26 April 2013

AGENDA MENYEKAT PENDATANG ASING PERLU

Dr Rajiee Hadi,

BARISAN Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) patut menyebut dalam akujanji atau manifesto masing-masing bagaimana mahu membendung kemasukan menggila pendatang asing ke negara kita. Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ada yang dikategorikan pendatang tanpa izin/haram (PATI), pendatang tanpa permit, pendatang menyalahgunakan  pas lawatan sosial dan pendatang yang menyalahi peraturan-peraturan lain imigresen.

BN sebagai kerajaan yang memerintah lebih  55 tahun sepatutnya ada pelan pembangunan yang terkawal dan tidak amat bergantung kepada pendatang asing.

Mencontohi Singapura negara maju yang membangun era 1970-an adalah wajar. Singapura telah 'menghalau atau mengusir' pekerja-pekerja asing yang membanjiri republik itu suatu ketika dahulu. Apabila negara tersebut tidak lagi bergantung sangat kepada pekerja asing separuh mahir maka Singapura dapat membendung pelbagai gejala sosial yang kita sedia maklum.

Kini difahamkan jika kita meninjau di beberapa lokasi hospital kerajaan contohnya Hospital Serdang, Selangor , saban hari akan adanya kelahiran anak-anak pekerja lndonesia, Vietnam, Myanmar, lndia, Bangladesh, Filipina bahkan Afrika!  Itu hanya contoh kelahiran di sebuah hospital. Dan bagaimana pula kelahiran di luar hospital dan seumpamanya?


Tidakkah ini memberi impak masalah dan beban sosial pada masa akan datang.? Bak  kata seorang teman; bukan mustahil pula 20-30 tahun akan datang pendatang  asing contohnya pendatang Vietnam ini akan menzahirkan  tanpa segan-silu  keperluan  bahasa Vietnam akan diajukan pula di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan macam-macam perkara yang bukan mustahil kelak.

Justeru adalah bukan cerita lawak jika dikatakan pendatang asing kini telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah.


Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka kian ramai sudah pun ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Itu belum termasuk pendatang asing yang lain. Mereka kini bebas ke mana-mana. Seolah-olah mereka telah ‘menawan’ negara kita .Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang asing termasuk pati bekerja di sektor yang menyalahi undang-undang.


Oleh itu penggunaan frasa 'menawan'  bagaikan   mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tidak begitu berkesan lagi menangani pelbagai karenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengakui penguat kuasa Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang berniaga di gerai-gerai, pasar awam dan sebagainya. Ini baru kesalahan  kecil yang belum lagi termasuk jenayah besar dan sofistikated.


Maka negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang berbagai-bagai kategori pendatang dari seluruh dunia. Dan kita dapati semakin hari semakin galak kehadiran dan jumlahnya makin bertambah.

Pelbagai berita jenayah oleh pendatang yang serius tersiar dalam media elektronik dan media cetak hampir setiap hari bagaikan sudah menjadi semacam fiksyen hiburan.


lsunya kini dalam kempen-kempen PRU 13; baik BN mahupun PR adakah mana-mana pihak mahu membangkitkan isu membendung kebanjiran pendatang asing ini? Apakah isu seperti ini tidak disedari oleh parti-parti politik yang bertanding? Adakah pihak berkenaan tidak menyedari bahawa ini  boleh memberi banyak kredit patriotik kepada parti mereka pada masa berkempen sekarang? Terserahlah kepada mereka.(sumber: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily, 26/04/13)

22 April 2013

MAJLIS PERBANDARAN NILAI

PENGGAL lalu DAP pegang kerusi DUN NILAI dalam parlimen Seremban. Sudah tradisinya Dap lawan BN (MCA).Bersilih ganti. Namun pekan lama Nilai masih dihantui masalah kesesakan jalan besar (Main Road) yang dianggap klasik oleh sebilangan penduduk. Balai Polis Nilai masih bangunan lama,sempit dan tidak sesuai dengan perkembangan Nilai pada tahun 2013 (bukan 1980). Pasar Baru yang dibina di Jalan KLIA terbiar begitu sahaja bagai sang gajah putih. Apa yang tidak kena?

Bandar Baru Nilai ada( ketikanya disebut 'Putra Nilai" sepatutnya 'Nilai Putra') lanskap pembangunannya bagaikan tidak terurus.Di pesisir bukit bulatan Pesiaran Perbandaran berhampiran Majlis Perbandaran Nilai (MPN) terpapar tulisan 'MPK' sepatutnya MPN. Bandar Baru Nilai atau Putra Nilai ini infrastruktur pembangunannya bagaikan tidak seimbang.

Banyak bangunan rumah kedai di Nilai Square terbiar sepi,kaku dan jelek Ada baiknya bank-bank utama dipindahkan ke sini..Mujur ada Klinik Kesihatan Nilai (kerajaan) buat sementara di situ akibat kebakaran klinik lama di pekan Nilai lama.terlalu banyak batu penghadang di sepanjang jalan. Banyak orang beranggapan ini membazirkan. MPN dan PDRM Trafik Balai Polis Nilai boleh sama-sama fikirkan laluan alternatif agak tidak menimbulkan sesak dan kemalangan pada waktu kemuncak. Kawasan pasar raya Tesco dan Giant serta jalan deretan bank-bank di Maybank,Ambank dan seterusnya harus difikirkan pembangunan jalan pada masa hadapan.

Jalan pilihan ke Masjid Putra yang datang dari USIM,Persiaran llmu ke persiaran perbandaran berhampiran MPN sepatutnya dipercepatkan di persimpangan Manipal lnternational University menuju ke Masjid Putra dengan dibina jalan baru dan laluan pintu masuk masjid yang baru. Kedudukan masjid yang di atas bukit dengan adanya laluan dan pintu baru maka ini menandakan masyarakat peka kepada warga emas yang kurang berupaya.

Surau-surau yang daif seperti SurauTaman Desa Anggerik di pinggir USIM harus difikirkan pembinaan semula sesuai dengan kedududukan lokasinya berhampiran IPTA yang berorientasikan lslam. Stadium Tertutup Nilai adakah untuk kegunaan awam? Begitu juga Kompleks Sukan Nilai yang baru dibina; adakah terbuka untuk penduduk awam Nilai?

Begitu juga tasik yang berhampiran; alangkah baiknya MPN jadikan tempat riadah atau rekreasi.Manakala  Masjid Putra yang menjadi laluan masuk ke KLIA sewajarnya menjadi masjid yang paling banyak diimarahkan oleh para pengunjung atau jemaah.Bagaimana pula pelan pembangunan Hospital USIM yang kononnya telah tersedia tapaknya ? Orang ramai ingin tahu juga.

Bersandarkan ini adakah calon-calon PRU 13 di DUN NILAI atau PARLIMEN SEREMBAN sama ada daripada BN, DAP atau Bebas bahkan khabarnya BERJASA turut bertanding boleh berjuang untuk membawa nafas baru bagi para penduduk Bandar Baru Nilai yang kian pesat berkembang dan membangun?. 

Jika wakil  rakyat yang bakal dipilih tidak ada misi dan wawasan; begitu juga MPN maka sudah sewajarnya jika MAJORITI para pengundi DUN NILAI akan memprotes! Tidak mustahil para pengundi khususnya pengundi lslam/Melayu sebulat suara mengundi BERJASA kali ini untuk parlimen Seremban. (oleh TB)
  (sumber, tiubbocor.blogspot.com, Tajuk asal Dun Nilai Parlimen Seremban: Majoriti Pengundi Protes)

PERIBADI MUSLIM SEJATI

Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki oleh Allah SWT dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah yang soleh dari segi sikap, ucapan serta tindakan. Walaupun peribadi soleh yang diterjemahkan setiap manusia berbeza, al-Quran tetap menggariskan prinsip yang sama. 

Umat Islam perlu membina peribadi yang teguh dalam dunia tanpa sempadan ini kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepimpinan. Ada bimbingan yang kita perlukan dari orang yang arif, tetapi ia tidak terkejar oleh masa yang terlalu cemburu dengan kepintaran manusia meraih peluang. 
]]
Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentulah kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu. Paling utama untuk membina personaliti Muslim yang dihormati ialah mesti mempunyai akidah yang bersih. 


Muslim perlu mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat. Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian daripada Allah jika mempunyai akidah yang bersih dan tidak berpatah menghadapi cabaran mendatang. 

Setiap Muslim perlu menunaikan ibadah yang hakiki kepada Allah SWT seperti mana diajarkan Rasulullah SAW. Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan dalam beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik dilakukan. 

Peribadi Muslim juga diukur dengan akhlak yang mulia. Ia sikap yang harus dimiliki setiap umat Islam sama ada akhlaknya dalam berhubung sesama manusia, alam ataupun dengan Allah SWT. 

Dunia tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Oleh itu, peribadi soleh sajalah yang boleh menghalang perbuatan tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain. 
Peribadi soleh termasuklah juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan serta bantuan orang. 

Jika mempunyai kesihatan yang baik, umat Islam tentu dapat menjalankan amanah dengan baik. Apatah lagi, Muslim sentiasa berdepan dengan cabaran dan tohmah sistem Barat yang tidak henti-henti mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di dunia. 

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim) 

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek kerana salah satu sifat Rasulullah SAW ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan. Jika direnungkan, setiap yang akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa. 

Satu aspek lain yang tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, sudah tentulah kita mempunyai kecenderungan kepada yang baik atau buruk. 

Jika kita terdorong untuk melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan kita tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim sepatutnya. 

Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkannya. Allah mengingatkan manusia supaya menjaga masa diberikan kepada setiap manusia dengan jumlah sama iaitu 24 jam sehari semalam. 

Sepanjang waktu itu ada antara kita yang untung dan ada yang rugi, tetapi pastinya waktu yang telah pergi tidak akan kembali lagi sampai. 

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi dengan bahasa yang difahami, berintegriti dan amanah. Jangan orang Islam dijadikan contoh ikutan tidak baik dalam kalangan manusia pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam adalah sebaik-baik agama di dunia. 

Kuasa pula perkataan yang impaknya luar biasa. Amar makruf dan nahi munkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam. 

Setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” 

19 April 2013

DUN SEROM ATAU / DAN PARLIMEN LEDANG DR RAJIEE ABDUL HADI CALON BEBAS?

DR RAJIEE ABDUL HADI anak jati kelahiran Serom akan bertanding sebagai calon bebas di DUN Serom atau Parlimen Ledang?Apakah iltizam dan gagasan di belakang tabir? Apakah pelan pembangunan insan dan fizikal yang akan diketengahkan untuk para pengundi di DUN Serom?

DR. RAJIEE BIN ABDUL HADI
Justeru adakah generasi yang berusia 40 ke atas masih mengenali beliau yang suatu ketika pernah menjadi Guru Penolong Terlatih selama hampir enam tahun di Sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar, 1978-1983? Jika pun ada generasi ketika itu sekarang; rata-ratanya mereka memegang ketua cawangan UMNO di parlimen Ledang khususnya di Bukit Gambir yang mana adalah generasi anak-anak murid beliau.

Selepas itu, beliau meneruskan pengajian ijazah lanjutan, master dan PhD. Justeru beliau terpaksa kembara meninggalkan kampung halaman bagi menimba ilmu dan pengalaman dalam kehidupan baik di kota dalam negara mahupun terpaksa merantau ke luar negara.

Bagi Dr Rajiee Abdul Hadi setiap pintu masuk dan penghujung kampung di Serom,Sungai Mati, Pantai Layang, Kampung Belemang,Tanjung Agas, Bukit Gambir,Sengkang, Kampung Hang Tuah, Kampung Melepang, Kampung Termil,Kampung Bekoh, Ladang Sagil, Kampung Sagil, Balai Polis Sagil, Air Panas, Kampung Melayu Raya, Kampung Banjar,Kampung Seri Jaya, Kampung Parit Kasan,Kampung Meranti Sundai,Kampung Simpang Lima,Kampung Sawah Ring, Parit Kangkar,Pulau Penarik dan lain-lain lagi adalah 'padang permaianan yang nostalgik sejak zaman kanak-kanak dan remaja'.  Adakah pada hari penamaan calon, sabtu 20 April beliau akan muncul di pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan SPR?

Sebenarnya desas-desus teropong TB yang datang dari jauh; ada jua rasa tidak puas hati di kalangan para pengundi di DUN Serom dan DUN Gambir. Dun Tangkak tidak menjadi masalah.MCA mewakili kaum Cina sudah menjadi tradisi sekian lama. Jika DAP berjaya merampas DUN Tangkak, masyarakat tionghua masih diwakili kaumnya juga.Ada suara yang mengatakan calon DUN Serom yang diketengahkan sekarang mempunyai pertalian persaudaraan dengan Ghani 0thman. Ada suara pengundi UMNO tempatan mahukan 'orang Serom 3' Muhammad Bakar (Pengarah Jasa Johor?). Manakala di kawasan lain mahukan calon mereka juga.

Di DUN Gambir sudah dua penggal orang MIC menjadi wakil rakyat kepada 80% pengundi Melayu. Walhal pengundi lndia di DUN Gambir cuma 3% sahaja.Adakah situasi begini sesuai pada PRU 13 atau pada masa-masa akan datang? Adakah para penduduk Bukit Gambir mahukan seorang lslam menjadi wakilnya? Ada logiknya, apabila majlis berkaitan agama lslam DUN Gambir yang lalu tidak dapat duduk dalam saf atau jemaah dalam masjid.Terserahlah kepada para pengundi DUN Gambir akan datang adakah minda yang bijaksana digunakan pada PRU 13 kali ini.

Dan adakah Dr Rajiee Abdul Hadi akan bertanding sebagai calon Bebas bagi DUN Serom atau dan Parlimen Ledang cuma gimik lawak cerita politik semasa atau cerita benar? Tunggulah hari penamaan calon, dengan penuh takzim dan kemaafan! (TB).(sumber: tiubbocor.blogspot.com)