29 Julai 2010

Salah laku Pelajar: Salah Siapa

SALAH LAKU PELAJAR: SALAH SIAPA?


OLEH: DR. RAJIEE HADI



PELAJAR dalam alam remaja sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman dan desakan yang mengganggu ketenteraman emosi dan interaksi sosial, kecelaruan idea dan pegangan hidup. Fenomena ini mengwujudkan masalah dalam jiwa remaja apabila berlakunya kematian orang yang disayangi, mengidap penyakit serius, ibu bapa bertukar pekerjaan, peperiksaan, konflik antara ibu bapa, kurang kasih sayang keluarga dan tiada sokongan keluarga dan sosial.



Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu (1993) dalam laporannya telah menyenaraikan tiga faktor diri pelajar yang menyebabkan wujudnya kes pelanggaran disiplin. Faktor tersebut termasuk sikap negatif terhadap pelajaran seperti tidak berminat dan mudah jemu; tiada dorongan motivasi akibat kurang kemahiran asas belajar dan lebih mementingkan hiburan serta gangguan kesihatan diri.



Sehubungan itu pelajar yang bermasalah ialah pelajar yang tiada kawalan diri, kurang mengerjakan kerja sekolah dan latihan di rumah, kurang patuh kepada arahan guru, kurang berminat untuk belajar, kurang hormat guru, suka mengganggu pelajar lain dan suka membuat bising. Golongan remaja juga boleh menghadapi masalah kesihatan mental dan lazimnya bertingkah laku agresif termasuk kedegilan, keresahan, tingkah laku bermasalah, penyalahgunaan bahan-bahan terlarang, kemurungan, penderaan dan tingkah laku seksual dan kehamilan remaja luar nikah.



Justeru pelajar yang melanggar disiplin sebenarnya tidak memahami peranan dan tugas mereka sebagai pelajar. Mereka tidak menyedari bahawa tindakan sedemikian mendatangkan kemudaratan. Pelajar terbawa-bawa dengan perasaan dan hilang kawalan diri dan mudah terpengaruh dengan anasir luar.Selain itu pelajar terdedah kepada kehidupan yang bersifat hedonistik atau bersifat mementingkan keseronokan, salah memilih rakan sebaya dan pelajar mengalami masalah penyesuaian atau masalah peribadi.



Namun demikian apa yang membimbangkan ialah kesalahan disiplin termasuk penyalahgunaan dadah, telah menular dari peringkat sekolah randah lagi. Ini terbukti apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (2009) melaporkan bahawa walaupun peningkatan sekolah rendah hanya daripada 0.78 peratus kepada 0.79 peratus namun pihak kementerian tetap menganggapnya sebagai serius.



Pada keseluruhannya menurut beliau lagi isu yang melibatkan disiplin berada dalam situasi terkawal walaupun ia membabitkan kes berat seperti pukul buli, gaduh dan ponteng tegar. Statistik tahun 2009 KPM menunjukkan terdapat 3.2 juta murid sekolah rendah dan 2.2 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara. Walau bagimanapun jumlah aduan disiplin murid diterima bagi tempoh januari hingga ogos tahun 2009 ialah 65 kes tetapi menurun 31 kes berbanding 96 kes bagi tempoh sama tahun 2008 (Utusan Malaysia, 01 Oktober 2009) .



lmpak daripada perangkaan inilah yang perlu ditangani oleh seorang kaunselor atau pegawai psikologi yang terlatih. Pengetua atau Guru Besar selaku pemimpin sekolah sewajarnya memantau dari semasa ke semasa prosedur pelaksanaan sesi kaunseling dan program di sekolah. Apatah lagi kini wujud kaunselor atau pegawai psikologi sepenuh masa di sekolah.Yang penting, sesi kaunseling di sekolah tidak mengganggu waktu pengajaran-pembelajaran formal di bilik darjah.





Kendatipun pelajar lelaki lebih cenderung merokok, menghisap ganja, menghidu gam, menghidu petrol, minum minuman keras, menonton atau menyimpan bahan lucah dan berjudi namun pelajar perempuan pula lebih cenderung terlibat dengan rokok, bahan lucah dan bercinta. Oleh itu peranan guru kaunseling dan guru disiplin mengenal pasti masalah awal salah laku yang sering dilakukan pelajar amat dialu-alukan; mencegah lebih baik daripada mengubati. Mereka berperanan membantu pelajar mengurangkan dan seterusnya meninggalkan salah laku tersebut. Sokongan dan dokongan ibu bapa dan setiap ahli komuniti di luar sekolah banyak membantu mencegah salah laku pelajar agar tidak berterusan menjadi barah dalam masyarakat.



Justeru banyak kajian mendapati punca pelajar terlibat dalam salah laku kerana mereka tidak dapat memahami pengajaran guru bagi sesetengah mata pelajaran yang diajar. Kesulitan yang dialami ini menyebabkan mereka tidak berminat menumpukan perhatian dan berkecenderungan ponteng kelas atau sekolah.



Ekoran daripada itu pelajar salah laku ini, tidak berminat dengan satu-satu mata pelajaran dan tidak menyukai guru yang mengajar mata pelajaran tersebut. Berdasarkan beberapa kajian yang penulis temui mendapati bahawa jikalau pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan maka masalah disiplin tidak akan timbul. Ini disebabkan faktor minat kepada subjek pelajaran dan personaliti si pengajar/guru.



Selain itu ada kajian juga menunjukkan salah satu punca pelajar tidak minat belajar ialah kerana mereka tidak berminat dengan beberapa mata pelajaran yang diajar, tidak membuat tugasan sekolah dan tidak mengulang kaji pelajaran. Dengan itu mereka tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran guru; sebaliknya mereka sering mengganggu pembelajaran- pengajaran dalam kelas.



Sebagaimana sedia maklum terdapat banyak masalah yang timbul dalam kehidupan seharian pelajar. Di peringkat awal, pelajar mula menghadapi konflik dengan keluarga dan rakan sebaya terutama yang melibatkan aspek halangan komunikasi, kebejatan sosial dan silang budaya. Mereka tidak dapat meluahkan perasaan mereka kerana tidak ada siapa yang boleh dipercayai . Senario ini menyebabkan wujudnya tekanan perasaan dan konflik dalam diri. Situasi demikian disebabkan pelajar tersebut memerlukan orang tengah yang berperanan mendidik; berbeza dari guru kelas atau guru subjek.



Mereka memerlukan rakan ‘dewasa’ yang mempunyai hubungan dan struktur kognitif berbeza daripada seorang guru dan boleh meluahkan perasaan serta rahsia hati tanpa curiga dan berasa gentar. Daripada kajian-kajian yang telah dijalankan jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah serta maklumat berhubung dengan salah laku pelajar dan sikap atau persepsi pelajar-pelajar terhadap perkhidmatan tersebut.



Kesimpulannya penulis berkeyakinan bahawa untuk melahirkan pelajar yang  bermoral bukanlah mudah. Pembentukan pelajar dipenuhi beberapa faktor yang bertali- temali. Jika gagal salah satu faktor ini maka kecewalah sistem pendidikan kebangsaan. 0leh itu kaedah pengajaran dalam bilik darjah yang membentuk lima faktor yang saling kait mengait iaitu: rakan sebaya, pengaruh kurikulum dalam sistem pendidikan, kaedah pengajaran yang diterima daripada guru, pengaruh keluarga dan pengaruh persekitaran khususnya media massa, sewajarnya dipraktiskan oleh guru dengan berhemah lagi bijaksana.



Pendekatan kasih sayang yang luhur murni tanpa pilih kasih dan tidak prejudis banyak membantu guru menjayakan proses pengajaran-pembelajaran. Tegasnya, bahaya besar akan menimpa masyarakat jika dibiarkan permasalahan salah laku pelajar berterusan. Dan sudah sewajarnya kerajaan menekankan betapa perlunya pendidikan agama dan moral serta aspek kebahasaan dan komunikasi di sekolah-sekolah diberikan keutamaan dan penilaian kembali. lni selaras dengan hasrat kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam dan semangat patriotisme satu Malaysia dalam pentadbiran negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan