20 Julai 2011

GOLONGAN MULIA SANGGUP BELAJAR, MENGAJAR AL-QURAN


DARIPADA Aisyah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah Al-Waaqiah, ayat 77-80)

Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian Al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Dan kerana al-Quran pula Allah mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan kepada cahaya. Oleh itu Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi)


Kebaikan membaca al-Quran amat banyak antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya. 

Orang yang membaca al-Quran dengan lisan yang tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran. 

Ibnu Abbas menceritakan Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.” (sumber: disesuaikan daripada Bharian, 20/7/11))
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan