BAGI lelaki poligami sesuatu yang indah, tetapi bagi kebanyakan wanita hidup bagaikan tidak bermakna apabila mengetahui suami ingin berkahwin lagi. Malah, dalam kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan wanita dimadukan mengakui mengalami tekanan emosi yang hebat.
Malah, katanya, ada wanita yang mengalami kemurungan kronik sehingga tidak mengendahkan urusan rumah tangga khususnya anak selain terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menenangkan perasaan.
“Saya mendapati wanita yang dimadukan sama ada terpaksa, dipaksa atau memaksakan diri mereka menerima suami yang berpoligami, menghadapi masalah membabitkan perasaan yang serius kerana begitu kecewa dengan sikap suami yang dianggap tidak mengenang budi dan pengorbanan mereka selama ini.
“Jika ketika hidup susah semuanya dilalui bersama, tetapi apabila sudah merasa sedikit kemewahan, suami sanggup menduakan mereka. Dalam keadaan itu, yang menjadi mangsa ialah anak, tetapi kebanyakan lelaki berpoligami tidak melihat isu itu sebagai masalah kepada mereka,” katanya.
Kajian bertajuk ‘Poligami Dari Perspektif Pandangan Wanita’ itu dijalankan pada Julai 2005 hingga Mei 2006 membabitkan 270 orang wanita daripada pelbagai peringkat kerjaya.
Dr Rusinah berkata, poligami bukan lagi satu isu yang kontroversi dan sensasi untuk disalahertikan oleh pengamalnya atau isteri yang terkena tempias poligami, tetapi sesuatu yang perlu dipandang dari sudut lebih rasional dan bukan emosional oleh pihak suami dan isteri.
Daripada 270 responden itu, seramai 12 peratus mengakui dan mengetahui suami mereka mengamalkan poligami, manakala 35 peratus lagi mengesyaki suami mereka ada menjalin hubungan dengan wanita lain tetapi tidak berpoligami.
Bagi responden yang secara terang menyatakan bahawa suami mereka mengamalkan poligami mengakui mereka berasa rendah diri dan kekurangan sehingga suami beralih kasih kepada wanita lain. Malah, ada yang mengalami perubahan hidup termasuk rakan dan saudara menjauhkan diri kerana berprasangka suami berkahwin lain kerana perlakuan isteri yang tidak menyenangkan.
Bagaimanapun, kata Dr Rusinah, ada wanita yang bersikap positif dengan menganggap tindakan suami bukan penamat kepada kehidupan.
“Ada responden yang mengaku tidak ambil pusing dengan tindakan suami kerana sudah lama dibiarkan sendirian dan menanggung sendiri kehidupan bersama anak. Malah ada responden menyatakan ‘suami tidak balik lagi ke rumah lagi baik kerana tidak ada apa yang hendak diharapkan daripada suami’.
“Malah, ada juga yang dapat menerima tindakan suami dengan tabah dan menganggap ia takdir, lebih-lebih lagi suami masih menunjukkan kasih sayang dan tanggung jawab seperti biasa serta tindakan suami itu sudah mencukupi untuk mereka kekal dalam kehidupan rumah tangga,” katanya.
Begitu pun, beliau berkata, semua responden yang hidup bermadu itu mengakui tetap akan kekal dalam perkahwinan dengan mengamalkan strategi bertahan demi anak yang memerlukan kasih sayang bapa mereka, meskipun pada masa sama ada perubahan dalam kedudukan kewangan yang semakin sempit apabila suami terpaksa mengagihkan pendapatan dengan keluarga baru.
Begitupun, beliau menasihatkan wanita yang tidak dapat menerima hidup dimadukan supaya membuat keputusan dengan penuh rasional dan bukan emosional bagi membina kehidupan yang anda sendiri akan tentukan untuk kebahagiaan diri pada masa depan dan keluarga.
Benar seperti yang dikatakan, poligami adalah hak lelaki, tetapi kebanyakan lelaki yang mengambil keputusan itu sering kali tidak mengambil kira perasaan isteri dan anak yang sering menjadi mangsa. Bayangkan jika sebelum berkahwin lagi, seluruh tumpuan dan pendapatan yang diperoleh digunakan untuk keluarga sepenuhnya, tetapi apabila sudah menambah cawangan perhatian tidak lagi seperti sebelumnya.
Jangan hanya fikir keperluan diri sendiri, tetapi fikirkan akan apa yang anda lakukan kepada isteri dan anak. Gejala sosial yang semakin berleluasa ketika ini perlulah dilihat dari perspektif yang luas dan menyeluruh kerana mungkin kesibukan bapa dengan isteri baru dan keadaan ibu yang mengalami tekanan perasaan menyebabkan anak tersisih.
Fokus utama sesebuah perkahwinan ialah pembentukan rumah tangga bahagia yang mana suami menjadi pemimpin dan isteri menjadi pendorong kepada kepimpinan itu. Poligami hanya indah untuk suami, tidak kepada isteri dan anak.
FAKTA: Punca suami berpoligami
Kesan terhadap diri hasil tindakan suami yang berpoligami
(sumber: BH, Citra, 23/8/2007, ms B8]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan