22 Oktober 2010

MEMASUKI KOTA SUCI-MU, MAKKAH AL MUKARAMMAH

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari tafsir jejak-jejak bebayang alpa,
menghitung manik tasbih kasih
selembut bayu menderu jauh
mendepani getir saujana sauh

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari leraikan lumut-lumut kemaca
kesumat dendam riak pesona
sehangat bara di rumah kencana
mendepani gerbang citra gelombang



Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari kecapi keasyikan syahdu malam
di situ kita sirami cemara takwa
sedingin salju munajat taubat
mendepani waktu detik bakal menanti
takwim hari datang dan pergi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
sesayup saujana lapang di hadapan
seperkasa kejap mambu di perdu
sehangat bara cinta di pertemuan
searoma ijab mewangi di Jabbal Rahmah
semerdu kudus doa gemuruh pasrah
setulus bisik nasuha kecapi nurani
selembut tatap rindu lahir maknawi

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
di sini hidupkan nur kelam
di sini hilangkan resah rawan
di sini hindarkan taksub nanar
di sini hanyutkan nestapa alpa
di sini hamparkan takwa menghijau
di sini hasratkan lulur hakiki
di sini hanya pada-Mu Ya Rabbi

Memasuki kota suci-Mu Makkah al Mukarramah
maka cindur kasih pun bersatu
ketika deru perjalana ke Taif
menggelepar resah batini terpisah
palitan roda warna rona
bertaut ukhuwah di laut insani
Adam Hawa jauh menjana waktu
kapankah cinta abadiku kembali lagi?

DR. RAJIEE HADI
Makkah-Kuala Lumpur, 2002
(Sumber : Milenia: November 2010)

13 Oktober 2010

PERINGATAN : RIBUAN MATI DILANGGAR KENDERAAN!!!

Apa yang perlu diamalkan ketika berada di jalan raya:

1.     Memimpin tangan anak anda semasa melintas jalan
2.     Menggunakan lintasan pejalan kaki, lintasan berlampu isyarat
3.     Berjalan menghadap arah kenderaan
4.     Sentiasa memberi perhatian di jalan raya
5.     Memakai baju yang cerah supaya anak anda mudah dilihat oleh pemadu kenderaan
6.     Menggunakan lorong pejalan kaki di tepi jalan raya

Perkara yang perlu dihentikan ketika berada di jalan raya :

1.      Melintas jalan raya secara sembarangan
2.      Berjalan terlalu hamper dengan jalan raya
3.      Menyamakan kebolehan kanak-kanak dengan orang dewasa. Tingkah laku dan pemahaman mereka tidak seperti orang dewasa
4.      Melintas jalan raya dengan cara terburu-buru
5.      Bermain berhampiran jalan raya.

Lapan Petua Keselamatan Jalan Raya
1.      Rancang perjalanan anda.  Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
2.      Sentiasa ikut had laju yang ditentukan
3.      Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong.  Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
4.      Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalagan yang serius.
5.      Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
6.      Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong.  Jangan memotong jika teragak-agak.
7.      Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan.  Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.
8.      Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

12 Oktober 2010

NASIHAT UNTUK KAUMKU….HAWA

“Wahai Tuhanku! Segala puji hanya bagiMu.  Tiada yang terpuji melainkanMu.  Hanya padaMu tempat bergantung segala makhluk!”

Suatu hari Ummu Mu’ashirah menasihati anak perempuannya dengan linangan air mata namun masih mampu untuk tersenyum.  Beliau berkata “Wahai puteriku!  Kelak kamu akan menempuh kehidupan baru.  Kehidupan yang tidak ada lagi tempat untuk ibumu, bapamu, juga adik-beradikmu! Disitu kelak kau akan menjadi isteri kepada suamimu.  Dia seorang yang tidak mahu berkongsi dengan sesiapa dalam bab memiliki dirimu, biarpun dengan  yang sedarang  dan sedaging denganmu”.

Nasihat beliau lagi, “Jadilah isteri baginya.  Dan jadilah ibu kepadanya. Jadikan dia berasa seolah-olah kau adalah segala-galanya di dunia ini.  Lelaki itu secara umumnya adalah bayi yang besar.  Sedikit sahaja kalimah yang manis, sudah cukup untuk mengembirakannya”

Jangan sekali-kali membuatnya berasakan pernikahannya denganmu sebagai penghalang baginya  terhadap keluarganya dan saudara-maranya.”  Sambung beliau lagi,”sesungguhnya perasaan begitu memang ada pada suamimu. Sebab dia juga telah meninggalkan keluarga dan sanak saudaranya keranamu.  Hanya yang membezakan antara dia dengan dirimu ialah perbezaan antara lelaki dengan perempuan.

Biasanya perempuan itu sentiasa merindui keluarganya dan rumah orang tuanya, iaitu tempat dia dilahirkan, dibesarkan dan mendapat didikan.  Bagaimanapun seseorang perempuan itu harus menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya.  Dia mesti membiasakan diri dengan suasana kehidupannya bersama lelaki yang telah dipilih sebagai suami, pelindung dan bapa kepada anak-anakmu! Dan , itulah dunia barumu!”

Nasihat Ummu Ma”ashirah yang terakhir ialah “Wahai puteriku! Demikianlah keadaanmu ketika itu dan seterusnya.  Itulah keluarga barumu yang dibentuk bersama suamimu.  Sesungguhnya ibu tidak meminta supaya melupakan ayahmu, ibumu dan adik-beradikmu! Mana mungkin seorang ibu boleh melupakan belahan jiwanya? Namun ibu memohon kepadamu agar mencintai suamimu dan hidup bersamanya dengan penuh bahagia dan harmoni!”

UMMINESSA: Hayati dan amalkan nasihat seorang ibu terhadap puterinya yang akan dimiliki oleh lelaki yang bernama suami. Ketaatan isterinya adalah suami selepas ketaatannya terhadap Allah dan Rasullulah. AMIN.

11 Oktober 2010

PENDEKATAN KASIH SAYANG DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

SECARA professional,kerjaya guru  berkait rapat dengan  konsep pendekatan pengajaran - pembelajaran (p-p) bagi  mencapai matlamat p - p dengan berkesan. Kamus Dewan (2010) menjelaskan bahawa pendekatan bermaksud perihal , mendekati atau mendekatkan bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Dalam pengertian yang lebih luas, pendekatan juga boleh diertikan sebagai to come near to in any sense atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu  dengan arah atau hala yang diambil untuk menuju sesuatu sasaran.

Memandangkan pendekatan penting bagi mencapai semaksimum mungkin objektif p-p maka guru yang sentiasa kreatif kerapkali berusaha mengaplikasikan berbagai-bagai pendekatan bagi menambat minat dan hati pelajar terhadap pelajaran.

Justeru, dengan pendekatan humanistik yang  menekankan kasih sayang dan mengutamakan aktualisasi kendiri maka guru sentiasa merujuk kepada motivasi manusia untuk menggunakan potensi pelajar sepenuhnya.Apatah lagi pendekatan yang berpaksikan kasih sayang mengutamakan kepercayaan dan potensi semula jadi dan memperakui pengalaman unik setiap individu.   

Kendatipun ada segelintir masyarakat beranggapan guru kini mula terhakis nilai-nilai kasih sayangnya   lantaran tempias materialisme  namun  masih belum terlambat lagi andainya golongan pendidik/guru berusaha mengubah persepsi tersebut dengan jujur,telus dan ikhlas. 

Walau bagaimanapun  sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan disebabkan  sikap guru yang hanya bertindak sebagai pengajar bukan pendidik yang hanya menyampaikan maklumat mengenai mata pelajaran yang  dipertanggungjawabkan ke atasnya sahaja.

            0leh yang demikian  pendekatan bertunjangkan kasih sayang guru terhadap pelajar  dalam konteks p-p  bilik darjah  dan aktiviti kokurikulum meliputi:

1.   Guru  sentiasa kreatif dan inovatif  mewujudkan suasana ceria yang sesuai dengan bahasa badan, komunikasi lisan , komunikasi  bertulis, komunikasi isyarat yang pelbagai seperti: menggunakan kata-kata  sapaan yang lebih bersopan jika memberi teguran;  contoh perkataan:   jahat kepada nakal, menggunakan isyarat ibu jari  tangan  bukan jari telunjuk bagi menunjukkan arah atau sesuatu, tidak mencebikkan bibir atau membeliakkan mata dan tidak menghamburkan kata-kata jelek  yang mana boleh menggambarkan emosi guru tidak stabil dan kurang bijaksana.

  1. Guru sentiasa memberi semangat kepada pelajar sama ada yang lemah mahupun yang berpotensi kerana setiap pelajar mempunyai potensi diri tersendiri, kemahiran dan kelebihan masing-masing.

  1. Guru memberikan  ganjaran seperti kata-kata pujian kepada pelajar secara berterusan  demi meningkatkan keyakinan minda dan kebolehpercayaan  diri terhadap guru dan mata pelajaran yang dipelajari. Contoh perkataan:
    kamu bijak”, ”kamu cerdik”, ”tahniah kamu berjaya”, ”jawapan kamu betul cuma belum lengkap” dan sebagainya.

  1. Guru menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan terhadap pelajarnya dengan menyediakan  bahan bantu mengajar supaya menarik minat pelajar meningkatkan motivasi  dan  memudahkan proses p-p. Dengan ini pelajar merasakan  dirinya disayangi, dihargai dan diberi perhatian tanpa adanya perbezaan kasih sayang. Dengan ini dapat mengelakkkan  pelajar  mengambil kesempatan  bertemu  kaunselor sekolah  pada masa guru atau mata pelajaran yang kurang diminati.

  1. Guru bersikap terbuka dan  profesional kerana sedia menerima teguran atau cadangan positif sama ada daripada rakan sejawat mahupun pelajar demi kecemerlangan
proses p-p.

  1. Guru  sentiasa memberi peluang para pelajar  menunjukkan bakat dan kepemimpinan dalam aktiviti kokurikulum tanpa prasangka.  Dengan ini setiap pelajar akan berasa  diri mereka dihargai dan disayangi.

Kesimpulannya guru  perlu melengkapkan pujian dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman,  bermuka manis dan sentuhan tangan yang tidak melanggar batas-batas agama,etika dan budaya. Suara lembut tapi tegas dan berhemah  menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang guru.  Dengan kasih sayang guru dalam p-p ini diharapkan mencapai matlamat untuk mempengaruhi pelajar dari segi budaya, pemikiran  dan tingkah laku ke arah kecemerlangan emosi,jasmani, rohani dan intelek.

            Sesungguhnya matlamat wawasan pendidikan itu sendiri adalah usaha budaya penyayang yang merealisasikan matlamat masyarakat prihatin dan  penyayang .  0leh itu usaha golongan pendidik menggembleng tenaga mendukung  dan mencapai lunas-lunas tersebut adalah usaha yang murni dan disanjungi.  
Oleh : DR. RAJIEE HADI
(Sumber daripada Majalah PENDIDIK , Oktober 2010)


04 Oktober 2010

PANDULAH NAFSU SEBAIKNYA..........

Bagi mengendalikan nafsu perlulah diketahui terlebih dahulu pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu.  Iaitu:-
1.     Terlalu cinta kepada dunia sehingga tewas cinta pada Allah.
2.     Tamak haloba- hingga lupa kemahuan dan kemampuan diri.  Maknanya, walaupun tidak mampu,
        mereka tetap mahukannya.
3.     Hasad dengki-berasa senang apabila orang lain mendapat muusibah tetapi susah hati apabila orang lain
        mendapat kesenangan.
4.     Wanita- nafsu boleh rosak kerana wanita.  bagi lelaki, nafsu boleh jadi tidak terkawal apabila berdepan
        dengan wanita.
5.     Gopuh-gapah- Tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu.  disebut juga fanatik.

SELEPAS MENGETAHUI PINTU ATAU PUNCA NAFSU MENJADI JAHAT, KETAHUILAH PULA CARA UNTUK MENGAWAL DAN MENGELAKKAN DARIPADA BAHAYA NAFSU JAHAT TERBABATI, ANTARANYA: 

1.     Tutup pintu kemasukan syaitan yang boleh merosakkan nafsu tadi rapat-rapat.
2.     Hapuskan segala sikap kotor, jangan dengki lagi, jangan bersikap tamak dan jangan terlalu mencintai
        dunia.
3.     Hancurkan gangguan syaitan iaitu dengan segala zikir yang diajarkan Rasul seperti 'ma'thurat' dan
        membaca al-Quran.
4.     Perbanyakkan solat sunat dan ranjin-rajinlah bangun solat malam (Qiamulail).
5.     Banyak bersedekah.
6.     Berkawan dengan orang miskin.
(Bahan dari I Luv U Islam)