07 Jun 2012

KHASIAT LEMON DAN AIR SUAM

Rutin pagi seseorang dilihat amat penting dalam meneruskan hari mereka sebelum pergi ke kerja mahupun memulakan tugasan sebagai pelajar.

Tidak kiralah anda seorang ahli sukan, cikgu, pelajar mahupun suri rumah, kesihatan perlu dititik beratkan dan dijaga dengan sebaiknya.

Jika kita di Malaysia, pasti ramai mengatakan bahawa memakan makanan yang berlemak seperti Nasi Lemak, Roti Canai dan juga minuman manis seperti The Tarik adalah kombinasi yang wajib. Namun tidak tahu apa penyebab dari pengambilan lemak dan gula berlebih mampu mengundang penyakit merbahaya seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan juga obesiti.

Oleh yang demikian, cuba tukar rutin harian anda menjadi lebih sihat dan hargai setiap pagi anda dengan menghirup secawan air putih suam bersama hirisan nipis lemon untuk rasai kelainan dan kebaikkan kombinasi tersebut.

Menambahkan tahan ketahanan dalam badan
Lemon kaya dengan Vitamin C dan juga Kalium (potassium) yang amat diperlukan badan. Vitamin C juga bagus untuk melawan demam manakala Kalium mampu melancarkan perjalanan fungsi dan perjalanan darah dengan betul. Oleh yang demikian, amalkan meminum segelas air suam dicampur sehiris lemon untuk dijadikan minuman selepas bangun tidur kerana ketika itu, perjalanan dan urat baru mula berasa tekanan kerja.

Keseimbangan PH
Lemon merupakan makanan berakali tinggi yang menakjubkan. Percaya atau tidak, lemon bertindak sebagai asid sendiri, tetapi di dalam badan kita ianya alkali (asid sitrik tidak wujud sebagai asid semulajadi setelah metabolisme kita meningkat). Jika anda ingin tahu, keseimbangan alkali dalam badan merupakan kunci kepada kesihatan diri.

Membantu masalah mengurangkan berat badan
Bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan yang sedikit gempal, amalkan rutin harian ini untuk memiliki tubuh badan yang diidamkan, kerana lemon mepunyai khasiat serat pektin yang tinggi, dimana ianya mampu melawan kelaparan. Ianya juga menunjukkan bahawa mereka yang kekal alkali di dalam badan boleh mengurangkan berat badan dengan mudah. Oleh yang demikian, bagi mereka yang gemar makan berat di waktu malam, amalkan rutin ini agar kawalan perut anda berada dalam keadaan seimbang.

Masalah penghadaman
Bagi mereka yang berasa ada makanan yang tersekat di ulu hati, cuba tip ini, kerana air suam mampu melancarkan makanan yang tersekat di ulu hati, manakala lemon pula bertindak sebagai mineral dan vitamin yang membantu perjalanan sistem penghadaman anda.

Pembersihan air kencing
Jus lemon membantu membuang bahan yang tidak diperlukan badan kerana lemon menaikkan tahap kekerapan membuang air kencing dalam satu-satu masa ( ianya bagus untuk badan kerana kencing membuang toksik) . Oleh yang demikian, jika anda amalkan minum Jus lemon, tahap kebersihan air kencing anda akan meningkat dan sihat.

Kulit cerah dan bersih
Seharian kita didedahkan dengan cuaca yang terik dan habuk yang banyak. Mulakan hari anda dengan menghalang kulit anda dari terus rosak dan dari dijangkiti kuman yang tidak menentu dengan minum air lemon. Pasti dalam beberapa lama, kulit anda akan ada perubahan.

Mengelakkan dehidrasi
Air yang mencukupi amat penting untuk membantu perjalanan sistem di dalam badan kita. Lemon membantu menghalang keletihan dan dehidrasi. Apabila badan anda mengalami dehidrasi anda akan automatik merasa keletihan. Fungsi yang mengawal sistem dalam badan yang menghalang dari berasa keletihan dan lesu tidak dapat bergerak dengan betul jika tidak meminum air dengan kuantiti yang banyak dimana ianya akan terus mengurangkan tenaga dalam badan yang membawa kepada stress.(sumber:http://my.entertainment.yahoo.com)

CALON SUAMI: WANITA JUGA BOLEH MENENTUKANNYA

ISLAM sangat memandang berat aspek pemilihan jodoh sehingga banyak keterangan Rasulullah SAW yang memperkatakan isu ini. Kesejahteraan dalam rumah tangga akan terpancar melalui kerukunan hidup bersama sepasang suami isteri apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak.

Atas faktor itulah maka sejak dulu lagi, ibu bapa begitu berhati-hati dalam usaha mencari jodoh untuk anak gadis dengan seseorang lelaki. Walaupun begitu, Islam mempersiapkan garis panduan jelas dalam aspek perkahwinan buat anak-anak.
Tambahan pula dalam dunia moden hari ini, anak-anak termasuklah anak gadis kita mempunyai pilihan mereka sendiri dan mereka mempunyai cita rasa yang mungkin tidak disenangi ibu bapa. Maka tidak sunyi kita mendengar peristiwa anak-anak gadis lari dari rumah mengikut lelaki pilihan hatinya lantaran pinangan ditolak oleh ibu bapa.
Kita harus melihat aspek ini dari sudut yang tepat sebagaimana ditetapkan agama. Jangan bertindak terburu-buru dan di luar batasan yang dibenarkan. Sesungguhnya Islam menetapkan hak seorang wanita dalam perkara memilih calon suami.

Ini jelas sepertimana ingatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang janda lebih berhak terhadap dirinya dari walinya. Seorang gadis harus diminta izinnya oleh ayahnya mengenai dirinya. Adapun izin gadis itu diketahui menerusi sikap diamnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersependapat dalam masalah hak wanita dalam aspek pemilihan calon suami. Ini diakui sendiri oleh Imam Syafie, Ibnu Lailah, Imam Ahmad, Ishak dan ramai lagi yang mengatakan bahawa meminta izin daripada seorang gadis untuk mengahwinkannya adalah satu perintah agama.

Imam Abu Hanifah pula mengatakan, “Si wali diwajibkan meminta izin terlebih dulu daripada si gadis yang mencapai usia baligh. Adapun sabda Baginda SAW, “Adapun tanda izinnya adalah diamnya.”
Menurut pandangan umum memang karakter lumrah seorang gadis akan diam jika dia bersetuju akan dikahwinkan dengan lelaki yang ditawarkan kepadanya, akan tetapi kalau dia tidak setuju, maka dia akan menyatakan tidak bersetuju.

Banyak kes lari dari rumah akibat peminangan ditolak berlaku kerana ibu bapa terlalu memaksa anak gadisnya menyetujui pilihan mereka sedangkan dalam masa yang sama anak gadisnya sudah mempunyai pilihan hati sendiri.

Maka timbullah konflik jiwa mendalam terhadap anak gadis sehingga mengambil tindakan nekad melarikan diri untuk mengikuti lelaki pilihannya.

Jika situasi ini berlaku, maka sudah pasti ibu bapa juga akan menerima padah dan menanggung malu atas perbuatan anak gadisnya. Malah, tidak kurang juga terjadi insiden yang lebih parah apabila anak gadisnya melakukan perbuatan zina. Justeru, ibu bapa juga yang akan terpalit dosa.

Ibu bapa sebaiknya harus berunding dengan penuh hemah apabila hendak menetapkan sesuatu perkahwinan terhadap anak gadisnya. Berilah nasihat berguna kepada mereka agar memilih calon suami yang terbaik.

Anak-anak yang didedahkan dengan panduan memilih jodoh yang terbaik pasti tidak akan tersasar jauh dari memilih calon suami yang mempunyai kriteria dikehendaki agama.

Sebagai ibu bapa pula, mereka seharusnya mengikut petunjuk diajar Rasulullah SAW agar anak kita dapat mengharungi alam rumah tangga dalam keadaan rukun dan damai sekali gus mengangkat mereka menjadi seorang isteri solehah dan diredai Allah.(sumber:BH, 07/06/12)

CARA PEMAKIAN HIJAB DENGAN BETUL

Bertudung bukan sahaja trend, malahan ianya adalah satu tuntutan kepada semua wanita Muslim agar menutup aurat. Perkembangan trend bertudung dilihat semakin berkembang dengan adanya fesyen tudung terkini dengan pelbagai warna yang lebih menawan untuk digayakan.

Selain daripada itu juga, si pemakai tudung gemar menjadikan selebriti tanah air sebagai ikon mereka dalam menggayakan tudung. Antara selebriti yang terkenal dengan gaya bertudung mereka adalah, Datuk Siti Nurhaliza, Datin Norjuma Habib, Wardina Safiyyah dan juga Yuna dimana gaya mereka menjadi ikutan sehingga kini.

Ramai yang memakai tudung tetapi pemakaiannya tidak kena dengan fesyen yang digayakan dan juga tidak mengikut tuntutan syariah dalam panduan menutup aurat.

Ikuti beberapa tips ini mengenai cara dan panduan bagi mereka yang memakai tudung:

Tudung haruslah menutupi keseluruhan rambut
Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk bertudung, harus tahu garis panduan menutup aurat dengan betul, antaranya adalah pastikan anda memakai tudung dan menutup keseluruhan rambut tanpa ada sehelai rambut pun dapat dilihat. Ramai yang tidak sedar akan anak rambut yang terkeluar akibat tidak dilitupi dengan kemas, ingatlah bahawa anak rambut itu juga haram dilihat oleh lelaki bukan muhrim kita. Maka anda haruslah menutupi rambut dengan tudung penuh agar anak rambut dan juga rambut lain tidak dapat dilihat.

Pilihan tudung yang tepat
Jangan pilih tudung yang jarang dan dapat melihat rambut anda di dalam. Walaupun anda telah memakai tudung. Niat anda untuk menutup aurat haruslah beserta cara yang betul. Jangan disebabkan kerana mengikut peredaran zaman yang dikatakan memakai tudung adalah kerana fesyen barulah anda memilih untuk bertudung. Apabila berniat untuk menutup aurat, tudung yang dipilih juga harus kena dengan nawaitu kita. Jangan pilih tudung yang jarang dan digayakan tanpa memakai anak tudung yang betul. Anda masih dikira belum mampu menutup aurat dengan betul jika memakai tudung yang jarang.

Pakaian harus bersesuaian
Jangan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan anda, kerana Islam menyarankan anda menutupi aurat dengan bertudung untuk menutupi sebahagian badan selepas memakai baju agar tidak menimbulkan fitnah bagi mereka yang melihat. Jangan memilih pakaian yang singkat sehingga menampakkan sebahagian tangan anda kerana itu merupakan aurat yang wajib dijaga semua wanita Muslim.

Pakaian yang singkat dari pinggul
Apabila bertudung, pemakaian juga harus dijaga, jangan memakai baju yang pendek sehingga di paras pinggang. Pastikan baju yang dipilih melebihi paras pinggul kita dan longgar. Ini kerana apabila kita memakai pakaian yang ketat dan pendek, apabila kita duduk ataupun merangkak, akan nampak sebahagian badan kita di belakang.

Pastikan tudung menutupi bahagian dada dan leher
Aurat yang seringkali dilupakan wanita muslim adalah menutupi sebahagian dada dan juga bahagian leher. Ramai yang tidak mengambil endah perkara sebegini sehinggakan mereka memakai tudung, namun masih boleh dilihat leher mereka kerana pemilihan tudung yang tidak sesuai. Pilih tudung yang lebih panjang untuk menutupi dada anda. Pastikan tiada belahan di bahagian leher agar tidak kelihatan kulit leher anda ketika memakai tudung.

Tidak menampakkan sanggul yang keterlaluan di atas kepala
Jika benar itu adalah rambut anda, cuba elakkan membuat sanggul yang terlalu tinggi di atas kepala kerana ianya hanya akan mengundang fitnah kepada mereka yang melihat. Ikat rambut anda dan simpulkan di tengah-tengah kepala dan baluti rambut anda dengan anak tudung yang boleh menutupi semua rambut sebelum memakai tudung.

Pilih tudung yang mengikut garis panduan Islam
Berikutan fesyen terkini yang kian meningkat dalam pemakaian tudung, banyak gaya tudung yang diilham dari pelbagai agama yang turut mempraktikkan penutupan rambut. Oleh yang demikian pastikan pilihan tudung anda mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

http://my.entertainment.yahoo.com/news/cara-pemakaian-hijab-yang-betul-114022713.html

08 Mei 2012

POLIGAMI : 4 ISTERI

SUATU ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya.

Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” Jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?” Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati“. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku…aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.”

Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini ;

ISTERI KEEMPAT - adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA - adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA - adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA - adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari (sumber:ipislam.edu.my)

HUKUM-HAKAM : LAMAN SOSIAL

BERIKUT  adalah soal jawab dan hukum-hakam melayari dan melayani laman sosial di internet: 

1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun-akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gambar, nota dan segalanya yang terdapat di dalamnya?

Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Di antara yang dipesan oleh Rasululllah s.a.w ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmidzi).

Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadith tadi.

2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan mahram walaupun atas dasar berkawan?

Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul dengan wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah mungkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesiapa dari kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (Hadith Riwayat Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri).

Menurut ulama, antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa keatas ahli-ahli keluarga.

3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk menjadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan mahram melalui jaringan sosial atau email seperti diatas?

Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi s.a.w ; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan yang akan menjadi orang ketiga” (Hadith Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar).

Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan sosial atau email?

Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?

Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ” “Cemburu ada dua, satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadith ini sahih. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadith no. 5783).

Menurut ulama, maksud cemburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadith lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (Hadith Riwayat Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar).

Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah dengan siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).

Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
2. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadith no. 5783.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz 5.

P/S: Isteri buat la persetujuan dengan suami jika dia nak password email atau lain-lain akaun laman sosial anda, suami pun kena bagi password dia juga, baru adil kan? Kalau tiada apa yang salah dan nak disembunyikan, buat apa dia nak takut? Tolak ansur tu sangat-sangat penting.(sumber:http:// syahirul. com)

18 April 2012

PENSYARAH POLITEKNIK KPT DALAM DILEMA?

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum penulis menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), penulis sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

Penulis  ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran negeri (pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat penulis, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja /proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (penulis tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT. penulis dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.

Namun demikian yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan baru-baru ini oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia , nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu. Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, penulis tidak pasti adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? Adakah  para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.


Cadangan penulis adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan teknikal di peringkat global. (sumber:drrajieehadi.blogspot.com)

10 April 2012

BAHASA MELAYU KINI

ISU memperkatakan Bahasa Melayu yang dikenali juga Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan satu Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Negara bukanlah isu baru atau isu lapuk. Namun sejauh mana rakyat Malaysia sudah mempelajari sejarah Bahasa Melayu dan susur galur serta jurusan linguistik atau tatabahasa Bahasa Melayu itu, itu boleh dipersoalkan sama ada setiap masa ataupun dari semasa ke semasa.

TB tidak bercadang memberi kuliah bahasa Melayu yang banyak cabang subkursusnya dalam ruangan ini. Memadailah TB ingin menghebahkan perkara-perkara yang dianggap betul oleh masyarakat pengguna bahasa tetapi sebenarnya suatu kesalahan besar yang mana TB khuatir lama kelamaan menjadi 'hypercorrection' iaitu yang salah atau silap dianggap betul atau benar.Tumpuan TB hanyalah kepada Bahasa Melayu moden bukanlah Bahasa Melayu klasik.

Sebelum itu, TB sukalah mahu mengingatkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai dua bentuk aksara atau tulisan iaitu tulisan Jawi dan Rumi (termaktub dalam Perlembagaan). Namun kini tulisan rumi dipakai meluas. Usaha mempopularkan semula tulisan jawi agar tidak pupus hayatnya tetap dilakukan dari masa ke masa sebagaimana usaha  program J-QAF anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi subjek Pendidikan lslam.

Penggunaan Bahasa Melayu disampaikan melalui dua situasi iaitu Bahasa Melayu persuratan (rasmi) dan Bahasa Melayu komunikasi (lisan). Ada juga bahasa Melayu disampaikan dalam bentuk bahasa isyarat.TB mahu menyentuh mengenai nasib Bahasa Melayu komunikasi secara verbal yang luas diguna pakai kini. Sehubungan ini komunikasi lisan/verbal yang TB mahu sentuh ialah yang digunakan secara formal sama ada dalam bilik darjah, bilik kuliah, mesyuarat, seminar, pembentangan kertas kerja, pengacaraan majlis di radio,televisyen dan seumapamanya. TB dapati kedapatan rangkai kata atau frasa ayat yang digunakan agak silap keterlaluan. Contoh berikut:

Salah/Silap                                 Betul/Benar

semenjak dua menjak                 semenjak itu
kita orang                                   kami
dia orang                                    mereka
kita (GN diri pertama jamak)      kami
kita (GN diri jamak)                    kita
kita                                             kamu,awak,kau
mereka-mereka                           mereka

Contoh-contoh di atas ditunjukkan kerana kekerapan yang terjadi kini. Kepada guru, pemimpin, para pengacara di radio dan TV, ibu bapa dan  anda semua memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu bahasa. Dalam apa jua situasi gunakan bahasa Melayu yang betul,indah, dan gramatis.Namun demikian dialek atau loghat seperti dialek bahasa Melayu Kedah, bahasa Melayu Sarawak, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Kelantan dan lain-lain lagi bolehlah diteruskan dan dihidupkan dalam penggunaan situasi yang tidak formal seperti dalam kelompok keluarga dan teman-teman. Justeru, jika tidak tahu, belajarlah dan bergurulah..(sumber:tiubbocor.blogspot.com)

* TB adalah singkatan bagi Tiub Bocor

03 April 2012

KEMURUNGAN vs MAKANAN SEGERA

PENGGEMAR  makanan segera perlu lebih berwaspada selepas ini apabila satu kajian terbaru mendedahkan, tabiat suka makan makanan itu boleh meningkatkan tahap kemurungan lebih 50 peratus.
Kajian oleh saintis dari Sepanyol itu menunjukkan mereka yang gemar makan makanan ringan seperti burger, hotdog dan piza lebih terdedah untuk mengalami masalah kemurungan sehingga 51 peratus berbanding mereka yang hanya makan sedikit atau pun tidak makan langsung.

''Lebih banyak kita makan makanan segera, lebih besar peluang kita berdepan masalah kegemukan,'' kata Almudena Sanchez-Villegas yang mengetuai kajian itu.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Las Palmas de Gran Canaria and Granada, Sepanyol itu kemudiannya diterbitkan dalam Jurnal Pemakanan Kesihatan Awam.(sumber:UM,03/04/12)

REMAJA: MENGAPA LARI?

PELBAGAI versi cerita remaja lari dari rumah, laporan keluarga mengatakan anak mereka hilang dan bimbang diculik, penyiasatan polis pula mendapati remaja lari dan merancang penculikan mereka.
Kita sebagai ahli masyarakat pada mulanya bimbang dengan kejadian culik yang boleh mengakibatkan anak remaja kita diperdagangkan oleh sindiket pelacuran atau jadi keldai dadah dan kebimbangan tersebut bertukar pula kepada kebimbangan gejala lari dari rumah dan anak-anak gadis mahu lari dari kemelut atau krisis dalam rumah yang sama ada wujud atau tidak dalam rumah mereka.

Apa yang paling membimbangkan ialah anak-anak remaja dalam lingkungan umur 14-18 tahun yang 'hijau dan masih mentah' ini boleh bertindak di luar daripada kewarasan fikiran kita orang dewasa dengan merancang, merangka dan mencipta 'kehilangan diri sendiri' dan versi yang dicipta melalui imaginasi dan kreativiti berlandasan fikiran yang tidak ada sensitiviti langsung terhadap keselamatan dan maruah diri serta keluarga yang dinaungi.

21 Februari 2012

LELAKI DAN NERAKA


DI AKHIRAT , wanita akan menarik empat jenis lelaki bersamanya ke dalam neraka. Artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah serta berwaspada akan tanggungjawab yang dipikul..

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…..tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

2. Suaminya

Apabila si suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak bertangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan turut ditarik oleh isterinya ke neraka.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya…..jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM …tunggulah tarikan adiknya ke neraka kelak.

4. Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Nantikan tarikan ibunya ke neraka.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat, maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan masing-masing.

Firman Allah SWT:-
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim : 6)

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslimin yakni yang mengucap kalimah tauhid dijamin masuk syurga dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yg ALLAH SWT berikan pada kita…wallahua’lam. (sumber: HDN, 21/02/2012)

17 Januari 2012

HARTA SEPENCARIAN


HARTA SEPENCARIAN : KONSEP DAN AMALAN

Posted by syafiqe on March 4, 2008
                                                   


Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.
Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.
Adat Melayu
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian.
Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih
cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kesRobert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
Hukum Syarak
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.
Oleh itu, kini hata sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Sumbangan tidak langsung
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.
Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.
Tuntutan
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.
Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.(sumber:syafiqe. wordpress.com)
Penyelesaian
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah.
Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.

HAK HADANAH


APLIKASI KONSEP MASLAHAH DALAM PENENTUAN HAK HADHANAH


Aspek utama dalam penentuan hak hadhanah (memelihara) yang melibatkan kanak-kanak yang belum mumayiz oleh hakim adalah dengan melihat kepada aspek yang paling utama iaitu kebajikan anak itu sendiri. Pada dasarnya sebaik sahaja berlaku perceraian, sememangnya Islam meletakkan ibu sebagai golongan yang paling utama yang berhak mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang belum mumayiz.
Ibu adalah layak kerana mereka ini mempunyai wilayah hadhanah dan penyusuan dan dilihat lebih penyayang, pengasih, penyabar, simpati, lemah lembut dan dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam mendekati kanak-kanak. [Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, Juz 8, hal.339; al-Syaibini, Mughni Muhtaj, hal. 452]. Malah jika diperhatikan peruntukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia juga memberi hak tersebut kepada ibu [Lihat Seksyen 82 Akta Undang-undang Keluarga Islam WP 1984].
Namun, apa yang menjadi keutamaan sebenarnya bagi mahkamah memutuskan mereka yang berhak mendapat hak hadhanah adalah dengan melihat aspek kepentingan atau kebajikan anak itu yang lebih utama. Ini kerana sekiranya ibu itu yang mendapat hak tersebut tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan baik hingga boleh mengabaikan kebajikan anak tersebut, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadhanah itu ditarik balik. Maka dalam menentukan aspek kebajikan anak ini, mahkamah akan mengaplikasikan konsep maslahah dalam membuat keputusan.
KONSEP UMUM MASLAHAH
Secara literal, dalam bahasa Arab Maslahah beerti sesuatu yang tidak mengandungi keburukan. Maslahah juga ditakrifkan sebagai manfaah, iaitu kebaikan dan faedah. Maka, jika diteliti sebenarnya kebajikan bolehlah ditakrifkan juga sebagai kepentingan. Maka kebajikan anak bolehlah dianggap juga sebagai kepentingan anak.
Maslahah menurut lafaz hakiki bermaksud sesuatu dalam keadaan sempurna untuk tujuan apa benda itu digunakan. Contohnya pen faedahnya adalah untuk menulis. Menurut lafaz majazi iaitu perbuatan yang mendatangkan kebaikan. Contohnya belajar akan mendapat ilmu dan ilmu memberi faedah kepada penuntutnya.
Secara konseptual, Imam Ghazali dalam Kitab al-Mustasfa mendefinisikan maslahahsebagai kefahaman asas tentang penghasilan kebaikan dan penolakan keburukan dan merujuk kepada lima objektif syarak iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. [Jil. 1, hal. 216]
Kata Al-Khawarizmi dalam kitab al-Maqasid al-Ammah li al-Syariah al-Islamiyyah pula menyatakan maslahah sebagai: (Pemeliharaan terhadap objektif syarak dengan menghindar keburukan daripada makhluk). Maka, kebajikan boleh dicapai menerusi dua cara iaitu menghasilkan kebaikan dan mengelakkan keburukan atau salah satu daripadanya.
APLIKASI MASLAHAH MENERUSI MAQASID SYARIAH
Secara dasarnya, bagi mencapai tahap maslahah yang dikehendaki agar kebajikan kanak-kanak itu tidak terabai, mahkamah akan merujuk kepada maqasid syariah (objektif syariah) merangkumi tiga iaitu :
a) Keperluan asas (maslahah daruriyyah)
Kepentingan yang terhenti ke atasnya kehidupan manusia sama ada dalam persoalan keduniaan atau keagamaan. Sekiranya gugur, maka kelangsungan maslahah dunia akan terganggu malah membawa kerosakan dalam kehidupan, hilangnya kejayaan dan akan membawa kerugian yang besar. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]. Dalam kes penentuan hak hadhanah, bagi keperluan asas (maslahah daruriyyah) ianya dapat dilihat dalam lima aspek utama iaitu melibatkan soal agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.
i. Kebajikan Menjaga Agama ( Daruriyyah al-Din)
Menurut Seksyen 82(a) Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 melatakkan syarat Islam bagi seorang penjaga demi menjaga kebajikan agama kanak-kanak. Maka jika berlaku pasangan itu murtad, hakim akan memberi hak hadhanah kepada yang beragama Islam kerana bimbang akan terpengaruh dan merosakkan pegangannya jika diserahkan kepada yang telah keluar Islam.
Malah soal agama ini juga bukan melibatkan soal penjaga yang akan mendapat hak mestilah seorang Islam tetapi juga perlu diberi perhatian sekiranya penjaga itu beragama Islam, ia haruslah mampu untuk mendidik anak tersebut tentang Islam. Ini dapat dilihat misalnya dalam kes Tunku Mahmood Shah lwn Noor Faridah Sutherland Abdullah [(1997) JH XI (II) 165]. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati ibunya tidak mampu menyediakan pendidikan agama kerana beliau sendiri ialah saudara baru yang belum tahu selok-belok agama dan dalam ahli keluarganya hanya beliau sahaja yang memeluk Islam. Jika diberikan kepada ibu, kebajikan agama kanak-kanak akan terancam. Mahkamah memutuskan hak jagaan dua orang anak dikekalkan dalam jagaan plaintif.
ii. Kebajikan Menjaga Nyawa ( Daruriyyah al-Nafs)
Umumnya kanak-kanak tidak mampu berdikari, jika dibiarkan nyawanya akan terancam. Maka, syarak meletakkan syarat berkemampuan ke atas penjaga. Seperti mampu memberi nafkah yang cukup kepada anak.
Kebajikan nyawa termasuklah penyediaan tempat tinggal dan kediaman yang selamat.Kegagalan menyediakannya akan menyebabkan mafsadah atau kebajikan anak terancam kerana rumah berfungsi sebagai pelindung kapada segala bahaya.
Begitu juga dari aspek kesihatan kanak-kanak. Syarak memberikan hak kepada ibu menjaga kanak-kanak semasa sakit walaupun dalam jagaan bapa dan ibu diberi kelonggaran menjaga kanak-kanak di rumah bapa dengan syarat tidak berlaku perbuatan berdua-duakan antara bekas pasangan dan syarak juga membenarkan kanak-kanak ditempatkan di rumah ibu semasa sakit walaupun sebenarnya dalam jagaan bapa. Di sini, jelas menunjukkan kebajikan nyawa kanak-kanak diutamakan berbanding hak ibu bapa.

iii. Kebajikan Menjaga Akal ( Daruriyyah al-Aql)
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din mendefinisikan akal dari sudut kerohanian sebagai satu keupayaan untuk menggarap ilmu pengetahuan tentang hakikat segala hal dan berupaya menimbang segala baik dan buruk yang diperintahkan oleh hati. Penjagaan akal dilihat dari dua aspek iaitu negatif dan positif. Secara negatifnya seperti larangan mengambil minuman memabukkan dan makanan yang boleh merosakkan kesihatan akal. Secara positifnya seperti mendapatkan seberapa banyak maklumat dan pengetahuan. Penjagaan akal dikonotasikan dengan pendidikan. Apabila dikolerasikan dengan hadhanah, pendidikan menjadi mekanisme terbaik bagi proses perkembangan minda kanak-kanak.
Penjagaan emosi kanak-kanak juga dalam kategori maslahah daruriyyah khusus bagi hadhanah sahaja. Menurut Seksyen 82 (c), hak jagaan anak akan diberikan kepada mereka yang mampu memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak bagi memastikan emosinya terjaga.
iv. Kebajikan menjaga Keturunan (Daruriyyah al-Nasl)
Dalam hadhanah, tidak wujud hubung kait penjagaan keturunan dengan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak itulah yang dimaksudkan dengan keturunan. Dalam Islam, penjagaan keturunan diertikan sebagai menjauhi zina yang memberi implikasi dengan melahirkan anak tak sah taraf ( nasab ).
Ibn al-Subki menambah dalam kepentingan asas dengan memasukkan kebajikan menjaga maruah (al-‘Ird). Penjagaan maruah ini dilihat sebagai kesinambungan bagi penjagaan keturunan. Contohnya kanak-kanak yang diberi kepada seorang penjaga kemudian telah mencabul kehormatan seperti sumbang mahram dan rogol lantas mengancam maruahnya.

v. Kebajikan penjagaan Harta ( Daruriyyah al-Mal)
Penjagaan kebajikan harta kanak-kanak lebih melihat kepada konsep wilayah al-mal iaitu penguasaan menurut syarak yang diberikan kepada pihak yang mempunyai kuasa mentadbir ke atas harta pihak yang mempunyai kekurangan demi memelihara maslahahnya. Kuasa wali ini diberikan kepada bapa dan tidak kepada ibu meskipun ibu diberikan hak hadhanah. Dalam hadhanah tidak melibatkan pengurusan harta kanak-kanak tapi jika berlaku pencerobohan terhadap harta anak itu, maka perlu dielakkan demi menjaga kebajikannya.

b) Keperluan biasa (maslahah hajiyyah)
Iaitu suatu keperluan bagi menjamin kelegaan dan menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaanya boleh menyebabkan manusia terdedah kepada kesusahan dan kesempitan tanpanya. Ia juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersangkut-paut dengan kepentingan umum dan tidaklah sampai ke tahap darurah dan tidaklah pula sampai ke tahap mendatangkan kerosakan pada adatnya.
Dalam bab hadhanah, keperluan biasa bertujuan menjamin kelegaan kanak-kanak dan menghilangkan kesempitan seperti menyediakan makanan yang berzat bagi menjamin kelegaan kanak-kanak. Jika tidak dipenuhi, kelegaan ini akan hilang. Maka atas dasar itu, mahkamah berhak untuk mempertimbangkan semua perkara tersebut.
c) Keperluan mewah (maslahah tahsiniyyah)
Keperluan mewah adalah sebahagian daripada keperluan biasa kerana menjadi pelengkap bagi kedua-dua keperluan biasa dan asas. Keperluan mewah adalah seperti mengelokkan keadaan mereka dan menjadikannya serasi dengan kehendak maruah dan akhlak yang mulia seperti menjaga kebersihan, menutup aurat dan sebagainya. Jika tidak dijaga akan menyebabkan dipandang keji oleh manusia yang rasional tetapi tidak sampai ke tahap membantutkan kehidupan seseorang.
Dalam kes Safura binti Badaruddin lwn Azhar Arifin [(1999) JH XIII (2) 237], Mahkamah telah membandingkan kediaman plaintif dan defendan. Meskipun rumah defendan sekadar rumah sewa tetapi lebih selesa dan keselamatan terjamin. Berbeza dengan plaintif yang menyewa bilik bersama dengan orang lain yang berkeluarga. Kelihatan kedua-dua pihak dapat memenuhi keperluan asas kanak-kanak, tetapi defendan mempunyai keperluan mewah sebagai tambahan kepada keperluan asas. Keperluan mewah yang tidak dimiliki plaintif akan mencacatkan keperluan asas kanak-kanak.
PENENTUAN PRIORITI
Apa yang jelas, sekiranya berlaku pertembungan antara satu dengan yang lain, didahulukan keperluan asas atas keperluan biasa dan keperluan mewah, dan keperluan biasa atas keperluan mewah. [al-Syatibi, al-Muwafaqat, hal. 157]
Secara prinsipnya, ketiga-tiga objektif syarak adalah tidak berasingan malah saling menyempurnakan. Keperluan asas adalah asal bagi objektif syarak kerana adalah punca bagi keperluan biasa dan keperluan mewah. Maka sesiapa yang mencacatkan yang utama maka dia telah mencacatkan yang cabangnya. Manakala mencacatkan keperluan biasa dan keperluan mewah dianggap hampir mencacatkan keperluan asas. Keperluan asas dikatakan sebagai fardhu ain dan keperluan biasa dan mewah yang tahap pentingnya seperti kedudukan perkara-perkara sunat. [Hassan Hj Ahmad 2001].
Maka atas dasar inilah, apabila berlaku pertembungan antara kelima-lima keperluan asas, maka didahului penjagaan agama atas nyawa, nyawa atas akal, akal atas keturunan, keturunan atas harta. Dalam penentuan keutamaan antara ketiga-tiga teori kebajikan ini, al-Syatibi telah menyusun lima pendekatan:
I. Kepentingan asas sebagai asas keperluan biasa dan mewah.
II. Kerosakan keperluan asas akan merosakkan keperluan-keperluan lain
III. Kerosakan keperluan lain tidak semestinya merosakkan keperluan asas.
IV. Kerosakan keperluan biasa atau mewah kadangkala boleh merosakkan kepentingan asas.
V. Wajib menjaga keperluan biasa dan mewah bagi tujuan menjaga keperluan asas.
Secara kesimpulannya, meskipun ibu adalah golongan yang paling berautoriti ke atas hak hadhanah anak, namun ianya boleh berpindah kepada pihak lain sekiranya mahkamah berpandangan ianya demi memelihara kebajikan anak itu sendiri. Maka pertimbangan yang dirujuk oleh mahkamah adalah berdasarkan kepada aplikasi maslahah melibatkan aspek-aspek dalam maqasid syariah meliputi soal daruriyah, hajiyyah dan tahsiniyyah. Aspek daruriyyah yang perlu diambilkira meliputi soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maka adalah jelas bahawa semua konsep serta aspek ini telah diaplikasikan secara berkesan oleh mahkamah bagi menentukan hak hadhanah kepada pihak yang berhak.(sumber:syafiqe.wordpress.com)