Umat Islam perlu membina peribadi yang teguh dalam dunia tanpa sempadan ini kerana jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepimpinan. Ada bimbingan yang kita perlukan dari orang yang arif, tetapi ia tidak terkejar oleh masa yang terlalu cemburu dengan kepintaran manusia meraih peluang.
Jika kita tidak mengejar masa, sudah tentulah kita ketinggalan dan lemah, sedangkan umat Islam kuat kerana ilmu. Paling utama untuk membina personaliti Muslim yang dihormati ialah mesti mempunyai akidah yang bersih.
Muslim perlu mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat. Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian daripada Allah jika mempunyai akidah yang bersih dan tidak berpatah menghadapi cabaran mendatang.
Setiap Muslim perlu menunaikan ibadah yang hakiki kepada Allah SWT seperti mana diajarkan Rasulullah SAW. Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan dalam beribadah serta tidak berbangga dengan perbuatan baik dilakukan.
Peribadi Muslim juga diukur dengan akhlak yang mulia. Ia sikap yang harus dimiliki setiap umat Islam sama ada akhlaknya dalam berhubung sesama manusia, alam ataupun dengan Allah SWT.
Dunia tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Oleh itu, peribadi soleh sajalah yang boleh menghalang perbuatan tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.
Peribadi soleh termasuklah juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan serta bantuan orang.
Jika mempunyai kesihatan yang baik, umat Islam tentu dapat menjalankan amanah dengan baik. Apatah lagi, Muslim sentiasa berdepan dengan cabaran dan tohmah sistem Barat yang tidak henti-henti mengacau keharmonian dan kemakmuran umat Islam di dunia.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Mukmin yang kuat lebih aku cintai daripada Mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)
Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek kerana salah satu sifat Rasulullah SAW ialah cerdas dan tangkas dalam membuat keputusan. Jika direnungkan, setiap yang akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Individu Muslim yang cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.
Satu aspek lain yang tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, sudah tentulah kita mempunyai kecenderungan kepada yang baik atau buruk.
Jika kita terdorong untuk melakukan maksiat, daya juang melawan hawa nafsu akan menyelamatkan kita tetapi jika sebaliknya, kita tidak akan mampu membina peribadi Muslim sepatutnya.
Dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap Muslim perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkannya. Allah mengingatkan manusia supaya menjaga masa diberikan kepada setiap manusia dengan jumlah sama iaitu 24 jam sehari semalam.
Sepanjang waktu itu ada antara kita yang untung dan ada yang rugi, tetapi pastinya waktu yang telah pergi tidak akan kembali lagi sampai.
Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional. Mereka mesti tekun, bijak berinteraksi dengan bahasa yang difahami, berintegriti dan amanah. Jangan orang Islam dijadikan contoh ikutan tidak baik dalam kalangan manusia pelbagai agama dan bangsa sedangkan Islam adalah sebaik-baik agama di dunia.
Kuasa pula perkataan yang impaknya luar biasa. Amar makruf dan nahi munkar juga boleh direalisasikan jika kita mempunyai kuasa. Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam.
Setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan