12 Februari 2013

VALENTINE DIHARAMKAN?


KEPUTUSAN  Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan juga haruslah disambut dengan baik memandangkan sambutan Hari Kekasih seakan sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita dan ia sememangnya menjurus kepada perbuatan maksiat. Islam melarang para penganutnya terlibat dalam sebarang perbuatan yang membawa kepada maksiat.

Semua peringkat masyarakat khususnya mahasiswa seharusnya memandang serius gejala sosial seperti kes buang bayi, zina dan sumbang mahram yang kian meluas dalam kalangan anak muda Malaysia khususnya yang beragama Islam. Tidak dapat dinafikan, ia berpunca daripada masalah kurangnya didikan agama dalam kalangan anak muda. Natijahnya, ia membawa kepada kegagalan dalam mengurus cinta dan terjadilah isu-isu sosial seperti yang dinyatakan.

Terdapat tiga kelompok masyarakat yang berperanan dalam usaha membentuk kesedaran beragama dalam kalangan anak muda. Golongan pertama adalah ibu bapa. Mereka adalah kelompok terpenting dalam membentuk acuan generasi masa depan. Sekiranya baik acuannya, maka baiklah generasinya. Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda, "Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Di samping itu, masyarakat juga perlu menggembleng tenaga dalam usaha memberi pendidikan kepada generasi muda. Mereka perlu berani menegur atau membantu remaja yang sedang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Kehidupan dalam suasana berjiran perlu dimanfaatkan kerana ia sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan nasihat kepada anak muda supaya tidak tersesat jalan.

Golongan ketiga pula adalah pihak kerajaan. Pihak kerajaan sewajarnya memberi fokus untuk menambahbaik sistem pendidikan Islam di negara ini memandangkan pendidikan agama secara formal seawal 7 tahun sehingga umur 17 tahun sekurang-kurangnya, hakikatnya masih belum mampu membentuk generasi muda di Malaysia ke arah yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan J-QAF yang diperkenalkan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri sewajarnya diberi penghargaan dalam usaha menyuburkan pemahaman agama dalam kalangan generasi muda.

Gunakan ruang media seperti Facebook, Twitter, Youtube dan blog untuk menyebarkan kempen anti Hari Kekasih kepada masyarakat umum.(sumber: Disesuaikan dari UM, 12/02/12)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan