28 November 2011

BAHASA MELAYU YANG BETUL

Bahasa Melayu memang satu bahasa yang cantik, dengan ayat-ayatnya yang ringkas dan padat dengan bunga-bunga dan simpulan bahasanya yang indah-indah, lengkap dengan pantun-mantunnya sekali. Ini dapat kita lihat daripada karya-karya pengarangnya yang agung, seperti Keris Mas, Usman Awang (Tongkat Warrant), A. Samad Ahmad, A. Samad Ismail, A. Samad Said dan ramai lagi. Jangan lupa pengarang agung Indonesia, Pramudia Ananta Tur. Membaca karya-karya mereka akan menyingkap keindahan bahasa Melayu kepada kita.

Ini tidak bermakna saya mendewa-dewakan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris juga begitu. Saya fikir bahasa-bahasa lain juga begitu – satu daripada tanda kekayaan Ilahi!

Namun demikian, saya ingin menarik perhatian pengguna-pengguna bahasa Melayu kepada beberapa perkara.
Pertama, saya hendak menyebut tentang kesilapan-kesilapan yang kerap dibuat. Bahasa Melayu tidak mempunya kopula, ‘ialah’, ‘adalah’ atau ‘merupakan’. Umpamanya, kita kata “Ibrahim seorang guru.”, tidak “Ibrahin ialah/adalah /merupakan seorang guru” Dalam bahasa Inggeris, kita kata “Ibrahim is a teacher.” Perkataan ‘is’ di sini satu kopula. Jadi, penggunaan kopula ini pengaruh nahu Inggeris. Harus dijauhi. 

Kedua, kesalahan kerana pengaruh nahu Arab. Perhatikan ayat ini: “Mereka itu adalah di atas petunjuk Tuhan mereka.” Ada dua kesalahan di sini: penggunaan kopula ‘adalah’, dan penggunaan kata depan ‘di atas’. Kata depan ‘di atas’ yang tidak perlu di sini menunjukkan pengarauh nahu Arab. Sepatutnya ayat ini ditulis: “Mereka mendapat petunjuk Tuhan mereka.” 

Kerapkali juga kita dengar frasa ‘kunjungan hormat ke atas Yang Dipertuan Agung”, nyata terjemahan harfiah frasa Inggeris, “to pay a visit on”. Mengapa tidak kata “mengadap “ atau “mengunjungi” saja?

Ketiga, salah-guna perkataan jamak ‘mereka’. Kerap sekalai kita dengar perkataan “mereka-meraka”. Sungguh dahsyat bunyinya! Perkataan ‘mereka’ itu jamak; tidak perlu dijamakkan lagi! Berhungan dengan kesalahan ini, kita juga tidak harus kata “ramai orang-orang perempuan datang melihat temasya itu.” Perkataan ‘ramai’ sudah bersifat jamak. Tidak perlu, kata nama itu dijamakkan lagi. Demikian dengan semua perkataan jamak, seperi ‘banyak’, ‘kebanyakan’, ‘semua’, ‘sesetengah’, dan sebagainya.

Keempat, salah-guna kata depan ‘dari’ dan ‘daripada’, ‘ke’ dan ‘kepada’. Tidak perlulah saya huraikan kesalahan ini 
 
Kelima, perhatikan ayat, “Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka ...” (Ayat ini diambil dari sebuah tafsir.) Kesalahan ini tidak begitu ketara; walaupun bagaimana pun, kesalahan juga. Ada dua kesalahan di sini. Ayat ini sepatutnya ditulis, “Iaitu jalan orang yang telah Engkau kurniakan nikmat.” Kesalahan pertama: “Engkau telah kurniakan.” Yang betulnya: “telah Engkau kurniakan,” atau “jalan orang yang Engkau telah mengurniakan nikmat.” Kesalahan kedua: frasa ‘kepada mereka’ tidak perlu, kerana kertakerja ‘kurniakan’ sudah mengambil katanama ‘orang’ sebelum ini sebagai objeknya.

Sehubung dengan ini juga, lihat ayat: “Jalan orang-orang yang Engkau merahmati, bukan orang-orang yang ke atas mereka dimurkai ...” Ini terjemahan harfiah dari bahasa Arab. Bahasa Melayu menulis: “Jalan orang yang Engkau rahmati, bukan orang yang ditimpa kemurkaan-Mu.” 

Inilah lima jenis kesalahan yang kerap dibuat oleh penulis-penulis bahasa Melayu. Kesalahan-kesalahan ini harus diperbetulkan. Bahasa Melayu jadi tidak idiomatik dan hodoh kerana kesalahan-kesalahan ini. 

Memang semua bahasa berkembang. Perkataan seperti ‘ketidak-samaan’, ‘keterbukaan’ dan beratus-ratus lagi perkataan baru seperti itu menunjukkan perkembangan bahasa kita. Pinjaman perkataan dari bahasa-bahasa lain fenomena biasa. Demikianlah bahasa diperkayakan. Tetapi tiap bahasa mempunyai nahu dan idiomnya sendiri. Nahu dan idiom ini perlu dikekalkan. Jika tidak, rosaklah keaslian bahasa itu. Namun demikian, bahasa Melayu harus berkembang mengikut nahu dan idiomnya, dan tidak boleh bersalahan dengan nahu dan idiomnya.

Bahasa kebangasaan itu penting dalam pembangunan peradaban kita. Kita tidak boleh membangunkan peradaban kecuali dalam bahasa kita sendiri. Bila saya berkata demikian, maksud saya bukan untuk memperkecilkan nilai bahasa Inggeris. Rakyat kita perlu mengetahui bahasa Inggeris, kerana ia lingua franca dunia. Tetapi bahasa Inggeris tidak boleh menggantikan bahasa kebagsaan kita untuk membangunkan peradaban kita. Rakyat kita perlu juga mempelajari bahasa-bahasa lain (umpamanya, Arab, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia dan lain-lain) mengikut keperluan kerjaya masing-masing.
Sebagai sebuah masyarakat nasional yang bersifat majmuk, rakyat kita juga perlu belajar bahasa-bahaya yang terdapat dalam negara kita, seperti Mandarin dan Tamil, untuk mempermudah dan membaiki hubungan antara kaum. 

Saya tidak harus lupa untuk menyatakan bahawa dalam pemakaian bahasa kebagsaan yang elok, pemimpin-peminpin kita harus menunjukkan contoh yang baik. Bila mereka bercakap dalam bahasa Melayu, hendaklah mereka menggunakan bahasa Melayu yang baik, sepertimana mereka juga harus bercakapa Inggeris yang baik, bila berucap dalam bahasa Inggeris.(sumber:kassimahmad.blogspot.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan