14 Disember 2010

Lelaki 'jual' isteri lembam

AMPANG: Seorang wanita lembam yang baru enam bulan berkahwin menjadi mangsa penganiayaan suaminya yang kaki mabuk apabila dipaksa tidur bersama rakannya dan dibayar upah RM50.
Wanita yang baru berusia 18 tahun dan termasuk dalam kategori orang kurang upaya (OKU) itu dipercayai tidak memahami apa yang berlaku ke atasnya kerana dia dengan gembira menunjukkan wang RM50 yang diterimanya kepada anggota keluarganya, Sabtu lalu.

Menurut sumber polis, sebelum itu dia dipaksa bermalam seharian dengan seorang rakan suaminya di Lembah Jaya di sini.


Sejurus mangsa menunjukkan wang RM50 diperolehnya, keluarganya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah memiliki wang, malah suaminya yang berkerja sebagai pencari barang lusuh juga tidak pernah memberikan kepadanya kerana kehidupan mereka yang terlalu daif.

“Apabila ditanya daripada mana dia memperoleh wang terbabit, mangsa menceritakan yang rakan suaminya memberikan wang itu dan ini menimbulkan rasa hairan dikalangan ahli keluarganya.

“Mangsa yang lembam dan lurus bendul kemudian menceritakan kepada ibu dan bapanya bahawa suaminya memaksa dia bermalam di rumah rakan sebelum dia diajak menonton filem lucah dan kemudian melakukan hubungan seks dengan lelaki terbabit,” katanya.
Sumber itu berkata, mendengarkan cerita mangsa, bapanya kemudian membawanya ke balai polis untuk membuat laporan sebelum dibawa menjalani pemeriksaan di hospital. Difahamkan, mangsa dipaksa suaminya yang ketika itu dalam keadaan mabuk selain lelaki durjana terbabit dikatakan turut menerima wang daripada rakannya itu. Suami mangsa juga sanggup bertindak demikian kerana dia memerlukan wang untuk membeli bekalan arak bagi menghilangkan ketagihannya.

“Setakat ini, polis masih mengesan suami mangsa yang terus menghilangkan diri selepas kejadian itu. Rakannya yang mengambil kesempatan merogol dan meniduri mangsa turut dicari bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat bapa mangsa itu.

“Kami sudah mengenal pasti dua suspek terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
 Sumber daripada Harian Metro 14 Disember 2010.

Teliti dulu perkahwinan remaja

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta Mahkamah Syariah agar menyemak butiran setiap kes yang melibatkan perkahwinan remaja bawah umur sebelum memberikan persetujuan.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pendekatan yang lebih berhati-hati dan selektif perlu dilakukan kerana ia penting bagi menjamin masa depan remaja yang terlibat.
Jelasnya, perkahwinan bukan sekadar berkahwin tetapi lebih daripada itu kerana banyak tanggungjawab dan komitmen yang perlu dihadapi oleh remaja berkenaan.

“Isunya sekarang, sama ada remaja itu bersedia untuk menjadi ibu bapa? Adakah mereka bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam usia yang muda?
“Justeru kita meminta Mahkamah Syariah agar lebih berhati-hati sebelum memberikan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Institusi Kekeluargaan Abad ke-21 anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) di sini hari ini.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Profesor Dr. Mohammad Hashim Kamali.
Persidangan yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu menghimpunkan 25 penceramah dari pelbagai negara untuk berkongsi permasalahan yang dihadapi institusi kekeluargaan daripada perspektif Islam.

Shahrizat berkata demikian mengulas mengenai isu perkahwinan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Siti Marham Mahmod dan pasangannya, Abdul Manan Othman, 23, yang menyertai 250 pasangan lain dalam perkahwinan 1Malaysia baru-baru ini.
Tambah Shahrizat, pihaknya tidak menentang perkahwinan itu sebaliknya prihatin kepada kesan jangka panjang yang akan dihadapi kanak- kanak itu.

Dalam pada itu, Shahrizat dalam ucapannya berkata, keluarga yang kukuh secara tidak langsung akan membantu anak-anak belajar cara-cara penyelesaian masalah, peroleh sokongan kuat dan rasa kesatuan di antara mereka.

Katanya, institusi kekeluargaan yang kuat juga akan membantu mereka untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dan tekanan. Sumber daripada Utusan Malaysia 14 Disember 2010.