19 November 2010

Kahwin muda punca penceraian, Daud

Perkahwinan awal di kalangan pasangan muda merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan kadar perceraian pasangan Islam di Sarawak meningkat.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di bandar besar seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu meningkat dengan banyak.
“Jumlah pasangan Islam yang berkahwin meningkat setiap tahun. Malangnya, jumlah perceraian juga meningkat.
“Faktor utama yang menyumbang kepada perceraian di negeri ini ialah pasangan berkahwin terlalu awal dan terlalu cepat.
“Pada awalnya, mereka rasa mereka sesuai untuk satu sama lain tetapi selepas beberapa ketika mereka mendapati mereka tidak sesuai. Selepas itu mereka ucap selamat tinggal dan bercerai. Malah ada sesetengahnya menghilangkan diri,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban di Surau Nur Hidayah di Kampung Kolong 2 Wetan di sini hari ini.
Daud berkata Majlis Agama Islam negeri (Jais) menawarkan sesi kaunseling untuk pasangan yang bermasalah dalam usaha menyelamatkan sesebuah perkahwinan itu.
“Kaunselor kami dari Jais akan menasihatkan mereka. Biar mereka cari kemungkinan untuk bersatu kembali sebelum membuat keputusan bercerai. Pasangan akan diberi masa untuk menenangkan diri. Kadar mereka yang menerima nasihat kami agak tinggi,” katanya.
Minggu lepas Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi negeri Datuk Seri William Mawan Ikom berkata kementerian akan mengadakan kajian mengenai kehidupan berkeluarga dan perceraian, yang dijangka siap Julai depan, bagi memahami kenapa pasangan kahwin awal dan cepat bercerai.
Kadar perceraian di Sarawak meningkat sehingga 50 peratus daripada jumlah perkahwinan yang didaftarkan di negeri ini.
Sementara itu, Daud berkata tidak ada kejadian perkahwinan melalui sindiket yang berlaku di negeri ini.
“Kami memantau perkara itu dan sehingga kini Jais tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian seumpama itu,” katanya. — (Sumber daripada BERNAMA)