23 Ogos 2010

HAK-HAK IBU BAPA: DI MANAKAH KASIH SAYANG KITA?

Wahai anak-anakku…, Ketahuilah bahawa betapa pun kesusahan menimpa dirimu disebabkan ayah dan ibumu maka hak kedua-duanya atas dirimu lebih daripada yang telah engkau korbankan. Oleh itu di dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman (surah al-Isra’: ayat 23 dan 24) “ Maka janganlah kamu katakana kepada kedua-duanya perkataan ‘ah; dan janganlah mengherdik kedua-duanya.  Dan katakanlah kepada kedua-duanya ucapan yang mulia, merendah dirilah di hadapan kedua-duanya dengan menunjukkan kasih sayang dan katakanlah, “oh Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku, sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil”.

Wahai anak-anakku, perhatikanlah bagaimana kasih dan sayang ibu bapa kepada anak-anaknya yang kecil.  Lihatlah betapa mereka mengambil berat tentang kesihatannya, makanannya, minumannya, tidurnya pada waktu malam dan siang serta sakitnya.   Tahukah kamu betapa banyak sudah ibu bapamu korbankan demi mendidikmu dari kecil hinggalah kamu dewasa?

Wahai anak-anakku, sesunguhnya kamu pada ketika ini dalam pemeliharaan Allah.  Pada kesempatan ini diberi taufik oleh Allah untuk dapat menunjukkan kita  pula.  Adalah kerana ayah mu bermurah hati telah memberikan perbelanjaan yang cukup untukmu sekuat kemampuannya.  Ayahmu tidak pernah berkira kepadamu, selagi ada hal yang di dalam kemampuannya.  Kalau bukan kerana ibu bapamu, nescaya kamu tidak mungkin dapat melangkah berjaya  menuntut ilmu yang mulia.


Wahai anak-anakku, semua orang ingin memperolehi pangkat yang tinggi, dihormati serta dikasihi oleh Allah dan manusia.  Masing-masing sibuk bersaing siapa lebih tinggi daripada yang lain.  Tetapi seseorang yang bernama ayah ingin supaya anaknya lebih tinggi, lebih berjaya serta lebih mulia daripada dirinya sendiri.  Oleh kerana itulah, maka kamu wajib berbuat baik dan  berlaku hormat kepada ibu bapamu.  Sebab, dialah orang yang mendahulukan kepentingan dirimu daripada dirinya.

Dari itu, wahai anak-anakku , berhati-hatilah agar kamu tidak sampai memarahi ayah atau ibumu.  Sesungguhnya kemarahan Allah bersama dengan kemarahan kedua ibu bapa.  Sedangkan orang yang mendapat kemarahan Allah akan rugi dunia dan akhirat.

Wahai anak-anakku, patuhlah kepada ayah dan ibumu, janganlah kamu menyalahi keduanya dalam apa jua perkara, melainkan apabila keduanya menyuruh kamu melakukan maksiat kepada Allah.  Kerana, dalam hal seperti ini telah dijelaskan dalam sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

“Tidak boleh patuh kepada makhluk yang menyuruh maksiat terhadap Tuhan (Allah)”(HADIS RIWAYAT AHMAD DAN HAQIM)).

Firman Allah dalam surah Luqman ayat 14-15 bermaksud:
“ Dan kami wajibkan semua manusia berbuat baik  kepada kedua ibu bapanya: ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukan), dan tempoh menceraikan daripada menyusunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibubapamu ; dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan)”


“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan –Ku sesuatu yang engkau, dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya, maka jangalah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka dunia dengan cara yang baik.  Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).  Kemudian kepad Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.”(surah Luqman)


Wahai anak-anakku, sesungguhnya orang yang paling mencintaimu ialah ayahmu, yang telah berusaha mendidikmu dari kecil lagi.  Lalu dia pula menyuruh kamu masuk ke sekolah sehingga kamu menjadi salah seorang yang mulia (ilmu agama).

Oleh itu, berusahalah untuk menerima nasihatnya kerana ayahmulah yang lebih tahu tetang apa yang sesuai dengan dirimu.  Ayahmulah yang lebih faham apa yang memberi manfaat kepadamu dan yang memberi mudarat ke atasmu; sedangkan Allah yang memberi hidayah serta petunjuk demi kebaikanmu. (adaptasi dari buku Akhlak dan Jiwa Remaja oleh S. Muhammad Syakir) 



Ummi Nessa: Ingatalah anak-anakku, sesungguhnya ayah dan ibumu tempat kamu bermanja dan mencurahkan kasih setia.  Beradab sopanlah terhadap mereka.