07 September 2011

NOVEL CINTA: FANTASI ATAU REALITI

NOVEL cinta, walaupun kerap dianggap sebagai penuh angan-angan, tidak logik atau mempunyai ‘nikmat’ yang sementara, namun dari sudut pemasaran ia jauh lebih besar pasarannya dan mengungguli kebanyakan carta jualan laris di pasaran hampir di seluruh dunia.
Misalnya di Amerika, statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Penulis Novel Romantik Amerika merekodkan, penjualan novel cinta menguasai pasaran pengguna jauh lebih tinggi berbanding novel dalam genre lain. Untuk 2009 saja, fiksyen cinta mencatat imbuhan sehingga USD1.36 bilion ( RM4.04 bilion) dengan 9,089 tajuk baru terbit pada tahun sama. Tahun lalu, pendapatan itu menyusut sedikit kepada USD 1.358 bilion (RM4.03 bilion) dengan jumlah pembaca melebihi 74.8 juta orang.
Rekod jualan itu diikuti oleh buku agama atau inspirasi yang mencatat jualan USD770 juta (RM2288juta), misteri USD674 juta (RM2002juta) dan sains fiksyen USD554juta (RM1646juta). Jualan yang laris ini memperlihatkan kebanyakan novel cinta mengungguli carta laris di pasaran di New York Times, USA Today dan Publishers Weekly. Menjadikannya lebih laris apabila sesetengah novel itu juga difilemkan.

Tidak dinafikan, novel cinta laris kerana kebanyakan pembaca adalah perempuan. Namun, ia bukan bermaksud pembaca perempuan itu adalah golongan remaja saja, sebaliknya kajian di Amerika mendapati, 44 peratus daripada mereka adalah wanita berusia antara 31 hingga 49 tahun.

Di Malaysia, keadaan itu tidak jauh berbeza. Meskipun pembaca perempuan (kebanyakannya remaja) dikaitkan dengan larisnya novel cinta, namun tiada kajian khusus tentang pecahan pembaca dilakukan.

Apa yang boleh dilihat adalah saban minggu, novel cinta yang menduduki carta jualan di pasaran di rangkaian kedai buku seperti MPH dan Popular.
Nama seperti Aisya Sofea, Siti Rosmizah, Noor Suraya, Sharifah Abu Salem, Salina Ibrahim, Noorhayati Berahim adalah antara penulis yang kerap mengungguli carta jualan laris di pasaran setiap kali naskhah terbaru mereka memasuki pasaran.

Bagaimanapun, kebelakangan ini beberapa penulis baru yang mencuba-cuba bakat dalam penulisan novel cinta turut berada dalam senarai jualan laris di pasaran seperti Areila Sahimi dan Suri Ryana.

Tidak dinafikan, novel cinta lebih laku apabila didramakan, difilemkan atau diterbitkan serentak dengan penyiaran drama seperti yang berlaku pada novel Kasih Yang Suci karyan Meen Zulaikha (disirikan menerusi drama Nora Elena), Ombak Rindu (Fauziah Ashari) dan Stanza Cinta (Nurull Halawati).

Menghasilkan novel cinta atau istilahnya novel popular itu tidak salah.
Bagaimanapun, bagi novelis Amiza Khusyri cinta dalam naskhah novel itu biar berpadanan dengan cerita dan sebaiknya bukanlah fokus utama dalam penulisan.
“Cinta itu fitrah dan penting dalam hidup. Bila ada cinta, maksudnya agama ini adalah agama berjemaah dan mementingkan ukhuwah. Begitu juga dalam penulisan.
Cinta tetap penting dalam penulisan, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana penulisan menjadi agen pengubah masyarakat, bagaimana penulisan boleh menjadikan ummah ini diamnya fikir dan kata-katanyanya zikir,” katanya.

Selain itu, naskhah popular juga tidak sewajarnya bercerita soal cinta semata-mata kerana ada banyak isu lain yang boleh diangkat dan lebih tidak wajar sesetengah penulis turut menyelitkan babak panas kononnya sebagai taktik melariskan jualan, tidak kiralah ia membabitkan watak suami isteri atau bukan.

“Melambakkan adegan panas dalam penulisan melambangkan apa yang penulis itu baca dan secara tidak langsung menyumbang kepada ‘fahishah’ atau kemungkaran yang menular dalam masyarakat. Sebenarnya, membentuk masyarakat bertamadun dan berperadaban melalui ilmu pengetahuan menjadi tanggungjawab dan amanah. Malah atas setiap apa yang kita tulis bakal menjadi persoalan di hadapan Allah kelak.
Setiap tulisan itu adalah warisan, apakah kita mahu mewariskan maksiat untuk anak cucu kita baca?,” soalnya.

Menurut Amiza Khusyri dalam Islam pun Nabi Muhammad SAW seorang yang pemalu. Justeru, cerita dalam bilik biarlah suami isteri yang tahu.

Bagi penulis yang dikenali dengan novel cinta, Noor Suraya Adnan Sallehudin atau Noor Suraya, aspek cinta perlu disuntik di dalam penulisan.

“Untuk saya, kalau tiada cinta diselit-selitkan dalam novel ada kala ia sangat hambar namun tidak molek juga novel itu didirikan dengan tema cinta seratus peratus. Sebaliknya jadikan cinta itu sebagai alat untuk menyampaikan mesej.
Cinta yang diselitkan juga mestilah cinta yang membina,” katanya.

Untuk Noor Suraya, teknik penulisan itu pelbagai, manakala penyampaian cerita juga berlapis-lapis.

“Dalam sebuah novel, ada cinta, ada cerita berlapis-lapis. Kalau seseorang itu mahu membaca kisah cinta saja, itulah yang dia dapat. Lapisan kedua dan ketiga dia tidak akan nampak. Macam novel, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck oleh Hamka, kalau pembaca mahu melihat cinta hanya itulah yang dia dapat. Tapi novel itu didirikan juga dengan kritikan pada sistem budaya Minangkabau. Begitu juga Sitti Nurbaya oleh Marah Roesli yang mengangkat persoalan emansipasi wanita,” katanya.

Noor Suraya sendiri cukup dikenali dengan novel cinta, namun jujurnya dia lebih gemar kalau setiap novelnya diklasifikasikan sebagai novel kasih sayang.

“Saya pun tidak akan baca novel yang mengangkat kisah cinta seratus peratus. Saya lebih tertarik pada karya yang ada menyelit kisah cinta, tetapi dibalik-balik cinta itu sebenarnya ada persoalan lebih besar yang diangkat,”
Mengenai novel cinta yang menyelitkan juga babak kemesraan watak suami isteri sebagai strategi melariskan novel, baginya kalau mahu menulisnya, tuliskan dengan sopan dan hadkan.

“Jangan tulis terlalu terperinci. Kita perlu sedari, walaupun mungkin novel itu ditulis untuk pembaca dewasa, tetapi kita tidak tahu di luar sana mungkin ada remaja yang membacanya. Jangan fikir semua pembaca kita orang dewasa. Adegan panas sebaiknya janganlah ditulis atau hadkan. Kita yang menulis, kita tahu apa yang baik atau tidak. Editor juga boleh buang bahagian yang tidak sepatutnya,” tegasnya. (sumber:Bharian:7/9/11)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan