20 Februari 2011

SJN. A. KADIR SALOT 31183 DAN ISTERI, SANIMAH ARIFFIN KE RAHMATULLAH : AL FATIHAH!

Innalillahi wainalillahi rajuun

Tanggal 18 Februari  2010, adalah tanggal yang  tidak dapat Ummi Nessa  lupakan hingga akhir hayat.  Mak tercinta telah menghembuskan nafasnya yang terkahir jam 6.40 petang di Hospital Besar Melaka kerana masalah fungsi hati. Mak meninggalkan 4 anak Abang Mahzer, Ummi Nessa, Maryantee  dan Mohd. Muhailey serta  4 cucu yang masih kecil Nur Qistina , Nur Qhairul Nisa, Akila Auni dan Aliya Adriana.  Disaat kami  bermanja dengan mak, Allah lebih menyayanginya.  Kami akur dan reda.

Nama mak Ummi Nessa ialah SANIMAH BINTI ARIFFIN  dilahirkan di Tebung , Melaka dan menikah dengan A. Kadir bin Salot (43 tahun yang lalu) mereka dikurniakan 5 cahayamata iaitu Mahzer, Mahnessa, Maszri, Maryantee dan bongsu Mohd. Muhailey.  Kesemua cahayamata mak dan abah  telah mendirikan rumah tangga kecuali adik kami Masri yang meninggalkan kami pada 3.3.2006 yang lalu. Sejak dari itu, kesihatan mak sering terganggu kerana kerinduan pada anak-anaknya khusus pada anaknya yang tidak akan kembali lagi selama-lamanya. Akhirnya  abah ( A. KADIR BIN SALOT ) juga mengikuti mak pada 02.09.2010 lalu jam 4.30 petang di Hospital Univrersiti Kebangsaan Malayisa  ketika umat Islam sibuk menyambut Hari Raya Aidul Fitri. Mak dan abah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempang Pantai Merlimau Melaka.

Mak seorang yang tegas, garang tetapi penyayang.  Namun, mak banyak menyimpan impian yang tidak kesampaian. Mak pernah menetap di Kedah, Ulu Kinta dan Bakri Kem Muar.  Ummi Nessa merindui leteran mak selama ini.  Leteran mak bagi Ummi Nessa adalah hiburan kerana diakhir leterannya, Ummi Nessa sering membuat mak tertawa.  Ummi Nessa teramat merinduinya.

Tiada terdaya jari ini menaip untuk disiarkan dalam blog.  Namun dengan kekuatan diri dan rasa tanggungjawab Ummi Nessa gagahi juga.  Pesanan mak yang tidak dapat Ummi Nessa lupakan adalah Ikhlas dan bertanggungjawab terhadap suami seta keluarga dan menghidang makanan atau minuman jangan sesekali menggunakan barangan plastik kerana tiada penghormatan katanya.  Mak, Icah rindu mak.

Ummi Nessa selaku anak beliau ingin memohon kemaafan  serta halalkanlah makan minum beliau kepada sesiapa yang mengenalinya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah mak dan abah serta diampunkan Allah segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan selama hayatnya. AL-FATIHAH.