10 Ogos 2011

FACAEBOOK : WASPADALAH!


POLIS menasihatkan pengguna internet supaya berhati-hati dengan perangkap cinta siber yang semakin aktif di negeri ini, terutama membabitkan hubungan perkenalan melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang akhirnya menyebabkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Perkara itu didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah selepas mengesan 21 kes jenayah siber yang direkodkan sehingga Julai lalu dengan tujuh tangkapan dibuat, berbanding 20 kes tahun lalu.
Ketua JSJK Kedah Superintendan Nasbah Jusoh, berkata pengguna internet perlu lebih peka dengan taktik jenayah siber kerana perbuatan mendedahkan butiran peribadi kepada orang asing selain mempercayai kekasih siber hanya akan menjerat diri sendiri.

"Kita mengesan kes jenayah siber termasuk hubungan cinta menerusi Facebook semakin serius di negeri ini, termasuk menggunakan gambar gadis cantik yang dipaparkan pada profil pemegang akaun untuk menjerat lelaki kemaruk cinta dengan tujuan untuk mendapatkan wang.

"Apa yang peliknya dalam kebanyakan kes, mangsa sanggup menghabiskan wang untuk menawan hati kekasih siber mereka walaupun percintaan mereka hanya di alam maya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nasbah berkata, polis turut mengesan 26 kes membabitkan sindiket penyamaran sebagai pegawai bank yang mensasarkan penjawat awam dan pekerja swasta sebagai mangsa dengan nilai kerugian mencecah RM324,000 dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai wakil bank sebelum memaksa mereka membayar sejumlah wang kononnya baki kad kredit bagi mengelak tindakan undang-undang diambil. 
Beliau berkata, jumlah jenayah itu meningkat berbanding 23 kes tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah RM281,000 dengan dua tangkapan dilakukan.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang mengaku wakil daripada institusi perbankan yang menuntut bayaran dibuat atas nombor akaun persendirian bagi mengelak menjadi mangsa," katanya. (sumber:BH, 10/8/11)

PUASA: SIA-SIA TANPA SOLAT


BERPUASA tetapi tidak menunaikan solat. Mereka sanggup berlapar dahaga tetapi tidak sanggup menunaikan solat. Ada yang berpuasa, tetapi meninggalkan solat atau hanya solat ketika Ramadan. 

Kita bimbang nanti puasa dan sedekah tidak bermanfaat kepadanya kerana solat tiang agama. Ada juga kalangan kita menyuruh anak berpuasa tetapi membiarkan mereka tidak solat.
Tidak menjaga batas agama seperti pergaulan lelaki dan wanita serta menutup aurat. Lelaki masih berseluar pendek ketika membeli juadah berbuka puasa dan ada wanitanya pula tidak bertudung malah memakai baju tidur kelawar semasa mencari juadah.

Ada juga wanita tidak berpuasa kerana uzur syarie (haid dan nifas) pula tidak menghormati Ramadan kerana berani makan di khalayak tanpa segan silu. 

Menghabiskan masa menonton televisyen, video cakera padat (VCD), sedangkan hari dan malam yang datang setahun sekali itu patut digunakan bagi memperbaiki amalan serta mengingati kesalahan lalu. 

Sepatutnya pada bulan ini kita gandakan bacaan al-Quran, cuba menghafal beberapa surah pendek dan sentiasa pasangkan niat berkhidmat kepada insan lebih memerlukan. 

Membazir ketika berbuka puasa disebabkan nafsu membeli tinggi. Semua hendak dibeli tetapi apabila tiba masa berbuka, makanan yang dibeli tidak dihabiskan. Membiarkan anak bermain mercun sehingga mengganggu jemaah yang menunaikan solat tarawih di masjid atau surau berdekatan. Sebaiknya galakkan anak solat tarawih dan tilawah al-Quran bersama. 

Hanya puasa makan dan minum, tetapi tidak menjaga pancaindera seperti mata, lidah dan telinga ketika berpuasa. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak mengharapkan puasanya dari makan dan minum.” 
Tidak mahu bersahur mengurangkan berkat dan pahala puasa kerana tidak menurut wasiat Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” 

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” 

Semoga kita dapat memperbaiki puasa kali ini dan menjadikannya lebih baik dari tahun lalu. (sumber: Bh, 10/8/11)

PENGEMIS DAN ZAKAT SALAH SIAPA


Dr Rajiee Hadi   
DALAM nota pendek ini saya mahu merujuk bicara tentang aspek wang zakat.Dan
 saya  hanya menumpukan sumber zakat fitrah sahaja sebagai sumber ekonomi bagi
 membantu golongan lslam daif.
Walaupun kita ketahui pendapatan daripada zakat terus mengalir saban waktu bagi
meningkatkan ekonomi ummah banyak daripada pelbagai   termasuk dana
 bersumberkan zakat pendapatan, zakat perniagaan,haiwan,wang,harta,barangan
 kemas  dan lain-lain namun ini belum lagi termasuk sumbangan dana dan peruntukan
 kerajaan, derma dan sedekah daripada orang ramai,NGO dan organisasi tertentu.
Hasil pendapatan ini biasanya akan diamanahkan atau diwakafkan ataupun diselenggarakan
 oleh jabatan-jabatan agama negeri masing-masing sama ada di bawah pengurusan
Majlis Agama lslam negeri dan juga Baitulmal.
Sekilas pandang betapa cantiknya susun atur carta organisasi aliran pendapatan dan
dana untuk membantu umat lslam agar tidak hidup merempat yang mana boleh
menghampiri atau menjurus ke arah kekufuran.
Soalnya, jika di Malaysia kita ambil contoh titik tolak bermulanya pada hari kemerdekaan
 negara, 31 0gos 1957 hingga kini; anehnya masih kita 'dihebahhebohkan' dengan sang
pengemis yang berkeliaran di sana sini, sang fakir yang merempat 'Bersamamu' hidup
 dalam kemiskinan, keluarga daif,dan orang kurang upaya (OKU),saudara baru dan
seumpamanya yang miskin lara, mengemis dan mendamba berjurai air mata
hiba hinggakan ironisnya mengharapkan bantuan di pihak gereja katolik atau
mana-mana badan bagi menagih simpati.Apa sudah jadi wang zakat itu?
Kepada para pemegang amanah yang alim warak di jabatan atau majlis-majlis
 agama atau baitulmal apakah sudah jadi dengan wang zakat? Adakah membina
kolej universiti,premis dan wisma yang didirikan atas logo lslam boleh mengeringkan
derita air mata sang peminta?

Amat memalukan  jika yang menjadi keutamaan dikebelakangkan manakala yang
 tidak wajib dimercukan.Biarlah tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri
 yang telah sedia ada peruntukan untuk agama lslam selaras dengan Perlembagaan
 Negara membangunkan masjid,sekolah,kolej dan sebagainya melaksanakan
tanggung jawabnya. Dalam erti kata lain usah diusik wang zakat selagi ada
 kemiskinan dan kelaparan umat lslam.
Bayangkan andainya pada tahun 1957 zakat fitrah yang dikenakan setiap individu
 lslam sekitar seringgit. Sekiranya umat lslam ketika itu 12 juta anggarannya kita
mengumpulkan RM12 juta! Masakan sang fakir miskin papa kedana berjumlah
10-15 juta ketika itu/ Tidak mungkin.
Rasa-rasanya sekitar 10% penduduk lslam yang  dalam kategori fakir dalam lingkungan
  1.2 juta pada masa itu. Kerana semiskin-miskin orang Melayu pada zaman itu
ada punya rumah sendiri,tanah dan dusun warisan sendiri yang boleh diusahakan
untuk bercucuk tanam.Saya percaya wang zakat fitrah yang terkumpul dalam satu
tahun sahaja,RM12juta  PADA TAHUN 1957 boleh menyelesaikan isu sang fakir
 dalam negara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu. lngat ini hanya anggaran kasar sahaja.
Justeru bagaimana pada era kini wang zakat fitrah RM6-7 setiap individu manakala
 penduduk lslam berjumlah hampir 20 juta? Dengan kiraan yang mudah anda boleh
 gambarkan berapakah wang yang terkumpul. ltu belum lagi merangkumi hasil mahsul
 zakat dan sumber-sumber yang lain.
Alangkah beruntung dan bertuahnya umat lslam.Nota ini cuma mahu mencetuskan
 minda kritis pembaca secara permukaan dan dasarnya sahaja. Dan alangkah indahnya
 umat lslam daripada semua lapisan masyarakat,latar kepakaran dan kemahiran
 berganding usaha dan memfokuskan kebajikan ummah tanpa tertipu dek
 kebendaan semasa.Dan masa inilah kita memikirkan sebuah negara impian
 yang berkebajikan untuk kesejahteraan rakyatnya!(sumber: HDaily, 10/8/11)
.
Hentikan dakyah penyebaran agama bukan islam kepada orang Islam dengan mengautkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

  • Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5). 
  • Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6). 
  • Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7). 
  • Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8). 
  • Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).


Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran.
Bertitik tolak dengan peristiwa akhir-akhir ini mengetengahkan isu murtad dan perihatinan pihak  agama lain terhadap orang Islam hendaklah dipandang serius dalam masyarakat dan jabatan agama Islam.




Ramai mualaf yang mendedahkan pengalaman mereka berurusan dengan pihak berwewenang dimajalah atau akhbar  tentang perilaku segelintir pegawai agama yang enggan bekerjasama dengan mereka , sehingga mereka terpaksa menerima herdikan , hinan  dan sebagainya . Seharusnya pegawai tersebut memberi  layanan yang sewajarnya dengan penuh hemah demi menjaga kebajikan 'ahli baru ' tersebut.


Pihak Jabatan Agama perlulah memantau sejauhmana bantuan yang diberikan itu mencukupi kepada mualaf sementara mereka dapat mencari kehidupan secara Islam sebenarnya.  Pengisian berbentuk rohani juga adalah perlu diberikan dengan lebih mendalam. Jangalah menyalahkan mereka kerana meminta bantuan.  Ini kerana mereka  baru memulakan kehidupan  secara Islami yang sebenarnya.  Berikan bimbingan dan panduan kepada mereka adalah jalan yang terbaik. Meraka adalah amanah Allah S.W.T kepada kita untuk menjaganya agar tidak kembali ke jalan sesat semula. 


Kepada penceramah di luar sana, jangalah asyik menjadi  'Ustaz Sampul' berceramah kerana wang bukan kerana memantapkan akidah para mualaf yang dahagakan ilmu agama,  kerana tidak semua mualaf memeluk Islam kerana cinta sesama manusia, tetapi ramai yang mencintai Islam kerana Islam dan Allah S.W.T.


Sama-samalah kita menyahut seruan Allah S.W.T membantu 'ahli baru' ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas. 

TUBUH SURUHANJAYA SIASAT ISU MURTAD

BAGAIKAN satu hentaman dan panahan petir dengan isu terbaru yang melibatkan agama Allah yang pastinya akan menjadi topik perbincangan dan perhatian yang serius di kalangan umat Islam ketika ini.
Isu berkaitan serbuan daripada pihak JAIS ke atas sebuah gereja Methodist Damansara Utama. Agak terkeliru dan mendukacitakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam keadaan yang tergesa-gesa meminta ampun dan maaf kepada pihak gereja di atas serbuan yang dilakukan oleh pihak JAIS tanpa mengetahui akan perkara sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Ia telah menyerlahkan dan mengesahkan peribadi dirinya yang sebenar, seorang 'boneka' yang sanggup melakukan apa walaupun melibatkan soal akidah dan agama Islam. Di manakah kewarasan fikirannya sehingga sanggup dirinya diperlaku sedemikian rupa.

Masih belum lagi reda isu negara Kristian yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini kini timbul pula isu terbaru yang pastinya meruntun jiwa setiap orang Islam di dalam bulan yang penuh barakah ini.
Jika benarlah ia berlaku, bagaimana dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan Perlembagaan mengenai agama Islam yang telah dipersetujui oleh semua pihak.

Isu ini amat sensitif bagi umat Islam kerana ia melibatkan soal akidah. Umat Melayu dan Islam di Malaysia ini memang terkenal dengan sifat pemurah dan bertolak ansur tapi bukan dalam soal agama.
Ini isu besar yang perlu ditangani oleh semua umat Islam sama ada dari pihak kerajaan juga pembangkang.
Satu Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk bagi mendapat jawapan yang sebenarnya di sebalik isu ini.
Isu ini tidak boleh ditutup begitu sahaja tanpa ada satu jawapan yang pasti seperti isu-isu sebelum ini yang akhirnya dipendam begitu sahaja. Umat Islam tidak seharusnya berada dalam sindrom bisu, buta dan pekak.
Kita tidak seharusnya membiarkan Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dan JAIS tanpa sebarang pembelaan, sokongan dan semangat kepada mereka.

Kita lupakan soal fahaman politik masing-masing kerana ini merupakan satu isu yang perlukan sokongan padu dari semua umat Islam seluruh negara.

Saya pernah terlibat dalam gerakan menangani isu gejala murtad suatu ketika dahulu. Ia kerja yang cukup halus lagi terancang yang dilakukan oleh kumpulan tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.
Justeru saya merayu dan memohon kepada pihak kerajaan agar dapat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas iaitu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat secara terperinci tentang isu ini.

Jangan biarkan seluruh umat Islam berada dalam keadaan kebingungan tanpa sebarang jawapan. Jangan dibiarkan 'si kaduk naik junjung' dan akhirnya mengeluarkan tanduknya. Pendedahan mengenai hasil siasatan perlu didedahkan kepada umum.

Kepada umat Islam,saya menyeru atas nama agama dan bangsa, marilah kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani isu ini dan mungkin akan hadirnya lagi isu lain dimasa akan datang yang melibatkan agama Islam.

Kita perkuatkan semula tali persaudaraan sesama kita yang hampir longgar angkara fahaman politik masing-masing. Sedar dan insaflah, ikatan kita adalah di atas kalimah syahadah.(sumber: Jamal Lulkhir Jaludin (Pasir Salak), UM 9/8/11)

08 Ogos 2011

PENDIDIKAN ISLAM WAJAR DIWAJIBKAN


Kebelakangan ini budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar semakin serius dan seolah-olah sukar dibendung. Amat menghairankankan pula kebanyakkan pelajar terlibat adalah bangsa Melayu beragama Islam.


Budaya video seks, merempit, buang anak, dadah dan sebagainya seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan dalam diri pelajar zaman sekarang. Siapa yang seharusnya dipersalahkan? Sewajarnya Kementerian Pelajaran tidak perlu dipersalahkan kerana sudah terlalu banyak program yang dilakukan bagi membendung kegiatan ini.

Sebagai seorang pendidik yang mengikuti perkembangan ini, saya mencadangkan supaya penekanan agama perlu lebih dipertingkatkan agar kepentingannya dapat digunakan bagi mendidik pelajar yang akan menjadi rakyat dan pemimpin negara ini.

Sistem pendidikan sekarang tidak menampakkan mata pelajaran Agama Islam sebagai mata pelajaran penting. Mata pelajaran ini hanya berkepentingan sekiranya pelajar ingin ke sekolah menengah agama atau ke intitusi yang menjurus ke arah keagamaan. Ini menjadikan mata pelajaran Agama Islam seolah-olah menjadi pelengkap kepada mata pelajaran lain, sedangkan kepentingan untuk masa depan pelajar amat jelas.

Saya mencadangkan subjek Agama Islam dijadikan satu kertas wajib kepada pelajar beragama Islam untuk lulus sekiranya mereka ingin ke sekolah berasrama penuh atau ke intitusi pengajian tinggi. Jangan jadikan ia sebagai mata pelajaran pilihan.

Contohnya, UPSR bagi sekolah rendah, masukkan subjek itu sebagai satu mata pelajaran peperiksaan. Kalau pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan India boleh mengambil sehingga tujuh kertas dalam UPSR, tidak ada sebab kenapa kementerian tidak boleh menambah satu lagi kertas untuk pelajar beragama Islam.

Nampak sangat mata pelajaran agama tidak penting apabila menjelang UPSR. Sesetengah sekolah rendah mula 'membuang' subjek Agama Islam untuk memberi tumpuan kepada subjek teras peperiksaan.
Begitu juga di sekolah menengah yang sepatutnya lebih ditekankan nilai keagamaan. Amat malang sekiranya ada pelajar cemerlang dalam setiap peperiksaan tetapi tidak pandai solat dan mengaji.

Jadikan mata pelajaran Agama Islam sama pentingnya dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Pelajar beragama Islam seharusnya lulus dalam kertas agama sekiranya mereka ingin memiliki sijil peperiksaan.

Apabila agama Islam dijadikan kertas peperiksaan diwajibkan lulus, saya rasa pelajar belajar lebih bersemangat lagi. Walaupun mereka belajar mungkin hanya untuk lulus peperiksaan tetapi suasana belajar akan menjadi lain.
Bagi pelajar lemah dalam agama, mereka akan mengambil kelas tuisyen untuk membaiki kelemahan ini.
Mungkin pelajar lebih kerap mengunjungi masjid dan membaca lebih banyak buku agama sebagai bahan tambahan untuk lulus kertas agama.

Saya amat berharap perkara ini perlu diberi perhatian. Kita mempunyai ramai guru agama tetapi kita hanya nampak tugas mereka sebagai pembaca doa ketika ada sesuatu majlis di sekolah.
Kita perlu ingat dengan adanya budaya agama kukuh dalam diri pelajar, dengan sendirinya mereka berfikir untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama.(sumber: UM, 8/8/11)

OGOS,OGOS,OGOS



 Di tanah lapang ini, Ogos
pernah kuhirup segar udara kali
bait puisi merakam ingatan
desa resah kota gundah
desa riang kota girang
namun tidak sesekali kepalsuan
kerana ada sari yakin merentang
kita bangunkan nusa di laut dalam

Di tanah perbuktian ini, Ogos
pernah kusisipkan sayap kedamaian
memotret keindahan flora alam
ungggas burung saling berkasihan
puput bayu saling bersahutan
pepohon daratan akrab setiakawan
merindui kejora malam mendatang
alangkah, di mana gerangan menghilang

Di tanah daratan ini, Ogos
pernah kuarak kibaran panji-panji
seteguh bersatu mengotakan janji
semerbak harum setanggi baiduri
pada pagi merdeka semenda mentari
di hadapan, sederap melangkah tegap santeri
kasihku tumpah bersemi abadi



RAJIEE HADI
Desa Damai
6/8/2003







07 Ogos 2011

USTAZ: JANGANLAH JADI USTAZ SAMPUL!


TERUS terang, saya tak sangka perkara ini berlaku di kalangan insan beragama digelar ustaz dan ustazah serta mereka yang terbabit dalam urusan dakwah.
Saya ingatkan mereka yang pakar dalam agama, termasuk ramai di kalangan mereka adalah hafiz serta hafizah, mampu menepis dugaan duniawi.

Lainlah macam ini, orang biasa yang rendah ilmu pengetahuan agama, tidaklah sedalam mereka yang hebat itu. Namun, tahu jugalah yang mana betul dan tidak betul. Yang mana boleh dibuat dan tidak boleh dibuat.

Saya bukan hendak komen mengenai cara penyampaian mereka atau pengisian syarahan yang disampaikan kerana semua ahli agama ini hebat belaka. Ada yang berkelulusan agama dari luar negara, termasuk Mesir, Jordan dan Syria.

Cuma saya terperanjat mendengar sikap penceramah zaman sekarang yang mana kalau dijemput memberi ceramah, mereka bertanya berapa jam perlu berceramah dan berapa bayaran diletakkan dalam sampul. Maksudnya, mereka tak akan ‘bekerja lebih masa’.


Paling buat saya tersedak sampai terkeluar air mata, ada di kalangan mereka yang sebaik saja mendapat sampul, terus tarik duit keluar depan penganjur dan merungut, ‘ha, banyak ini aje’. Biru sekejap muka penganjur.

Patutlah saya tengok, walaupun semakin galak rancangan agama dihasilkan dan penceramah aktif menyampaikan ceramah sana sini, masalah sosial semakin berleluasa. Jadi saya rasa, penceramah kena betulkan balik niat mereka.

Saya tak kata penceramah dan juga ustaz ini tak perlukan duit untuk hidup tetapi sebagai insan istimewa yang diberi kelebihan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama-Nya, mereka mestilah berhemah.

Betulkan niat berdakwah kerana Allah SWT dan saya yakin mereka yang bekerja untuk Allah SWT dengan tulus ikhlas, Allah SWT akan berikan ganjaran luar biasa.

Justeru, tak perlu merendahkan martabat diri dengan berkelakuan macam ‘orang tak tahu agama’ pula. Tidak cukup setakat itu saja, ada juga di kalangan mereka yang dengki dan cemburu dengan kejayaan kawan.


Kalau Ustaz AB dapat peluang berceramah di TV, Ustaz EF ‘naik hantu’. Dia cari jalan juga hendak masuk TV kerana bila dah terkenal, banyak undangan di luar. Poket pun kembung. Ada juga yang secara terbuka membodek penerbit rancangan agama seperti belanja makan dan sebagainya.


Dek kerana kerakusan penceramah ini, ada juga mereka yang kurang ilmu, nak berceramah juga. Sudahnya, asyik ulang cerita sama. Agaknya mereka ingat, bila dia berceramah di kawasan utara, mereka yang menetap di selatan tidak mendengar ceramahnya.


Namun, dia tak tahu mereka yang tinggal di selatan mungkin asalnya dari utara dan akan balik kampung melawat keluarga serta saudara-mara di sana. Jadi bila ada ceramah, mereka akan pergi mendengarnya.


Namun begitu, bukan semua penceramah atau ustaz bersikap begitu, sebaliknya segelintir saja. Saya juga bukan hendak memburukkan sesiapa tetapi sekadar peringatan untuk kita semua. Wallahualam!(sumber: MyM: 7/8/11)


KASIH SAYANG: SEBUAH PENGERTIAN


SUDAH hampir seminggu anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang.
Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya. 
Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika ibu dan ayah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, ibu ayah pula tiada berdaya, semuanya dalam kenangan hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan. Terima kasih buat ibu ayah. 

'Ya Allah, sayangilah ibu ayah kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil'.


Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak.

Mendidik dengan cinta dan sayang berbeza dengan mendidik dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak. 

Bayangkan jika ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak, mereka akan melihat anak itu seperti mereka melihat kayu dan batu. 

Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan. 

Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas sukar dan meletihkan. Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini. 

Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya. 

Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung. 

Itulah ajaibnya kasih sayang yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak. 

Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak. Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya. 

Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. 

Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. 

Allah s.w.t menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya. Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian di luar jangkaan. 

Jadi kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. 

Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran. 

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu? Contohnya ibu, ayah, suami dan isteri. 

Jika tidak pernah cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, itulah wajah yang paling jujur. 

Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya". 

Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya. 

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala".(sumber: MyM: 7/8/11)

NABI: CARA MENJAGA KESIHATAN


BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. 
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. 

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpe
nyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh 

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. 

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran. 


Aktif menjaga kebersihan 

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. 

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim) 


Tidak pernah makan berlebihan 

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih) 

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. 

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat. 


Gemar berjalan kaki 

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. 

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang
hendak kita pergi. 


Tidak pemarah 

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. 

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. 

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang
kan gundah 
di hati. 


Optimis dan tidak putus asa 

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t. 

Tidak pernah iri hati 

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.” 


Pemaaf 

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. 

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. 

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba
nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.(sumber:MyMetro, 7/8/11)

MUALAF DAN PERMASALAHANNYA: JABATAN AGAMA TERUS TIDURKAH?


“SAYA bermimpi menghadap Kaabah. Selepas terjaga, saya rasa cukup tenang. Tidak lama selepas itu, saya berjumpa seorang ustazah dan bertanyakan hal ini.

Selepas diterangkan, saya dan suami tertarik dengan Islam lalu menukar agama,” itu detik awal Norjalilah Abdullah Wong, 46, mendapat hidayah memeluk Islam.


Sebagai saudara baru dia memerlukan bimbingan daripada rakan Islam, terutama ilmu agama, namun pada peringkat awal sokongan sungguh sukar diperoleh.

Jiwanya meronta kerana harapannya mendalami Islam seolah-olah dipandang sebelah mata banyak pihak, terutama di kampung halamannya. Bukan sokongan diperoleh, sebaliknya sindiran dan ejekan.


“Pemahaman saya mengenai Islam cukup tipis, apatah lagi untuk mengenali huruf al-Quran. Saya cuba belajar dengan menghadiri solat berjemaah dan kuliah agama yang diadakan di surau kampung saya.

