Atas faktor itulah maka sejak dulu lagi, ibu bapa begitu berhati-hati dalam usaha mencari jodoh untuk anak gadis dengan seseorang lelaki. Walaupun begitu, Islam mempersiapkan garis panduan jelas dalam aspek perkahwinan buat anak-anak.
Ini jelas sepertimana ingatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang janda lebih berhak terhadap dirinya dari walinya. Seorang gadis harus diminta izinnya oleh ayahnya mengenai dirinya. Adapun izin gadis itu diketahui menerusi sikap diamnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Ulama bersependapat dalam masalah hak wanita dalam aspek pemilihan calon suami. Ini diakui sendiri oleh Imam Syafie, Ibnu Lailah, Imam Ahmad, Ishak dan ramai lagi yang mengatakan bahawa meminta izin daripada seorang gadis untuk mengahwinkannya adalah satu perintah agama.
Imam Abu Hanifah pula mengatakan, “Si wali diwajibkan meminta izin terlebih dulu daripada si gadis yang mencapai usia baligh. Adapun sabda Baginda SAW, “Adapun tanda izinnya adalah diamnya.”
Menurut pandangan umum memang karakter lumrah seorang gadis akan diam jika dia bersetuju akan dikahwinkan dengan lelaki yang ditawarkan kepadanya, akan tetapi kalau dia tidak setuju, maka dia akan menyatakan tidak bersetuju.
Banyak kes lari dari rumah akibat peminangan ditolak berlaku kerana ibu bapa terlalu memaksa anak gadisnya menyetujui pilihan mereka sedangkan dalam masa yang sama anak gadisnya sudah mempunyai pilihan hati sendiri.
Maka timbullah konflik jiwa mendalam terhadap anak gadis sehingga mengambil tindakan nekad melarikan diri untuk mengikuti lelaki pilihannya.
Jika situasi ini berlaku, maka sudah pasti ibu bapa juga akan menerima padah dan menanggung malu atas perbuatan anak gadisnya. Malah, tidak kurang juga terjadi insiden yang lebih parah apabila anak gadisnya melakukan perbuatan zina. Justeru, ibu bapa juga yang akan terpalit dosa.
Ibu bapa sebaiknya harus berunding dengan penuh hemah apabila hendak menetapkan sesuatu perkahwinan terhadap anak gadisnya. Berilah nasihat berguna kepada mereka agar memilih calon suami yang terbaik.
Anak-anak yang didedahkan dengan panduan memilih jodoh yang terbaik pasti tidak akan tersasar jauh dari memilih calon suami yang mempunyai kriteria dikehendaki agama.
Sebagai ibu bapa pula, mereka seharusnya mengikut petunjuk diajar Rasulullah SAW agar anak kita dapat mengharungi alam rumah tangga dalam keadaan rukun dan damai sekali gus mengangkat mereka menjadi seorang isteri solehah dan diredai Allah.(sumber:BH, 07/06/12)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan