26 April 2013

AGENDA MENYEKAT PENDATANG ASING PERLU

Dr Rajiee Hadi,

BARISAN Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) patut menyebut dalam akujanji atau manifesto masing-masing bagaimana mahu membendung kemasukan menggila pendatang asing ke negara kita. Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ada yang dikategorikan pendatang tanpa izin/haram (PATI), pendatang tanpa permit, pendatang menyalahgunakan  pas lawatan sosial dan pendatang yang menyalahi peraturan-peraturan lain imigresen.

BN sebagai kerajaan yang memerintah lebih  55 tahun sepatutnya ada pelan pembangunan yang terkawal dan tidak amat bergantung kepada pendatang asing.

Mencontohi Singapura negara maju yang membangun era 1970-an adalah wajar. Singapura telah 'menghalau atau mengusir' pekerja-pekerja asing yang membanjiri republik itu suatu ketika dahulu. Apabila negara tersebut tidak lagi bergantung sangat kepada pekerja asing separuh mahir maka Singapura dapat membendung pelbagai gejala sosial yang kita sedia maklum.

Kini difahamkan jika kita meninjau di beberapa lokasi hospital kerajaan contohnya Hospital Serdang, Selangor , saban hari akan adanya kelahiran anak-anak pekerja lndonesia, Vietnam, Myanmar, lndia, Bangladesh, Filipina bahkan Afrika!  Itu hanya contoh kelahiran di sebuah hospital. Dan bagaimana pula kelahiran di luar hospital dan seumpamanya?


Tidakkah ini memberi impak masalah dan beban sosial pada masa akan datang.? Bak  kata seorang teman; bukan mustahil pula 20-30 tahun akan datang pendatang  asing contohnya pendatang Vietnam ini akan menzahirkan  tanpa segan-silu  keperluan  bahasa Vietnam akan diajukan pula di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan macam-macam perkara yang bukan mustahil kelak.

Justeru adalah bukan cerita lawak jika dikatakan pendatang asing kini telah 'menawan' negara kita dari Langkawi hingga ke Johor Bahru dan dari Perlis hingga ke Sabah.


Pendatang Myanmar yang tidak kita sedar kehadiran mereka kian ramai sudah pun ditangkap di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru. Itu belum termasuk pendatang asing yang lain. Mereka kini bebas ke mana-mana. Seolah-olah mereka telah ‘menawan’ negara kita .Bahkan ada syarikat yang menggunakan pendatang asing termasuk pati bekerja di sektor yang menyalahi undang-undang.


Oleh itu penggunaan frasa 'menawan'  bagaikan   mereka sudah 'menguasai kita' sehingga jabatan penguat kuasa pun tidak begitu berkesan lagi menangani pelbagai karenah jenayah mereka. Di Kuala Lumpur umpamanya, Datuk Bandar mengakui penguat kuasa Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mampu mengambil tindakan terhadap pendatang asing yang berniaga di gerai-gerai, pasar awam dan sebagainya. Ini baru kesalahan  kecil yang belum lagi termasuk jenayah besar dan sofistikated.


Maka negara kita yang aman makmur dan sikap kita yang suka berbudi dan 'tak kisah apa nak jadi', mengundang berbagai-bagai kategori pendatang dari seluruh dunia. Dan kita dapati semakin hari semakin galak kehadiran dan jumlahnya makin bertambah.

Pelbagai berita jenayah oleh pendatang yang serius tersiar dalam media elektronik dan media cetak hampir setiap hari bagaikan sudah menjadi semacam fiksyen hiburan.


lsunya kini dalam kempen-kempen PRU 13; baik BN mahupun PR adakah mana-mana pihak mahu membangkitkan isu membendung kebanjiran pendatang asing ini? Apakah isu seperti ini tidak disedari oleh parti-parti politik yang bertanding? Adakah pihak berkenaan tidak menyedari bahawa ini  boleh memberi banyak kredit patriotik kepada parti mereka pada masa berkempen sekarang? Terserahlah kepada mereka.(sumber: oleh Dr. Rajiee Hadi, Harakahdaily, 26/04/13)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan