08 Ogos 2011
PENDIDIKAN ISLAM WAJAR DIWAJIBKAN
Kebelakangan ini budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar semakin serius dan seolah-olah sukar dibendung. Amat menghairankankan pula kebanyakkan pelajar terlibat adalah bangsa Melayu beragama Islam.
Budaya video seks, merempit, buang anak, dadah dan sebagainya seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan dalam diri pelajar zaman sekarang. Siapa yang seharusnya dipersalahkan? Sewajarnya Kementerian Pelajaran tidak perlu dipersalahkan kerana sudah terlalu banyak program yang dilakukan bagi membendung kegiatan ini.
Sebagai seorang pendidik yang mengikuti perkembangan ini, saya mencadangkan supaya penekanan agama perlu lebih dipertingkatkan agar kepentingannya dapat digunakan bagi mendidik pelajar yang akan menjadi rakyat dan pemimpin negara ini.
Sistem pendidikan sekarang tidak menampakkan mata pelajaran Agama Islam sebagai mata pelajaran penting. Mata pelajaran ini hanya berkepentingan sekiranya pelajar ingin ke sekolah menengah agama atau ke intitusi yang menjurus ke arah keagamaan. Ini menjadikan mata pelajaran Agama Islam seolah-olah menjadi pelengkap kepada mata pelajaran lain, sedangkan kepentingan untuk masa depan pelajar amat jelas.
Saya mencadangkan subjek Agama Islam dijadikan satu kertas wajib kepada pelajar beragama Islam untuk lulus sekiranya mereka ingin ke sekolah berasrama penuh atau ke intitusi pengajian tinggi. Jangan jadikan ia sebagai mata pelajaran pilihan.
Contohnya, UPSR bagi sekolah rendah, masukkan subjek itu sebagai satu mata pelajaran peperiksaan. Kalau pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan India boleh mengambil sehingga tujuh kertas dalam UPSR, tidak ada sebab kenapa kementerian tidak boleh menambah satu lagi kertas untuk pelajar beragama Islam.
Nampak sangat mata pelajaran agama tidak penting apabila menjelang UPSR. Sesetengah sekolah rendah mula 'membuang' subjek Agama Islam untuk memberi tumpuan kepada subjek teras peperiksaan.
Begitu juga di sekolah menengah yang sepatutnya lebih ditekankan nilai keagamaan. Amat malang sekiranya ada pelajar cemerlang dalam setiap peperiksaan tetapi tidak pandai solat dan mengaji.
Jadikan mata pelajaran Agama Islam sama pentingnya dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Pelajar beragama Islam seharusnya lulus dalam kertas agama sekiranya mereka ingin memiliki sijil peperiksaan.
Apabila agama Islam dijadikan kertas peperiksaan diwajibkan lulus, saya rasa pelajar belajar lebih bersemangat lagi. Walaupun mereka belajar mungkin hanya untuk lulus peperiksaan tetapi suasana belajar akan menjadi lain.
Bagi pelajar lemah dalam agama, mereka akan mengambil kelas tuisyen untuk membaiki kelemahan ini.
Mungkin pelajar lebih kerap mengunjungi masjid dan membaca lebih banyak buku agama sebagai bahan tambahan untuk lulus kertas agama.
Saya amat berharap perkara ini perlu diberi perhatian. Kita mempunyai ramai guru agama tetapi kita hanya nampak tugas mereka sebagai pembaca doa ketika ada sesuatu majlis di sekolah.
Kita perlu ingat dengan adanya budaya agama kukuh dalam diri pelajar, dengan sendirinya mereka berfikir untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama.(sumber: UM, 8/8/11)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Terima kasih cikgu atas catatan ini...........bolehla saya jadikan bahan rujukan untuk pertandingan debat yang akan datang~~
BalasPadam