya
di manakah anakku yang ditakut-takutkan
ibu dan kakaknya dahulu di sekolah datuk baginda
di manakah anak-anakku yang dilemahkan dengan
kata-kata yuran dan bukan motivasi diri
di manakah anak menantuku yang
dijarumkan hati mereka dengan
cerita dendam lara ibunya
di manakah anak-anakku yang lain
anak-anakku yang diasuh siang malam
tanggungjawab hanya di pundak ayahnya
di manakah anak-anakku
yang dipanah petir amarah nafsu ibunya?"

Sebaik aku membacakan dengan sopan
rumah kenangan itu disimbahi hujan
gempita bersilih ganti, guntur menggamit sayu
lelaki itu telah hilang nafasnya
menanti panjang kerinduan hidupnya!


RAJIEE HADI

Bukit Mahkota,Bangi.
29/5/13