“Namun ketika menjejakkan kaki ke rumah Allah itu, saya dihalau. Malah, jemaah surau berkata orang Cina tidak boleh memasuki surau berkenaan.

“Bagaimanapun, demi mengenali Islam dan mendalami ilmu agama ini, saya dan suami sanggup berulang alik dari Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari,” kata Norjalilah yang lebih mesra disapa Nor.

Apa diceritakan Nor antara pengalaman pahit dan dugaan yang dilalui golongan mualaf di negara ini. Jika dihitung, ia hanya sedikit jika mahu dibandingkan dengan pelbagai herdikan, kejian dan penerimaan negatif keluarga masing-masing dan masyarakat.

Walaupun pada dasarnya negara kita berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi, pendedahan mengenai golongan berkenaan cukup sedikit. Selain itu, penerimaan masyarakat sering menjadikan golongan ini patah semangat untuk lebih mengenali agama Allah.

Jika mahu dihitung, kebanyakan saudara baru Islam mengalami pelbagai dugaan hanya untuk mengenali agama ini. Sedikit sebanyak, ramai juga yang tewas di tengah jalan kerana tidak diterima.

Menurut Nor, dia dan suaminya sama-sama ikhlas untuk mengenali Allah dan agamanya. Disebabkan itu, mereka memeluk Islam dan merantau seluruh negara untuk mengenali-Nya.

“Di kampung, kami sering dipandang sinis termasuk oleh orang Islam. Jangan kata mahu membimbing kami, mereka lebih rela menuduh dan menghina kami memeluk Islam kerana harta.

“Jika mahu diikutkan, kami tidak dapat apa-apa dengan memeluk agama ini. Jadi, bagaimana kami boleh dituduh begitu? Malah, ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Bentong, kami tidak diberikan apa-apa. Jangan kata wang ringgit, membimbing kami pun tidak.

“Saya cuma terkilan apabila ada masyarakat mengaku Islam tetapi tidak menerima kami seadanya. Sepatutnya, mereka mengajar kami solat, mengaji dan mengenali Allah dengan lebih dekat. Ini tidak. Ketika mula-mula memeluk Islam, kami terpaksa duduk di rumah dan belajar solat hanya berpandukan VCD.

“Sampai satu masa, saya dan suami menangis kerana dilayan seperti itu dan tidak memahami sepenuhnya apa yang diajar menerusi VCD berkenaan. Mujur Tuhan membantu dan menguatkan semangat kami. Akhirnya, kami berpindah ke Raub dan memulakan hidup baru di sana,” katanya.

Nor berkata, kini dia dan suami sering merantau seluruh negara demi mengenali Allah SWT dan agamanya. Pada masa sama, setiap kali tiba Ramadan, mereka berulang alik dari Raub ke Perkim, Kuala Lumpur untuk sama-sama mengerjakan ibadat dengan saudara baru lain.

“Saya sudah serik untuk pergi ke masjid dan surau kerana pandangan negatif masyarakat. Sebab itu, bila tiba bulan puasa, saya dan suami sanggup berulang alik ke Perkim untuk mengerjakan solat tarawih bersama-sama.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah rasa penat setiap kali datang ke Kuala Lumpur walaupun jaraknya jauh. Mungkin ini ganjaran buat kami berdua,” katanya.

Berbeza pula dengan Saiful Sim, 50. Sejak memeluk Islam, dia diketepikan oleh isteri dan dua anaknya. Kerana tidak mampu menerima perubahan agama, Saiful akhirnya disingkirkan keluarga.

“Saya meminati Islam sejak di bangku sekolah. Waktu itu saya gemar membaca, termasuk buku agama. Lama-kelamaan apabila dewasa, saya merantau dari kampung di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mendalami agama ini.

“Namun, apabila benar-benar ingin memeluk Islam, saya disingkir isteri. Malah lebih teruk, dia memburukkan saya dan menghasut anak supaya membenci saya.

“Terus terang, saya tidak faham kenapa dia buat begitu. Puas saya jelaskan, tetapi dia tidak boleh menerimanya. Namun sejak itu, saya mula reda dan menganggapnya sebagai dugaan Tuhan. Kini, saya lebih tenang apabila mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Menurut Saiful, selain keluarga, dia tidak terlepas daripada pandangan sinis masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Namun, apabila berpindah ke Kuala Lumpur, pandangan itu lama-kelamaan hilang.

“Mungkin, perbezaan fikiran antara masyarakat di kampung dan bandar jauh berbeza. Rasanya, di bandar pendedahan mengenai mualaf lebih banyak berbanding di kampung.

“Syukur, kini saya tidak lagi terasa asing. Malah, kebanyakan orang Islam seperti saudara saya. Alhamdulillah, Tuhan membawa saya bertemu jalan tepat dan kini saya gembira. Rasanya, ia mungkin dugaan buat kami (mualaf),” katanya.(sumber: Metro,6/8/11)

05 Ogos 2011

DAKAPAN RAMADAN

Ramadan, kudakap lagi erat
kunjungmu kurnia Illahi kudrat
ke rumah-Nya saban setia sarat
menikmati malam-malam maknawi
meresap syukur syahdu mengepung kalbu
kuhisab gocah diri masa sembilu
kebesaran terucap paksi misteri
sendu hadir meniti lubuk usiaku
melafaz ayat-ayat-Nya penyuluh hayat.

Ramadan detik agung bulan keramat
maka singkirkan alpa sesaat
kita usapi kemuliaan pesona hikmat
hindarkan nafsu goda iblis laknat
mengurung mungkar tingkatkan syafaat.

Ramadan, di angkasa layar batini
langit dan bumi tafakur dinihari
cakerawala bertaut kasih zikrullah
lailatulqadar hikmah-Nya rahmat insan
di sini kita menanti titik temu
teluk cinta hakiki pasrah azali.

RAJIEE HADI
MPI/IPGM, Bangi
(Mingguan Malaysia, Ahad, 3 Januari 1999)

31 Julai 2011

SUAMI BERIMAN SUAMI YANG PENYABAR


ALLAH  SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai golongan lelaki), isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.

Dalam ayat ini dijelaskan matlamat pernikahan bagi mencapai ketenangan jiwa, cinta dan kasih sayang. Semua ini berkaitan dengan rohani bukan jasmani. Jika matlamat itu diabaikan, rumah tangga tidak bernilai dan pernikahan antara dua insan hanyalah pertemuan dua tubuh, sedangkan roh (jiwa) keduanya berjauhan.

Syariat Islam mewajibkan suami memenuhi tuntutan jasmani bagi isterinya seperti nafkah, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan lain-lain. Tuntutan isteri mestilah sesuai dengan keadaan suami. Kemudian syariat Islam tidak mengabaikan hak isteri dari sudut kerohaniannya kerana manusia tidak dinamakan manusia kecuali dengan adanya roh.
Tetapi ramai kalangan suami yang salah anggap, di mana mereka menyangka kewajipan mereka terhadap isteri hanyalah memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal. Tidak ada lagi kewajipan mereka selain daripada itu kerana mereka lupa bahawa wanita berhajat, bahkan lebih berhajat kepada kata-kata yang baik, senyuman manis, sentuhan kasih sa-yang, ciuman yang menyenangkan, perilaku yang lemah lembut dan gurauan yang menyenangkan hati, menghilangkan dukacita serta membahagiakan hidup. Semua ini sangat diperlukan wanita sebagai mana mereka berhajat kepada pakaian, nafkah, tempat tinggal dan keperluan material yang lain.

Imam al-Ghazali menyebut sebahagian hak suami isteri dan adab bergaul dalam rumah tangga dan dia menyatakan jika hak dan adab bergaul itu tidak diwujudkan dalam rumah tangga, maka rumah tangga akan hancur. Antara adab dinyatakan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW ialah:


·  Berakhlak mulia di hadapan isteri dan bersabar dengan sikap buruknya.
Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka dengan makruf (baik).
Imam al-Ghazali berkata: Ketahuilah bukanlah seseorang itu disebut berakhlak mulia kalau dia hanya menahan diri daripada menyakiti wanita, tetapi yang dimaksudkan dengan berakhlak mulia ialah orang yang menanggung keburukannya, dan lemah lembut kepada wanita ketika wanita berkeras dan marah.”


·  Hendaklah bergurau dengan isteri sebagai mana yang disebut Imam al-Ghazali: “Suami hendaklah bergurau dan bermain-main kerana ia akan menyenangkan hati wanita. Contohnya, meskipun Umar keras dan tegas peribadinya, namun beliau berkata: Sewajarnya suami seperti anak kecil, tetapi jika anggota keluarganya menghendaki sesuatu daripadanya, mereka mendapati dirinya seorang lelaki.” (sumber:Bharian,31/7/11)

30 Julai 2011

ILMU: JANGAN KEDEKUT MENYEBARKANNYA

APABILA menyebut mengenai ilmu, saya ingin berkongsi kata-kata hikmah Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk. Beliau mengatakan, manusia ada empat kategori. Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu.
Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya. Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya.


Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan. Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam kategori manusia terakhir. 

Tetapi apabila direnungi, sejauh mana semangat kita menerokai dan berkongsi ilmu dalam persekitaran? Mungkin kita terfikir sejenak dan terbayang kesibukan setiap hari menguruskan rumah tangga, keluarga, kerja dan masyarakat. 

Ini antara alasan sering disebut-sebut. Sedangkan apabila kita membaca kisah sahabat dan tabiin yang sanggup mengembara jauh dari Madinah ke Damsyik, semata-mata mencari ilmu, kita patut rasa malu pada diri sendiri dan kagum dengan mereka. 

Mereka bermusafir hanya untuk mempelajari satu hadis daripada sahabat yang mendengar sendiri daripada Baginda Rasulullah SAW. Mereka memiliki semangat dan kecintaan tinggi terhadap ilmu. 
Antara kisah masyhur ialah Said al-Musayyab, Abu Darda’ dikenali sebagai hakim al-ummah (kebijaksanaan umat) dan Abdullah Abbas, dikenali dengan hibr al-ummah (yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan bahr al-ulum (lautan ilmu pengetahuan). 

Hebatnya semangat mereka menjunjung ilmu walaupun terpaksa menempuh kepayahan sehingga melahirkan tamadun Islam yang gemilang. Semangat mereka itu patut kita jadikan iktibar selepas Allah dan Rasul-Nya membentangkan segala kelebihan ilmu kepada kita. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Dia akan memberikan kepadanya pemahaman mendalam dalam urusan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Ini membuktikan kebaikan tidak akan terhasil tanpa pemahaman ilmu membawa kepada kebaikan iaitu ilmu agama itu sendiri. Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. 

Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. 

Kepentingan ilmu termaktub dalam wahyu Allah, surah al-Alaq. Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan ayat itu menunjukkan rahmat dan nikmat pertama Allah kepada hamba-Nya iaitu memerintahkan mereka mempelajari ilmu pengetahuan serta mengajarkan apa yang tidak diketahui. 

Hal ini terlebih dulu dilakukan dengan mengurniakan serta memuliakan kita dengan akal. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan, umat Islam mendapat kedudukan mulia dan tinggi dalam dunia apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan. 

Oleh itu, antara usaha Rasulullah SAW ialah meminta tawanan musyrikin dalam Perang Badar mengajar umat Islam membaca sebagai syarat tebusan. 

Selaras tumpuan pembangunan masyarakat berteraskan pengetahuan yang diistilahkan sebagai K-Society, dalam alam pekerjaan ia perlu terus diberikan penekanan tinggi. Penguasaan ilmu secara langsung melalui kelayakan akademik semata-mata belum mencukupi menjamin kecemerlangan. 

Sebaliknya, mereka yang kurang baik pencapaian akademik juga boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya jika terus meningkatkan pengetahuan melalui pembelajaran berterusan sebagai usaha pembangunan kendiri. 

Begitu juga bagi yang berada pada tahap tinggi dalam perjawatan, perkongsian bijak perlu digalakkan dalam organisasi supaya pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pencapaian matlamat organisasi. 

Ilmu pengetahuan itu bermanfaat apabila diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). 

Pembudayaan ilmu adalah warisan Rasulullah SAW yang tidak ternilai. Justeru, pelihara warisan ini serta marilah kita menyemarakkan budaya penerokaan ilmu dalam persekitaran kerja untuk manfaat diri dan organisasi. 

(sumber: Sharifah Hayaati, Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya)



28 Julai 2011

KEMURUNGAN: SEMAKIN SERIUS


DUA  bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika.
Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama.
Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa.
Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurungan klinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaan paling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020.
SIMPTOM KEMURUNGAN
Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsa mengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilangan minat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmat kehidupan.
Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik, gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantui perasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuan dan rendah diri.
Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikal seperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik.
Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar menjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan.
“Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitan selama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial,” jelasnya.
Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri.
“Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat atau melalui psikoterapi,” kata Abdul Kadir dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masa sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun,” ujar Abdul Kadir.

KECENDERUNGAN BUNUH DIRI
Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri, tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu – tidak lagi tahan untuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagi menghadapi ketentuan.
Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga 2010.
Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai.
Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April lalu.
Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalah kemurungan.
WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis.
Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat enggan bersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoni yang boleh menjurus kepada isu psikiatrik.
WANITA MUDAH ALAMI KEMURUNGAN
Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10 peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukan bantuan psikiatri atau bantuan psikososial.
Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki iaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagai peranan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu.
Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan dengan terjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligus menyebabkan isu kemurungan sukar dikesan.
Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerang pada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusia kurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua.

MENTAL DAN FIZIKAL SALING BERKAITAN
Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikal adalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan.
“Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalani kehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.
“Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebih ramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu,” katanya..
Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigma negatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuh isu berkaitan masalah psikiatrik.
Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turut sekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
“Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akan tampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang dengan pegawai perubatan,” ujarnya.

DAPATKAN BANTUAN SEBELUM TERLAMBAT
Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakan atau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehingga mengganggu urusan harian atau produktiviti kerja?
Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satu perbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggap bermasaalah.
Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melalui saluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatan kaunseling yang kini disediakan di banyak hospital.
Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.
Pengerusi The Befrienders, S. Gangadara Vadivel menerangkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan ramai sukarelawan yang bersedia memberikan sokongan emosi kepada yang memerlukan.
“Pemanggil kami seringkali merupakan mereka yang berada dalam keadaan takut, marah, sedih, sunyi atau murung yang perlu meluahkan perasaan tentang pelbagai masalah keluarga, kerja, perhubungan, wang dan sebagainya,” jelas Gangadara.
Beliau memberi jaminan bahawa pemanggil akan dilayan dengan penuh rasa hormat dan setiap panggilan adalah sulit.
“Malahan kami tidak akan menyimpan sebarang rekod bagi memastikan rahsia atau masalah pemanggil selamat dengan kami,” ujarnya. –(sumber: mynewshub.my, 28/7/11)