27 Ogos 2010

TOLONG! AKU SANGAT CEMBURU……

Jam 2 pagi telefon bimbit suami atau isteri sesekali bergetar menandakan adanya pesanan masuk.  Bagaimanakah perasaan anda pada ketika itu?.  Pasti anda berasa kurang senang dengan bunyi tersebut dengan selamba anda berkata biarkanlah mungkin dari syarikat telekomunikasi atau orang tersalah nombor atau tertanya-tanya dari siapa dan mengapa ia berbunyi pada jam begini atau  cemburukah kita?. 

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4,2010, cemburu bermaksud iri hati, kurang percaya atau syak wasangka dan berhati-hati atau berjaga-jaga. Adakah ciri-ciri ini ada dalam diri kita?  Tidak dinafikan cemburu itu juga perlu. Contoh cemburu bersaing dalam pelajaran atau kerjaya.  Cemburu melihat kejayaan orang lain menambahkan keghairahan kita untuk bersaing dengan cara yang sihat.  Ini dinamakan cemburu yang dibolehkan dalam Islam.  Berbeza dengan cemburu seorang isteri ketika terlihat suaminya berjalan beriringan wanita yang dikenali atau tidak dikenalinya sehingga sanggup menyerang wanita tersebut.  Di dada-dada akhbar sering  memaparkan kisah  suami atau isteri cemburu yang berakhir dengan pembunuhan.  Isteri yang cemburu terhadap suaminya yang ada teman wanita wanita lain sanggup mencederakan suaminya dan pelbagai tindakan yang merugikan.  Seorang bekas suami sanggup mengakhiri nyawa bekas isterinya gara-gara cemburu buta.  Baru-baru ini , berita tentang teman lelaki yang akhirnya ke tali gantung didapati bersalah membunuh kekasihnya kerana cemburu.  Pelajar lelaki menikam temannya berpunca daripada cemburu.

Jika diamati betapa hebatnya kuasa cemburu yang menafikan akal menapis setiap perlakuan atau tindakan yang berkhir dengan pembunuhan atau penganiayaan kejam.  Di manakah letaknya akal?. Adakah dengan selamba kita menjawab INI SUDAH DITAKDIRKAN. Adakah mahu menyalahkan Tuhan? Sia-sialah Allah S.W.T melebihkan manusia dengan akalnya jika kita tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat akal.   


Iblis ialah mahkhluk Allah S.W.T pertama yang mempunyai hasad dengki atau cemburu.  Cemburu kerana penghormatan yang diberikan kepada Nabi  Adam A.S menyebabkan iblis enggan dan ingkar kepada arahan Allah agar sujud kepada manusia pertama itu.  Iblis merasakan dirinya hebat  berbanding Adam A.S. Lantaran cemburu dan keengganan yang dimilikinya itu menyebabkan iblis keluar dari syurga ke neraka serta kekal di dalamnya selama-lamanya.

Manakala kisah cemburu pertama berlaku di kalangan manusia berlaku dalam kisah anak Nabi Adam A.S iaitu Habil dan Qabil.  Qabil tidak berpuas hati  terhadap Habil kerana dinikahkan kepada Iqlima (saudara kembar Qabil). Iqlima jauh lebih rupawan berbanding Labuda (saudara kembar Habil).  Qabil telah dinikahkan kepada Labuda.  Akibat perasaan cemburu terhadap Habil, terjadilah pertumpahan darah yang  pertama di atas muka bumi.  Habil telah dibunuh oleh Qabil kerana persaaan cemburu dan sakit hati yang melampau.  Begitulah dahsyatnya kesan perasaan cemburu yang tidak bertempat tanpa mempertimbangkan sesuatu perkara dengan menggunakan akal yang bersih.

Daripada dua kisah yang dinyatakan di atas, ternyata cemburu buta dan hasad dengki hadir seiring.  Maka berulangkali kita boleh renungkan tujuh langkah untuk mengelakkan berlakunya cemburu buta.

1.         Sentiasa ingat, cemburu tidak bertempat sering membawa keburukan berbanding 
            kebaikan.
2.                  Sentiasa menambahkan nilai diri melalui ilmu.  Ilmu adalah penyuluh hidup dan cemburu hanya memusnahkan hidup.
3.                  Mengingati segala perintah Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.  ini kerana Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi umat Islam khasnya dan manusia sejagat amnya.
4.                   Menjaga kualiti solat.  Allah telah menegaskan solat itu  adalah pencegah perbuatan keji dan mungkar.
5.                  Meningkatkan nilai kejujuran dan komunikasi dalam hubungan agar terhindar daripada sikap curiga mencurigai.
6.                  Menjaga kesucian hati kerana daripada kekotoran seperti mengelakkan memakan makanan haram agar tidak timbul penyakit dalam hati.
7.                  Memantapkan keimanan, pengetahuan agama dan pelaksanaannya.  Tanpa iman,manusia mudah terlupa hakikat arahan agama.

UMMI NESSA: Manusia ialah makhluk Allah S.W.T yang sempurna kejadiannya dari hujung rambut hingga hujung kaki. Jika difikirkan bertapa  hebatnya Allah S.W.T menyimpan banyak rahsia dalam diri manusia untuk difikirkan . Allah S.W.T menciptakan manusia dengan kelebihan  akal.  Maka dengan akallah manusia itu dapat dibezakan  di antara makhluk Allah S.W.T yang lain.  Oleh itu hendahlah manusia memikirkan sesuatu perbuatan itu dari sisi baik dan buruknya menurut hukum  syarak dan hukum alam.  JANGAN TERBURU-BURU  MENGIKUT HAWA NAFSU CEMBURU KERANA KAMU PASTI AKAN LESU.  YANG NYATA, CEMBURU TANDANYA HATI TIDAK SUCI DAN KELAK MEROSAKKAN DIRI SENDIRI JUA.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan