11 Februari 2013

KEMURUNGAN : AWASILAH

KITA semua tahu bahawa ramai remaja belasan tahun yang mempunyai putaran emosi yang tidak menentu. Satu ketika, mereka berkata mereka sayangkan kita, namun beberapa minit kemudian, mereka mungkin mengeluarkan kata-kata kesat yang tidak pernah kita dengar kepada kita atau kepada kawan-kawan mereka menerusi telefon. Tidak kira jantina, remaja awal belasan tahun mahupun remaja belasan tahun terdorong untuk mengalami ‘mood’ yang tidak menentu ini. Dalam kemuncak luahan emosi yang serius daripada anak-anak remaja kita kerana pakaian yang bersepah di lantai biliknya, kita mungkin tertanya-tanya, adakah dia berkelakuan begitu kerana dia mengalami kemurungan.

Kebanyakan ibu bapa mungkin sering menganggap keadaan emosi yang tidak menentu dan masalah kemurungan merupakan sebahagian daripada proses tumbesaran mereka. Ia adalah satu kelakuan yang normal bagi remaja dan ada di antara mereka yang berkata ‘apa lagi yang anda boleh jangkakan dari seorang remaja belasan tahun?’ Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan kita bersama, banyak lagi yang boleh kita jangkakan dan yang pastinya, kita boleh berbuat lebih daripada hanya berdiri dan mengangkat bahu.

Tulisan ini tidak berniat untuk menakut-nakutkan pembaca termasuk diri penulis, tetapi kitaa perlu tahu mengenai kajian statistik yang dijalankan di Amerika Syarikat mengenai perkara ini. Kira-kira 17 juta orang di Amerika Syarikat daripada semua peringkat umur mengalami masalah mental pada peringkat-peringkat yang berlainan setiap tahun. Dalam usia remaja, jumlah ini adalah mengejutkan, iaitu setiap seorang daripada lapan kanak-kanak mengalami simptom tersebut.

DOWN AND OUT

Perasaan murung hampir selalunya menjadi tidak terkawal, pada sesiapa sahaja. Contohnya, jika kita berasa murung, kita mungkin tidak perasan bahawa dalam keadaan kemurungan itu, kita boleh mandi air panas dan minum segelas air halia atau kopi pahit untuk menggembirakan diri kita. Bagaimanapun, bagi remaja, ia lebih sukar daripada itu. Masalah mereka biasanya kelihatan terlalu besar dan terlalu sukar untuk mereka tanggung. Harapan dan impian mereka menjangkau lebih tinggi daripada awan dan jika mereka diberitahu bahawa mereka tidak cukup berpotensi untuk mencapai matlamat mereka, ini boleh membuatkan mereka berasa tidak berguna, putus asa, sedih, murung, dan tercalar emosi.

Seringkali, kemarahan adalah emosi yang menemani kemurungan. Perasaan marah boleh hilang dan muncul semula. Silih berganti. Ia adalah sesuatu yang datang dan pergi, tetapi bagi perasaan murung, ia biasanya kekal selama beberapa hari, minggu, bulan, atau tahun. Adalah penting bagi seseorang itu membuang perasaan tersebut secepat mungkin. Kadangkala, perasaan ini begitu menekan sehingga seringkali juga menjejaskan aspek-aspek kehidupan yang lain. Pelajaran mereka terjejas; mereka mula kehilangan kawan dan memberi kesan negatif kepada sesiapa sahaja yang mereka jumpa dalam kehidupan seharian mereka.

Ini membuatkan hidup mereka lebih murung daripada sebelumnya, dan memburukkan lagi keadaan. Sebagai ibu bapa, kita haruslah sentiasa memerhatikan tingkah laku yang aneh ini.

JENIS KEMURUNGAN

Secara umumnya, terdapat tiga jenis kemurungan. Jenis pertama dinamakan ‘major depression’. Seorang kanak-kanak yang mengalami ‘major depression’ tidak berupaya untuk merasai keseronokan atau kebahagiaan. Dia merasa dunia ini seperti sentiasa menentangnya. Tidak kira apa yang kita lakukan, anak kita akan terus berasa sedih dan murung. Jenis kemurungan ini kekal lama dan boleh menjejaskan kanak-kanak ini pada setiap jam, setiap hari.

Satu lagi jenis kemurungan dipanggil ‘dysthymia’. Apabila seorang kanak-kanak merasa sedih dan murung, dan kemudian gembira secara bertukar ganti sepanjang satu tempoh masa tertentu seperti satu tahun contohnya, anak kita mungkin mengalami ‘dysthymia’. Kebiasaannya, kemurungan jenis ini mudah diubati dan ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk merasa bahawa ada yang lebih lagi di dalam hidup ini daripada perkara-perkara menyedihkan yang dialami mereka.

Biasanya, remaja merasa bahawa masalah mereka tidak boleh diselesaikan dan mereka sentiasa ‘berenang melawan arus’. Dengan membantu mereka memahami gambaran sebenar dan memberikan mereka harapan, dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan mudah. Seseorang remaja yang mengalami masalah gangguan emosi yang bersilih ganti mungkin mengalami masalah ‘bipolar disorder’. Tetapi bukankah ini kedengaran seperti remaja biasa yang lain? Remaja mengalami ‘bipolar disorder’ akan mudah pula mengalami ‘intermittent low-energy depression’, kemudian disusuli dengan ‘uncharacteristic temper tantrums’ dan perlakuan ganas.

· Perhatikan Diri Sendiri

Jika kita merasa bahawa anak remaja kita mengalami kemurungan, pertama sekali kita harus melihat kepada keadaan mental dan sejarah emosi diri kita sendiri. Adakah kita juga mudah berasa murung? Sebabnya, kemurungan cenderung berlaku dalam keluarga. Oleh hal yang demikian itu, jika kita pernah mengalami masalah kemurungan sebelum ini (walaupun kita telah sembuh), anak remaja kita mudah mengalami masalah ini.

Walaupun jika kita tidak pernah mengalami kemurungan sepanjang hidup kita dan mempunyai sikap yang positif tentang kehidupan, periksalah ahli keluarga yang lain dan keluarga pasangan kita juga. Terdapat banyak sebab terjadinyai kemurungan, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti penyebabnya.

· Kenal Pasti Kemurungan

Pertama, gunakan rasa hati kita sebagai panduan. Kita kenal anak remaja kita lebih daripada orang lain dan kita adalah orang yang terbaik untuk mengenal sama ada anak kita mengalami masalah emosi ataupun tidak. Walau bagaimanapun, untuk diagnosis yang lebih berkesan, seorang yang profesional adalah diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masalah tersebut, seperti yang berikut (sebagai contoh):
1. Anak kita dapat melakukan tugas hariannya tanpa merasa murung;
2. Sama ada tabiat makannya telah berubah;
3. Sama ada kucing peliharaannya masih lagi merupakan teman setianya;
4. Adakah dia mengalami masalah berat badan sama ada turun atau naik yang serius, atau perubahan tabiat tidur;
5. Adakah dia kehilangan kawan atau mendapat kawan baru yang memberi pengaruh kurang sihat;
6. Mengadu mengalami penyakit yang tidak berasas;
7. Tahap keyakinan diri turun mendadak;
8. Sama ada dia sering merasa letih;
9. Sama ada dia merasa tidak berguna kepada rakan-rakan, keluarga, dan hidupnya;
10. Sama ada dia pernah berfikir hendak membunuh diri atau pernah cuba membunuh diri;
11. Adakah dia tiba-tiba mula merokok, minum minuman keras atau mengambil dadah.

· Jangan Memburukkan Lagi Keadaan

Jika kita akhirnya telah dapat tahu mengenai kesalahan atau tabiat buruk yang cuba disembunyikan oleh anak kita, jangan cuba memburukkan lagi keadaan dengan berpura-pura bahawa itu adalah perkara kecil. Memang benar, kita tidak mahu mereka merasa lebih tertekan dengan memperbesar-besarkan perkara itu, tetapi dengan berpura-pura bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan, akan hanya membawa petanda bahawa apa yang mereka rasakan itu adalah bodoh dan hanya membuang masa kita sahaja.

Kita seharusnya meluangkan lebih masa dengan anak remaja kita; berbual-bual dan menganalisis perkara-perkara yang mengganggu fikiran mereka. Mereka seharusnya dibenarkan bercakap lebih banyak dan kita sepatutnya menjadi pendengar. Jangan berpura-pura bahawa masalah ini akan hilang begitu sahaja. Sedarlah bahawa ia adalah satu halangan dan beritahu mereka bahawa kita sentiasa bersamanya untuk mengatasi masalah ini.

Kita sendiri tidak seharusnya berasa murung. Mengetahui bahawa anak kita mengalami kemurungan boleh membuatkan kita murung, dan kita akan tertanya-tanya adakah itu sikap kita yang sebenar. Kuatkan semangat untuk mereka semasa meraka cuba mengenal pasti jalan penyelesaiannya. Ini bukan salah sesiapa dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Beritahu mereka berulang kali bahawa kita sentiasa di sisi mereka apabila mereka memerlukan kita, dan jangan jemu berkata demikian. Jika mereka tidak mempedulikan kita, teruskan memberitahu mereka bahawa kita bersedia membantunya. Lama-kelamaan mesej ini akan masuk juga ke ‘kepala’ mereka. Tetapi berhati-hatilah supaya kita tidak terlalu masuk campur dalam kehidupan mereka.

Salah satu cara menangani kemurungan ialah dengan membuatkan seseorang yang murung itu merasa bahawa perasaan mereka penting kepada orang lain, terutamanya kepada seseorang yang menyayangi dan mengambil berat tentang mereka. Ini termasuklah ibu bapa, juga saudara mara. Dan apa yang lebih penting, katakanlah kepada mereka, “Allah sentiasa sayang kepada hamba-Nya.”(sumber: Yadim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan