30 Julai 2010

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH

Oleh Ummi Nessa


PERANAN perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ialah merancang aktiviti atau program bimbingan, mengadakan sesi kaunseling, menjalankan penafsiran dan penilaian, sebagai koordinator, kerjaya dan temuduga, kaunseling keluarga, khidmat nasihat kepada guru dan pentadbiran serta terlibat dalam penyelidikan.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1993) telah menetapkan objektif am perkhidmatan bimbingan dan kaunseling seperti berikut:

1. Memberikan khidmat penyuburan dan pengayaan meliputi
semua aspek perkembangan diri pelajar dengan menyediakan peluang semua kemudahan dan pengalaman yang selaras dengan kemampuan dan fikiran pelajar.

2. Memberikan khidmat pencegahan iaitu menghindarkan pelajar daripada terlibat dalam perbuatan salah
laku seperti tingkah laku tidak berdisiplin, penggunaan dadah, merokok, laku musnah, peras ugut,
menyertai pertubuhan haram dan tingkah laku sosial yang lain.



3. Memberikan khidmat bersifat pemulihan dengan tujuan meorientasikan semua pelajar yang bermasalah peribadi, pelajaran, kerjaya dan sosial supaya pelajar mampu untuk menghadapi dan mengatasi masalah mereka.



     Menurut Suradi Salim (1996) kaunseling ialah satu perhubungan yang dicirikan oleh keyakinan, saling mempercayai dan kemesraan yang membolehkan pelajar memperolehi kestailan intelek dan emosi yang dengannya dia boleh menyelesaikan masalah atau kemusykilan, membuat rancangan dan memperoleh kepuasan kendiri yang lebih tinggi .



     Kesedaran untuk melahirkan para pelajar berdisiplin merupakan Jawatankuasa Kabinet mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan (1979), iaitu penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini. Usaha ini dilakukan salah satunya dengan cara meningkatkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.



     Peranan dan tugas kaunselor dari persepsi pengetua,guru besar, guru-guru dan ibu bapa tidak lebih sebagai pembimbing kerjaya, perundingan, kaunseling, pengujian dan penilaian ,melaksanakan program kemahiran dan aktiviti pelajar. Sehubungan ini didapati lebih 70-90 % menyokong penuh dan membantu tugas-tugas kaunselor di sekolah. Dengan itu kaunselor/pegawai psikologi sekolah kini berkhidmat sepenuh masa waktu pejabat; asalkan sesi kaunseling tidak dilakukan pada sesi pengajaran-pembelajaran. Bahkan tugas-tugas tersebut relevan dan bermakna kepada para pelajar dalam perkembangan diri mereka di sekolah.



     Amaluddin dan Norlina (2010) berpendapat kepentingan peranan kaunselor di sekolah sememangnya tidak dapat dinafikan. Antara tumpuan kaunselor sekolah adalah terhadap perkembangan individu dan pencegahan tingkah laku bermasalah. Secara umumnya, terdapat tiga aspek utama yang boleh diberikan oleh kaunselor dalam membantu remaja ialah memberi kemahiran atau kebolehan atau pengetahuan untuk mengurus kehidupan seharian, maklumat tentang kerjaya dan plan realistik setelah tamat persekolahan.



     Peranan kaunselor bertambah mencabar berdasarkan banyak hasil kajian lalu yang menekankan bahawa masalah pelajar di Malaysia bersangkutan dengan masalah penyesuaian diri, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah dan kelas, penyesuaian dengan sekolah, kesihatan, kemajuan, jantina dan sebagainya. (Fatanah, 1988, Asmah Bee, 1979 dan Hassan Langgulung, 1975).



     Seterusnya Sallehudin Abdul Wahab, (1991) mendapati bahawa pelajar akan menemui kaunselor apabila menghadapi masalah belajar, masalah dadah, masalah disiplin dan masalah sosial. Kajian yang dijalankan oleh Karla dan Sue (1991) ke atas 160 orang kaunselor pelajar telah mendapati bahawa 41% daripada kaunselor tersebut sangat kerap diminta untuk menjalankan sesi kaunseling individu kepada pelajar-pelajar yang melanggar peraturan sekolah. Sebanyak 54% telah diminta oleh pengetua sekolah dan sebanyak 62% diminta oleh guru-guru. Ini menunjukkan kaunselor sekolah sangat diperlukan bagi membantu mengatasi permasalahan tersebut. Dan kaunseling individu adalah bentuk kaunseling yang sering digunakan untuk membantu menangani tingkah laku bermasalah di kalangan pelajar.



     Dalam kajian Amla (2003), melalui program kerjaya sehari yang dijalani bersama pelajar-pelajar berpencapaian rendah, didapati program tersebut telah berjaya meransang motivasi belajar mereka. Ini selaras dengan Program Career Academy yang melibatkan seluruh negara Amerika didapati berkesan setelah ianya berjalan hampir dua dekad. Antara kesan yang jelas ialah di kalangan mereka yang berisiko tinggi Program Career Academy didapati berjaya meningkatkan kehadiran ke sekolah, tidak berhenti sekolah walau pun ianya tidak mengesani pencapaian akademik (Amla 2003).



     Selain itu terdapat bukti yang menunjukkan pendidikan kerjaya dan teknikal boleh memainkan peranan mengurangkan bilangan mereka yang tercicir dari sekolah, terutama di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Bukti menunjukkan bahawa apabila pendidikan kerjaya dan teknikal diberi penekanan ke atas pembelajaran akademik serta pengetahuan ianya berjaya mengurangkan keciciran di kalangan mereka yang berisiko tinggi (Wonaccot, Michael, 2000 dalam Amla 2003).



     Dalam menjalankan peranan sebagai kaunselor, Zulkhairi (2004), telah menunjukkan bahawa kaunselor yang dipertanggungjawabkan di sekolah-sekolah sudah mampu memainkan peranan yang sewajarnya dalam membantu pelajar menyelesaikan masalah mereka dan mengendalikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah dan seterusnya secara tidak langsung dapat membantu negara menangani gejala salah laku sosial di kalangan remaja.



     Kesimpulannya, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling bertujuan mengenal pasti bidang yang diperlukan pelajar, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan sekolah, menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan utama antara pelajar bandar dan luar bandar; dan menentukan sama ada terdapat perbezaan dari segi keperluan yang berbeza kaum.Yang nyata perkhidmatan ini membimbing perkembangan kemahiran belajar dan pelajaran,sosial,kerjaya dan pemahaman diri.



BIBILOGRAFI

Amla, Zuria & Salleh. 2003. Kaunseling Sekolah. Siri Penerbitan Fakulti Pendidikan UKM. Bangi.


Amaluddin bin Ab. Rahman & Norlina Omar. 2008. Kaunseling Remaja: Tip dan Panduan Ke Arah Satu Keluarga Satu Kaunselor. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distributor Sdn. Bhd.

Asmah Bee Mohd. Noor. 1979. Tingkah laku dan masalah seks di kalangan kaum remaja. Widya, 23 Julai.

Chiam Heng Keng. 1977. Problem of urban adolescent : Peninsular Malaysia. Journal of Sosiology and Antropology. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Fatanah Mohamad. 1988. Kajian terhadap masalah peribadi pelajar sekolah menengah berasrama penuh dan tidak berasrama penuh di Pengkalan Chepa, Kelantan. Tesis Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tidak diterbitkan)

Hassan Langgulung. 1975. Perkhidmatan pelajar sekolah-sekolah di Malaysia. Jurnal Pendidikan. 2 : 1 – 9

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1996. Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah: Bimbingan dan Kaunseling.

Mitchel , T.R. 1978. People In Organization Understanding Their Behavior, United State of America.Mc-Graw-Hill,Inc

Sallahuddin Abd. Wahab. (1991). Sikap pelajar-pelajar sekolah menengah terhadap kaunselor , peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta kesediaan mereka untuk menemui kaunselor. Tesis Sarjana. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suradi Salim. 1996. Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur . Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Zulkhairi Roslan. 2004. Pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di SMK Jalan Reko, Kajang, selangor. Tesis Sarjana. UKM, Bangi

GERIMIS PETANG INI

GERIMIS PETANG INI
Oleh: RAJIEE HADI

Tiba-tiba gerimis memberhentikan langkahku
Lalu-lalang yang suram
Bas yang tidak kunjung datang
Sepi di tanah perkuburan
Menceritakan segala tertib kunjungan
Ke dunia abadi yang menanti



Deretan kereta yang kaku
Antara batasan air dan daratan
Tradisi dan moden
Bersilih ganti di kampung tamoi ini



Muazin melaungkan azan
Antara dua persimpangan
Kehidupan dan kematian
Yang terus berkumandang
Tentang bahasa alam.


Jalan Laksamana Abdul Razak,
Bandar Seri Begawan.
28 Mac 2008.

Lesen perguruan untuk guru

Lesen perguruan untuk guru


KENYATAAN AKHBAR: PERSATUAN PENGAMAL PENDIDIKAN MALAYSIA (PENDIDIK).

(Utusan Malaysia:22 Mei 2010)

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK) menyambut baik cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu mengkaji cadangan supaya setiap guru di negara ini perlu memiliki lesen keguruan oleh sebuah organisasi professional seperti yang perlu dimiliki oleh doktor atau peguam.

Sehubungan itu pihak PENDIDIK bersetuju pandangan Timbalan Menteri Pelajaran Dr.Mohd Puad Zakarshi bahawa dengan adanya lesen ia merupakan salah satu kaedah bagi mengekalkan integriti,imej dan martabat guru di negara ini dalam memastikan orang ramai tidak hilang kepercayaan kepada golongan tersebut.

Namun pihak persatuan suka mengingatkan bahawa kaedah seperti lesen ini pernah dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran sebelum era l980-an yang mana setiap guru terlatih yang baru ditempatkan mengajar di sesebuah sekolah diwajibkan mendaftar dan memohon buku pendaftaran sebagai guru terlatih daripada Pendaftar Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran. Dengan memiliki buku pendaftaran yang bagaikan seperti lesen guru-guru tersebut secara rasmi diterima sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan/pelajaran. Buku pendaftaran yang diperbaharui setiap tahun itu juga berfungsi bagi membatalkan atau menggantungkan lesen mengajar seseorang penjawat itu. Soalnya, adakah prosedur ini masih diparktikkan? Jika tidak diparktikkan mengapa dimansuhkan?



Walau bagaimanapun persatuan berpandangan bahawa apa yang penting sesorang guru itu wajib memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang keguruan sama ada di peringkat sijil, diploma atau sarjana muda pendidikan. Memiliki kelulusan ikhtisas dalam bidang pendidikan adalah kriteria wajib bagi memperoleh lesen mengajar. Justeru sudah tiba masanya kaedah ini diperluaskan juga di sekolah-sekolah persendirian dan kelas-kelas tiusyen. Dengan ini profesion keguruan tidak sewenang-wenangnya disandang oleh guru sandaran/sementara/gantian. Seperti mana profesion kedoktoran atau guaman yang tidak ada ada label sandaran, sementara atau gantian maka pihak persatuan berpendapat sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran bertegas dalam soal ini demi memartabatkan profesion keguruan agar terus dihormati oleh masyarakat sepanjang masa.

DR. RAJIEE HADI,

Presiden,

Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (PENDIDIK),

Kuala Lumpur.