23 November 2011

PERTUKARAN PENJAWAT AWAM : SULITKAH PROSEDURNYA?

HUBUNGAN  baik sesama ahli keluarga dan suasana positif di rumah amat penting serta perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi produktiviti penjawat awam dalam pekerjaan mereka. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan oleh akhbar. Tetapi sejauh mana ucapan ini dihayati oleh kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)?

Saya amat berharap agar KPM dapat menyelesaikan isu pertukaran guru antara negeri. Adik saya adalah salah seorang mangsa ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam proses pertukaran guru. Ada guru yang baharu berkhidmat di Sarawak telah berjaya dalam permohonan pertukaran ke Semenanjung.

Adik saya, seorang guru yang sedang berkhidmat di Kuching, Sarawak telah empat kali memohon untuk bertukar ke sekolah di kawasan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Pahang tetapi masih gagal.

Walaupun rayuan demi rayuan dibuat termasuk berjumpa dengan pegawai Bahagian Sekolah KPM, permohonan ditolak. Adik saya telah memohon pertukaran ke Pekan, Pahang untuk dipertimbangkan pada 01/01/2012. No.Permohonan: Y20121344. Sekali lagi permohonan beliau ditolak. Saya berasa amat sedih, kecewa dan terkilan. Mungkin pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan KPM terlepas pandang atau tidak tengok langsung borang permohonan pertukaran.
Berikut saya senaraikan sebab permohonan pertukaran beliau:

* Mengikut suami, seorang anggota tentera yang kini berkhidmat di Kem Sri Kuantan, Pekan, Pahang.
* Telah berkhidmat sebagai guru di Kuching, Sarawak melebihi lima tahun (81 bulan). Syarat minimum hanya tiga tahun sahaja.
* Menghidap penyakit corneal ulcer dan masih memerlukan rawatan susulan. Beliau pernah dimasukkan ke Hospital Umum Kuching beberapa minggu. Beliau menghadapi kesukaran memandu untuk jarak jauh dan memandu waktu malam (sebelah matanya telah rosak kerana penyakit tersebut).
* Beliau kini hanya ditemani oleh dua anak yang masih kecil. (Anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan).
* Kesihatan ibu saya yang menghidap penyakit kanser usus semakin merosot kerana tertekan akibat terlalu risaukan keadaan adik saya yang bersendirian di Kuching.

Sebab-sebab yang disenaraikan di atas telah memenuhi kriteria untuk permohonan pertukaran guru. Sememangnya KPM mempunyai dasar mengutamakan kepentingan perkhidmatan. Namun, usah ketepikan budi bicara dan perikemanusiaan sesama insan. Guru juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.
'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Usah biarkan slogan ini hanya tinggal slogan sahaja. Kepada pihak yang berkenaan, bertindaklah dengan wajar. (sumber:UM, 23/11/11)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan