03 Disember 2010

CERPEN: AMISON BTN OLEH RAJIEE HADI


AMISON BTN
Oleh
RAJIEE HADI

AMISON sudah lama bercita-cita mahu merebut jawatan Yang Di Pertua BTN alias Badan Tonjol Nama.  Sejak pembukaan, BTN yang diketuai oleh Lahabun lulusan Sarjana University of Oversea.  Amison kurang cocok dengan kepimpinan Lahabun yang masih bertarikan kuda sarkis, berentakan zimbomba zimbomba zimbomba.

Justeru adalah menjadi tugas Amison untuk menerajui dan sekaligus mengepalai hala ke mana BTN mahu diperjuangkan menjelang tahun 2000 nanti.

Amison sedar; dia memerlukan kesabaran, ketekunan dan kerajinan.  Dirasakannya dialah yang benar-benar memiliki sifat-sifat itu.  Dirasakannya juga setiap ruang kepalanya tersumbat dengan kalimah-kalimah yang berselirat dengan strategi  dan perancangan untuk bangsanya yang bukan sahaja terabai oleh sisa-sisa penjajah  bahkan bangsanya kini kian tercabar dan dicabar, getus hati Amison.

Biar apa pun tentangan yang dihadapi,  api wira yang berkobar-kobar  dalam sangkar dada Amison, tidak mudah luntur.  Bahkan suara batin yang berkepul-kepul dalam dirinya, meraung-raung bagaikan gempita sang guntur lakunya.

Biarlah mati hidup Amison bersama BTN.  Biarlah sorak sepinya bersama BTN.  Dia rela bergelumang dalam arus perjuangan BTN.  Biarlah. Biarlah segala-galanya, biarlah.  Amison sudah nekad.  Amison sudah bulatkan hasrat.

Sebenarnya, telah bertahun-tahun dia mengumpulkan sekalian kekuatan hati dan keyakinan diri untuk menempuhi segala risiko yang menghalangi.  Walauapa pun cabatan mendalangi, dia gigih menentangi hingga ke titisan darah terakhir.  Dan teringatkan sajak AKU peninggalan akhir Almarhum Chairil Anwar tiba-tiba bola mata Amison berkaca.

Sudah kerap benar Amison menyakinkan segunung harapan pada Farion; satu-satunya teman rapat yang dipercayainya, sekaligus lelaki harapan terkanan yang bakal menggantikan tempatnya.  Selain Farion, Amison menggantungkan harapannya kepada Jawatankuasa BTN seperti Syahnestum, Superior, Jafiro, Zahibon , Unan dan Kadamun yang bergelar Tuk Imam Swasta.

MULUK

Amison menginsafi yang bukan sedikit tentang bangsa dan tanah airnya.  Selama ini dalam tengkorak bangsanya telah berserabut dengan akar umbi hal-hal yang muluk.  Ya, bangsanya terlah berabad-abad dijajah pemikiran dan sosio-budayanya.  Bukan sesuatu yang aneh.  Orientalis barat mengecap bangsanya hina-dina di atas bumi pusaka turun-temurun ini, fikir Amison waras.

Amison menggertap bibirnya.  Dia teringatkan betapa bangsanya dituduh keturunan malaun pemalas.  Tidak tahu berdikari. Rendah martabat. Pengamuk.  Dan macam-macam tomahan yang menyebabkan Amison sekali lagi menggenggam penumbuk ke udara.  Amison merasakan dirinya hilang kesabaran lalu ingin membuka langkah ke gelanggang memegang ulu Taming Sari.

“Apakah kita selama ini sanggup dimomokkan dengan sikap menghina diri?” tanya Amison kepada para hadirin di Majlis Ulangtahun Kesepuluh penubuhan BTN.

“Tidak.  Tidak sama sekali! Tidak! Tidak!!!” gemuruh pekikan sekata sekalian tamu itu menambahkan  sari yakin dalam dada Amison yang meruap.

Amison semakin galak.  Obor dalam dadanya terus membara.  Ghairahnya tidak dapat dibendung. Seolah-olah dia merasakan perjuangannya mengembalikan maruah bangsanya yang hampir sirna, terpancar kembali.  Amison menatap girang.

“Tuan-tuan dan puan-puan.  Fikirlah.  Apakah sikap berani menegakkan kebenaran dengan idea-idea jitu tidak diperlukan lagi oleh bangsa kita?” soal Amison sambil mengelus-ngelus lembut janggutnya yang meruncing ke bawah.  Sesekali disuaknya jurai-jurai rambut yang menutup sulah dahinya yang berkilat kehitaman.

“ Apakah kita patut pupuskan sikap egoistik bangsa kita? ” Apakah suara lantang menuntut hak-hak kemanusiaan yang ada dalam diri bangsa kita wajar dipunahkan?  Bagaimana sikap kurang ajar tetapi tidak terlebih ajar yang mula bertunas di tapak kaki bangsa kita sekarang:” soal Amison lagi bertalu-talu tanpa menunggu respons pendengar di hadapannya.

Para hadirin mula terpukau.  Konsep perjuangan BTN yang pada mulanya samar-samar di hati masing-masing mula menampakkan maksud dan matlamatnya.  Dan ada di antara mereka mula mencongak nasib nenek moyang terdahulu, dan nasib anak cucu terkemudian.  Amison memerhati gelagat mereka.  Dan Amison dapat menduga sesuatu.  Ya, semuanya berhubung-kait dengan harga diri.  Nama bangsa. Dan jati diri bangsa, fikir mereka,  cetus hati Amison memutuskan teka-teki hatinya.

HARMONIS

Amison puas.  Gumpalan rasa hati yang membuak-buak selama ini sukses diletuskan dalam situasi yang harmonis sekali.  Sebagai bakal pemimpin harapan nusa bangsa menjelang tahun 2000 nanti.  Amison tidak tergamak menyaksikan sebuah letusan yang memuntahkan bahang lahar seperti Sang Karakatoa pada  abad ke-19 lampau yang melanda rumpun bangsanya.  Amison insaf.

Atas sebab-sebab menanti tirai hari depan gemilang, BTN yang diimpikan Amison, mahu  digerakkan dengan lebih dinamik, progresif lagi sofisikated.  Dan Amison tersenyum sendirian apabila mengingatkan kejayaan yang bakal diraih BTN pimpinannya kelak.

Dalam kotak fikir Amison, membayangkan kejayaan itu akan menjulangkan namanya sebagai Tokoh Penegak Bangsa.  Nama Amison akan tercatat lalu didirikan tugu memorial  di setiap kota negara ini.  Namanya terpahat sebagai pejuang unggul maruah dan martabat bangsa sarwajagat.  Dan mengingatkan keagungan namanya,  sekali lagi bibir Amison mengorak riang.  Dalam diam-diam dia mengumpulkan segala kekuatan untuk mempertahankan keunggulan namanya.

“Apalah ada pada nama Amison? usik Kadammun, sewaktu selesai solat Maghrib,  Amison duduk bersimpuh  membetul kopiah lusuhnya.

Amison yang keletihan kerana petang itu mengikuti kursus intensif  “Latihan Daya Kreativiti anjuran sulung BTN di Bukit Merbuk cuma membisu.  Tanpa berkata, Farion mencelah
“Nama memang penting Mun.  Nama ‘kan agen utama dalam komunikasi harian kita” ujar Farion singkat tapi bernas.  “Sebab itu kita patut menonjolkan nama kita, sampuk Jafiro pula yang turut tumpang sekaki.  “Kerana itulah BTN ini patut aku pimpin.  Ya kau pimpin watak untuk kembalikan nama harum bangsa kita seperti zaman gemilangnya dalam  abad ke-15 silam,”  celah Amison yang tampak bersemangat untuk berkempen.  Sahabat-sahabat seusrah mengangguk akur.

“Kita perlu mebina nama Kadamun,”bisik Amison lagi memberi keyakinan. 
“Tolong jelaskan’” pinta Kadamun kebodohan.  Sementara Kadamun, Superior, Zahibun dan Unan serta Syahnestum hanya melopong dengan rasa ingin tahu yang mendalam.

GIRANG

“Kalian nak tahu? Baiklah” Amison tersengeh girang melihatkan minat yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabatnya.

“Kerana namalah yang membina peribadi.  Nama mengembalikan maruah.  Bahkan mengembalikan tenaga  lahir dan batin!”  Amison terhenti.  Dia mengalih sandar untuk menghilangkan lenguh.  Sementara kawan-kawannya tergelak.  Amison turun merasakan dirinya adanya kelucuan.

“Kalian harus faham.  Nama melambangkan identiti. Nama sumber dihormati.  Nama juga punca komersial,” kata Amison galak sambil mengaru-garu siku kirinya.  Dan Amison menyambung lagi:
“Sebab itu, siapa kata nama tak ada apa-apa.  Nama baik akan disanjung. Dan… dan…”
“Dan nama juga akan dilaknat!”  sahut Farion. 
“Justeru  tonjolkan nama kalian agar tidak dilaknat!” bentak Amison sepontan.

Setelah mendengar hujah Amison, mereka merendahkan pelupuk mata masing-masing tanda setuju.  Pada malam itu detik hati masing-masing menyetujui Amison mengambil alih bahtera BTN kali ini.  Farion secara terbuka mengakui kepintaran dan kebijaksanaan Amison.  Amison pemimpin nombor wahid BTN, desis hati Farion.

Terasa lapang dada Amison, kerana kali ini mempunyai barisan orang-orang yang kuat yang berdiri kukuh di belakangnya .  Mereka inilah yang diharapkan Amison akan menyebarkan amanat perjuangannya ke pelosok kota dan desa.

Jauh di dasar hati Amison bercambah rasa mahu merubah pemikiran manusia mutakhir.  Manusia menjelang tahun 2000 ni bodoh terpelajar, bentak hati kecilnya.  Dalam tempurung benak hati Amison tergambar, garis strategi dan cabar pimpinannya akan dapat mengalahi Hitler dan Yamashita ataupun Napoleon Bonarparte.

“Ah! Orang semua gila kerana tidak mahu menilai ketokohanku sepuluh tahun lalu”. Rasa kesal itu masih bersarang dalam ingatan Amison.  Pada jarak waktu itulah Amison  memendam impian dengan seribu tekanan yang menyeksa jiwanya.  Namun Amison tetap bersabar.

Amison diam. Berfikir. Panjang. Manusia itukah yang bersalah?  Dia bertanya sendiri dalam hati.  Kadang-kadang Amison hairan melihat manusia menjelang tahun 2000 rela dibelenggukan.  Mengejar wang? Jadi robot? Diburu? Terburu? Memburu? Amison bertanya sendiri lagi dalam hatinya.

Lama juga Amison berdiri di kaki lima itu.  Tubuh lusuhnya tegak lurus pada langit petang yang tampak bening.  Lorong Merpati amat lengang.  Hanya seekor anjing kurus dan kotor di hujung lorong. Dia nampak anjing itu mengais-ngais tong sampah.  Di udara burung bayang-bayang menghampirinya.  Dan dia pun terpana.

(tersiar dalam akhbar  WATAN, Sabtu 30 – 1 April 1985)



Sidang pembaca yang budiman sila hayati dan tafsirkan apa yang tersurat dan tersirat daripada cerpen di atas yang telah ditulis oleh pengarang lebih daripada 25 tahun yang lalu yang masih dirasakan relevan hingga kini.- UMMINESSA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan